BAB 3
Ainul Husna yang tergopoh-gapah, kononnya mahu mengejar Ziela terus
terhenti. Tangannya terus meraba di dalam beg tangannya. Seketika kemudian,
telefon tangan miliknya di bawa keluar.
“Helo, Assalamualaikum mak!”
Ainul Husna terus menjarakkan telefon itu daripada telinganya. Meskipun
begitu, dia masih mendengar suara di hujung sana yang sedang menjerit kuat
padanya.
“Mak! Apa ni? Sakitlah telinga orang!” jerit Ainul Husna sambil tangan
kanannya mengorek-gorek lubang telinganya yang ditutupi oleh tudung yang
dipakainya.
Mak ni, suaranya mengalahkan orang yang pakai mikrofon pulak. Kuat betul!
“Dah pukul berapa ni? Dah tak reti-reti nak balik ke?” jerit Kamariah lagi
ataupun lebih dikenali dengan nama Makcik Yah di hujung sana.
“Alamak! Orang lupa nak cakap kat mak tadi.”
Terus dia menyekeh kepalanya beberapa kali. Jadi, memang wajarlah jika
emaknya menjerit sebegitu kerana salah dirinya juga.
“Maaf mak. Orang betul-betul terlupa tadi. Sebenarnya, orang ada kat
hospital sekarang ni.”
“Along buat apa kat hospital waktu-waktu macam ni?” suara Makcik Yah sudah
mengendur saat telinganya mendengar perkataan hospital dari mulut anak gadisnya
itu. Seingatnya sejak kejadian itu, anak gadisnya sudah tidak mahu menjejakkan
kaki ke hospital, walaupun dia sedang demam teruk. Tambah-tambah lagi, Hospital
Kuala Lumpur tempat dia berkhidmat dahulu. Langsung tidak mahu dijejaki oleh
Ainul Husna.
“Tadi, orang jumpa sorang laki tak sedarkan diri dekat bus stop. Jadi,
orang tolong bawak dia datang hospital.”
“Along angkut dia nak motor buruk along ke?” tanya Makcik Yah seakan tidak
percaya dengan kata-kata Ainul Husna itu. Biar betul Husna ni? Dah buang tabiat
ke?
“Apa ni mak? Tak kan nak angkut dia naik motor orang pulak? Hantar pakai
keretalah. Kebetulan tadi ada sorang pakcik yang tumpangkan kami.”
Isk mak ni! Kot ya pun nak menduga, jangan la sampai benda yang tak masuk
akal tu sekali. Manalah dia larat nak pikul laki tu naik motor? Seketika
kemudian, Ainul Husna teringat sesuatu.
“Eh, mak dah lupa ke yang motor tu sekarang ada kat bengkel? Kan Anip yang
rosakkan motor orang tu?”
Anip pun satu hal, suka sangat curik guna motor aku. Kan dah rosak?
Menyusahkan betul. Tak fasal-fasal kena naik bas. Dah la kena pakai duit untuk repair motor
lagi.
“Yalah! Mak lupa. Dah tu, pukul berapa nak balik ni? Ayah along dah bising
tu.”
“Mana? Tak dengar pun. Entah-entah saja je cakap gitu. Padahal rindukan
orang eh?”
Bibir Ainul Husna sudah terukir senyuman nakal. Seronok jugak dapat
mengusik emaknya itu. Mesti muka emaknya sudah merah padam. Emaknya juga sama
seperti dirinya yang terlalu sukar untuk meluahkan perasaannya sendiri. Emak
borek anak rintiklah katakan. Hehehe....
“Rin...rindu apa benda pulak kau ni?” Makcik Yah mula menggelabah. Sempat
dia memandang sekilas pada suaminya yang begitu ralit dengan kaca tv.
Hish! Budak bertuah ni! Suka sangat mengusik aku. Di hujung sana, dia dapat
mendengar suara anak gadisnya sudah mengekek ketawa. Seronok benar agaknya
dapat mengusik dirinya.
“Dah! Jangan nak mengarut. Cepat balik!”
Cepat-cepat Makcik Yah menukar tajuk perbualan. Sudah tidak sanggup
mendengar suara ketawa anak gadisnya itu. Sebelum memutuskan talian, sempat
lagi dia berpesan pada Ainul Husna agar menjaga keselamatan.
Ainul Husna sudah menggeleng-gelengkan kepala sambil membuang pandang pada
telefonnya. Mak...oh mak! Patutlah perangai Husna macam tu. Rupanya amik dari
mak, bisik hati Ainul Husna perlahan. Tanpa dia sedar yang dirinya sedang
diperhatikan oleh seseorang.
“Rindu? Cakap dengan siapa?” tanya satu suara.
Ainul Husna mengangkat wajahnya. Anak matanya terus membulat apabila
melihat insan yang menegurnya itu. Mulutnya juga sudah melopong.
“U...Uzair?” tanyanya yang seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya
itu.
Aduh! Macam mana aku boleh tak perasan yang lelaki itu berdiri di
hadapannya? Anak matanya dialihkan pula pada wajah Ziela yang berada di sebelah
lelaki itu. Gadis itu kelihatan sudah tersengih-sengih. Ainul Husna ketap
bibir. Geram pula dia melihat senyuman nakal di wajah Ziela itu.
“Awak cakap dengan siapa? Siapa yang rindukan awak?” soal Uzair lagi
setelah soalannya tadi tidak dibalas oleh Ainul Husna. Sebaliknya, gadis itu
hanya mendiamkan diri dan memandang wajahnya.
“Mak!”
“Mak?” soal Uzair sambil wajahnya juga sudah berkerut tebal.
“Ah, ya! Saya cakap dengan mak tadi,” jawab Ainul Husna dalam gugupnya.
“Hai, tak jumpa kejap mak awak dah rindukan awak ke?” soal Uzair sambil
merenung tepat pada wajah yang tampak polos dengan solekan nipis itu. Tiba-tiba
sahaja, hatinya bernyanyi lagu rindu kerana sudah lama tidak dapat menatap
seraut wajah itu.
Ainul Husna bertambah gugup apabila menyedari anak mata Uzair terarah tepat
pada wajahnya. Tambahan pula, mereka tidak berdua ketika itu.
“Tak adalah, saja usik mak,” balas Ainul Husna. Wajah Uzair langsung tidak
dipandangnya. Dia lebih rela menatap kakinya sendiri daripada membalas
pandangan dengan lelaki itu.
“Dengan saya?” soal Uzair lagi. Senyuman nakal juga sudah mula terukir di
wajahnya.
Ainul Husna telan liur. Aduh, soalan jenis apa ni? Kot ya pun, tunggulah si
Ziela tu pergi dulu. Ziela pun satu hal, yang duk tegak kat sini tu apa hal?
Cepat-cepatlah blah!
“A...awak? Er...kenapa dengan awak?” soal Ainul Husna pula. Sengaja dia
buat-buat tidak faham akan soalan lelaki itu. Aduh, rasa macam nak pengsan
sekarang ni jugak!
“Dengan saya, awak tak rindu ke?”
Mak! Tolong! Uzair buli orang! Jerit hatinya pula.
Ainul Husna semakin gelisah dengan soalan maut daripada Uzair itu. Sempat
dia melirik pada Ziela yang sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk.
Aku hempuk jugak budak ni karang!
“Kata Ziela, tadi awak kirim salam sayang rindu eh?”
Buat seketika, Ainul Husna tergamam. Seketika kemudian, anak matanya sudah
terarah tepat pada wajah Ziela. Sungguh! Dia langsung tidak akan menduga yang
perkara itu sudah sampai di telinga Uzair.
Aduh! Mana dia nak sorok muka ni?
“Ziela....awak cakap apa pada Doktor Uzair?” tanyanya pula pada Ziela.
“Eh, saya terlupa yang saya ada hal. Err, saya minta diri dululah ya.
Doktor Uzair, Doktor Husna,” cepat-cepat Ziela meminta diri untuk beredar dari
situ. Kalau dia terus berlama di situ, bimbang pula jika Doktor Husna turut
membabitkan namanya sekali. Dapat menguatkan diri untuk berjumpa dengan Doktor
Uzair pun sudah cukup bagus.
Sudahnya, tinggallah Ainul Husna seorang diri untuk berhadapan dengan
tunangnya itu. Dalam hati, berbakul-bakul marahnya dihadiahkan pada Ziela yang
sudah mencicit melarikan diri.
“Saya tunggu ni.” Tiba-tiba sahaja Uzair bersuara untuk memecahkan kebisuan
di antara dirinya dan Ainul Husna.
Ainul Husna tersentak. Matanya juga sudah melekap pada sepasang mata milik
Uzair.
Eh? Dia ada janji ke dengan Uzair?
“Saya nak dengar dari mulut awak sendiri. Betul ke awak kirim salam sayang
rindu pada saya?” terang Uzair pula setelah melihat Ainul Husna terpinga-pinga
itu.
Lah, rupanya tak habis lagi ke fasal kirim salam sayang rindu tu? Ingatkan
dah habis, bila Ziela beredar tadi.
“Err...perlu ke saya cakap depan awak? Tadi kan, Ziela dah cakap.” Ainul
Husna sengaja beralasan. Dengan harapan, Uzair tidak akan menagih kata-katanya
lagi. Tapi, kata-katanya itu langsung tidak berkesan pada lelaki itu.
“Alah, tadi tu Ziela yang cakap. Sekarang ni, saya nak dengar awak pulak
yang cakap. Betul ke, awak sayang rindu kat saya?” desak Uzair lagi.
Nah! Padam muka dengan aku sendiri. Tadi, suka sangat menyakat mak.
Sekarang dah terkena batang hidung aku sendiri, bebel Ainul Husna sendirian.
Ainul Husna telan liur. Entah kenapa dia merasakan tugas yang diberikan
oleh Uzair itu terlalu berat sekali. Kenapa mintak benda-benda sebegini? Kalau
Uzair suruh dia masak, rasanya lagi senang untuk dilakukannya daripada
mengatakan sayang dan rindu kepada lelaki itu. Walaupun, dia tidaklah terlalu
pandai dalam hal memasak itu. Sukar mengatakan sayang dan rindu, tak bermakna
dia tidak sayang dan rindukan lelaki itu. Cuma, dia....dia jenis yang tak
pandai meluahkan rasa hati. Tapi, kenapa Uzair seakan tidak memahami dirinya
itu?
Buat seketika, Ainul Husna terbatuk kecil. Cuba mengumpul segala jenis
kekuatan. Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya. Boleh ke dia tunaikan
permintaan Uzair itu? Dipandang lagi wajah mengharap lelaki itu. Aduh....tak
sanggup pulak untuk menghampakan lelaki itu.
“Saya...saya...” tergagap-gagap Ainul Husna untuk meluahkan sebaris
kata-kata keramat itu.
“Saya...?” ajuk Uzair pula yang sudah tidak sabar menantikan kata-kata
lengkap daripada Ainul Husna itu.
“....saya...ng....”
Belum pun sempat Ainul Husna menghabiskan kata-katanya. Dia sudah
dikejutkan oleh suara yang baru muncul itu.