Opah menapak menuju ke bilik Azeem dengan perasaan kecewa. Keputusan ujian DNA yang diperolehi akan menjadi bukti untuk membersihkan segala tuduhan yang disabitkan ke atas Dian, cucu menantunya itu. Sikap Azeem yang terburu-buru turut membuatkannya sedih. Kehidupan peribadi pun tak dapat diuruskan dengan baik inikan pula empayer syarikat yang melibatkan ratusan pekerja seperti itu. Syarifah Rahimah mula sangsi melihat perkembanagn semasa kerana sikap terburu-buru pasti akan mengakibatkan manusia binasa.
Tanpa meminta kebenaran, dia masuk untuk mendapatkan Azeem yang sedang membelek-belek helaian kertas di situ. Azeem nyata terkejut, segera wajahnya berubah. Dia tahu dia pasti akan dimarahi kerana sengaja menggelakkan panggilan opah selama ini.
“Nah, ambil dan tengok sendiri. Itu bukti yang Sofia tu anak Azeem. Puas hati Azeem? Opah tak tahulah apa yang jadi pada Azeem. Azeem yang pilih untuk nikahi Dian dulu, tapi sekarang kenapa Azeem sendiri yang ragu. Cubalah jadi orang dewasa yang lebih berfikiran terbuka.” tutur opah kesal.
“Azeem dah ada anak sekarang. Kalau beginilah perangai Azeem, opah tak rasa Azeem akan berjaya didik Sofia dengan baik. Berubahlah.” tutur opah lagi pada Azeem yang masih terpaku di tempat duduknya.
Helaian kertas yang terdampar di hadapan mata dicapai sebelum diteliti isinya. Positif, anak yang dikandungkan Dian sah adalah anaknya sendiri, tapi siapa lelaki tu? Kenapa Dian boleh semesra itu dengannya? Dia mula dihambat perasaan bersalah kerana sedar dia sudah tersalah langkah. Perlahan-lahan dia mengeluh resah.
“Itulah sebabnya, dah berapa kali opah pesan pada Azeem. Kalau nak buat sesuatu fikir dulu, jangan buat keputusan terburu-buru. Ini tak, sebelum buat apa-apa, Azeem tak pernah nak habis fikir. Jangan terlalu mudah menjatuhkan hukum. Apa yang kita lihat tak semestinya itulah yang benar.”
“Dah berbuih mulut opah mengingatkan, tapi Azeem langsung tak pernah nak ambil berat. Opah tengok sekarang ni Azeem mula buat perangai lama. Turun naik kelab tak ingat masa, masuk pejabat pun ikut suka, sampai kerja-kerja dipejabat dah tak diuruskan dengan sempurna.” ngomel opah tanpa henti. Dia kesal dengan perlakuan cucunya itu, tapi Azeem tetap bertahan dan menadah telinga.
“Kalau Azeem dah tak minat nak uruskan syarikat, opah dah tak kisah dah, biar opah amanahkan pada orang lain. Syarikat ni bukan untuk dibuat main. Opah tak sampai hati nak tengok warisan keluarga kita musnah depan mata opah. Opah tak sanggup.” tutur Syarifah Rahimah tegas, tak rela Azeem menghancurkan empayer perniagaan yang telah terbina hasil titik peluh leluhur keturunannya itu. Kalau ikutkan perangai Azeem, harta yang bakal ditinggalkan pasti akan hilang dalam sekelip mata terutamanya dengan kehadiran Aida yang sentiasa bersedia untuk memainkan peranan mengikis dan mencukur selagi ada.
Azeem tetap membisu. Tumpuannya masih pada kertas laporan tersebut. Ngomelan opah langsung tak mampu mengganggu hati kerana rasa bersalah pada Dian sudah mengatasi segala. Wajah Dian yang kecewa terbayang di mata. Darah yang mengalir di bibir itu akibat daripada tamparannya tempoh hari menjelma lagi. Serentak dia mengenggam rambutnya kasar, geram pada kelancangan diri. Dia sedar yang selama ini Dian sentiasa bersabar dengannya, dia tahu itu, tapi entah apalah yang telah merasuknya sehinggalah dia sanggup melayan Dian kasar sebegitu.
“Opah nak Azeem balik dan minta maaf daripada Dian. Dia dah jadi ummi pada anak Azeem. Cubalah belajar menghargai orang lain. Sofia dah masuk dua minggu, tapi sampai sekarang Azeem tak tengok dia lagi. Waktu Sofia lahir, orang lain yang azan dan iqamatkan, Azeem di mana masa tu?”
“Azeem ayah dan walinya yang sah, cubalah belajar bersikap lebih bertanggungjawab. Opah dah penat nasihatkan, tapi hasilnya macam tak ada. Opah dah penat, betul-betul dah penat Azeem.” tutur opah kecewa. Dia tak mahu tersilap langkah kerana kesannya sangat besar nanti. Jika salah percaturan, segalanya pasti menjadi debu dan hilang dibawa pergi taufan yang sedia menanti.
“Dian ada kat mana opah?” soal Azeem pada opah yang sudah mahu angkat kaki.
“Dia ada dekat rumah opah, mudah untuk opah pantau keadaannya. Kalau Azeem dah tak nak jaga dia, biar opah yang jaga. Sampai bila-bila dia tetap akan jadi cucu menantu opah.” balas opah sebelum melangkah pergi dan Azeem hanya mampu untuk memerhati kerana dia tahu opah sangat kecewa padanya.
“Tapi…sebelum opah terlupa, Aida ada cakap apa-apa dengan Azeem?” soal opah semula.
“Tak ada. Kenapa?” balas Azeem, masih tak tahu apa-apa.
“Dia tak beritahu tentang perjanjian dia dengan opah masa mula-mula opah nak carikan isteri kedua untuk Azeem dulu?” Azeem menggeleng kerana dia tidak tahu-menahu tentang perkara itu.
“Opah dah beri RM 1 juta pada dia, seperti mana yang dia minta. Itu bayaran cinta dia pada Azeem. Cinta yang Azeem kejar selama ni dan opah yakin sangat, dia masih belum cukup dengan nilai tu. Dia tentu mahukan lebih lagi nanti.”
“Opah rasa opah dah cakap pada Azeem lama dulu, tapi Azeem tak pernah nak peduli nasihat opah. Dahlah, malas opah nak cakap lagi. Sekarang tinggal Azeem untuk uruskannya sendiri.” tuturnya menerangkan. Bulat mata Azeem mendengarnya kerana perkara itu terlalu sukar untuk diterima.
“Kenapa opah sanggup bayar Aida sebanyak tu?” tutur Azeem tak percaya.
“Sebab opah sayangkan Azeem. Opah tak nak tengok Azeem susah bila opah dah tak ada. Azeem amanah papa dengan mama pada opah dan opah berharap sangat Azeem jadi manusia yang berguna, mampu meringankan beban mereka-mereka yang kurang berkemampuan di luar sana. Harta ni amanah Allah. Walau sebanyak manapun harta yang kita ada, takkan ada maknanya jika kita lupa kewajipan kita pada yang lain.”
“Azeem harapan opah. Opah dah tua Azeem, dah tak larat nak uruskan semuanya lagi, tapi opah pun tak rela tengok semuanya jadi sia-sia.” terang opah. Cucunya itu sentiasa perlu diingatkan kerana dia takut Azeem akan tersalah haluan.
“Azeem fikir-fikirkanlah apa yang opah cakap tadi. Opah nak balik, lagipun kesian tinggalkan Dian dan Sofia lama-lama macam tu. Ingat apa yang opah pesan tadi, balik jenguk isteri dan anak Azeem. Mereka perlukan Azeem.” pesan opah lagi. Perlahan-lahan Azeem mengangguk.
Dia sedar akan kesilapan yang telah dilakukan. Hanya kerana melayan perasaan, isteri dan anaknya dipinggirkan malah tindakannya yang mencurigai Dian dulu tak seharusnya dimaafkan. Dia langsung tak menjangka Aida akan bertindak begitu. Patutlah dia bermati-matian meyakinkannya dulu, rupanya ada udang disebalik batu.
“Aida!” Gerutunya di dalam hati kerana dia mula rasa dipergunakan. Bunyi telefon bimbit mematikan hasrat opah yang baru berkira-kira mahu beredar.
“Assalammualaikum puan.” tutur Nek Yam yang kedengaran kalut di hujung talian beserta dengan bunyi tengisan Sofia yang jelas kedengaran.
“Waalaikumussalam, ya Yam. Kenapa?” soalnya pula.
“Puan kat mana? Bila puan nak balik?”
“Saya baru nak balik ni. Sekejap lagi saya sampailah. Kenapa kuat sangat suara Sofia tu, Dian mana? Umminya mana?” soalnya pula setelah bunyi tangisan cicitnya itu membuatkan hatinya rasa tak tenang.
“Itulah sebabnya saya telifon puan ni. Umminya dah tak ada. Dah puas saya cari satu rumah, tapi tetap tak jumpa. Kat luar, kat dalam semua saya dah cari, saya tak tahulah kemana dia pergi. Saya perasan kasut dia dah tak ada kat depan. Puan balik cepat, saya dah tak tahu apa nak buat. Sofia ni tak habis-habis menangis sejak tadi.” tuturnya bimbang sambil mendodoi si kecil di ribaan. Dia jadi pasti Dian keluar ketika dia sibuk di dapur. Ketiadaan Dian hanya disedarinya bila terdengar rengetan Sofia yang minta diambil. Sudah puas dia mencari di sekitar rumah namun usahkan orangnya, bayangnya pun tak kelihatan.
“Ya-Allah, kemana pulak dia pergi dalam kedaan macam tu? Badannya kan masih lemah lagi, bukannya boleh berkuat sangat. Takpalah Yam, sekejap lagi saya sampai. Assalammualaikum.” balas opah. Azeem yang mendengar turut merasa bimbang, serentak dia mendapatkan opahnya itu.
“Kenapa opah? Kenapa dengan Dian?” soalnya yang sudah kembali mengambil berat.
“Nek Yam cakap Dian dah tak ada di rumah. Kemana pulak dia pergi, badannya tu bukan kuat sangat lagi. Kalau tak kena gayanya, menghidap pula nanti. Cuba Azeem call dia.” arah opah. Azeem pantas menurut sebelum panggilan terus disambungkan ke peti mel suara. Serentak dia teringatkan telefon Dian yang diranapkannya tempoh hari. Dia melepaskan keluhan yang berat, sebagai tanda menyesali kebodohan diri sendiri.
“Kenapa? Tak dapat.” soal opah yang menanti sejak tadi.
“Tak dapat opah. Tak apa lah, apa-apa kita balik rumah dulu. Manalah tahu dia keluar dekat-dekat situ.” tuturnya sambil mencapai kunci kereta.
“Jom opah. Opah naik sekali dengan Azeem, kita balik sama-sama.” tutur Azeem dan tanpa membuang masa mereka segera beredar.
Dari pagi sampailah ke petang mereka menunggu, tapi Dian tetap tak pulang-pulang. Tangisan Sofia yang minta disusukan semakin galak menyapa telinga. Azeem mula rasa sakit kepala, tapi kakinya tetap berdiri teguh di situ, menanti kepulangan Dian yang telah berjaya memboloskan diri ke dalam kamar hati. Entah bila semua itu bermula dia sendiripun tak pasti, tapi dia sangat pasti kini, Dianlah cintanya dan sesekali isterinya itu tidak akan ditinggalkan lagi.
Seperti apa yang opah harapkan, dia telah bertekat untuk menjalankan kewajiban sebagai seorang suami dan bapa pada keduanya. Dia sedia untuk belajar segala-gala, tapi dia perlukan Dian untuk membimbingnya sama.
“Dian kau kat mana? Aku minta maaf. Aku betul-betul minta maaf.” rintihnya di dalam hati sambil matanya masih tertumpu pada pagar rumah berharap penantiannya itu akan segera berakhir.
“Yam, tolong buatkan susu untuk Sofia. Dah lapar sangat agaknya ni.” arah Syarifah Rahimah pada Nek Yam yang sedang berada di dapur.
“Baik puan.” balasnya, segera menurut arahan.
“Kemana dia pergi opah? Daripada pagi dia keluar, sampai dah nak gelap pun tak balik-balik lagi. Ke ada benda yang tak baik jadi pada dia?” soal Azeem bimbang. Dia mula risaukan keselamatan Dian.
“Opah sendiri tak dapat nak jawap soalan tu Azeem. Tak apalah, kita tunggu sekejap lagi, manalah tahu dia balik nanti. Lagipun kemana dia nak pergi dalam keadaan macam tu. InsyaAllah, dia akan balik.” balas opah.
“Kalau macam tu, opah tunggu kat rumah. Azeem nak keluar cari dia. Kalau dia balik, opah cepat-cepat call Azeem bagitahu. Azeem pergi dulu opah.” tuturnya sambil bergerak laju menuju ke arah kereta. Tak betah rasanya menanti lagi, paling tidak dia perlu mengusahakan sesuatu sendiri. Perlahan-lahan kereta bergerak menyusuri kawasan perumahan tersebut, sehinggalah ke jalan besar, berulang-kali, sampai dah tak dapat dibilang dengan jari.
Dian terbaring lesu di bilik yang menyimpan seribu satu kenangan antara dia dan ummi. Matanya sudah bengkak menangisi perpisahan yang tak di sangka-sangka. Entah kenapa setiap kali teringatkan ummi, dia pasti akan menangis kembali.
Berkat usaha dan pertolongan Pak Samad dan Mak Andak, akhirnya ummi selamat dikebumikan. Suasana perkuburan yang redup dan tenang tak mudah untuk dilupakan. Walaupun dalam kepayahan, dia tetap juga perlu menghantar ummi pergi kerana dia tahu dah sampai masa. Semuanya kehendak Allah. Atas kehendakNya, Allah pinjamkan ummi padanya dan atas kehendakNya jugalah kini ummi benar-benar telah menutup mata.
“Ummi…” rintihnya dalam linangan air mata. Pedih terasa di dada, tapi dia sedar dia perlu segara menerima segalanya. Memang mudah untuk diucap, tapi kenapa terlalu sukar untuk dilakukan. Walau berkali-kali dia cuba mengingatkan diri, persoalan kenapa itu tetap datang lagi.
‘Kenapa? Kenapa mesti ummi pergi tanpa menunggunya terlebih dahulu? Kenapa ummi menerima nasib sebegitu? Kenapa?’
‘Kenapa setelah semua yang dia korbankan, ummi tetap tak dapat disembuhkan? Adakah segalanya berpunca daripada dirinya yang sanggup mempermainkan sebuah ikatan dan adakah kerana itu juga ummi yang terpaksa menerima hukuman?’
‘Allah ambil ummi buat ganti segala dosa yang telah dia lakukan?’ bisiknya pada diri. Fikirannya berkecamuk memikirkan, sebelum dia akhirnya tersedar yang dia mempartikaikannya semula.
“Ya-Allah, ampunkan aku…ampunkan aku Ya-Allah...aku tahu aku berdosa. Aku mohon ampun padaMu. Allah, ampunilah aku…” tuturnya dalam sendu yang cuba untuk ditahan sebelum bunyi esakannya memenuhi ruang bilik berkenaan, sayu dan kekal berterusan.
“Ummi, maafkan Dian. Dian yang salah. Semuanya jadi sebab Dian. Dian tak ikut cakap ummi. Dian bersalah pada ummi. Dian rindu ummi. Dian betul-betul rindu ummi…” ucapnya lagi sebelum bantal yang menjadi teman setia ummi selama ini dicapai dan didakap kemas ke dada untuk melepas rindu yang sudah terlalu sarat di jiwa.
Bau haruman ummi yang sebati di situ membuatkannya sedar bahawa ummi benar-benar sudah tiada. Serentak esakannya bermaharajalela. Sudah puas dia menanti, tapi yang menyambutnya hanya jenazah ummi yang disayangi dan tanpa dipaksa tangisannya menggila kembali.
Biarlah berlinangan air mata, takkan pernah sesekali dihentikannya. Dibiarkan ia menjadi jadi ubat untuk mengubat luka, supaya hilang segala rasa duka. Sesekali dia terbatuk-batuk akibat sendu yang terlalu teruk sebelum mukanya disembamkan pada alas kepala ummi. Lama dia berkeadaan begitu, sehingga dia akhirnya terlena, ditemani kenangan-kenangan indah bersama ummi, insan yang paling dirindui.
Malam semakin gelap gelita, namun Azeem kelihatan masih belum putus asa. Sambil memandu, kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan, namun dia tetap hampa. Lebih menghampakan jawapan yang diterima dari opah seketika tadi tetap sama, Dian masih belum kembali semula.
“Dian kau kat mana?” rintihnya sendiri sebelum dia teringatkan Aida. Mungkin juga Aida tahu di mana Dian berada, duganya. Tanpa berlengah-lengah dia menghubungi Aida, puas menunggu, panggilan akhirnya mati dengan sendiri.
Dia kemudian cuba untuk menghubungi Robert, hasilnya juga serupa, panggilannya dibiarkan tak diangkat. Azeem makin curiga. Dia mula mencari kebenaran tentang kata-kata opah kepadanya tadi. Tentang Aida dan rancangan mengahwininya semata-mata kerana harta. Memang Robert yang mempertemukan mereka berdua. Peristiwa yang berlaku sedikit masa dulu muncul semula. Kesangsiannya menjelma dan orang terakhir yang mampu membantu untuk merungkaikan semuanya adalah Linda.
“Hello Linda. You kat mana?” soal Azeem tak mahu membuang masa.
“Kat tempat biasalah, kat mana lagi. You guys turun tak malam ni?”
“Aida tak ada kat sana?” soalnya lagi sekadar mahu mengesahkan.
“Nope. I ingat yang you ada dengan dia. Robert pun tak ada. You guys turun tak malam ni? Boring tak ada partner.” balasnya pula.
“Malam ni tak rasanya. By the way, thanks.” balasnya sebelum mematikan talian. Dia mula pasti Aida ada bersama Robert saat itu. Mungkin ketika ini mereka tengah berseronok dengan habuan yang diterima sampai dah tak mahu diganggu, tapi dia perlu membuktikannya terlebih dahulu kerana dia dah tak mahu bersikap terburu-buru. Serentak kereta dipandu laju menuju ke rumah Robert dan jika telahannya tepat, Aida pasti akan turut berada di situ.