Home Novel Cinta USAH MENANGIS SAYANG
USAH MENANGIS SAYANG
Aini Marisha Marisha
25/2/2014 23:21:14
40,078
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Hari ini adalah hari dimana Tini akan berangkat ke Kuala Lumpur. Tini, emak dan Nazrin pagi-pagi lagi telah bertolak dari rumah dengan menaiki teksi ke stesen bas Kuala Kangsar. Tini meletakkan begnya di sebelah kerusi yang mereka duduki. Masih tidak ramai orang yang berada di stesen bas itu. Kedai-kedai yang berada di kiri kanan stesen bas itu juga masih belum banyak dibuka. Suasana agak sunyi seolah-olah memahami bahawa satu perpisahan akan berlaku sebentar nanti. Kaunter-kaunter tiket juga masih kosong dan pekerja-pekerja kaunter pula kelihatan sedang sibuk untuk memulakan tugas mereka pada pagi itu.

Tepat pukul 8.00 pagi, bas yang akan dinaiki oleh Tini tiba dan parkir tidak jauh daripada tempat duduk mereka. Dada Tini berdebar-debar. Hatinya berasa sebak.

“Pandai-pandai jaga diri,” pesan Rohana kepada Kartini. Tangannya menggenggam erat kedua-dua tangan Kartini.

Matanya berair namun cepat-cepat dikesatnya sebelum air mata itu gugur. Kemudian Rohana mengeluarkan wang sebanyak dua ratus ringgit daripada beg tangannya lalu diserahkan kepada Kartini.

“Tak payahlah mak. Duit simpanan Tini masa kerja kat kedai buku tu pun ada lagi,”

“Ambiklah. Duit ni memang mak simpan untuk Tini sambung belajar,” desak Rohana lagi. Tangan Tini digenggam erat seolah-olah begitu berat untuk dilepaskan. Tini semakin sebak. Kemudian air mata yang ditahan sejak tadi pecah juga.

“Mak….halalkanlah makan minum Tini ya mak. Mak sentiasalah doakan Tini agar Tini berjaya di sana,” ujar Kartini dalam esak tangis yang semakin kuat.

“Sudahlah tu, malu kat orang. Dah besar pun nak menangis lagi,”

Rohana memalingkan wajahnya. Cuba menyembunyikan kesedihan hatinya sendiri. Sesungguhnya seumur hidupnya, ini adalah perpisahan pertama antara dia dengan Kartini. Apabila saat-saat berpisah semakin hampir, semakin sebak hatinya.

“Mak…Tini ikut mak balik lah mak. Tini tak nak pergilah mak…,” rayu Kartini. Entah kenapa dia begitu berat pula untuk terus berada jauh dari keluarganya sedangkan malam tadi dia juga yang beria-ia hendak mendaftarkan diri di universiti sehingga tidak habis-habis dia bercerita dengan emaknya tentang impiannya. Tetapi pagi ini, apabila dia terpaksa meninggalkan rumahnya, hatinya tiba-tiba diserang perasaan sayu dan sedih.

”Jangan jadi bodoh. Ini impian mak. Mak memang nak sangat tengok Tini masuk universiti. Mak nak Tini belajar bersungguh-sungguh. Jangan ingat perkara lain. Bila cuti Tini boleh balik kampung jenguk mak,” marah Rohana.

“Bas ke Kuala Lumpur!! Bas ke Kuala Lumpur!!” jeritan pemandu bas di stesen bas Kuala Kangsar menyentakkan Kartini. Dia melihat jam di tangan. Telah pukul 8.00 pagi, maknanya dia perlu naik ke atas bas kerana bas akan bertolak sedikit masa lagi. Air mata Kartini semakin lebat mengalir. Nazrin yang berada di sisi dipeluknya erat.

“Jaga mak ya dik,” pesan Kartini dan adiknya itu hanya mengangguk.

“Maafkan mak sebab tak dapat hantar Tini sampai ke sana. Tini pun fahamkan keadaan kita. Lagipun kalau mak pergi, kat mana pulak mak nak tidur. Kita bukan ada saudara mara kat sana. Duit pun tak cukup kalau nak sewa hotel,”

Kartini mengangguk. Dia cukup faham dengan situasi kewangan mereka.

“Bila tiba sana, cari Isma. Hanya dia sahaja kawan baik Tini,” pesan Rohana lagi.

Kartini terus memeluk emaknya kemudian mencium kedua dua belah pipi emaknya. Lama mereka berpelukan sehinggalah Rohana menolak tubuh Kartini jauh dari dirinya.

“Naiklah bas Tini,” suruh Rohana. Dia tahu Kartini berat hendak meninggalkannya dan Nazrin namun demi masa depan yang lebih baik, banyak yang terpaksa dikorbankan.

Di dalam bas, air mata Tini masih mengalir. Lambaian tangan emak dan Nazrin semakin lama semakin hilang dan kini bas mula bergerak di jalan besar. Kartini menyandarkan tubuhnya di kerusi. Matanya dipejamkan rapat. Beg tangannya dipeluk kemas, takut sekiranya dicuri kerana hanya itulah sahaja wang yang ada untuknya sebagai belanja hidup di Kuala Lumpur nanti. Di sebelahnya duduk seorang wanita Melayu berumur dalam lingkungan 40-an yang berpakaian baju kurung moden berwarna hijau lumut. Melihatkan wajahnya yang agak masam, Tini mengambil sikap mendiamkan diri dan terus melelapkan matanya di sepanjang perjalanan.

Fikiran Tini segera teringatkan Isma. Isma sejak dari semalam lagi telah bertolak ke Kuala Lumpur menaiki kereta baru Syed Faizul, abangnya yang kedua. Isma ada mengajak Tini bersama tetapi Tini menolak. Isma kata dia akan bermalam di rumah yang baru dibeli oleh Faizul di Kuala Lumpur. Sebenarnya jelingan mata makcik Sharifah juga membuatkan Tini tidak berani untuk lebih-lebih berbual dengan Isma pada petang semalam.

Tini sedar yang emak Isma kurang menyenangi dia berkawan baik dengan Isma. Perkara ini semakin ketara sejak Isma dan Tini belajar di sekolah menengah. Tini sendiri tidak dapat memastikan kenapa makcik Sharifah bersikap begitu terhadapnya. Agakannya mungkin kerana sejak di sekolah menengah, kepandaian Tini di sekolah lebih ketara daripada Isma dan Tini sering sahaja mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun di sekolah mereka. Tini juga aktif bersukan dan pernah beberapa kali dianugerahkan sebagai olahragawati terbaik bagi sekolah mereka.

Keadaan ini berbeza semasa mereka berada di sekolah rendah. Waktu itu, Isma lebih cemerlang. Kecantikannya dan kepetahannya bercakap menyebabkan guru-guru gemar mengambil Isma menyertai pertandingan tarian dan drama di sekolah. Dan kejayaan itu menyebabkan makcik Sharifah sering menjaja dan mewarwarkan cerita tentang Isma di seluruh kampong. Dan kini apabila nama Tini pula yang naik sebagai pelajar terbaik di sekolah, makcik Sharifah kelihatan tidak berpuas hati.

Tetapi Tini bukannya seorang yang gemar bermusuh dengan orang. Dia tetap berkawan baik dengan Isma cuma dia jarang pergi ke rumah Isma. Hanya Isma yang rajin ke rumahnya. Jika mereka ingin berbual panjang, selalunya mereka akan mandi dan berehat di air terjun di kampung mereka.

“Aku rasa mak kau tak suka aku,” luah Tini suatu hari. Waktu itu mereka masih di Tingkatan Tiga. Isma memandangnya seketika kemudian tersenyum.

“Lantaklah. Biarlah dia tak suka kau pun. Yang penting aku suka,” jawab Isma sambil kakinya bermain-main dengan air sungai yang sejuk.

“Kenapa ya?” Tanya Tini lagi.

Isma menjungkitkan bahunya. Walaupun Kartini memandangnya untuk mendapatkan jawapannya, namun sehingga mereka pulang ke rumah, Isma masih mendiamkan diri. Dan sejak itu Tini tidak bertanya lagi kerana dia sedar dia tidak akan mendapat jawapannya dari mulut Isma.

Sejak itu Kartini nekad. Biarlah makcik Sharifah tidak sukakannya, tetapi janganlah sehingga dia terpaksa mengorbankan persahabatannya dengan Isma. Dia tidak sanggup sekiranya itu terjadi kerana sejak dari darjah satu lagi, hanya Isma lah kawannya yang paling rapat. Sesungguhnya mereka serasi bersama. Kartini juga tahu Isma juga begitu, sanggup berkorban dan mempertahankannya. Kartini tahu Isma bersikap degil dan tidak memperdulikan kata-kata makcik Sharifah yang sering menghalang Isma daripada bertemu dengan Kartini. Makcik Sharifah juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia terlalu menyayangi Isma dan dia tidak mahu Isma marahkannya, dan kerana itu jugalah perhubungan mereka masih kekal sehingga ke hari ini.

Tini terkejut. Bas yang membrek mengejut menyedarkannnya dari lena. Makcik di sebelahnya terpinga-pinga, juga terkejut dengan apa yang berlaku. Tini menjengukkan wajahnya ke luar tingkap. Melihatkan bangunan-bangunan tinggi yang begitu padat di kiri kanan jalan, Tini tahu dia sudah pun tiba di bandaraya Kuala Lumpur, ibu negeri Malaysia yang tercinta. Tini membetulkan duduknya. Dia memanjangkan lehernya ke hadapan, cuba mengambil tahu apa yang telah berlaku sebentar tadi. Keadaan penumpang agak riuh rendah di dalam bas. Ada yang berdiri dan ada juga yang terngintai-ngintai ke hadapan. Ada pula yang terlebih aktif sehingga bangun dan berjalan ke bahagian hadapan bas untuk mendapatkan berita yang lebih terkini.

“Ada accident kat depan,”

Tini mendengar suara pemandu bas memberitahu. Tini menjadi cemas. Barisan kenderaan agak panjang dan kesesakan jalan ini pasti akan menyebabkan Tini lewat untuk mendaftarkan diri di kolej. Tini bersandar semula di kerusi. Dia berdoa agar pihak polis akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalanraya ini dengan secepat mungkin agar dia dapat segera tiba di kolej. Dia tidak mahu berhadapan dengan sebarang masalah pada hari ini kerana hari ini adalah hari yang paling bermakna buat dirinya.

“Hisshhh! Bila orang nak cepat, macam-macam hal pulak berlaku,” Tini tergamam seketika apabila mendengar makcik di sebelahnya merungut. Tini menoleh sekilas tetapi makcik tersebut pula sedang asyik melihat-lihat ke hadapan. Mungkin mengharapkan agar kesesakan itu akan cepat reda.

Tini mengucap syukur apabila bas yang tadinya statik mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan kemalangan. Tini menggeleng kepala apabila dari tingkap bas dia dapat memerhatikan dua buah kereta remuk di bahagian hadapan dan belakang. Tini semakin memanjangkan batang lehernya apabila melihat sekujur tubuh yang telah ditutupi dengan plastik berwarna hitam terbaring di atas jalanraya.

“Innalillah…..,” Tini mengucap perlahan.

Tini bersandar semula di kerusi. Dia melihat jam di pergelangan tangannya. Telah menunjukkan pukul 12.00 tengahari. Dia yakin dia akan sempat sampai pada waktunya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha