Perlahan-lahan
Badrul memulas tombol pintu utama rumah banglow mewah itu. Suasana sepi di
ruang tamu yang luas menjadikan rumah itu bagaikan tiada penghuni.
“Assalamualaikum!..”
Badrul memberi salam sebaik melangkah masuk ke dalam rumah.
“Waalaikumussalam.
Awal kamu balik hari ni, Bad…” Datin Seri Baizurah menjawab salam sambil menegur
apabila terpandang anak lelakinya itu.
“Bad
pergi tengok pameran hartanah tu, jadi letih pula rasanya. Tu yang Bad balik
awal tu..” balas Badrul sambil membuka stokinnya sebelum menyuakan tangan untuk
menyalami dan mencium tangan ibunya.
“Macam
mana sambutan pameran tu? Banyak laku tak?”
“Pameran
biasalah. Pengunjung memang ramai, penuh dewan sana sini. Tetapi yang betul-betul
nak membeli, belum pasti lagi berapa jumlahnya…” jawab Badrul sambil melabuhkan
punggungnya di sofa di sebelah ibunya.
“Kenapa
pulak macam tu?” soal Datin Seri Baizurah seolah tidak puas hati.
“Iyalah
ma!.. Beli hartanah ni bukannya macam beli goreng pisang harga seringgit dua
ringgit. Ramai orang yang berkenan dengan hartanah kita tu, tapi kewangan
mereka pula tak mencukupi. Jadi, ramai yang masih perlu berfikir-fikir sebelum
buat keputusan…” ujar Badrul yang sudah bersandar di sofa sambil melunjurkan
kakinya yang panjang itu seolah mahu melepaskan lelahnya.
“Mungkin
syarikat kita letak harga tinggi sangat kot!..” komen Datin Seri Baizurah.
“Mana
tingginya, ma?. Banding dengan syarikat lain, hartanah kita adalah yang agak
termurah antara yang banyak-banyak tu. Dah semuanya mahal sekarang. Tanah dan
bahan binaan semuanya mahal, macam mana kita nak kurangkan harga kalau harga
kos pun tak lepas!..” Badrul bagaikan merungut.
“Entahlah,
Bad… Mama pun tak tahu nak kata apa. Pandai-pandailah Bad uruskan syarikat tu.
Jangan sampai muflis, sudah. Ingat pesanan arwah Tok Wan dulu. Jangan aniaya
orang kerana do’a orang yang teraniaya tu dimakbulkan Allah. Jadi, berniagalah
dengan jujur dan jangan tipu pembeli. Kebajikan pekerja juga perlu dijaga
kerana pekerja yang dedikasi adalah asset penting bagi sesebuah organisasi…”
Bagaikan
penceramah motivasi, Datin Seri Baizurah menasihati Badrul. Memang begitulah
selalunya wanita separuh abad itu mengikuti perkembangan syarikat milik
keluarganya semenjak ayah mertuanya meninggal dunia beberapa tahun lalu dan apabila
suaminya Dato’ Seri Hamidun pula jadi lumpuh separuh badan kerana terlibat
dalam kemalangan kira-kira enam bulan yang lalu.
“InsyaALLAH,
ma. Bad sentiasa ingat pesan arwah Tok Wan. Dan sebab itulah Bad turun juga ke
dewan pameran tadi untuk melihat sendiri bagaimana pegawai-pegawai kita
melaksanakan tugas-tugas mereka. Oh ya!.. ayah di mana ma? Tak nampak pun dia…”
Badrul
memandang sekeliling rumah banglow mewah itu mencari kelibat ayahnya. Selalunya
waktu-waktu petang begitu, Dato’ Seri Hamidun suka melakukan senaman ringan di
halaman rumah walaupun dari atas kerusi rodanya. Tetapi petang itu Badrul tidak
pun melihat kelibat ayahnya ketika dia masuk ke rumah tadi.
“Ayah
kamu ada di bilik bacaan. Tadi lepas Zohor dia buat physioterapi, jadi tak
sempat nak baca Al-Quran. Ni lepas Solat Asar dia masuk baca Al-Quran lah tu…”
ujar Datin Seri Baizurah, sambil memuncungkan bibirnya ke arah bilik yang
dimaksudkan.
“Oh!...
Bad pun belum Solat Asar lagi. Kalau begitu, Bad naik dulu, ma…” spontan Badrul
bangun dan bergegas mahu naik ke biliknya kerana baru tersedar yang dia masih
belum melaksanakan tanggung jawab yang wajib itu.
“Eeemmm…
baiklah. Lepas solat nanti cepat turun ya. Kita minum petang sama-sama dengan
ayah. Mama ada suruh Mek Wah buat cucur jagung kegemaran Bad tu…” Datin Seri
Baizurah sempat memberitahu.
“Okey,
ma!..” balas Badrul sambil melangkah laju menaikki anak tangga untuk
kebiliknya.
Selesai
mengerjakan Solat Asar, Badrul segera turun ke bilik bacaan untuk mengajak ayahnya
minum petang bersama-sama sebagaimana yang dipesan oleh mamanya tadi.
“Macam
mana ayah hari ni? Ada improvement
tak pada kaki ayah tu?”
Badrul
bertanya Dato’ Seri Hamidun ketika menolak kerusi roda ayahnya itu ke ruang
anjung rumah banglow mewah itu. Mereka anak beranak memang lebih suka minum
petang di ruang anjung dari di dalam rumah, menikmati udara nyaman yang
sepoi-sepoi bahasa itu.
“Alhamdulillah.
Yang belah kanan ni dah boleh digerakkan sikit-sikit. Tetapi masih tak boleh
nak angkat sendiri lagi…” ujar Dato’ Seri Hamidun.
“Eeemmm…
tak mengapalah, yah. Pelan-pelanlah ayah exercise
tiap-tiap hari. Insya-ALLAH satu hari nanti pasti ayah akan pulih dan boleh
berjalan kembali seperti dulu. Bad sentiasa do’akan agar ayah cepat sembuh…”
sambil mengusap lengan ayahnya, Badrul memujuk.
“InsyaALLAH.
Hah!... macam mana orang yang ayah suruh cari tu? Dah jumpa?...” dengan nada
teruja, Dato’ Seri Hamidun bertanya.
Badrul
hanya menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya perlahan-lahan.
“Masih
tak dapat ke, Bad?” Datin Seri Baizurah pula menyampuk apabila melihat Badrul
bagaikan mengeluh.
Perlahan-lahan
Badrul menggeleng. Riak terkilan jelas terbayang di wajahnya.
“Sampai
bila kita nak dapat jumpa dia, ya bang? Arwah ayah pun dah nak masuk tiga tahun
meninggalkan kita tapi kita masih tak jumpa-jumpa lagi orang tu. Apa yang harus
kita buat lagi sekarang ni ya?...” getus Datin Seri Baizurah agak kecewa.
“Macam
mana dengan orang suruhan kita tu Bad?” soal Dato’ Seri Hamidun, sambil
mendongak memandang satu-satunya anak lelakinya.
“Dia
masih berusaha, yah!.. Dia kata susah betul nak cari kerana semua keluarga tu
sudah tidak lagi tinggal di kampung tu. Ada jirannya yang dekat tu pun tak tahu
di mana keluarga tu tinggal sekarang kerana sejak tujuh tahun dulu, apabila
bapanya mulai sakit-sakit, anak-anaknya bawa mereka suami isteri tinggal dengan
mereka. Tetapi entah di mana kerana mereka pun tidak memberi tahu jiran-jiran
mereka…” perlahan sahaja suara Badrul memberitahu.
“Mungkin
anak perempuannya yang dikatakan oleh Arwah Tok Wan kamu tu dah lepas sekolah
sekarang ni. Entah-entah dah lepas universiti agaknya…” dengan nada lirih,
Dato’ Seri Hamidun mengagak.
“Iyalah
tu agaknya, bang. Kalau tidak takkanlah arwah ayah sampai berwasiat begitu semasa
dia sakit-sakit empat tahun lepas…” sampuk Datin Seri Baizurah pula.
“Tapi
ma…”
“Tapi
apa Bad?”
“Kenapa
Tok Wan buat wasiat macam tu? Sampai bila Bad kena tunggu macam ni?...”
kedengaran suara Badrul lirih seolah merintih.
“Kenapa
merungut ni, Bad?.. Bad tak kesihan pada ayah dan mama ke?..” dengan nada lirih
juga Datin Seri Baizurah mengusap lembut bahu anak lelakinya itu.
“Kenapa
Bad yang terpaksa menanggung semua bebanan itu? Sedangkan kisah itu adalah
antara Tok Wan dengan datuk gadis itu!.. Mama tahu tak macam mana perasaan Bad
sekarang?”
Walaupun
perlahan, namun riak kecewa dan sedih amat jelas kedengaran dalam suara Badrul.
Itu bukanlah pertama kali dia meluahkan perasaan tidak puas hatinya itu, malah
telah acap kali sejak datuknya meninggal dunia dahulu. Tetapi tiada apa yang
dapat ayah dan mamanya lakukan selain cuba memujuk dan mententeramkan hatinya.
“Sabarlah
Bad… Kita usahakanlah lagi. Mama yakin, InsyaALLAH kita pasti akan dapat jumpa
keluarga tu juga satu hari nanti...” Datin Seri Baizurah terus memujuk Badrul.
Sementara
Dato’ Seri Hamidun hanya mampu menelan liurnya. Turut simpati dengan anak
lelakinya itu.
“Tapi,
macam mana Bad nak terima cucu perempuan dia tu, sedangkan Bad tak pernah jumpa
dia lagi? Lagi pun…” Badrul bagaikan terputus kata-kata.
“Lagi
pun apa, Bad?” Dato’ Seri Hamidun pula menyoal.
“Lagi
pun… Bad… Bad… hati Bad sudah dicuri oleh perempuan lain…”
Dengan
agak tergagap-gagap akhirnya Badrul mengakui. Dia sudah tidak sanggup lagi
menyimpan perasaan yang dipendamnya selama ini. Perasaan yang amat menyiksakan
naluri dan jiwa raganya.
“Maksud
Bad?...” Datin Seri Baizurah membeliakkan biji matanya.
“Bad
sudah jatuh hati pada seorang gadis yang Bad rasa akan dapat membahgiakan Bad
sehingga akhir hayat. Bad nak kahwin dengan gadis itu!…” tanpa mahu lagi
berselindung, Badrul berterus terang.
Terbayang
di tubir mata Badrul wajah polos Norsyazwani yang ayu sedang tersenyum mesra,
penuh kemanjaan, yang sentiasa mendebarkan hati dan nalurinya.
“Badrul!!!...”
Datin Seri Baizurah bagaikan terjerit.
Dato’
Seri Hamidun yang turut terkejut dengan pengakuan Badrul itu segera mendongak. Memandang
tepat ke arah anak lelakinya itu. Namun mulutnya sendiri bagaikan terkunci
kerana tidak tahu apa yang harus dikatakannya apabila terpandang anak mata Badrul
yang jelas membayangkan rasa sendu dan kecewa.
Sebagai
seorang lelaki, Dato’ Seri Hamidun dapat memahami segala gelodak rasa yang
sedang dialami oleh Badrul. Namun dia sendiri tidak mampu berbuat apa-apa
apabila wasiat arwah bapanya itu bagai memenjarakan mereka anak beranak dalam
situasi diluah mati emak ditelan mati bapa. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dia
sendiri memerlukan perbelanjaan perubatan yang tinggi ketika ini.
“Tapi
ma… sampai bila Bad terpaksa menahan perasaan Bad begini? Umur Bad dah semakin
meningkat dan bukannya muda lagi. Ramai kawan-kawan yang sebaya dengan Bad dah
berumah tangga. Tapi Bad masih terumbang ambing keseorangan, menahan perasaan
sendiri hanya kerana kita perlu memenuhi wasiat arwah Tok Wan!..” agak tegang
nada suara Badrul.
Datin
Seri Baizurah merenung wajah Badrul yang agak mencuka itu dengan pandangan yang
sayu. Hatinya agak tersentuh. Hakikatnya Datin Seri Baizurah sendiri merasa
amat belas dengan keadaan satu-satunya anak lelakinya itu.
Oh,
Ya ALLAH… zalimkah aku kerana mementingkan diri sendiri sehingga menyiksa batin
anakku ini? Tapi… aku lakukan semua ini adalah untuk kebaikkannya juga!..
Tolonglah kami, Ya ALLAH. Berilah kami jalan penyelesaian kepada perkara yang
sedang membelenggu kami ini… Dengan hati yang rawan, Datin Seri Baizurah sempat
berdoa dalam hati sebelum menarik nafas dalam-dalam. Seolah mencari lebih
oksigen untuk membolehkan dia terus bernafas.
“Tapi
Bad… Apa yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil usaha arwah Tok Wan. Kalau
kita tidak ada semua ini, adakah Bad fikir gadis yang Bad cinta itu mahu pada
Bad?...” akhirnya Datin Seri Baizurah berkata seolah sengaja mahu mengingatkan
Badrul.
“Iya
Bad… dalam keadaan ayah begini, kita tak mampu berbuat apa-apa, selagi semua
ini belum sah jadi milik kita. Surat wasiat Tok Wan itu adalah sah di sisi
undang-undang!…” Dato’ Seri Hamidun terhenti seketika seolah melepas lelah.
“Lagi
pun ayah dan mama dah berjanji depan Tok Wan dulu untuk memenuhi segala apa
yang diwasiatkan itu. Jadi kami tak mahu segala apa yang kita ada nanti tidak
diredhai ALLAH sekiranya kami mungkir janji. Kalau Bad dah tak sanggup lagi
meneruskan usaha mencari keluarga itu, sanggupkah Bad melihat ayah dan mama
kehilangan segalanya?…” dengan nada yang lirih dan sendu, Dato’ Seri Hamidun
berkata selanjutnya.
“Tapi
yah… bukankah kita ada 20% saham dalam Teguh Sejati Holding?”
“Betul…”
“Jadi
apa yang ayah dan mama khuatirkan?...”
“Bad,
20% tak banyak mana pun. Kalaulah kita tak dapat menunaikan wasiat Tok Wan tu,
maka kita akan kehilangan yang lagi 80%. Jadi kita tidak punya apa-apa kuasa
lagi dalam Teguh Sejati Holding tu…” Datin Seri Baizurah segera berkata.
“Bad
kan ada sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan Pengarah Operasi. Jadi kita masih
boleh melaksanakan kuasa kita di situ. Lagi pun ayah dan mama kan masih lagi
Pengerusi dan Lembaga Pengarah Eksekutif di syarikat tu. Jadi kita masih punya
hak di Teguh Sejati Holding!..” ujar Badrul pula seolah tidak berputus asa.
“Iyalah, sekarang ni ayah dan mama masih
memegang kuasa berdasarkan kita masih tidak melanggar sebarang syarat dalam
wasiat itu. Tetapi kalau Bad berkahwin dengan perempuan lain selain gadis yang
Tok Wan wasiatkan tu, kita telah melanggar syarat. Dan dengan secara langsung
kita akan kehilangan semua hak yang ada sekarang. Tak kan Bad tak faham apa
yang diingatkan oleh peguam tu dulu!..”
walaupun dengan suara yang agak termengah-mengah, Dato’ Seri Hamidun
mengingatkan bagaikan memberi amaran.
“Huh!..”akhirnya kedengaran Badrul mengeluh
dengan penuh kekecewaan. Matanya terus memandang jauh ke taman mini di hadapan
rumah banglow mewah itu dengan pandangan yang sendu dan pilu. Jiwa dan naluri
Badrul semakin terseksa. Namun demi kasih sayangnya terhadap ayah dan mamanya,
sekali lagi Badrul terpaksa mengorbankan hasrat yang membuak-buak itu