Home Novel Cinta AKU TAK SALAH
AKU TAK SALAH
Kamsiah Abu
1/1/2014 18:47:29
79,278
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 15

“Apa Am? Kamu nak kahwin? Dengan siapa?” bagaikan peluru machine-gun, Hajjah Salehah bertanya dengan mata yang membulat.

“Iya!..Dengan anak daralah, takkanlah dengan isteri orang pulak…” Airil Amri mengangguk, mengesahkan apa yang telah dikatakan kepada ibunya tadi.

“Hei, angin tak dak, hujan tak dak, ribut tak dak, tiba-tiba sajer kamu cakap kamu nak kahwin. Betul ke apa yang kamu cakap ni, Am? Atau kamu sajer nak acah emak!...” masih tidak yakin dengan anggukkan anak lelakinya, Hajjah Salehah terus menekan.

“Betul... Takkanlah Am nak main-main pasal nikah kahwin ni mak!...” dengan sungguh-sungguh juga Airil Amri cuba meyakinkan ibunya.

“Dengan siapa? Hari tu masa arwah Shamsinar mula-mula meninggal, bukan main lagi kamu frust menonggeng. Cakap tak akan kahwin sampai bila-bila kerana tak akan ada gadis lain yang dapat mengambil tempat Shamsinar di hati kamu. Dan entah macam-macam lagilah kamu mengarut macam orang hilang akal sebab tak sempat nak kahwin dengan arwah tunang kamu tu!.. Ni, tiba-tiba sajer kamu nak kahwin. Emak memang rasa susah nak percaya!...” Hajjah Salehah masih ragu dengan ucapan Airil Amri.

“Iyalah mak… masa tu Am memang tengah kecewa dan bingung. Sebab itu terkeluar cakap-cakap yang macam tu. Tetapi sekarang bila Am dah tenang dan boleh berfikir dengan baik, baru Am terfikir mengapa Am perlu membiarkan diri Am terus menderita dengan menolak nikmat hidup yang ALLAH beri pada Am, sedangkan Am sudah mampu untuk berkahwin. Lagi pun kematian Shamsinar itu sudah takdir ALLAH, jadi Am terpaksa terima juga apa yang terjadi itu …” Airil Amri memberikan hujjahnya.

“Oooohhh!... sekarang dah pandai Am cakap pasal takdir ALLAH… Dulu masa emak nasihat supaya kamu bersabar dan redha dengan apa yang terjadi tu, bukan main lagi kamu menolak kata-kata mak tu…” dengan nada nakal, Hajjah Salehah sengaja menempelak.

“Habis tu, takkanlah emak tak suka kalau Am dah boleh terima nasihat mak tu?” Airil Amri sebaliknya menyoal.

Sempat Airil Amri mengangkat-ngangkatkan keningnya seolah sengaja mahu menduga perasaan emaknya terhadap soalannya.

“Alhamdulillah!... Emak bersyukur kerana Am dah sedar dan dapat menerima segala itu sebagai takdir ALLAH. Tapi apa yang emak agak ragu ialah macam mana Am boleh dapat wanita yang berjaya menggantikan arwah Shamsinar di hati Am begitu cepat…” getus Hajjah Salehah.

Airil Amri hanya menarik nafas panjang sambil melemparkan pandangannya jauh ke luar tingkap rumah mereka, menerjah kegelapan malam yang tidak berbintang. Tiba-tiba terbayang wajah polos Norsyazwani yang lembut dan tenang. Jantung Airil Amri berdenyut kencang seolah sedang menahan gelora yang sering bertandang dalam hatinya kini.

“Di mana kamu jumpa wanita itu, Am? Cantik sangatkah dia sampai kamu boleh terpikat dan melepaskan kenangan kamu pada arwah Shamsinar begitu cepat?” Hajjah Salehah terus merisik apabila melihat Airil Amri terus membisu.

“Ya, mak!... Dia cantik, baik dan bijak. Am tahu ramai lelaki yang meminati dia. Dan sebab itulah Am hendak cepat melamar dia supaya dia tidak terlepas kepada orang lain. Am yakin emak juga akan menyukainya kalau emak bertemu dengan dia…” akhirnya Airil Amri berkata.

Hajjah Salehah hanya mengangguk-ngangguk tanda memahami apa yang dikatakan oleh anak lelakinya itu. Namun kelihatan senyuman sinis di bibirnya bagaikan masih kurang yakin dengan pengakuan Airil Amri itu.

“Kenapa? Emak tak suka ke Am berkahwin?” soal Airil Amri agak curiga dengan reaksi ibunya itu.

“Suka!... Ibu mana yang tak suka kalau anaknya yang sudah mampu mahu berkahwin? Bukankah berkahwin itu disyariatkan dalam Islam?...”

“Habis tu, Am tengok emak macam tak percaya ajer pada apa yang Am cakap…”

“Apa pulak tak cayanya. Cuma emak rasa agak terkejut bila anak emak ni tiba-tiba dah terbuka hati nak berkahwin…”

“Jadi, emak setujulah kalau Am bawa gadis tu balik rumah untuk jumpa emak?” Airil Amri memohon persetujuan ibunya.

“Setuju… kalau perkara yang baik, kenapa pulak emak nak halang. Elok jugalah emak dan Aina dapat kenal-kenal dulu dengan dia, sekurang-kurangnya boleh kita kenal hati budinya. Jadi, bila Am nak bawa dia datang sini?” balas Hajjah Salehah, tiba-tiba bagaikan tidak sabar.

Airil Amri merenung ibunya dengan pandangan yang sayu. Entah kenapa hati Airil Amri tiba-tiba jadi agak sendu apabila melihat ibunya begitu teruja mahu bertemu dengan gadis yang akan menggantikan arwah Shamsinar sebagai bakal menantunya. Hati Airil Amri kembali bergelora menahan resah gelisah yang sering membuat dia rasa pedih dan terluka.

“Kenapa Am? Gadis tu tinggal di mana?” Hajjah Salehah bertanya lagi apabila melihat Airil Amri terus membisu.

“Dia tinggal di kawasan Lembah Klang ni juga. Cumanya Am tak pasti lagi bila boleh bawa dia datang rumah kita kerana dia masih belum beri jawapan pada Am…”

“Jawapan apa?” soal Hajjah Salehah agak keliru.

Airil Amri kembali merenung ibunya seolah memohon simpati.

“Sebenarnya Am sudah melamar dia secara peribadi...”

“Jadi apa jawapan dia?”

“Dia agak berbelah bagi. Mungkin dia juga agak terkejut dengan lamaran Am yang agak mendadak itu…”

“Maksud Am?” berkerut-kerut dahi Hajjah Salehah.

“Mungkin dia masih sangsi dengan kejujuran Am mahu berkahwin dengannya sebab kami baru sahaja berkenalan. Tidak sampai pun seminggu…” jelas Airil Amri, perlahan.

“Hah? Betul ke Am baru sahaja mengenali dia?” soal Hajjah Salehah agak terkejut.

Airil Amri segera mengangguk.

“Habis tu, macam mana Am boleh melamar dia begitu cepat? Am tak kenal lagi hati budi dia, macam mana Am yakin dia boleh membahgiakan Am nanti?”

Hajjah Salehah semakin keliru dengan tindak tanduk anak lelakinya itu. Hatinya yang telah mula seronok kerana Airil Amri telah boleh melupakan bekas tunangannya dahulu dan mahu berkahwin dengan perempuan lain, menjadi kembali gusar apabila Airil Amri mengakui baharu sahaja mengenali wanita itu.

Benar-benarkah Amri mencintai wanita itu atau pun ada sesuatu yang telah berlaku antara mereka sehingga memaksa mereka berkahwin? Ya ALLAH, lindungilah anakku dari perkara yang buruk atau sebarang kejahatan yang boleh mengaibkan keluarga kami… sempat Hajjah Salehah berdo’a di dalam hati.

“Am telah agak lama mengikuti perkembangan dirinya sebaik kawan Am menceritakan hal dia kepada Am. Dan apabila Am bertemu dengannya baru-baru ini, memang betul dia seorang perempuan yang bijak dan cantik. Itu yang membuatkan Am terus terfikir untuk berkahwin dengannya agar dia tidak terlepas kepada lelaki lain…” Airil Amri mengakui.

“Dia tahu ke yang Am dah lama mengikuti perkembangan dirinya? Kalau dia tak tahu, sebab itulah agaknya dia rasa agak pelik bila Am melamar dia sedangkan kamu berdua baru sahaja berkenalan…” Hajjah Salehah pula memberi pendapatnya.

“Memang Am sengaja tak mahu dia tahu yang Am dah mengikuti perkembangan dirinya kerana Am mahu dia benar-benar merasakan bahawa Am memang amat mencintainya pada pandangan pertama. Dengan itu Am harap dia tidak akan menolak lamaran Am…” balas Airil Amri, menjelaskan tindak tanduknya itu.

“Am benar-benar ke cintakan dia?” Hajjah Salehah terus merisik.

Airil Amri menarik nafas panjang seolah sedang memikirkan kata-kata yang sesuai untuk menjawab soalan ibunya itu.

“Kalau tak cinta, macam mana Am nak kahwin dengan dia?”

Akhirnya kedengaran Airil Amri membalas soalan ibunya dengan soalan juga, seolah sengaja memesongkan jawapannya untuk difikirkan sendiri oleh ibunya akan fakta yang dikatakannya itu.

“Alhamdulillah. Kalau Am memang benar-benar ikhlas cintakan dia, mak yakin ALLAH pasti akan bukakan hatinya untuk menerima Am!..” Hajjah Salehah berkata sambil memandang Airil Amri dengan penuh kasih sayang.

“Cubalah pujuk dia untuk datang jumpa emak, InsyaALLAH mak akan yakinkan dia yang Am memang benar-benar ikhlas mahu berkahwin dan hidup bahgia dengan dia…” sambil mengelus lembut lengan anak lelakinya itu, Hajjah Salehah menyuruh selanjutnya.

“InsyaALLAH, mak. Esok Am akan cuba pujuk dia lagi kerana selepas itu emak kenalah pula jumpa dengan keluarganya segera untuk melamarnya secara rasmi. Kalau boleh Am mahu majlis pernikahan kami itu dilaksanakan segera sebelum Am berangkat ke Alexandria hujung bulan hadapan atau pun selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan lagi…” beritahu Airil Amri.

“Oh!... Am kena pergi Alexandria ke? Berapa lama? Kenapa tak beritahu mak pun?” Hajjah Salehah yang agak terkejut dengan berita itu bertanya bertalu-talu.

“Am pun baru dapat surat arahan tu pagi tadi. Syarikat kami baru dapat kontrak projek baru di sana. Am pun tak pasti berapa lama, mungkin setahun atau pun dua tahun bergantung kepada berapa lama projek tu siap. Sebab tulah Am pun tak sempat lagi nak beritahu mak pasal tu…” ujar Airil Amri menjawab pertanyaan ibunya.

“Habis tu, kamu nak bawa dia ikut kamu ke Alexandria ke?”

“Itu sebab Am nak bernikah segera supaya Am boleh bawa dia bersama. Jadi tidaklah Am keseorangan di Negara orang nanti…” Airil Amri menyatakan hasratnya.

“Eeemmm… eloklah tu. Emak sentiasa do’akan kesejahteraan Am dan semoga ALLAH akan mempertemukan jodoh kamu berdua dengan seberapa segera…” ujar Hajjah Salehah pula.

“Terima kasih mak di atas do’a dan restu emak tu!.. Saaaayang mak!..” balas Airil Amri sambil memelok lembut kedua bahu Hajjah Salehah dengan penuh manja dan riang gembira.

“Iyalah tu… nanti bila dah kahwin, entah-entah nak jengok mak pun dah tak sempat. Asyik nak berkepit dengan isteri kamu ajer!...” acah Hajjah Salehah. Sengaja mahu melihat reaksi anak lelakinya itu.

“Mak!... jangan cakap macam tu. Am akan sentiasa ingat pada emak kerana Am nak masuk syurga. Am tak mahu jadi anak derhaka. Am tahu syurga Am di bawah tapak kaki emak bukannya di bawah tapak kaki isteri Am, walau macam mana sekali pun Am mencintai wanita yang jadi isteri Am itu…” balas Airil Amri, lirih. Terus memelok bahu wanita tua itu.

“Alhamdulillah!... Emak tahu Am seorang anak yang baik. Emak sentiasa doakan agar Am juga akan mendapat isteri yang solehah!...” sambil menepuk-nepuk lembut lengan Airil Amri, Hajjah Salehah meredhai anak lelakinya itu dengan penuh kasih sayang.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.