Orang ramai yang mandi manda di air terjun Lata Hitam di
Padang Rengas kelihatan begitu gembira pada hari ini. Ada yang datang bersama keluarga, ada yang
berpasangan dan ada juga yang lebih senang menyendiri memerhatikan keindahan
air terjun yang masih belum tercemar. Suara burung-burung dan unggas silih
berganti memberikan satu irama yang mendamaikan. Pokok-pokok buluh dan
pokok-pokok hutan menambahkan warna dan keindahan yang begitu mempersonakan
pandangan mata. Bunyi deruan air sungai yang menghempas batu-batu menerbitkan
satu perasaan aman dan tenteram.
Di atas sebuah batu besar di tepi air terjun itu,
kelihatan dua orang gadis manis sedang berbual sambil mengunyah sandwich.
Sesekali terdengar gelak tawa mereka
berdua memecahkan keheningan bunyi air terjun yang menghempas batu-batu.
Isma merenjis-renjiskan air sungai yang sejuk ke wajah
Tini. Tini mengelak tetapi percikan air masih terkena pada wajahnya. Basah.
Isma tergelak besar.
“Eh Tini, tengok tu,”
“Mana?”
“Tu ha yang pakai T-shirt hijau tu,” jari telunjuk Isma
menunjukkan arah kepada sekumpulan remaja lelaki yang sedang makan di atas
batu-batu besar tidak jauh dari tempat mereka berada.
Apabila mata Kartini terarah kepada lelaki berbaju hijau
yang ditunjukkan oleh Isma serta merta dia tergelak besar. Kartini menekup
mulutnya dengan tapak tangannya, cuba mengawal suara ketawanya yang
agak kuat manakala tangan kirinya pula menepuk bahu Isma beberapa kali. Dahi
Isma berkerut-hairan.
“Kenapa?”
“Yang tu?” Tanya Kartini lagi sambil menekan perutnya
yang sakit akibat ketawa tadi.
Isma mengangguk.
“Ya lah…,kenapa?”
Dengan senyum yang masih mengulum di bibir, Kartini
menggeleng kepala.
“Yang macam tu?”
“Ya lah, Kenapa?” tanya Isma lagi. Mukanya berkerut
kehairanan.
“Badan besar macam tu? Huuh…..berat tu…,” bisik Kartini
kemudian tawanya kedengaran lagi.
“Mana ada besar sangat, okey lah tu…,”
Isma masih mempertahankan pilihannya.
“Kenapa engkau suka lelaki yang badan macam tu?”
Isma menjungkitkan bahunya. Kemudian dia tersenyum
manis.
“Entahlah…orang badan besar nampak gagah. Bila kita
jalan dengan dia, rasa selamat,” jawab Isma dan matanya melirik seolah-olah
sedang membayangkan perkara tersebut.
Kartini menepuk bahunya.
“Dahlah. Berangan tak sudah-sudah….sekolah pun tak habis
lagi dah fikir pasal lelaki. Jomlah balik. Dah petang sangat ni. Nanti bising
mak kau tu. Mak kau tu bukannya boleh kalau tak tengok muka kau ni lama sikit,”
usik Kartini sambil mencubit pipi Isma.
Isma mengerutkan wajahnya. Pipinya yang merah diusap
beberapa kali.
”Sakitlah…,” rungutnya.
Kartini hanya ketawa kecil. Dia berdiri kemudian
mengesat pasir-pasir dan kotoran yang melekat di punggungnya. Matanya
memerhatikan sekeliling kawasan air terjun itu. Deruan air terjun yang mengalir di depan mereka benar-benar
mendamaikan. Hutan yang masih belum banyak tercemar di sekeliling mereka
menciptakan satu landskap semula jadi yang amat indah. Memang selalunya di
kawasan air terjun inilah tempat mereka berdua menghabiskan masa di hujung
minggu. Berbual-bual tentang apa-apa yang telah berlaku dalam hidup mereka
selama satu minggu tersebut dan kadang kala terjun dan mandi di sungai itu.
Isma mengikut. Seluar pendek longgar separas bawah lutut
yang dipakainya basah di hujung, juga di bahagian punggungnya kerana dia duduk
agak rapat dengan air. Dia menarik cekak rambut di kepala lalu menyikat semula
rambutnya dengan rapi.
Mereka berdua berjalan menuju ke tempat motosikal mereka
diletakkan. Kartini mengambil topi keledarnya lalu disarungkan ke kepala.
Tudungnya dibetulkan kemudian dia sudah
bersedia duduk di atas motor dengan enjin yang telah dihidupkan.
“Cepatlah sikit. Hari macam nak hujan,” gesa Kartini
apabila dilihatnya Isma masih mengipas-ngipas seluarnya.
“Nantilah kejap. Pasir banyak lagi ni,”
“Alaa…kat rumah nanti kau mandilah lagi. Masukkan je
seluar tu dalam mesin basuh…,”
“Ha’a ya lah tu. Kau tau tak mak aku tu bising tau bila
aku masukkan seluar berpasir dalam mesin basuh sebab bila pasir banyak sangat
nanti sumbat pulak mesin basuh kesayangannya tu…,” Isma mencebikkan bibirnya.
Kartini hanya tersenyum.
“Alaa…abang-abang kau banyak duit, beli je yang baru…,”
Isma hanya tersenyum mendengar kata-kata Tini. Memang
itulah kata-kata yang sering diucapkan oleh Tini sejak dari dulu lagi.
Setelah Isma juga duduk di motosikal dan menghidupkan
enjin, mereka berdua menunggang keluar dari kawasan perkelahan tersebut. Jalan
kampong yang masih belum bertar menyebabkan mereka terpaksa mengawal motosikal
lebih berhati-hati lebih-lebih lagi terdapat lopak-lopak dan batu-batu di
sepanjang perjalanan.
Sampai di satu simpang ke kanan, Isma mengangkat
tangannya lalu membelok ke situ. Kartini membalas lambaian tangan Isma tetapi
dia meneruskan perjalanan kerana rumahnya terletak selang beberapa rumah
daripada rumah Isma.