BUNYI tapak kaki
yang berlegar-legar di atas tanah di luar khemah mengejutkan Adelia daripada
tidur. Dalam kegelapan ruang khemah itu, dia meraba-raba di sebelah. Alamak,
mana Kayla?
Pukul berapa ni?
Kepala Adelia pening sedikit kerana terbangun secara tiba-tiba tadi. Tapak kaki
yang didengari itu sudah berhenti di hadapan pintu khemah. Gadis itu pasti ia
bukan Kayla kerana bunyinya seperti kasut, bukan selipar.
Rasa cemas mulai
menjerut kerongkong gadis itu. Mungkinkah orang itu berniat tidak baik?
Barangkali nak mencuri atau... oh TUHAN! Jangan-jangan dia ingin lakukan yang
lebih dahsyat lagi.
Tanpa berlengah,
Adelia mengesot ke hujung khemah di mana ada beg berisi perkakas memasak tadi.
Dalam kegelapan itu, dia terasa sesuatu yang panjang dan keras.
Hah, senduk! Sah boleh
jadi senjata. Adelia memegang erat senduk itu sambil bersedia untuk
menghayunnya ke kepala sesiapa yang berani menceroboh masuk ke khemah itu.
Bunyi zip khemah
ditarik menambah rasa gemuruh di dalam dadanya. Dia menahan nafas dan
mempersiapkan diri untuk ‘menyerang’ dengan senduk di tangan kanan.
Tunggu! Bukankah dia
patut menjerit aje? Macam mana kalau jeritannya tak cukup kuat? Bagaimana kalau
penyerang tu menutup mulutnya tiba-tiba? Sah-sahlah dia akan mati!
Sebaik saja bunyi zip
berhenti, Adelia melihat bayangan satu lembaga muncul. Dengan sekuat tenaga,
dia menghayun senduk itu ke arah lembaga tersebut. Hah, rasakan!
“Adoi!” Jeritan
seorang lelaki membuat dia terpanar seketika.
Alamak, macam mana ni?
Gadis itu terasa satu tangan menggagau di dalam kegelapan khemah itu. Tangan
itu terkena pipinya. Tanpa berfikir panjang, dia melibas senduk itu sekali
lagi. Huh, moga-moga terkenalah kepalanya!
“Hoi...”
Satu sergahan hinggap
di telinga Adelia. Serentak dengan itu, dia terasa tangan lelaki itu menyentap
lehernya. Sepantas kilat, dia cuba menepis tangan itu tetapi tanpa disedari,
kakinya terpijak sesuatu yang licin dan dia terpelanting ke tepi khemah. Dalam
kekalutan itu, lelaki tersebut sempat menarik bajunya.
Mereka bergelut
seketika. Dalam kekalutan itu, khemah tersebut tiba-tiba roboh. Dengan tidak
semena-mena lelaki itu terjatuh dan tubuhnya menghempap tubuh Adelia.
“Ya ALLAH!” Adelia
menjerit kerana panik.
Apatah lagi nafas
lelaki itu kedengaran begitu hampir dengan telinganya. Jantung gadis itu
berdegup kencang bila menyedari tubuhnya tidak dapat berganjak.
“Shyy... jangan
bergerak!” Lelaki itu memberi amaran.
Adelia cuba bangun
tetapi tidak berjaya kerana seluruh khemah sudah jatuh menimpa mereka. Dia
macam orang gila menampar-nampar tubuh lelaki tersebut sambil cuba menyepak
kakinya ke kiri dan kanan.
“Saya kata cuba diam
sekejap!” Suara lelaki itu bernada tegas.
Dalam kegelapan itu,
Adelia cuba mengamati di mana dia pernah mendengar suara itu. Oh TUHAN! Dia
semakin cemas. Benarkah apa yang disangkanya? Dengan seluruh kekuatan yang ada,
dia menolak tubuh lelaki itu ke tepi.
“Awak ni degil, ya?”
Kali ini suara lelaki itu kedengaran hampa. “Kalau awak tak duduk diam sekejap,
macam mana kita... ”
“Syed Idlan?”
“Aa... awak?”
“Ya, saya Adelia. Awak
boleh bangkit tak?”
“Saya tak jual kuih
bangkit.” Selamba badak Syed Idlan menjawab.
“Saya serius... tangan
saya... aduh...”
Sebelum Adelia mampu
meneruskan bicara, kedengaran suara di sekeliling mereka. Orang-orang yang
berkumpul itu cuba menegakkan khemah semula.
“Lia... kau okey ke?”
soal Kayla di tengah-tengah keriuhan suara mereka yang cuba membantu.
Beberapa minit berlalu
sebelum khemah kembali tegak seperti sediakala. Cahaya dua atau tiga buah lampu
picit menyuluh ke arah muka Adelia. Adelia masih terkial-kial hendak bangun.
Sedangkan Syed Idlan sudah merangkak ke luar.
Tangan kiri Adelia
terasa kebas. Gadis itu mulai panik. Sambil bangun, dia mengurutkan tempat yang
kebas itu. Dia mengesot ke pintu khemah yang sudah diselak oleh Kayla.
Perlahan-lahan dia keluar lalu memerhati sekeliling.
Mereka yang membantu
tadi sudah beredar ke khemah masing-masing. Razip sempat mengucapkan terima
kasih kepada mereka.
Adelia rasa macam nak
cekik Syed Idlan bila terkenangkan apa yang telah terjadi sebentar tadi.
“Bila kau sampai,
Idlan?” soal Razip.
“Kau kata khemah warna
kelabu, aku fikir yang ni...” Syed Idlan terus menempelak. “Tak sangka kepala
aku benjol kena ketuk dengan senduk....”
Razip dan Kayla
tergelak. Sementara Syed Idlan memegang bahagian kepalanya yang berbenjol itu.
Debaran di dada Adelia
amat kencang bila teringat kembali saat-saat tubuh lelaki itu menghempapnya.
Kalau hari siang, tentulah terserlah mukanya yang merah padam. Malu yang amat,
oh TUHAN!
Adelia rasa sangat
serba-salah. “Ss... sorrylah.”
Dalam suasana
samar-samar di situ, Syed Idlan merenung ke arah gadis itu. “Bukan salah awak.
Saya yang tersilap khemah... ”
“Razip beli khemah
serupa. Inilah jadinya... Kan tadi dalam phone dah cakap kat you,Idlan. Khemah Razip dengan you kat pokok besar
sana,” sampuk Kayla.
“Cik Kayla, dalam
larut malam mana nak nampak semua tu?” Syed Idlan membela diri. Sinis nada
suaranya. “Lagipun, I datang terus dari hotel tadi. Tak rehat lagi ni... ”
“Jomlah... ” ajak
Razip.
Mereka lantas beredar
dari situ. Adelia mengekori Kayla masuk ke dalam khemah semula.
“Lecehlah takde lampu
picit.. ” Adelia berleter. “Mujur tak jadi apa-apa yang... ah, malas nak ingat.
Yang kau tu pergi mana tadi? Tinggalkan aku seorang-seorang pula tu!”
Dalam sedikit cahaya
lampu malap yang menembusi kanvas khemah, Adelia melihat Kayla sudah terbaring.
Dia pula masih mencari bantal yang terpelanting entah ke mana.
“Aku sakit perut
lagi... tak sempat nak gerakkan kau.”
“Tak sempat gerak
aku... tapi, gerak Razip sempat?” Adelia sengaja menyakat rakannya itu.
Kayla mendengus keras.
“Jangan kau memandai nak fitnah, Lia. Aku panggil dia lepas aku tengok khemah
dah roboh. Aku nampak orang bergumpal dan khemah bergoyang-goyang...”
“Pengalaman ngeri.”
Rakan baik Adelia itu
tergelak kecil. “Tidurlah. Esok nak bangun awal, masak sarapan.”
“Masak?”
“Yalah, Chef Adelia.
Aku bawa roti dengan sardin. Ada keju lagi. Kita celup sandwic sardin dalam
telur bercampur susu dan goreng dalam sedikit minyak.... fuh, memang
tertambatlah hati Razip kat aku.”
Adelia hanya
mengangguk.