Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 63

Kerusi buaian yang sudah lama tidak berfungsi itu akhirnya berteman semula. Kerusi yang menjadi tempat mereka sekeluarga bersantai bersama, waktu dulukala sambil bergurau senda dan bergelak ketawa. Kuntuman senyum jelas terhias di wajahnya bila kenangan-kenangan lama muncul di ruangan minda. Sambil berbuai dia mendodoikan Sofia yang berada di dalam pangkuan. Sesekali tubuh kecil itu diusap dan ditepuk-tepuk sebelum dikucup lembut.

 Melalui opah dia telah mengetahui tentang Aida dan penceraian yang berlaku diantara mereka, tentang puncanya dan tentang perkembangan semasa Aida. Kata opah, Aida telah berhijrah ke luar negara dan sejak itu dia tak pernah pulang lagi ke Malaysia. Dia terkejut kerana tak menyangka perkara seperti itu akan berlaku sebelum dia jadi yakin. Manusia memang takkan dapat meramal masa depan kerana ia hak Allah sedang hiduppun tak tentu sampai selama mana.

Razif sempat mengamanahkan rumah keluarga itu kepada Dian sebelum dia berangkat semula ke luar negara. Rumah yang penuh dengan kenangan yang tak mampu untuk dilupakan. Kenangan bersama ummi dan abi, abang Razif, tak lupa juga memori-memori bersama Abang Azeem yang mula dirindui.

 

“Kenapa adik dengan ummi tak pernah balik ke sini? Tinggal dekat sini?” soal Razif di hadapan pagar utama rumah.

“Nak balik ke sini? Tapi nak buat apa? Ini kan rumah abi, lagipun mana ada kunci.” balasnya. Matanya masih setia mengamati keadaan rumah yang sudah terlalu lama ditinggalkan tak berpenghuni.

“Tak ada kunci? Ni kat bawah pasu ni apa?” tutur Razif yang sedang  terbongkok-bongkok menghulurkan tangan untuk mendapatkan kunci rahsia yang diselitkan di bawah pasu bunga bersebelahan dengan tiang pagar di bahagian dalam rumah. Dian yang memerhati ternganga. Siapa sangka, ada terdapat kunci di situ.

“Adik lupa? Kan dekat sini biasanya ummi tinggalkan kunci. Ni kan kunci emergency.” balasnya sambil mempamerkannya di jari.

“Memanglah adik ingat, tapi mana tahu yang ada kunci rumah kat situ, sebab dah lama sangat. Kenapa abi tinggalkan kunci kat situ?” soalnya ingin tahu. Razif segera mengangkat bahu kerana dia sendiri kurang pasti keadaan itu.

“Abang sendiri pun tak tahu. Daripada apa yang abang ingat, sebelum bertolak ke luar negara dulu, abi sempat selitkan kunci ni kat situ, tempat biasa yang ummi simpan.” tuturnya sebelum dia berusaha untuk membukakan kunci pagar yang berkenaan.

 

Sudah lebih tiga bulan berlalu, namun sepanjang tempoh itu, Abang Azeem tak pernah sekalipun muncul di hadapanya, biarpun dia sudah mendapatkan penglihatannya semula. Walaupun cuba untuk memendam, tapi hati mula mengharapkan kehadirannya untuk disapa mata. Sudah sekian lama dia menanti, namun nampaknya dia masih perlu menunggu lagi.

Kata opah, Abang Azeem telah berpindah semula ke rumah lamanya, rumah yang turut sama pernah didiaminya itu. Dia tahu Abang Azeem melakukan semua itu demi mengotakan janji yang pernah diungkapkannya dulu.

“Dian…” panggil opah yang sudah berada di hadapan rumah sambil menggamit-gamitkankan tangan mengisyaratkan mereka untuk pulang dan Dian segera tersedar dari lamunan panjang.

“Sekejap opah.” balasnya sebelum beredar dari situ.

 

Azeem sedang fokus menjalankan kewajipannya sebagai ketua untuk mengemudi syarikat yang diamanahkan oleh opah. Banyak yang telah diselesaikan, namun masih banyak yang perlu diuruskan, tapi yang paling utama, masalah terbesarnya telah berjaya diatasi dan Dian telah berjaya untuk diubati.

“Alhamdulillah dan syukur pada Allah kerana segalanya dipermudah.” ungkapnya setiap kali nama Dian muncul diingatan. Hanya tinggal beberapa perkara lagi berkaitan Dian yang boleh dia usahakan dan diharap segala rancangannya itu mendapat kerahmatan. Telefon bimbitnya dicapai sebelum dia kelihatan serius menanti panggilan disambungkan.

“Assalammualaikum Abang Saiful.” tuturnya memulakan bicara.

“Waalaikumussalam. Siapa?” soalnya di hujung talian, tak dapat menangkap gerangan si empunya badan.

“Saya ni, Zul, yang selalu datang ke pusat rawatan dulu. Abang dah tak ingat pada Zul ke?” balasnya pula.

“Zul? Ooo...Zul. Mestilah abang Saiful ingat. Takkanlah abang boleh lupa, tapi kenapa dah lama sangat tak datang? Zul dah tak sudi datang lagi ke sini?” soalnya sekadar ingin menduga.

“Bukan tak sudi, cuma Zul sibuk sikit kebelakangan ni. Banyak urusan yang perlu diselesaikan, tapi Zul ingat, esok nak jumpa. Abang free tak esok? Kalau abang free, esok Zul nak singgah, ada beberapa hal yang Zul nak bincangkan.” tuturnya sambil di dalam kepala mengemaskini segala rancangan yang telah difikirkan.

“Datanglah, abang tak ada halangan. Sebelum tu, kalau tak keberatan, boleh abang tahu apa halnya? Sebab bunyi macam penting je?” soalnya pula, bila mendengar intonasi Zul yang agak serius saat itu.

“Esoklah kita bincang. Tak berapa sesuai cakap di telefon macam ni, tapi ada satu perkara lagi yang Zul nak minta tolong daripada abang.”

“Zul nak minta jasa baik abang untuk kumpulkan sekali kawan-kawan Dian. Aimi, Nasir dengan Adam, dalam pukul 10 macam tu, Zul sampai. Boleh ke abang Saiful?” soalnya minta pertolongan.

“InsyaAllah boleh. Nanti abang cuba call dan kumpulkan semua, tapi untuk tujuan apa?” balasnya pula setelah yakin ada perkara penting yang ingin Zul bincangkan bersama.

“Zul nak bayar nazar.” balasnya ringkas dan padat.

“Nazar?” tutur Abang Saiful tak percaya.

“Itulah sebabnya, Zul cakap tadi, tak sesuai bincang dalam telefon macam ni. Kita jumpa esok dan bincang.” tegasnya.

“Iyalah, kalau Zul dah cakap macam tu. InsyaAllah esok kita jumpa. Assalammualaikum.”

“Waalaikummussalam.” balas Azeem dan diharap usahanya itu diperluaskan jalannya.

 

Masa berganjak pergi. Hari berganti minggu dan daripada minggu dah berganti bulan. Tanpa perlu menghitung, saat yang dinanti akhirnya tiba. Perkhabaran yang diterimanya sebentar tadi terasa menyentap tangkai hati dan semakin pasti, dia perlu berpisah dengan Dian lagi.

 

“Betul ke apa yang kau buat ni? Betul kau takkan menyesal? Kau dah bincang dengan adik ke belum?” soal Razif bila mendengar cadangan Azeem yang membenarkan Dian untuk menyambung pelajaran ke Kanada.

“Hmm, aku pasti ini yang terbaik. Kau bawalah adik ke sana, rasa suasana baru. Aku cuba nak bagi adik masa susun semula hidupnya. Lagipun adik masih muda, banyak lagi perkara yang boleh dia lakukan. Aku tak nak tambat kaki dia di sini. Aku taknak jadi penghalang untuk dia berjaya.” tutur Azeem menguatkan hati biarpun sukar untuk dia melepaskan Dian, tapi dia pasti Dian akan lebih berbahagia di sana.

“Kau dah bincang dengan adik?” soal Razif sedikit tak puas hati, tak setuju dengan perkara yang baru didengarinya itu.

“Ini pilihan aku, sebab ini yang terbaik untuk dia. Aku nak bagi dia masa  fikirkan tentang semua perkara. Tentang kehendak dan keperluan diri dia tanpa perlu memikirkan tentang aku. Aku dah berjanji pada dia dulu. Takkan aku nak mungkir janji sekarang?”

“Takkanlah aku nak paksa dia tinggal dengan aku, biarpun aku tahu dia tak gembira? Aku cuba nak bahagiakan dia, dan inilah salah satu caranya. Aku nak dia hidup bebas tanpa perlu terikat dengan hubungan kami.” balas Azeem perlahan, sebelum menghulurkan borang pertukaran pelajar yang sudah diusahakannya itu. Razif terdiam, namun wajahnya masih mempamerkan riak yang serupa, sebelum dia menggeleng-gelengkan kepala.

“Kalau itu yang kau nak, ok. Aku takkan paksa kau ubah keputusan kau ni. Kalau kau dah tak nak jaga adik, takpa, aku ada. Adik masih ada seorang abang yang sayangkan dia. Lagipun dia adik kandung aku, tahulah aku nak jaga. Assalammualikum.” ucap Razif kesal sebelum meninggalkan Azeem sendirian.

“Razif…” tuturnya menghalang, tapi dah terlambat kerana Razif langsung dah tak memandang ke belakang.

“Takpalah, kalau kau pun nak marah aku. Aku terima.” tambahnya lagi sebelum menyembamkan mukanya ke meja kerja.

Previous: Bab 62
Next: Bab 64

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.