Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 61

Dian kegelisahan. Dia sudah berusaha untuk melelapkan mata, namun  masih belum berjaya. Dia tak biasa di situ kerana urusannya banyak yang terganggu. Seingatnya dia sudah berhutang beberapa waktu sembahyang sejak semalam dan dia perlu segera menqadanya. Bila teringatkan bebanan itu, suhu yang mula mereda kini kembali meningkat lagi. Serentak dia jadi marah pada Abang Azeem semula.

“Ini semua Abang Azeem punya pasal.” gerutunya sendiri, memarahi, sebelum dia berjaya untuk memahami.

“Tapi kau yang pengsan Dian. Kaulah yang salah. Dia cuma hulurkan bantuan.” tuturnya semula. Sedikit sebanyak menghargai keperihatinan yang diberikan.

 

Suara bacaan ayat-ayat Al-Quran sayup-sayup di pendengaran membuatkan hatinya berbunga kembali kerana dia sudah dapat mengemaskini hari, dan subuh bakal bermula lagi. Dia pantas bangun sebelum duduk berjuntaian di situ sambil fikirannya ligat memikirkan apa yang perlu dilakukan dulu.

Dia tak rela membiarkan dirinya terlepas kali ini, tak mahu menambah hutang lagi. Selagi tak diselesaikan, selagi itulah hatinya rasa tak selesa. Rasa macam ada yang tak kena bila perasaan bersalah itu sentiasa dibawa bersama. Sedang dia berkira-kira, dia terdengar pintu biliknya dikuak perlahan.

“Dian dah bangun?” tutur Azeem perlahan, tak mahu terlalu berlebihan, namun hanya kesunyian yang menjadi peneman.

“Dian nak sembahyang? Dian nak ikut Abang Azeem ke surau?” tambahnya lagi. Kesakitan pada tapak kaki kini makin ketara kerana kawasan luka sudah mula membengkak. Pergerakannya sedikit terganggu disebabkan itu, tapi dia tahu dia masih mampu.

“Dian nak ikut Abang Azeem pergi surau?” ulangnya lagi, ingin menjaga kebajikan isterinya itu, namun Dian tetap juga membisu.  

“Takpalah, kalau Dian taknak, abang saja tanya, manalah tahu kalau Dian nak sembahyang. Kalau macam tu Abang Azeem pergi dulu.” tambahnya lagi setelah sedar Dian masih tak mahu diganggu.

“Tunggu.” pantas Dian membalas. Azeem yang mendengar rasa gembira. Gembia kerana sedikit sebanyak keadaan itu dapat mengurangkan ketegangan antara mereka.

“Alhamdulillah. Biar abang tolong Dian.” tuturnya sebelum terhincut-hincut menuju ke arah Dian.

 

Senyuman tanda syukur jelas terukir di wajah. Dia gembira kerana dapat menjalankan kewajipannya pada Yang Satu dan kini hatinya rasa lebih selesa dan ceria sambil langkahan kaki diteruskan berpandukan bantuan daripada Azeem.

“Dian, Abang Azeem nak keluar sekejap. Abang nak turun cari barang makan. Sejak semalam Dian tak makan apa-apa lagi kan? Dian nak makan apa? Nanti Abang Azeem belikan. Ada tak apa-apa yang Dian terasa nak makan?” tutur Azeem setelah menuntun Dian ke katil.

“Dian tak nak apa-apa, Dian cuma nak balik.” balas Dian tegas, serentak wajah Azeem berubah. Otaknya pantas mencongak-congak keadaan semasa sebelum dia sedar yang dia perlu menangguhkan Dian sedikit masa saja lagi. Sikit saja sehingga Razif tiba.

“Iyalah, nanti Abang Azeem hantar Dian balik, tapi bukanlah sekarang. Pagi-pagi macam ni, doktor tak datang lagi, masih tak boleh discharge. Dian rehatlah dulu. Abang Azeem nak turun sekejap.”

“Betul Dian tak nak pesan apa-apa?” soalnya semula, segera mahu mengubah topik. Tak mahu terus-terusan membuat janji palsu begitu. Dian hanya menggeleng-gelengkan kepala kerana dia memang tak perlukan apa-apa.

 

Azeem terpegun bila pintu bilik dibuka saat sekembalinya dia ke situ. Dia dapat lihat katil Dian telah ditutupi dengan tabir yang tersedia. Tanpa berlengah, dia menuju ke situ untuk mengetahui apa yang berlaku. Belumpun sempat dia mendapatkan jawapan, seorang jururawat wanita terlebih dahulu keluar di sebalik tabir berkenaan.

“Harap encik dan isteri beri kami masa untuk uruskan. Saya akan proses dokumen yang berkaitan. Bila dah selesai saya akan maklumkan.” tuturnya sebelum berlalu.

Azeem mula bimbang. Dia tahu dia perlu melengahkan Dian kerana Razif akan sampai tak berapa lama lagi. Panggilan telifon yang diterimanya sebentar tadi nyata menerbitkkan kelegaan di jiwa. Razif sudah selamat tiba dan dia sedang dalam perjalanan ke situ, tapi kini hatinya runsing kembali. Dia tak sangka Dian terlebih dahulu menyatakan hasratnya untuk keluar daripada situ.

Dengan terburu-buru, tirai langsir diselak sebelum dia segera menutupnya semula. Dian yang sedang mengemaskan pakaiannya turut sama terkejut.

“Ish!” serentak dia berdecik marah.

“Dian maaf, Abang Azeem tak sengaja.” tuturnya kalut, sedar yang dia melakukan kesalahan lagi. Panas mukanya menahan malu dan serentak dengan itu kakinya pantas diatur meninggalkan bilik tersebut sebelum matanya mencari-cari jururawat yang baru dilihatnya tadi.

 

Perlahan-lahan dia menghampiri Dian yang sedang duduk membelakanginya. Ingin memulakan kata, namun dia tak tahu mahu mengatakan apa. Ingin merapatinya, tapi dia tahu takkan ada maknanya kerana Dian telah terang-terangan menyatakan pendiriannya, malah dia sudah terlanjur berjanji untuk menghantarnya pulang dan dia sangat pasti jika bersuara Dian tentu akan mengungkit janji. Akhirnya demi kebaikan bersama dia hanya mendiamkan diri kerana itu adalah perkara terbaik yang mampu untuk dilakukannya saat ini.

Dian turut sama bertindak pasif. Diam membeku, sedang dia tahu kehadiran Azeem di situ. Apa yang ada didalam fikirannya cuma satu, iaitu dia ingin segera pulang dan hanya itu yang dia mahu. Kebisuan yang melanda mula menerbitkan rasa kurang selesa dan kedinginan semakin terasa di jiwa keduanya.

Bunyi deringan telefon memecahkan kesunyian yang mula mendera perasaan. Azeem tersenyum lega kerana panggilan yang dinanti akhirnya tiba juga.

“Assalammualaikum. Kau dah sampai? Kau ada dekat mana?” soalnya pantas.

“Waalaikumussalam. Aku ada depan hospital. Dian kat mana?” balas Razif pula, mahu segera menemui adiknya itu.

“Bilik 09, lepas kaunter sebelah kanan.” jawapnya memandu Razif ke tempat mereka berada.

“Ok ok, insyaAllah sekejap lagi aku sampai. Assalammualaikum,” balasnya sebelum panggilan dimatikan.

“Waalaikumussalam.” ucap Azeem lega kerana penantiannya bakal berakhir. Dian yang memasang telinga mula rasa tak tenteram.

“Siapa yang mahu datang ke situ? Siapa? Abang Razif ke, tapi macam mana Abang Razif boleh tahu?” duganya sendiri, sebelum dia mula jadi tak senang duduk. Serentak dengan itu, dia bangun untuk meninggalkan bilik tersebut. Azeem turut sama hilang arah bila menyedari keadaan itu. Dia tahu Dian mahu melarikan diri dari situ.

“Dian nak ke mana?” soalnya panik.

“Abang Azeem memang teruk. Abang Azeem janji nak hantar Dian balik, tapi Abang Azeem tipu. Abang Azeem memang penipu!” marahnya sebelum segera meraba-raba untuk menuju ke arah pintu. Hatinya betul-betul bergerutu dan dia sudah tak mahu berada di situ.

“Dian, tolonglah. Sekali ni je, tolang beri Abang Azeem peluang untuk bantu Dian. Tolong bantu Abang Azeem untuk tebus segala kesalahan Abang Azeem pada Dian, pada ummi. Dian buat rawatan ya. Tolonglah buat demi ummi.” tutur Azeem sebelum meraih pergelangan tangan Dian, tak mahu Dian memboloskan diri.

“Lepaslah, lepas.” balas Dian sambil berusaha untuk melepaskan diri, namun Azeem tetap tak mahu mengendurkan tekanan yang diberi.

“Abang Azeem memang teruk. Dian dah kata lepas, lepaslah!” tuturnya marah sambil mengulangi pendirian diri. Sakit hatinya dilayan sebegitu. Dia sudah tak rela diarah-arah lagi, terutamanya daripada lelaki ini. Dia mahu dan mampu menguruskan dirinya sendiri dan Abang Azeem boleh pergi tepi.

“Dian tolonglah jangan buat abang macam ni. Tolonglah terima rawatan. Abang Azeem janji, lepas ni abang takkan ganggu hidup Dian lagi.” tutur Azeem sayu kerana penolakan Dian sangat mengguris perasaannya.

“Dian tak perlukan semua tu sebab Dian dah lama redha dengan segala yang Allah beri. Dian reda ummi pergi, dan Dian juga reda Allah ambil semua ni.”

“Dian tak pernah rasa kurang apa-apa, sebab Dia ada dan Dia dah sempurnakan hidup Dian. Dian dah lama maafkan Abang Azeem. Abang Azeem tak perlu tebus apa-apa.” balasnya mula berdeplomasi, sambil berharap keinginan hati dapat dimengerti.

“Tadi abang minta tolong daripada Diankan? Tapi sekarang ni, Dian pula yang nak minta tolong daripada abang. Tolong bagi Dian pilih haluan hidup Dian sendiri. Tolonglah jangan paksa Dian lagi…” tuturnya merayu bila cengkaman di tangan terasa mustahil untuk dilepaskan. Air matanya sudah mula bergenangan kerana dia dah tak tahu mahu buat macam mana lagi.

Azeem segera tersedar. Dia sedar sudah terlalu parah hati itu disakiti sampai Dian sudah jadi begitu berjauh hati. Dia yang telah menghancurkan masa depan Dian dan kerana dia jugalah Dian tak bahagia. Hatinya betul-betul sengsara sebelum akhirnya dia pasrah. Dia tak layak untuk memaksa Dian selepas terlalu banyak onar yang telah dilakukan.

“Abang tolonglah…tolonglah hantar Dian balik, Dian nak balik…” rayunya lagi dalam linangan air mata. Azeem yang mendengarnya kendur hati dan mula memikirkan keperluan untuk menunaikan janji, kerana dia sendiri sudah kurang pasti perkara terbaik yang seharusnya terjadi.

Previous: Bab 60
Next: Bab 62

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.