11
RANCANGAN DANISH BUAT
NATASHA
Galore
Italian Coffee House sudah acap kali dikunjungi oleh Danish. Namun buat Natasha
inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Coffee House itu.
Natasha menebarkan pandangannya ke
sekitar restoran eksklusif itu. Matanya terpengun. Berlainan benar dekorasi
dalaman restoran ini berbanding restoran-restoran yang pernah dikunjunginya
sebelum ini.
‘Mewah!’ Kata tunggal itu sekali
lagi bergema di hati Natasha bagi mentafsir apa yang sedang dipandang oleh
sepasang matanya.
“Pernah datang sini?” soal Danish.
Natasha menggelengkan kepalanya
sambil mulutnya terbuka untuk melahirkan kata. “Kenapa bawa saya ke sini?”
Baru sahaja Danish hendak memberikan
jawapannya, seorang waiter
menghampiri meja mereka.
Setelah menghulurkan kad menu, waiteritu mula berbicara. “Encik dah
nak buat pesanan ke?”
“Emm… bagi saya latte dengan chicken
chop. Awak nak pesan apa?” Persoalan ditujukan kepada Natasha.
“Saya… saya ikut awak jelah.”
“Okey. Kalau macam tu bagi kami dua
minuman latte dan dua hidangan chicke chop.” Danish memandang tapat ke arah waiteritu.
Setelah mencatat apa yang dipesan
oleh pelanggannya, waiter itu
mengulangi pesanan sebelum berlalu pergi.
“Dekat mana kita tadi?” soal Danish
kemudiannya.
“Dekat mana? Maksud awak?” soal
Natasha, bingung.
“Tak… maksud saya. Apa yang awak
soal saya tadi?”
“Ooo… saya tanya kenapa awak bawa
saya ke sini?”
Danish tersenyum. Dia merenung
lembut gadis polos di hadapannya. ‘Cantik juga si polos ni,’ pujian itu
terlahir di hati Danish.
“Sebenarnya saya bawa awak ke sini
sebab saya nak awak buka mata.”
“Buka mata? Saya tak faham.” Jujur
Natasha.
Danish menghelakan nafasnya. Otaknya
ligat menyusun ayat agar bicaranya sebentar nanti tidak akan menyinggung
perasaan Natasha.
“Natasha… awak kenal siapa Malik dan
Marlina?”
“Malik?... bagi saya dia seorang
lelaki yang baik dan jujur. Tapi sayangnya dia sudah bertemu dengan perempuan
yang tidak sepatutnya. Marlina tak sesuai dengan Malik. Mereka bagaikan langit
dengan bumi. Sikap mereka jauh berbeza. Tapi… jangan pula awak fikir yang saya
cemburukan Marlina sampai sanggup memburuk-burukkan dia. Saya hanya memberikan
pendapat peribadi saya sahaja.”
Danish menganggukkan kepalanya.
“Selain dari tu? Awak tahu tentang latar belakang mereka?”
“Tak banyak yang saya tahu. Saya tak
mempunyai banyak peluang untuk mengenali mereka dengan lebih rapat. Lagipun…
status saya jauh berbeza dengan mereka.” Natasha tertunduk. Mengingatkan diri
akan statusnya.
“Itulah jawapannya. Jawapan kepada
persoalan awak tadi. Awak tanya saya kenapa saya bawa awak ke sini? Dan
jawapannya adalah kerana saya nak awak tahu yang cara hidup mereka malahan para
pelajar di sekolah tu tak sama dengan awak. Mereka tak biasa makan di
warung-warung kecil. Mereka tak biasa pakai pakaian murah malahan mereka tak
biasa berbicara dengan orang kebanyakan macam awak.” Biarpun kata-kata Danish
itu lembut, namun calar di hati Natasha sudah kelihatan.
Bergenang air mata Natasha. Kenapa?
Kenapa begitu kejam sekali lelaki itu memperkatakan tentang semua itu? Kenapa?!
“Saya tak minta awak bawa saya ke
sini! Dan saya juga tak minta awak mengingatkan saya tentang status diri saya!”
Linangan air mata Natasha kian ‘bernyawa’.
“Saya… minta maaf kalau kata-kata
saya tadi mengguris perasaan awak. Tapi niat saya baik. Saya nak awak tahu
kenapa Marlina boleh memilik Malik! Dan saya juga nak awak sedar kenapa Malik
menolak awak.”
“Awak ingat saya tak tahu tentang
semua tu?! Saya sedar siapa diri saya… sebab itulah saya hanya boleh menyintai
Malik dalam diam. Saya tak berani untuk meluahkan isi hati saya. Tapi… saya
sedar biarpun kata cinta belum saya lahirkan… Malik sudah lama ‘menolak’ saya
dengan menjadikan Marlina sebagai pasangannya.” Natasha cuba menghapuskan air
mata saat dilihatnya waitertadi
kembali semula ke meja mereka dengan menatang ke semua pesanan mereka tadi.
Setelah meletakkan kesemua hidangan
di atas meja, waiter itu kembali
semula menjalankan tugasnya.
“Jadi maknanya awak belum meluahkan
kata cinta itu?”
Natasha menggelengkan kepalanya.
Hatinya masih terasa dengan bicara lelaki di hadapannya itu sebentar tadi.
“Kalau macam tu awak masih mempunyai
peluang untuk merebut cinta awak tu.”
Natasha diam. Dia tidak mahu menaruh
sebarang harapan lagi. Biarlah seandainya Marlina terus menjadi pilihan Malik
sampai kapan pun.
“Awak dengar tak apa yang saya
cakapkan ni?” Danish meneguk sedikit latte, minuman kegemarannya.
“Saya nak balik!” Natasha bangkit
dan cuba untuk berlalu. Namun sempat dihalang oleh Danish.
“Duduk dulu. Dengar apa yang saya
nak cakapkan dan selepas itu saya akan hantar awak pulang,” rayuan bersama
pandangan sayu mencairkan hati Natasha. Dia kembali mendapatkan kerusinya.
“Cakaplah apa yang awak nak cakap.
Tapi saya tak suka awak merepek benda yang bukan-bukan.”
“Okey… mula-mula saya nak minta maaf
kalau kata-kata saya tadi mengguris perasaan awak. Kedua saya ada rancangan
untuk menyatukan awak dengan Malik sekaligus menolak Marlina. Tapi sebelum tu
saya nak awak baca ni.” Danish menghulurkan sekeping sampul surat yang bercorak
bunga.
Lambat Natasha mengambil apa yang
dihulurkan kepadanya.
“Baca surat yang ada dalam sampul
tu,” arah Danish.
Natasha menuruti kemahuan Danish.
Dia membuka sampul surat yang berbau wangi itu dan sekeping kertas berwarna
ungu bercorak bunga kecil diambilnya sebelum mulutnya perlahan membaca
baris-baris ayat yang tertera di dada kertas itu. Hampir 15 minit dia menekuni
bait-bait kata si pengirim.
“Betul ke apa yang saya baca ni dan
betul ke dia yang hantar surat ni pada awak?” Natasha bagaikan tidak percaya
dengan kebenaran yang baru sahaja diketahuinya sebentar tadi.
“Kenapa? Awak tak percaya? Takkan
awak tak kenal milik siapa tulisan tu?”
“Saya kenal. Kenal sangat. Tapi…
bukan ke dia dengan Malik? Jadi kenapa mesti dia hantar surat ni pada awak?”
soal Natasha lagi. Masih belum puas mencari kebenarannya.
“Surat ni saya dapat awal tahun ni.
Marlina tu budak baru di sekolah kita, kan? Jadi… masa tu mungkin dia berharap
yang saya akan menerima cinta dia dan sebab tu dia hantar surat tu. Tapi saya
tak layan pun. Dahlah kolot. Hantar surat bagai. Mana ada orang hantar-hantar
surat lagi zaman sekarang ni.” Danish tersenyum sinis.
“Awak tolak dia sebab cara dia
meluahkan perasaan dia pada awak kolot atau… memang awak tak pernah sukakan
dia?”
“Of
courselah sebab saya tak pernah sukakan dia! Dan selama ni saya langsung
tak sedar bahaw si pembuli Marlina awak tu adalah orang yang sama memberikan
surat cinta ni kepada saya. Kalau saya tahu… dah lama saya ‘kerjakan’ dia.”
Serius benar wajah Danish tika ini.
“Takkan awak tak ingat wajah orang
yang menghantar surat cinta ni pada awak?” uji Natasha.
“Dia tak hantar sendiri. Dia minta
entah minah mana tah yang jadi kuli dia untuk berikan surat ni pada saya. Sebab
tu saya langsung tak tahu tentang budak Marlina ni.”
Natasha terdiam. Akhirnya dia
berpuas hati dengan penjelasan Danish. Tanpa sedar Natasha meneguk sedikit
latte dan dia tersedak. Mana tidaknya, minum itu langsung tidak bersesuaian
dengan tekaknya.
Danish menghulurkan tisu dan
bibirnya menguntumkan senyuman. “Awak tak biasa minum minuman tu sebab tu awak
tersedak. Tapi bila dah lama-lama, awak akan tahu menikmati rasa pahit dan
manisnya.”
Natasha mengesat bibirnya. Kata-kata
Danish bagaikan angin yang melintasi pendengarannya. Sedikitpun tidak terkesan
di mindanya. Ada sesuatu yang harus ditanyai kepada Danish dan itulah
keutamaannya tika ini.
“Jadi… apa kaitan surat ni dengan
rancangan awak tadi?”
Kali ini senyuman Danish kian
melebar. Nampaknya Natasha sudah termakan ‘umpannya’.
“Macam ni… bila diteliti surat cinta
tu ternyata yang Marlina hanya menyintai saya dan oleh kerana cintanya ditolak,
dia harus mencari ‘pokok’ yang lain untuk terus menjadi parasit kerana Marlina
tidaklah sekaya yang awak sangkakan. Dia memerlukan lelaki yang berharta dan
berstatus untuk terus berlagak sebagai queen
di sekolah tu. Jadi maknanya sekarang ni awak mempunyai peluang untuk
mendapatkan Malik dengan cara membuatkan Marlina berpaling tadah daripada Malik
iaitu melalui saya. Selepas tu awak harus menambat hati Malik... juga melalui
saya.”
Natasha mengerutkan dahinya. Dia
tidak faham akan makna di baris ayat kedua terakhir bicara Danish itu.
“Awak tak faham?”
Natasha menggelengkan kepalanya.
“Macam ni… mula-mula saya akan buat
seolah-olah saya ingin mendampingi serta memikat Marlina dan dalam masa yang
sama kita harus menunjukkan seolah-olah yang kita ni pasangan kekasih untuk
membuatkan Malik berasa cemburu setelah dia kehilangan Marlina.”
“Kenapa pulak Malik nak cemburu
kalau dia tahu yang kita ni konon-kononnya bercinta?”
“Sebab waktu tu dia sudah kehilangan
Marlina dan awak orang yang paling rapat di samping dia, jadi bila dia mendapat
tahu yang awak sudah menjalinkan hubungan dengan saya… sedikit sebanyak
perasaan cemburu tu mesti muncul jua. Pada waktu tulah awak harus menarik
perhatian dia dan meluahkan rasa cinta awak.”
“Tapi… macam mana kalau Marlina tak
percaya yang awak sukakan dia? Yalah masa tu mesti hal percintaan olok-olok
kita dah tersebar di serata sekolah.”
Danish tersenyum. Kali ini chicken
chop di hadapannya pula yang menjadi ‘mangsanya’.
“Pasal Marlina tu awak jangan risau.
Pandailah saya nak handlemacam mana.
Apa yang penting awak harus bersetuju dengan rancangan ni.”
“Tapi kenapa? Kenapa awak lakukan
semua ni? Sedangkan awak tak kenal rapat dengan saya.” Persoalan terakhir itu
begitu penting untuk Natasha mendapatkan jawapannya agar keputusan dapat
dipertimbangkan.
Persoalan Natasha tidak dijawab
secara lisan. Hanya renungan mata Danish yang begitu lembut seolah-olah
memberitahu Natasha bahawa dirinya mempunyai tempat yang tersendiri di hati
lelaki itu. Mungkinkah sebagai teman untuk berkongsi derita?