"SEJAK tadi saya perhatikan chef asyik mengelamun aje,”
tegur Syed Idlan sambil menarik kerusi di hadapan Adelia.
Oh TUHAN! Mamat bertuah ni lagi! Suasana kafetaria yang tadinya
hingar-bingar seolah-olah menjadi sunyi-sepi serta-merta. Macam dalam filem
bila dua orang pahlawan bertarung. Jeritan askar-askar lain terus hilang
daripada pendengaran.
Adelia terfikir untuk bangun dari kerusi, tetapi perutnya terasa
sangat lapar dan dia baru saja hendak mula makan. Baru sesaat tadi dia melihat
jam di dinding kafetaria. Jam 7.30 malam, tetapi dia belum makan tengah hari
lagi... bayangkanlah.
Si Konon Bijak itu hendak memancing kemarahannya pula. Isy.
Memang lelaki itu nampak cooldan sesekali merenungnya dengan penuh
sindiran. Ataukah itu cuma pada firasatnya saja?
“Saya tak kacau awak, okey?” Adelia menempelak dengan selamba.
Syed Idlan meneguk kopi Onya perlahan-lahan. Kemudian memintal
spageti di hujung garfu. Dari ekor mata Adelia, dia perasan mata lelaki itu
asyik memandangnya. Malah semasa dia menyuap spageti bersos bebola daging itu
ke mulutnya, renungannya langsung tidak putus.
“Mungkin tak kacau, tapi melihat awak dari tadi asyik tersenyum
sendiri akan buat orang yang tak kenal awak fikir yang awak ni tak betul.”
Amboi, memandai aje dia!
Adelia terus makan tanpa mengangkat muka. Dua tiga orang
kakitangan hotel yang tadinya duduk di meja berdekatan bangun setelah
menghabiskan makanan masing-masing. Semuanya bergegas hendak memulakan tugas.
Memang ada CCTV di situ dan mudahlah untuk mengetahui siapa yang tuang kerja.
Kafetaria memang sunyi pada waktu-waktu begitu kerana kebanyakan
kakitangan sudah pulang ke rumah. Yang ada cuma beberapa orang chef di bahagian
masing-masing. Juga bahagian Housekeeping untuk memenuhi beraneka
permintaan tetamu yang bermalam.
“Awak ni kadang-kadang memang mengejutkan,” kata lelaki itu pula.
Adelia terkedu. “Maksudnya?”
Syed Idlan mendengus.
Malam ini giliran Adelia stand-by untuk majlis yang
diadakan di dewan bankuasi. Dia harus memastikan semua hidangan menepati
kehendak pihak penganjur majlis tersebut.
“Chef masakan lauk-pauk Melayu, tapi tak takut nak masuk
pertandingan manisan...”
“Awak... awak, macam mana awak tahu?”
Syed Idlan tergelak. Dia terus makan tanpa menghiraukan renungan
tajam gadis itu. Berlagak bukan main!
“Macam mana saya tahu tak penting,” balas Syed Idlan. “Yang
penting, kita akan bersaing. Dan saya tahu kelemahan awak sebelum pertandingan
bermula lagi.”
“Woi, tu tak adil!”
Syed Idlan nampak terkejut mendengar kata-kata Adelia. “Apa yang
tak adil?”
“Saya tahulah awak pakar pastri... tapi, tu tak bermakna awak
boleh kutuk saya sesuka hati! Awak main belasah saya dengan cara awak yang
konon pandai, konon bijak!” Entah macam mana terkeluar ayat-ayat yang powerdari
mulut gadis itu.
“Kalau awak nak buat kesimpulan pasal keupayaan saya berdasarkan
puding krim karamel yang pahit tu, saya janji, awak akan menyesal.”
“Krim karamel? Pahit?” Buat seketika, kekeliruan terbayang pada
wajah anak muda itu.
Adelia makin meluat dengan sikapnya. Mungkinkah dia sengaja
berlagak seolah-olah telah melupakan episod yang memalukan itu? Ataukah dia
benar-benar terlupa?
Syed Idlan menolak pinggan spagetinya yang sudah licin. Lelaki
itu mengerutkan keningnya. Nampak macam dia cuba mengingati sesuatu.
Adelia cepat-cepat menghabiskan sirap selasih dan bersedia untuk
bangun sebelum peristiwa tersebut kembali dalam ingatan chef itu.
“Oh ya... di rumah jiran Razip. Kawan awak yang namanya agak
pelik tu... Kay... Kayla. Dan dia sekarang ni asyik berWhatsApp dengan Razip.”
Kayla? Razip. Oh, okey. Tak ada kena-mengena dengan aku, fikir
Adelia. Tapi, aku rasa Razip terlalu matang untuk Kayla. Aku tak tahu usia
sebenar Razip. Tapi, apa yang mustahak, kalau mereka berkahwin, bukankah aku
tidak akan dapat ‘lari’ daripada Syed Idlan sepanjang hidupku?
Razip dan Syed Idlan kawan baik. Kayla dan aku kawan baik. Adelia
membuat kesimpulan, kalau Kayla dan Razip buat apa-apa majlis, semestinyalah
mereka kena ajak aku dan Syed Idlan. Isy. Rimas, rimas!
“Tolonglah lupakan krim karamel saya yang pahit tu. Cuba awak
ingat panini sedap yang saya buat tu, yang awak tak habis-habis puji tu!” tegas
Adelia.
Syed Idlan tersenyum hambar. “Tapi, sekali chef silap,
selama-lamanya orang akan ingat... dan...”
Mujur pada waktu itu, telefon bimbit Adelia berbunyi. Dia terus
berdiri dan terkial-kial mengambil telefon dengan tangan kirinya sambil tangan
kanan mengimbangi pinggan dan gelas. Kalau terjatuh memanglah malu, tetapi dia
sanggup mengambil risiko itu daripada terus berada di hadapan Syed Idlan.
“Helo, Lia. Kau kat mana?” Oh, Kayla rupa-rupanya.
Adelia memang tidak sempat melihat skrin sebelum menjawab tadi.
Apa halnya Kayla mencarinya pada waktu-waktu begini, agaknya?
“Syif malam.”
“Hmm...”
Adelia melangkah deras ke arah surau. Dia mesti solat maghrib
dulu sebelum ke Dewan Bankuasi. Kelak kalau masuk ke situ, ada-ada saja yang
melalaikan. Lagi pun, waktu maghrib sangatlah pendek.
“Bila kau off?”
“Sabtu ni...”
“Jom pergi camping?”
Adelia tersentak seketika. “Camping?”
“Pasang khemah, buat unggun api, panggang ikan, tidur dalam sleeping
bag...sangat best!”
“Kau bukan jenis yang suka out-door,kan?” Adelia bertanya
kembali.
“Tu dulu... sekarang aku suka. Jomlah. Satu malam aje. Kau tak
payah buat apa-apa. Kau packingbaju aje. Lain-lain aku uruskan.”
“Tak boleh janji, Kay.”
“Boleh aje kalau kau nak. Lagipun, kau bukan ada boyfriend yang
nak ajak lepak-lepak kat shopping mall.”
Langkah Adelia sudah sampai ke hadapan pintu surau. Dia
menanggalkan kasut dan stoking. Kalau mengajak Kayla berdebat memanglah dia
akan kalah, tetapi kali ini dia memang tak dapat memenuhi ajakannya.
“Aku ada kerja nak buat...” Gadis itu memberi alasan. “Nak cuba
resipi baru.”
“Ala, takkan tak boleh buat hari lain. Untuk aku, pleaselah
Adelia Naurah. Aku datang rumah kau, jemput kau. Lepas camping aku
hantar kau balik rumah.” Amboilah, beria-ia pula Si Kayla ni, Adelia merungut sendirian.
“Serius, tak dapat. Sorrylah sangat.”
Kayla masih tidak berputus asa. “Aku terpaksa batalkan kalau kau
tak datang... Kali ni kau penuhilah permintaan aku. Tolong, Lia. Ni penting
sangat.”
Adelia termenung sebentar. “Penting? Okeylah, Kay.”
“Okey? Kau nak pergi sekali?” soal Kayla dengan suara girang.
“Yalah, Cik Kayla. Bye...”