Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 51

Tamat sesi ceramah si pusat rawatan orang cacat penglihatan mereka akhirnya berpecah. Adam dan Nasir mahu terus ke CM untuk mencari rezeki manakala Aimi dan Dian terus beransur pulang.

Aimi terpaksa pulang sendiri hari ini kerana Azmi terpaksa menguruskan hal di kedai dobi dan tak dapat untuk menjemputnya bila pihak sekolah telah mengamanahkan mereka untuk membersihkan kain-kain cadar di asrama sekolah berkenaan.

Kedai dobi yang mereka usahakan secara bersama itu berkembang seperti yang diharapkan malah pendapatan yang mereka perolehi juga amat memberangsangkan. Untungnya dibahagi sama-rata, tapi buat masa sekarang sebelum hasilnya disatukan, sama seperti mereka berdua. Bila mereka dah disatukan nanti, tak payahlah bahagi lagi. Serentak dia tersenyum bila memikirkan perkara itu.

Kepulangannya tak disambut seperti selalu dan keadaan yang sunyi membuatkan dia mula tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku.

“Kemana semua orang? Bukan ke sepatutnya hari ni sibuk?” tuturnya perlahan sambil membuka langkah ke arah belakang sebelum dia tersenyum bila mengetahui kemana semuanya menghilang.

“Kat sini rupanya.” bisiknya perlahan tadkala terdengar sayup-sayup suara Azmi dan Ayu di sana.

“Abang, bila abang nak bagitahu pada Kak Aimi tentang kita?” soal Ayu yang sedang merangkul tangan Azmi sebelum menggoyang-goyangkannya, menggesa agar kebenaran tentang hubungan mereka diketengahkan. Azmi lantas terdiam. Minatnya untuk bermadu kasih sebentar tadi turut juga terhenti.

“Abang, Ayu tanya abang ni?” ulangnya lagi dan serentak dengan itu Azmi mula mengeluh.

“Nantilah, abang tak sedia lagi. Tolong bagi abang sikit masa sebab banyak benda yang perlu diselesaikan. Kedai ni, mak dengan ayah dia yang modalkan. Abang cuma pekerja kat sini.” balasnya pula.

“Ayu bagi abang sikit masa lagi.” tuturnya sebelum memboloskan diri dari situ.

“Tak payah tunggu! Abang boleh cakap sekarang. Apa yang abang nak beritahu Aimi?” tutur Aimi memecahkan ketenangan merpati dua sejoli itu. Serentak berubah riak wajah kedua-duanya.

“Aimi, nanti, nanti. Aimi jangan salah faham. Kami tak buat apa-apa lagi.” balasnya kalut.

“Tak buat apa-apa lagi? Apa maksudnya tu? Apa yang abang rancang nak buat? Kalau abang tak buat apa-apa, kenapa abang takut sangat? Apa yang dah abang buat sebenarnya?” balasnya marah.

“Mentang-mentanglah Aimi tak boleh nampak, abang jangan fikir abang boleh tipu Aimi.” tambahnya sedih sebelum angkat kaki dari situ.

“Aimi nanti, cuba dengar dulu apa yang abang nak cakap.” balas Azmi. Serentak pergelangan tangan Aimi dicapai.

“Abang minta maaf. Abang…”

“Patutlah bila Aimi ajak abang kahwin, abang selalu beri alasan. Rupanya abang dah ada orang lain.” tutur Aimi sayu sebelum menepis tangan Azmi perlahan.

“Aimi, tolong maafkan abang. Abang mengaku abang salah. Abang janji tak buat lagi. Tolong Aimi, tolonglah maafkan abang.” tuturnya berulang kali minta dimaafkan, tak rela kehilangan cinta pertama tak terkecuali perniagaan mereka.

“Abang tak perlu minta maaf, sebaliknya Aimi yang patut minta maaf sebab Aimi dah tak macam dulu. Aimi tahu Aimi dah cacat dan disebabkan tu abang dah tak sukakan Aimi lagi kan?”

“Abang betul-betul dah tunjukkan, betapa mudahnya cinta boleh berubah. Tolong jangan mempermainkan perasaan orang. Lepaskan Aimi dan kahwin dengan dia.” tuturnya sebelum meninggalkan kedua-duanya di situ bila impian yang terbina hancur berderai dalam sekelip mata.

 

“Dah balik? Kenapa bailk awal sangat hari ni? Azmi mana?” soal Puan Saadah pada Aimi saat terpandangkan anaknya yang baru muncul di muka pintu. Namun Aimi tak segera menjawapnya.

“Aimi, mak tanya ni. Kenapa balik sendiri? Azmi tak hantar? Aimi gaduh dengan dia?” soalnya lagi, lebih lembut kali ini. Dia jadi hairan bila kelibat bakal menantunya itu langsung tak terpandang kerana dia tahu, kalau Azmi tak ada maksudnya pasti perang.

“Aimi penat, Aimi nak naik rehat.” balas Aimi ringkas sebelum menuju ke biliknya.

“Kenapa pula tu?” bisik Puan Saadah sendiri sambil memerhati pergerakan anaknya itu.

 

“Aimi…Aimi. Keluarlah Azmi datang, dia dah ada tunggu di bawah tu.” tutur Puan Saadah sambil mengetuk pintu bilik berulang kali.

“Aimi taknak jumpa dengan dia. Mak suruhlah dia balik.” balas Aimi marah, sampai dah tak mahu bertemu lagi.

“Kenapa dengan Aimi ni? Sejak balik tadi Aimi dah macam ni, makan pun tak. Aimi suka bila tengok mak risau?” tuturnya yang sudah mula kecewa kerana dah penat kakinya berdiri di situ.

“Aimi, janganlah buat mak macam ni. Aimi tak kesian pada mak? Dah sakit kaki mak berdiri kat sini.” tuturnya lagi sebelum dirapati oleh Hj. Zakaria, suaminya.

“Aimi, keluar. Dah lama Azmi dan ibu tunggu. Jangan buat perangai macam ni, tak baik. Kalau ada masalah kita bawak berbincang elok-elok.” tutur Hj.Zakaria pula. Tak lama selepas itu pintu bilik dibuka kerana dia telah bersedia untuk mengakhiri segala-galanya.

 

“Assalamualaikum.” ucap Aimi saat panggilannya disambungkan.

“Waalaikumussalam. Aimi?” soal Dian kerana jarang sekali mereka berhubungan ada waktu-waktu seperti itu.

“Hmm aku. Kenapa kau tak suka ke?” soalnya pula, dah mula terasa.

“Apalah kau ni, bukan tak suka, cuma tak percaya. Biasanya waktu-waktu macam ni kan kau tengah gayut dengan Azmi.” balas Dian pula.

“Tak nak sebut nama tu boleh?” tuturnya tegas. Serentak Dian terkejut mendengarnya.

“Dah kenapa korang ni. Gaduh lagi?”

“Bukan setakat gaduh je Dian, tapi semuanya dah berakhir.” balas Aimi sebelum esakannya ketara di pendengaran. Perlahan-lahan tangannya meraba jari yang kekosongan. Sedih kerana cincin yang pernah menghuni di situ sudah tak ada lagi. Memang dia yang meminta, namun kesedihan itu tetap juga terasa kerana hati masih mencinta.

“Aimi, sabar. Dah la tu. Janganlah nangis.” pujuk Dian pula.

“Boleh tak aku nak jumpa kau sekarang? Aku nak datang rumah kau boleh?” soalnya tiba-tiba.

“Boleh tu memanglah boleh, tapi dah malam ni kan? Kau nak datang dengan apa? Mak dengan ayah beri ke?” soalnya yang sudah mula bimbang setelah mendengar permintaan sahabatnya itu. Waktu malam kalau datang dengan teksi, baik jangan. Takut ada apa-apa yang jadi.

“Mak dengan ayah dah beri kebenaran. Mereka janji nak hantar aku nanti. Dah tu kau bagi ke tak ni?” soalnya lagi.

“Mestilah bagi, kau kan kawan aku. Tapi kau tahu ke kat mana rumah aku?”

“Ayah aku tahu kedai makan Mak Andak sebab dia pernah buat kerja kat situ. Takpalah nanti dah sampai aku call lagi. Dian, terima kasih.” ucap Aimi sambil menyapu air mata sendiri.

“Sama-sama. Kau janganlah sedih sangat. Nanti jumpa kita cerita. Hati-hati. Assalammualaikum.” balas Dian menamatkan perbualan.

 

“Dian? Kau dah tidur ke?” soal Aimi yang berbaring bersebelahan dengan Dian kerana matanya amat susah untuk dilenakan.

“Belum. Kenapa kau tak boleh tidur? Kau tak selesa ke tidur kat sini?” soal Dian pula.

“Mana ada, bukan tak selesa, cuma aku rasa, kepala aku ni yang ada masalah. Wayarnya dah tercabut kot.” tuturnya pula. Dian tersenyum mendengarnya.

“Wayar yang mana? Warna apa? Takpa takpa, biar aku tolong sambungkan semula.” balasnya sebelum mengorek-ngorek kepala Aimi dengan jari, serentak Aimi ketawa dibuatnya.

“Shh…janganlah kuat sangat. Kita ada jiran kat sebelah tu.” tutur Dian mengingatkan.

“Siapa jiran kau? Lelaki ke perempuan? Kau dah berkenalan dengan dia ke belum? Nama dia siapa?” tutur Aimi di telinganya perlahan sampai dah tahap berbisik.

“Tak perlulah sampai tahap berbisik macam ni. Gelilah teringa aku.” balas Dian sebelum mengusap telinga yang kegelian.

“Ha? Apa kau cakap? Aku tak dengar.” balas Aimi tetap juga berbisik sengaja mahu mengubah suasana setelah sedikit sebanyak mendapat semangatnya semula.

“Aimi jangan. Dahla tu, tidurla. Esok aku nak gi kerja.” balas Dian tak tahan diganggu.

“Esok aku pun nak ikut kau kerja boleh? Aku ingat nak pergi refreshkan badan. Boleh ke?” soalnya pula.

“Mestilah boleh. Kak Ira dengan Abang Saiful mesti seronok dapat jumpa dengan kau sebab dah lama tak jumpa, tapi macam mana dengan kedai? Kau dah tak nak kerja sana?” soal Dian sekadar mahu mengetahui perancangan sahabatnya itu.

“Hal tu aku serahkan pada mak dengan ayah. Lagipun kedai tu atas nama mereka. Aku dah malas nak ambil tahu dah.” balasnya sebelum mereka sama-sama lama terdiam.

“Dian?” soal Aimi memecahkan kesunyian malam kerana dia masih tetap tak dapat melelapkan mata dan dia perlukan teman untuk diajak berbicara.

“Hmm, kenapa?” balas Dian semula.

“Kau suka warna apa?”

“Aku? Kau?” soal Dian pula.

“Kalau aku warna hijau, sebab aku suka tengok pokok. Kau pilih warna apa?” soalnya pula.

“Kalau kau suka warna hijau, aku pun suka warna hijau jugak.” balas Dian, sambil tersenyum suka.

“Macam tu pun boleh? Kalau macam tu, aku tak jadilah pilih warna hijau. Aku bagi kau warna hijau. Aku nak tukar, aku pilih biru sebab akupun suka dengan laut.” tutur Aimi menukar pilihan.

“Kalau macam tu, akupun nak pilih warna biru sebab akupun suka laut.” jawap Dian pula sambil menutup mulut menahan ketawa kerana dia tahu Aimi memang tak suka jika ada orang yang sama dengannya.

“Kau cakapla betul-betul, kau nak yang mana? Kalau kau nak biru, aku nak hijau.” tegasnya pula.

“Tak nak. Aku nak dua-dua.” serentak berderai ketawa yang cuba dikawal sejak tadi.

“Apa kau cakap? Ooo…kau saje nak kenakan aku rupanya. Kurang asam boi betul.” balas Aimi setelah mengetahui dia sebenarnya diakali sebelum tangannya mendarat di bahagian tengkuk Dian. Serentak Dian terjerit dan menggeletik macam ikan keli kena jentik kesan tindakan refleks yang tak terjangka. Jantungnya berdegup kencang ditemani bulu roma yang tetap kekal meremang.

Azeem yang sudah terlena bangkit semula bila terdengarkan jeritan Dian. Segera dia merapatkan telinga ke dinding pemisah, berharap dapat mengetahui apa yang terjadi. Namun keadaan kekal sunyi.

“Kenapa tu? Mengigau lagi ke?” soalnya yang sudah mula bimbang sambil tangannya menyental-nyental mata yang keperitan.

“Aimi janganlah. Kau sama je macam ummi…” balasnya sedikit kesal, serentak dia jadi teringatkan ummi semula.

“Sorry sorry aku janji tak buat lagi, tapi siapa yang mulakan tadi?” balas Aimi perlahan. Manalah dia tahu Dian terlalu sensetif seperti itu, namun Dian kekal bisu.

“Dian? Dian…janganlah marah. Sorry la. Kau kat mana?” tuturnya lagi sambil tangannya masih tercari-cari.

“Aku kat sini.” balasnya perlahan sebelum menyapu titisan air panas yang baru datang sebelum tangannya turut tergapai-gapai.

“Tapi janji, tak nak buat lagi.” tuturnya.

“Ok, ok, aku janji. Aku janji tak buat lagi.” balasnya simpati sebelum jari mereka bertaut kembali.

“Kau yang mulakan tadi. Aku cuma nak tahu kau suka warna apa, tapi kau saja main-main.” tambahnya lagi.

“Hari dah nak pagi, tapi kita masih macam ni. Tidurlah, esok kan kau kerja, nanti kau mengantuk pulak kat sana. Maaflah, aku dah ganggu hidup kau.” tuturnya kesal.

“Mana ada ganggu kau ni, sebaliknya aku seronok dapat teman malam ni sebab dah lama aku tidur sorang-sorang, sekarang dapatlah kawan ajak bersembang.” tuturnya setelah selesai mengambil tempat semula.

“Tadi kau nak tahu aku suka warna apa kan? Aku sebenarnya suka warna hitam.” tambah Dian menyatakan pilihan hatinya pula.

“Hitam?” balas Aimi sedikit hairan kerana tak banyak perkara yang boleh dikaitkan dengan warna hitam.

“Sebab aku suka malam. Bila malam kan gelap…bila dah gelap, barulah sunyi.” balasnya sambil membetul-betulkan bantal alas kepala. Aimi masih memikirkan jawapan Dian kerana dia sendiri takutkan kegelapan tapi kenapa tidak Dian?

“Selamat malam sahabat. InsyaAllah, kalau umur panjang kita jumpa lagi esok. Assalammualaikum.” tutur Dian mengakhiri perbincangan.

“Waalaikumussalam. Selamat malam sahabat…terima kasih…” balasnya perlahan, menghargai sebuah ikatan yang terbina sebelum kedua-duanya nyaman terlena.  

Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.