Home Novel Cinta Salwa Maisara
Salwa Maisara
Putri Iman Nasuha
29/5/2014 23:45:35
118,961
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Bab 11

Telefonnya berbunyi lantang menyakitkan pendengarannya. Dia masih ingin tidur. Dia sudah setkan masa hendak bangun pagi ini iaitu jam 8.30 pagi. Dia sudah berjanji dengan Sulaiman semalam.

“His, siapa pula yang telefon pagi-pagi buta ini!” dia sempat memandang jam di telefonnya, baru pukul 6.30 pagi.

“Papa?” soalnya masih bercakap sendirian. Matanya terpaku di telefon pintarnya. Tidurnya yang selesa terganggu sedikit walaupun matanya letih semalam mengingati isteri yang baru dinikahinya semalam.

“Apa lagi papa mahu pagi-pagi buta ni! Orang sudah lah penat, dia nak ganggu pula! His, mengganggu lah pula!” katanya masih membebel memandang telefonnya yang menjerit sejak tadi minta diangkat.

“Aduhai! Kalau dia tanya pasal isteri yang aku dah tak tahu pegi mana semalam tu macam mana ye?” soalnya mahu mencipta alasan.

“Ah, cakap sajalah dia ada di sini! Bukannya papa nampak pun!” katanya sendirian lagi. Dia malas mahu fikir. Dia cepat-cepat bingkas bangun dari katil empuknya itu. Dia mencuci mukanya. Dia masih geram dengan sikap papanya yang mahu jadi spy pada pagi ini. Semakin geram dia.

“Helo asalamualaikum papa,” sapanya setelah dia memicit nombor papanya.

“Walaikumsalam, bagaimana dengan pengantin baru? Isteri ok tak?” soal papa. Sudah disangkanya, papa akan bertanyakan tentang menantunya.

“Oh isteri? Err... ok lah papa,” jawabnya agak sedikit gagap.

“Jadi, bagaimana dengan kes pencerobohan pejabat tu Budriz, papa bimbang sejak semalam. Tapi yang papa sangsi, kenapa awal sangat Budriz bawa isteri Budriz balik ke KK, kenapa tak pergi sendiri dulu then baru jemput isteri? Kankah lama lagi cuti tu?” soal Datuk Badaruddin dengan panjang lebar. Lagi mengenai menantunya. Apa lagi yang dia mahu jawab?

“Err... papa, kes pencerobohan itu kes berat papa. Jadi saya kena bawa isteri saya, takut pula ada hal yang berkaitan dan menyebabkan saya tak boleh nak balik ke KL semula. Itu yang saya bimbang. Lagipun minggu depan ni saya sangat sibuk papa. Jadi persiapan awal harus dibuat di sini,” kata Syed Budriz. Bolehkah papanya terima alasannya? Papa menarik nafas payah.

“Agak sukar. Kasihan pula kat Salwa. Baru bersanding dah terpaksa tinggalkan keluarga,” kata papanya yang berasa kasihan kepada menantunya.

Eh, papa ni. Boleh pula kasihan dengan menantu dia. Dengan anaknya tidak pula dia kasihan dan simpati! Apa ni?

“Apa boleh buat papa, saya memang tak sengaja,” kata Syed Budriz.

“Apa kata esok Budriz bawa Salwa balik KL semula. Nak jumpa saudara mara dia dan saudara mara kita lagi. Macam tak lengkap pula sebuah perkahwinan,” kata papanya mencadangkan sesuatu yang dirasanya bagaikan sebuah bom jangka. Dia picit kepala. Di mana dia hendak mencari gadis itu? mahukah dia mengikutnya balik semula ke Kuala Lumpur? Aduh, pening dia!

Dia tahu papanya seorang lelaki yang sangat prihatin kepada keluarganya sendiri. Sama juga dengan mamanya. Mereka dua orang wanita yang sangat baik. Tetapi akalnya belum sampai ke situ. Entah di mana dia mahu mencari isterinya saat ini. Silap dia juga. Membiarkan isterinya balik sendiri ke rumah sewanya semalam. Hendak menyesal pun tak guna!

“Tak sempat papa, saya dah sibuk pada hari Isnin. Tak tahu kalau isteri saya dah kerja hari Isnin tu,” katanya memberi alasan.

“Itu Budriz boleh tangguhkan. Syarikat tu Budriz yang uruskan selama ini,” kata papanya. Dia buntangkan mata. Apa lagi yang dia boleh cakap?

“Tapi Salwa dah nak kerja papa,” katanya pula. Percayakah papanya? Mustahil orang menikah tak ada cuti?

“Tak apalah kalau macam tu, nanti hujung bulan ni lah papa dan mama pergi ke KK. Dah lama juga papa tak ke sana!” bagaikan bom gugur di kepalanya. Aduh!

“Ya mana-mana papalah! Kirim salam mama ya papa,” katanya kepada Datuk Badaruddin.

“Jaga isteri elok-elok Budriz. Salwa tu bukan orang lain dengan kita, dia tu anak kawan papa.” Kata Datuk Badaruddin.

“Ya papa, saya akan jaga isteri saya, asalamualaikum papa!” dia berjanji tetapi isterinya entah di mana.

Dia meletakkan telefonnya tetapi mengangkatnya semula. Dia duduk di atas katilnya. Dia terkenangkan isterinya. Dia belek-belek telefonnya. Semalam juru gambar yang diupah keluarganya ada menghantar gambar-gambar perkahwinannya ke telefonnya. Sebenarnya dia tidak mahu tetapi terpaksa menerimanya. Ada lebih seratus keping semuanya. Gambar sepanjang pernikahan dan persandingannya.

Dia terlihat wajah isterinya yang agak ceria walaupun dia seperti menyembunyikan kesedihan. Agak muram juga wajah itu. Dia pandang wajahnya sendiri ketika dia hendak mengucup dahi isterinya. Lama sungguh dia berdiam diri di situ. Dia tidak mahu sebenarnya tetapi dia terpaksa melakukannya. Ini kerana dia dipaksa oleh mama dan mak mertuanya. Dan sesiapa yang ada di situ.

Kebanyakan gambar agak masam dan tidak tersenyum. Hanya beberapa keping sahaja dia tersenyum nipis. Itu pun kerana dia dipaksa tersenyum. Benci sungguh dia dengan perkahwinan yang dirancang keluarga. Dia seperti kerbau dicucuk hidung, asyik mengikut kata keluarganya. Dulu, dia tidak mahu balik ke Malaysia. Ayahnya paksa juga dia balik dan duduk di Sabah. Memanglah dia terkena kejutan budaya. Sakit sungguh jiwanya pada permulaan tinggal di Sabah. Syarikat hanya diuruskan oleh Sulaiman, sepupunya. Jika tanpa bantuan sepupunya memang dia sakit. Sebab, dia tidak biasa dengan suasana agak sunyi seperti Kota Kinabalu. Dia mahu di Kuala Lumpur. Tetapi ayahnya tidak mahu dia berada di Kuala Lumpur. Setiap minggu pula dia balik ke Kuala Lumpur. Namun sekarang dia sudah berasa ok. Hanya dua minggu sekali baru dia balik ke Kuala Lumpur menjenguk mama dan papanya.

Apa yang terbayang di wajahnya ialah wajah kekasihnya. Entah di mana pula Natalie Juliana sekarang. Gadis kacukan Kadazan dan Inggeris itu memang didambakannya sejak dulu. Entah kenapa dia memang meminati gadis yang pernah menjadi ratu unduk ngadau itu. Namun, apa yang paling dibencinya ialah bantahan ibu bapanya yang tidak mahu dia memilih gadis cantik itu. Entah di manakah silapnya!

Argh! Dia geram dan masih geram!

***

Perutnya berkeroncong tiba-tiba. Semalam, tengah malam, dia sudah singgah makan dengan Sulaiman. Untungnya dia dapat tinggal di Kota Kinabalu, banyak restoran seafood yang menjadi kegemarannya. Dia puas hati dengan situasi di sini.

“Lapar pula!” katanya. Dia melihat bil bilik di atas mejanya. Penginapan beserta dengan sarapan. Dia terus berpakaian lengkap. Dia mengambil bajunya yang berampaian di atas katil. Dia memang tidak membawa pakaian lebih. Kalau nak lebih dia terpaksa balik ke rumah mengambil pakaiannya. Dia mahu terus sarapan dan selepas itu dia akan bertemu dengan Sulaiman seperti janjinya semalam.

Dia terus turun menuju ke cafe. Dia mahu menikmati makan pagi dengan senyuman walaupun kepalanya masih berserabut dengan pelbagai masalah. Tambahan pula dengan cadangan papanya. Hujung bulan? Ya hujung bulan papanya akan turun ke sini. Silap hari bulan dengan ibu bapa mertuanya. Ada dua minggu lagi sebelum hujung bulan! Katanya memandang kalender di telefon bimbitnya.

Argh! Dia benar-benar tidak suka dengan isteri dan ibu bapa mertuanya! Dia tidak suka! Dia benci! Dia benci sungguh! Membayangkan senyuman manis isterinya pun dia seperti terasa hempedu melintasi lehernya. Isterinya itu bukan tidak cantik, cantik dan manis. Tetapi entah kenapa dia terbayangkan Natallie Juliana pula dalam senyuman itu. Apakah sebab dia memang sudah jatuh cinta kepada Natallie Juliana menyebabkan dia sangat benci kepada isterinya pula.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha