Home Novel Cinta USAH MENANGIS SAYANG
USAH MENANGIS SAYANG
Aini Marisha Marisha
25/2/2014 23:21:14
40,251
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Kartini bersandar di kepala katil. Adik dan emaknya telah lama lena, maklumlah waktu telah menunjukkan pukul 11.30 malam. Beg besar di tepi dinding rumah direnungnya dengan senyuman.

Esok dia akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk mendaftar di Universiti Malaya. Isma juga akan bersama-sama keluarganya mendaftarkan diri di universiti yang sama. Kartini benar-benar gembira. Hasrat mereka untuk sentiasa bersama akan termakbul.

Isma dan Tini sememangnya kawan yang sangat rapat dan mereka telah belajar di sekolah yang sama sejak di darjah satu lagi di Sekolah Kebangsaan Padang Rengas. Keserasian wujud diantara mereka sejak mula lagi sehinggalah kini. Dan esok mereka akan meneruskan tradisi itu dengan menyambung pelajaran di universiti yang sama juga dalam jurusan yang sama. Memang ini adalah impian mereka bersama dan sering mereka bualkan apabila berada di air terjun

“Eh Tini, nanti kalau kita dah ada pengalaman jadi peguam, lepas empat lima tahun, kita bukak firma guaman sendiri nak? Tentu nanti kita jadi kaya. Lepas tu kalau kita kahwin, dapat anak. Kita suruh anak-anak kita pulak teruskan persahabatan kita ni. Tak pun, kalau kau dapat anak lelaki dan aku dapat anak perempuan, kita kahwinkan pulak dia orang tu. Boleh kita jadi besan pulak,”

Senyuman melatari di bibir Isma tatkala mengatakan tentang impiannya. Anak matanya merenung jauh. Jarinya memintal-mintal hujung rambutnya yang agak berombak kasar. Tini hanya tergelak kecil. Memang sejak dari dulu Isma kuat berangan. Ingin jadi kaya, ingin kahwin dengan orang kaya, ingin ada kereta besar, rumah besar dan anak yang ramai.

Isma sesungguhnya seorang gadis yang cantik. Bermata bulat dan hitam. Alis matanya juga hitam dan cantik tersusun rapi. Kulitnya putih kemerahan dan apabila waktu tengahari, kemerahan pipinya semakin ketara. Rambutnya ikal mayang dan lebat. Pendek kata segala-galanya ada pada Isma. Dia sememangnya boleh dinobatkan sebagai gadis tercantik di Padang rengas ini. Sebab itulah juga keluarganya begitu menyayanginya. Dia ditatang bagai minyak yang penuh lebih-lebih lagi dia anak bongsu di dalam keluarga. Kedua ibu bapanya dan abang-abangnya amat mengambil berat tentang dirinya. Dengan siapa dia berkawan dan tentang apa yang dia lakukan.

Abang-abang Isma semuanya berjaya di dalam hidup mereka. Yang sulung bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Negeri Sembilan manakala abangnya yang kedua bekerja sebagai Jurutera di Syarikat Petronas di Kuala Lumpur. Kebanggaan jelas kelihatan di wajah kedua ibu bapa Isma. Lebih-lebih lagi apabila Isma pula bakal mengikuti jejak langkah anak-anaknya yang lain dan bakal bergelar seorang peguam.

Tini pula seorang yang sederhana. Anak kampung yang hidup bersama adik dan ibunya yang bekerja di sebuah kedai makan di kampung mereka. Gaji ibu tidaklah berapa banyak namun masih cukup untuk menampung kehidupan seharian mereka. Selain itu, ibu juga ada membuat kuih muih untuk dijual di mana ibu tumpang letakkan di kedai makan tempat dia bekerja. Penat lelah ibu membesarkan mereka berdua amat Tini hargai dan sanjungi. Dan dia nekad untuk memberikan kesenangan hidup kepada ibu apabila dia habis belajar nanti.

Tini bangun dari katil, menggeliat beberapa kali kemudian berdiri tegak merenung wajahnya di cermin. Dia mengulum senyum apabila melihatkan imejnya sendiri yang turut membalas senyumannya. Tini mengusap pipinya sendiri. Dia juga berkulit putih dan wajahnya bersih bebas dari jerawat dan jeragat. Hidungnya juga mancung dan dia juga bertubuh langsing. Jika rambut Isma lebat dan hitam, rambutnya juga begitu, cuma dia tidak mendedahkannya dan lebih selesa bertudung kepala. Wajahnya tidak pernah disentuh dengan sebarang alat solek. Kecantikannya adalah semulajadi. Tini tersenyum. Jika sekali imbas, kecantikannya tidaklah banyak bezanya daripada Isma.

Mungkin juga kerana cara penampilan mereka berdua menyebabkan kecantikan Isma lebih terserlah di mata yang memandang. Isma tidak bertudung kepala. Rambutnya yang hitam dan lebat menyerlahkan lagi kecantikannya. Isma juga pandai berhias diri. Setiap hari minggu apabila mereka keluar berjalan, pasti secalit gincu akan memerahkan bibirnya. Pakaiannya pula memang cantik. Selalu sahaja dia mendapat baju baru kerana abang-abangnya amat menyayanginya memandangkan dia juga adalah anak perempuan tunggal di dalam keluarga.

Selain itu, Isma juga pandai bergaul dengan sesiapa sahaja manakala Tini lebih pemalu dan pendiam. Dari segi status keluarga, Tini tidak semewah Isma. Kadang-kadang hanya track-suit dan T-shirt lengan panjang sahaja yang membaluti tubuhnya. Namun dia bersyukur dengan segala apa yang dia perolehi sekarang. Selalu dia mengingatkan dirinya sendiri bahawa ada orang yang lebih susah dari dirinya. Walaupun dia tidak kaya harta dan wang, namun dia masih mampu tidur lena di rumah yang sempurna dan dapat makan setiap hari untuk mengalas perut. Dia juga masih mempunyai ibu dan adik untuk dia bergantung hidup dan kasih sayang.

Tini melihat jam yang tergantung di dinding rumah. Sudah hampir pukul 12.30 malam. Matanya masih belum mengantuk. Dia memandang semula beg besar yang sudah siap diisi dengan pakaiannya. Dia mencongak-congak. Rasanya semua keperluan yang diperlukan sudah dimasukkan ke dalam beg tersebut. Tini pandang pula ke arah sepasang baju kurung baru berwarna biru muda yang tergantung di belakang pintu biliknya. Baju itu dijahit sendiri oleh emak yang memang pandai menjahit baju kurung. Entah mengapa tiba-tiba perasaan sebak bertandang di hati Tini. Mengingatkan emak dan Nazrin yang akan ditinggalkan menyebabkan perasaan gembira sebentar tadi terasa pudar.

Tini bangun dari katil kemudian berjalan keluar dari bilik tidurnya. Dia melangkah ke arah bilik emak dan menolak daun pintu yang tidak pernah berkunci. Tini memandang wajah emak yang sedang lena beradu di atas katil. Bibir emak yang nipis seolah-olah sedang tersenyum. Adakah emak sedang bermimpikan kejayaannya? Hati Tini berbisik sendiri. Tiba-tiba Tini terasa air matanya mengalir di pipi. Cepat-cepat Tini mengesatnya. Apabila Tini melihat tubuh emak bergerak, dia terus berpusing dan melangkah masuk ke biliknya semula.

Perlahan-lahan Tini merebahkan tubuhnya ke atas katil. Dia perlu tidur segera kerana esok awal-awal pagi dia akan bertolak ke Kuala Lumpur. Mak…..Tini tak akan hampakan mak….bisik Tini sebelum dia terlena.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.