Home Novel Cinta USAH MENANGIS SAYANG
USAH MENANGIS SAYANG
Aini Marisha Marisha
25/2/2014 23:21:14
44,864
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Hari ini adalah hari pendaftaran asrama bagi pelajar-pelajar baru Universiti Malaya. Kawasan universiti agak sesak dengan kenderaan yang keluar dan masuk di setiap kolej kerana pendaftaran asrama dibuat pada hari ini. Kain rentang berwarna warni dengan perkataan “Selamat Datang kepada Mahasiswa Mahasiswi Baru” kelihatan di gantung di setiap pintu masuk utama kolej-kolej. Pelajar-pelajar senior yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pendaftaran Pelajar baru sibuk dengan urusan masing-masing. Ada yang menunggu di dewan bagi tujuan pendaftaran, ada yang menunggu di pintu pagar bagi menyambut kedatangan pelajar dan ibu bapa dan ada juga yang kelihatan berlari ke sana ke mari entah kenapa.

Tini yang berada di dalam perut teksi baru sahaja melepasi pintu gerbang bertulis “Universiti Malaya”. Perasaan bangga dan terharu semakin menguasai dirinya. Dia juga akan menjadi warganegara universiti tertua ini mulai hari ini. Dan dia akan buktikan bahawa dia yang datang dengan harapan akan pulang dengan kejayaan yang diimpikan.

“Mahu pergi kolej mana?” pemandu teksi berbangsa Cina bertanya.

“Kolej Kedua ya tokey,” jawab Tini sambil mengintai ke luar tingkap. Cuba mencari papan tanda yang boleh memberikan arah yang betul.

“Ha, masuk simpang depan tu tokey,”

Pemandu teksi mengikut arahan Tini lalu membelok ke jalan masuk menuju ke Kolej Kedua. Pemandu teksi itu membunyikan hon beberapa kali bagi memberi makluman kepada pejalan kaki di hadapan mereka agar memberi laluan. Setelah membayar tambang yang dikenakan dan menurunkan beg pakaiannya, Tini berdiri sebentar menyaksikan suasana baru yang bakal ditempuhinya. Tini menarik nafas panjang, perasaan bangga semakin menerjah dinding hatinya. Dia kini adalah seorang mahasiswi di sebuah universiti paling berprestij di Malaysia.

Tini memandang sekeliling, cuba mengamati suasana baru yang bakal mewarnai kehidupannya selama empat tahun akan datang. Bangunan Kolej Kedua yang terletak selepas bangunan Kolej Pertama ini mempunyai dua buah bangunan asrama untuk mahasiswi dan dua bangunan untuk mahasiswa. Dua buah bangunan di bahagian hadapan adalah asrama untuk para mahasiswi yang terletak secara berhadapan. Mereka dihubungi dengan koridor bermula di tingkat dua sehingga keempat. Di bahagian tengah kawasan di antara kedua bangunan asrama mahasiswi terletak sebuah dewan besar dan sebuah kantin yang agak besar bagi kemudahan mahasiswa dan mahasiswi kolej ini. Bangunan asrama lelaki pula terletak di bahagian belakang kawasan kolej ini. Mungkin kerana universiti ini adalah universiti tertua maka reka bentuk bangunan asrama juga adalah seperti sebuah rumah pangsa lama sahaja. Walaubagaimanapun itu semua tidak penting bagi Tini. Apa yang penting adalah dia mempunyai tempat tinggal yang selesa untuk membolehkan dia menghabiskan pengajiannya selama empat tahun di sini.

“Biar saya tolong tarik beg ni. Adik nak buat pendaftaran kan,” lamunan Tini terhenti apabila seorang mahasiswa menegurnya. Tini mengangguk kemudian beg pakaiannya telah bertukar tangan. Dia mengekori pelajar senior itu menuju ke tempat pendaftaran asrama.

“Terima kasih”, ujar Tini dan pelajar itu tersenyum kemudian meninggalkannya.

Sementara itu Isma pula gelisah mencari kelibat Tini di celah-celah orang ramai yang membuat pendaftaran di Kolej Kedua itu. Kalau boleh dia mahu diletakkan di dalam satu bilik dengan Tini. Dia telah pun selesai membuat pendaftaran masuk ke bilik asrama dan kini sedang menunggu abangnya mengeluarkan barang-barang dari kereta.

Ibu dan ayah juga duduk tidak jauh darinya. Wajah mereka kelihatan letih tetapi kebanggaan di hati mereka tetap terserlah. Isma mengelap peluh yang bermanik-manik di dahinya. Hari ini agak panas lebih-lebih lagi berada di tempat terbuka seperti ini. Baju kurung sutera yang dipakai oleh Isma beralun-alun mengikut gerak tubuhnnya. Rambutnya yang lebat dan hitam diikat satu ke belakang. Anak-anak rambut di dahi berjuntaian ditiup angin, lalu diselaknya ke belakang.

“Assalamualaikum,” satu suara yang menyapanya dari belakang menyebabkan Isma menoleh. Senyuman terus mekar di bibirnya kemudian salam Tini dijawab.

“Kenapa lambat sangat?”

“Tadi masa nak ke sini, ada accident kat highway. Jalan sesak sikit. Lepas tu Tini kena cari teksi pulak,” jawab Tini sambil mengesat wajahnya dengan tisu yang hampir lunyai.

“Ye ke…nasib baik tak lambat sangat kan. Tini dah daftar ke?” tanya Isma. Tini mengangguk kemudian menunjukkan sebuah fail berwarna biru di tangannya.

“Dapat bilik mana?” Tanya Isma lagi.

“Blok A, Tingkat dua. Bilik 224. Isma bilik mana pulak?,”

“Alaa…bilik lain, Tingkat Tiga tapi nasib baik Blok A jugak,” jawab Isma agak kecewa.

“Makcik, pakcik,” Tini mengalihkan pandangannya kepada kedua ibu bapa Isma sambil tunduk sedikit memberi hormat.

Encik Syed Mazlan tersenyum manakala Sharifah hanya menoleh sekilas kemudian mencebikkan bibirnya tanda tidak senang dengan kehadiran Tini di situ. Seperti biasa Tini pura-pura tidak nampak.

“Tini datang dengan apa?” Tanya Syed Mazlan.

“Datang naik bas pakcik. Emak hantar sampai Kuala Kangsar je,”

Syed Mazlan mengangguk kepala. Dia kagum dengan Tini kerana Tini memang seorang anak yang baik dan rajin. Memang dia tahu isterinya tidak berapa menyenangi Tini. Dia pun pelik dengan sikap Sharifah kerana hanya perkara kecil sahaja telah menyebabkan dia memusuhi Tini. Baginya apalah ada pada nama dan pangkat, Syed atau Sharifah hanyalah satu nama yang direka dan diletakkan oleh nenek moyang mereka, itu sahaja. Jika di Mekah sekalipun, semua umat Islam adalah sama di sisi ALLAH, tidak semestinya kerana ada nama Syed atau Sharifah maka mereka diberi sebarang keistimewaan. Sudah beberapa kali dia menasihati isterinya itu tetapi pendiriannya tetap sama.

Selain itu, Syed Mazlan juga sedar akan sikap isterinya yang terlalu kuat cemburu. Kejayaan Tini dalam pelajaran dan aktiviti kokurikulum juga menjadi punca dia tidak berpuas hati dengan gadis itu. Sharifah merasakan anak mereka Isma lebih berhak untuk menyandang segala gelaran “terbaik” itu. Sharifah ternyata tidak dapat menerima bahawa Tini, seorang gadis yang datang dari keluarga miskin dapat menandingi Isma. Kalau boleh dia mahu Isma menang dalam setiap peperiksaan dan pertandingan yang diadakan di sekolah mereka. Tetapi sesekali terdetik juga di fikiran Syed Mazlan bahawa kemungkinan ada sebab lain yang menyebabkan isterinya itu bermusuh dengan keluarga Tini. Jika tidak silap Mazlan, permusuhan ini bukan sahaja bermula sejak Tini dan Isma berkawan baik, tetapi ia telah bermula sejak dahulu lagi iaitu sewaktu mereka mula berumahtangga. Pantang jika disebut nama Rohana yang duduk di hujung kampung, sudah pasti Sharifah akan mengamuk. Berbagai kata-kata yang tidak sedap didengar sering ditujukan terhadap Rohana sehinggakan Syed Mazlan malas hendak menimbulkan nama Rohana lagi di dalam perbualannya. Rohana juga seolah-olah tahu tentang perasaan Sharifah terhadapnya dan Rohana juga tidak pernah hadir ke rumah mereka untuk setiap kenduri kendara yang mereka adakan walaupun hakikatnya mereka tinggal sekampung. Lama-kelamaan, Syed Mazlan malas hendak mengambil tahu tentang perkara ini kerana Sharifah seolah-olah mahu merahsiakannya.

“Itulah, kalau tumpang aku kan senang,” Isma meluahkan kekesalannya kerana Tini menolak ajakannya untuk datang bersama ke Kuala Lumpur semalam.

“Isshh Is ni, kan kereta kita dah penuh,” sampuk Sharifah tidak senang dengan kata-kata Isma sambil menjeling tajam pula ke arah Tini.

Kartini tersenyum. Dia membiarkan sahaja kata-kata emak Isma berlalu begitu sahaja ibarat mencurah air di daun keladi. Jika dia ambil hati pun, bukannya dia dapat apa-apa faedah, hanya menambahkan dosa pada dirinya jika dia kerap mengutuk orang tua itu. Baginya lebih baik dia memaafkan sahaja setiap perbuatan dan tindakan makcik Sharifah kepadanya. Memang itu juga yang sering dipesan oleh emaknya.

“Sebelum tidur, kita maafkan lah orang-orang yang kita rasa ada buat salah pada kita,”……itu adalah pesanan ibunya setiap kali sebelum dia masuk tidur.

Dan memang itulah yang sering Kartini lakukan dan Kartini akui amalan ini boleh dijadikan satu terapi yang paling berkesan untuk menenangkan diri. Apabila marah tidak menguasai diri seseorang, sudah pastilah dia sentiasa akan tersenyum dan gembira. Agaknya disebabkan amalan ini jugalah ibunya masih lagi cantik dan manis walaupun telah berumur 46 tahun. Dan ramai yang berkata, kecantikan ibunya banyak diwarisi olehnya.

“Hai Tini,” satu suara garau menyapanya tiba-tiba. Ingatannya kepada emak sebentar tadi hilang begitu sahaja.

Tini menoleh ke kanan. Kelihatan Syed Faizul sedang tersenyum ke arahnya. Di tangannya terdapat sebuah beg besar beroda. Pasti beg kepunyaan Isma. Kartini membalas senyuman Faizul walaupun dia tahu makcik Sharifah tidak menyenanginya.

“Datang ke sini naik apa?” tanya Syed Faizul tanpa mempedulikan renungan tajam emaknya.

“Naik bas. Kemudian ke sini naik teksi dari Puduraya,” jawab Kartini ikhlas sebagai menghormati pertanyaan Faizul.

“Kalau tumpang abang kan senang. Kereta boleh muat seorang lagi,”

“Tak apalah abang Faizul. Mak nak hantar Tini. Kalau tak dapat hantar sampai KL, sampai stesen bas pun jadilah,”

Syed Faizul mengangguk sambil terus mengukir senyuman yang panjang. Kartini pula terus tunduk lalu melarikan pandangan matanya apabila disedarinya mata Syed Faizul masih tajam merenungnya.

“Dah tu, ibu dah panas duduk kat sini. Faizul, bawak beg adik kau tu naik ke bilik dia,” arah Sharifah yang kurang senang dengan gelagat anak lelakinya itu.

Bukannya Sharifah tidak tahu yang Faizul sedang cuba memancing hati Tini tetapi sengaja dia membutakan mata dan hatinya. Dia memang tidak mahu Tini menjadi menantunya. Dia mahu keturunannya berkekalan, darah Sharifah dan Syed mesti diteruskan dengan perkahwinan daripada keturunan yang sama. Kali ini dia mahu menang dalam merebut Faizul dan dia akan pastikan Tini tidak akan menang. Faizul anaknya dan dia tahu dia mampu mengawal anak keduanya itu.

Syed Mazlan hanya mampu menggeleng kepala dengan sikap isterinya. Kartini pula meminta diri untuk masuk ke biliknya dan Isma pula mengikuti keluarganya yang telah melangkah ke tangga untuk ke biliknya. Sebelum itu mereka sempat berjanji untuk bertemu di dewan makan pada pukul empat petang.

Seperti dijanjikan, pada pukul 4 petang, Tini dan Isma bertemu semula di dewan kerana satu taklimat bagi pelajar-pelajar baru akan diadakan. Satu tanda nama yang agak besar tersemat di bahagian kanan atas baju mereka. Arahan dari senior agar nama mereka ditulis besar-besar dipatuhi. Kelihatan pelajar-pelajar baru berpusu-pusu masuk ke dalam dewan manakala pelajar-pelajar senior pula berdiri di muka pinu menyambut kedatangan mereka. Isma dan Tini berjalan beriringan sambil berbual.

“Apa yang berlenggang-lenggang lagi tu! Cepat masuk! Awak ingat ini nak pergi pasar ke?! Masuk cepat!!” tengking seorang lelaki bertubuh kurus tinggi yang sedang bercekak pinggang di pintu besar dewan.

Isma dan Tini masing-masing terkejut apabila terdengar jeritan itu. Terkocoh-kocoh mereka melangkah laju masuk ke dalam dewan begitu juga dengan pelajar-pelajar baru lain. Sesi orientasi telah bermula…..Tini dan Isma saling berpandangan tanpa senyuman. Tidak sangka bahawa begitu cepat mereka akan dikenakan.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.