Home Novel Cinta Hanya Untuk Dia
Hanya Untuk Dia
Nurul Izah
12/9/2013 13:29:22
70,332
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 8

Aku tiba di Lapangan Terbang Senai tepat pukul 3 petang. Tidak sukar mencari seorang lelaki yang bernama Najib kerana lelaki itu sudah pun menunggu di seberang jalan besar. Dia seolah sudah mengenali aku. Ketika aku hendak melintas, dia melambaikan tangan dan membuat isyarat supaya aku menunggu saja di sini.

Dari jauh aku lihat di melintas jalan dan menuju ke arah aku. Beg dimasukkan ke dalam kereta. Setelah pasti arah yang harus dituju aku mula memandu kereta. Najib juga meninggalkan nombor telefon. Dia kata takut aku sesat. Hampir satu jam aku memandu keluar dari Senai menuju ke arah Ulu Tiram. Itulah tujuan sebenarnya aku ke sini. Selain ingin melawat tapak, hatiku begitu kuat untuk aku memandu ke arah sana. Kampung halamanku.

Hari semakin petang, rasanya sudah tiga kali aku memandu di jalan yang sama. Aku mengeluh perlahan lalu memberhentikan kereta di tepi jalan. Keadaan jalan semakin sibuk, kereta yang lalu-lalang sudah mula bergerak perlahan menandakan kereta semakin banyak. Aku cuba bertanya kepada seorang wanita yang kebetulan lalu. Katanya aku sudah terlajak. Simpang yang Najib maksudkan tadi sudah terlepas jauh. Wanita itu menyuruh aku menghala ke kanan selepas trafik light dihadapan, satu kilometer dari situ aku akan lihat simpang Ulu Tiram.

Aku meneruskan perjalanan selepas pasti arah seterusnya. Semasa aku memberi tahu Johan niatku untuk ke Johor, lelaki itu berkali-kali menyuruh Pak cik Musa menghantar aku. Bukannya aku tidak mahu, tapi aku lebih selesa memandu sendiri memandangkan tempat yang aku tuju bukan hanya di sekitar Johor Bahru. Aku ada agenda sendiri, tidak sesuai rasanya kalau aku menyuruh orang lain yang menghantar. Selepas hampir lima belas minit memandu aku terjumpa papan tanda Ulu Tiram beberapa meter dihadapan. Aku mengucapkan syukur ke pada Allah, akhirnya aku sampai juga ke tempat yang aku tuju. Perasaanku semakin lapang, menyusuri jalan yang sedikit pun tidak berubah membawa aku kembali kemasa lalu. Hanya kanan dan kiri jalan yang semakin pesat dengan perumahan. Tapi keadaannya tetap sama, jalannya sudah lebih baik jika dibandingkan sepuluh tahun yang lalu. Hampir sepuluh minit aku memandu aku melihat satu papan tanda menunjukkan SMK Ulu Tiram lima ratus meter dihadapan. Aku tersenyum kecil, ingatan sepanjang menuntut ilmu di situ kembali. Lima tahun aku disitu, tempat yang menyimpan banyak kenangan. Tempat aku bertemu cinta pertama yang aku pertahankan sehingga kini. Aku masih ingat Pak Abu yang menjaga sekolah itu. Dia amat baik, selalu menegur aku. Adakalanya dia akan duduk berbual mengenai anak-anaknya apabila aku menunggu bas dipondok pengawal.

Aku melihat sekilas jam dipergelangan tangan. Hampir pukul enam petang. Aku memberhentikan kereta tepat di hadapan pintu pagar. Suasana sunyi, aku berdiri merenung jauh ke dalam. Sekarang musim cuti sekolah, itu sebabnya sunyi sepi.

“Cik, boleh saya bantu? Saya penjaga di sekolah ini?”

Aku tersentak lalu menghadiahkan senyuman kecil kepada seorang lelaki separuh abad yang berdiri dihadapanku.

“Kalau saya tak silap, dulu Pak Abu yang menjaga sekolah ini”

Lelaki itu mengangguk perlahan.

“Dia dah meninggal setahun lepas. Saya adiknya”

Innalillah……sayu menyentuh segenap ruang hati. Kalau dicongak dan dikira, arwah Pak Abu sudah hampir tujuh puluh tahun. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

“Anak bekas pelajar di sini?”

Aku tersenyum. Lalu mengangguk. Aku meminta kebenaran untuk masuk sebentar. Pada mulanya lelaki tua itu keberatan, tapi setelah aku pujuk dia membuka pintu pagar dengan syarat hanya beberapa minit saja aku boleh masuk. Lagipun katanya hari hampir senja.

Aku berjalan menyusuri tepi padang bola. Dulu disinilah aku menghabiskan masa bersama Azmi. Azmi adalah salah seorang pemain bola harapan sekolah. Namanya selalu menjadi sebutan untuk mewakili sekolah diperingkat negeri. Setiap kali ada perlawanan, aku dan Zahid akan datang untuk menyaksikan Azmi beraksi.

Aku terus menuju ke sebuah pondok di tepi taman Geografi. Aku melabuhkan punggungku, mataku terpaku pada sekuntum mawar merah yang mula layu diatas meja. Tiba-tiba jantungku berdegup laju. Az……ingatanku kembali pada Azmi. Ah……mungkin bukan dia. Tidak mungkin dia datang sejauh ini hanya untuk mengingati aku, mungkin orang lain. Lagipun aku tidak rasa ada lagi bibit-bibit cinta dimatanya seperti yang aku pernah lihat dulu. Dia sudah menganggap aku asing dalam hidupnya. Hanya aku yang terlalu naif dan masih setia dengan kenangan yang ada. Aku mengeluh kecil lalu aku letakkan semula bunga mawar itu ke atas meja. Mengenangkan lelaki itu, aku tidak memaklumkan tentang pemergianku ke sini.

Di pondok ini, aku dan Azmi selalu meluangkan masa bersama. Selepas habis kelas kami akan mengulangkaji di sini. Pandangan mataku beralih ke hujung jalan.

Kali pertama aku mengenali Azmi ketika di tingkatan empat. Azmi memasuki sekolah ini kerana tinggal dengan neneknya. Ayah dan ibunya berhijrah ke luar negara mengembangkan perniagaan arwah datuknya. Dia sendiri yang memilih untuk kembali ke sini. tambahan pula neneknya tinggal seorang diri. Pada mulanya aku tidak berapa menyukainya, bagiku orang Kuala Lumpur sombong. Melihat cara Azmi berpakaian sudah menunjukkan dia bukan sebarang orang. Cara dan gayanya begitu tersendiri. Baju yang dikenakan berjenama. Setiap apa yang dipakainya akan menjadi bualan di sekolah. Semenjak dia masuk sekolah, ramai perempuan yang cuba mendekati. Bahkan kawan ku sendiri sanggup berpatah arang denganku hanya kerana aku tidak menyukai Azmi. Entahlah, tapi aku memang bencikannya dan aku sentiasa cemburu dengan kelebihan yang dia ada.

“Kenapa kau benci sangat dengan Khairul? Bukannya kehendak dia mengalahkan kau. Tapi hakikat! Dia memang pelajar pandai”

Aku diam mendengar kata-kata Zahid. Semenjak dia masuk ke sekolah ini, reputasi aku sebagai pelajar cemerlang sedikit tercalar. Setiap kali peperiksaan penggal bermula, keputusannya pasti dia yang terbaik. Sedangkan perbezaan peratus antara aku dan dia tidaklah jauh sangat. Markahku hanya kurang dua mata berbanding markahnya. Kemarahanku semakin kemuncak apabila pertandingan Matematik yang seharusnya aku menjadi wakil ditukar kepada namanya. Alasan mereka markah ujian Matematiknya lebih satu mata dari markahku. Sedangkan itulah yang aku nantikan selama ini. Dengan menjuarai pertandingan itu, aku akan mendapat biasiswa.

“Dia dah mencabar Mira!”

“Ish kau ni Mira! persaingan tu normal. Lagipun secara sihat. Apa yang tak kena dengan kau ni. Dia pun dah banyak kali tanya dengan aku. Kenapa kau tak mahu tegur dia. Dia teringin sangat nak berkawan dengan kau”

Aku diam. Lalu aku bangkit meninggalkan Zahid yang menggelengkan kepalanya dengan perasaan marah yang meluap-luap. Aku sudah puas berusaha untuk memasuki pertandingan peringkat negeri itu, tapi akhirnya usaha ku selama ini sia-sia. Namanya juga yang menjadi pilihan. Sambil berjalan air mataku menitis. Itu impian aku untuk mewakili negeri. Bukan senang untuk menjadi wakil. Mereka akan pilih tiga orang saja di seluruh sekolah di Johor. Mereka akan memilih seorang tingkatan tiga, seorang tingkatan empat dan seorang lagi tingkatan lima.

Kemarahan aku telah membuat Azmi serba salah. Akhirnya seminggu sebelum pertandingan dia memohon cuti. Katanya neneknya tak sihat. Dia mencadangkan namaku sebagai ganti. Aku hanya sedar selepas habis pertandingan, Zahid yang memberitahu. Katanya Azmi ada di rumah, tidak kemana-mana, neneknya pun sihat. Dia menipu hanya kerana aku. Sebaik saja tiba di sekolah, aku terus menemuinya di padang. Itulah kali pertama aku berdepan dengannya.

Sorry. Saya tahu saya salah. Kalau bukan kerana saya awak takkan menipu pihak sekolah”

Azmi tersenyum kecil. Senyuman yang terlalu manis buatku. Aku renung wajahnya yang sedikit keputihan. Sudah lama aku kenal nenek Esah, adakalanya dia bercerita tentang kisah mudanya. Nenek esah bercerai dengan datuk Azmi kemudian dia ke sini selepas membeli tanah dan membuat rumah. Aku selalu berkunjung ke rumahnya sebelum ada Azmi. Tapi dia tidak pernah cerita mengenai cucunya. Apatah lagi mengenai anak-anaknya. Aku juga tidak menyangka dia ada cucu setampan Azmi. Dari Azmi baru aku tahu nenek Esah itu adalah emak tiri. Cuma Azmi yang agak rapat kerana nenek Esah pernah mengasuh Azmi ketika Azmi kecil.

“Saya tak kisah kalau itu saja cara untuk melembutkan hati awak. Saya ihklas nak berkawan dengan awak. Dari pertama kali saya jumpa awak. Saya sukakan awak.”

Aku diam seribu bahasa. Baru kali ini ada seorang lelaki yang berani mengakui perasaannya kepadaku. Selama ini ada juga lelaki yang suka mengusik. Tapi aku tahu mereka sekadar mengusik. Tidak lebih dari itu.

Semenjak kejadian itu, hubungan aku dan Azmi semakin rapat. Malahan ramai yang cemburu akan hubungan kami berdua. Walaupun akhirnya membuahkan rasa kasih, tapi kami tidak pernah lupa tanggungjawab kami sebagai pelajar. Setiap kali peperiksaan penggal bermula, keputusan terbaik pasti ditangan kami. Indahnya saat itu.

“Nak, hari dah petang”

Aku tersentak. Lalu menyeka saki baki air mata yang bertakung. Sebelum keluar aku menghulurkan not lima puluh ringgit sebagai sedekah kepada pak cik itu. Pada mulanya dia menolak, tapi selepas aku pujuk akhirnya di terima. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih. Katanya aku seperti seorang lelaki yang selalu datang setiap kali cuti sekolah. Katanya lagi lelaki itu juga suka duduk dipondok itu dan hanya akan pulang apabila hampir satu jam berlalu. Lelaki itu juga suka memberinya wang dan lelaki itu suka letakkan bunga mawar merah di atas meja.

Jantungku bagai direntap, Azmi ke?………benarkah dia, dia tidak pernah ungkit kisah itu. Masihkah dia menunggu aku, argh....tak mungkin. Mungkin hanya kebetulan. Ya Allah, kenapa aku harus mengingati lelaki itu lagi. Aku berlalu meninggalkan sekolah itu dengan seribu tanda tanya walaupun tahu tiada jawapannya. Aku cuba mengusir bayang-bayangnya.

Aku terus memandu sehingga sebuah papan tanda menunjukkan Jalan Melati. Kereta aku pandu kekiri memasuki lorong tersebut. Hari hampir senja. Walaupun lorong itu sedikit berubah, tapi aku pasti itulah jalannya. Aku ingat nama Jalan Melati yang tertera di papan uzur suatu ketika dulu. Jalan yang dulunya berdebu kini diturap cantik.

Aku cuba memandu perlahan sehingga ke satu simpang tiga dihujung jalan. Aku menghala ke kiri, dari jauh aku memandang sebuah rumah yang begitu uzur sekali. Aku berhenti tepat di bawah pokok rambutan yang hampir mati dimamah usia. Aku batalkan niatku untuk turun memandangkan hari hampir gelap. Suara kanak-kanak yang bermain-main di laman rumah sudah beransur sepi. Mataku berkaca, rumah usang itulah tempatku membesar. Ya Allah,……sudah hampir roboh menyembah bumi. Tiangnya sudah reput. Tapi pintunya kemas terkunci. Jelas mangga yang tergantung sudah berkarat tidak berusik. Seolah sudah lama ditinggalkan. Kembali kenangan lama yang membawa aku jauh dari tanah kelahiranku.

“Abang jangan mimpi nak ambil tanah ini. Ini tanah saya, peninggalan arwah emak. Lagipun orang tua itu sudah lama mewasiatkan tanah ini untuk Amira. Abang tak ada hak!”

Aku diam menikus disudut dapur. Bukan sekali aku dengar mereka bergaduh. Kali ini entah yang keberapa kali perkara begini terjadi. Kasihan ibu. Dulu, ayah seorang yang baik dan bertanggung jawab. Walaupun hanya seorang pemandu teksi tapi penuh dengan kasih sayang. Hidup kami tidaklah mewah, hanya sekadar cukup. Ibu tidak pernah merungut, pendapatan ibu sebagai tukang jahit dapat juga meringankan beban ayah.

Tapi, semenjak aku dengar ayah ada hubungan dengan seorang perempuan yang selalu menjadi penumpangnya, sikap ayah berubah. Ayah menjadi seorang pemarah. Ayah sudah berani memukul ibu. Aku juga pernah menjadi mangsanya. Aku dan ibu semakin kesempitan wang. Aku lihat ayah pun begitu. Sudah banyak kali ayah mahu menjual tanah ini. Tanah inilah yang menjadi rebutan sejak akhir-akhir ini. Tapi malam itu, ayah bagaikan syaitan yang kehausan darah manusia. Marahnya tidak seperti sebelum ini. Pukulan ayah yang bertalu-talu menyebabkan ibu tidak sedarkan diri. Aku yang berlari mendapatkan ibu juga menjadi mangsanya malam itu. Aku semakin lemah akibat menahan pukulan ayah yang semakin menjadi-jadi. Selepas ayah pergi, aku bergegas ke rumah Pak long. Malam itu juga kami hantar ibu ke hospital. Seminggu ibu koma, dan akhirnya ibu pergi meninggalkan aku sendiri. Pak Long dan Mak Long terpaksa memapah aku kerana aku tidak berhenti meratap di kubur. Semenjak hari itu setiap hari aku akan kekubur. Setiap hari aku menangis. Bila hari hampir petang barulah aku pulang ke rumah. Berkali-kali mak long memujuk menyuruh aku tinggal di rumahnya. Tapi langkah kakiku berat. Sudahnya rumah yang suram itu juga aku pulang. Walaupun gelap gelita, rumah itu juga yang melindungi aku di malam hari. Saban hari mak long datang menghantar makanan. Tapi aku hanya mampu menangis. Aku ingin pergi bersama ibu.

Genap seminggu ibu pergi. Ayah yang tidak pernah datang semenjak ibu dimasukkan ke hospital sehingga meninggal, tiba-tiba datang bersama seorang perempuan dan seorang lelaki.

“Ini mak cik Mona dan ini pak cik kamu, Ijan!”

Aku hanya merenung sepi. Episod duka dalam hidupku bermula ketika itu. setiap hari ada saja perkara yang akan membuatkan Mak cik Mona marah. Dan ……akulah yang akan menjadi mangsa ayah. Kemarahan Mak cik Mona adalah kemarahan ayah. Bukan Pak long tidak mahu membantu, tapi ayah pernah tegur Pak long kerana mencampuri urusan peribadinya.

Sehari sebelum SPM tamat ayah dan Mak cik Mona telah keluar awal pagi lagi. mereka hanya berpesan untuk menjaga rumah dan menyediakan makan untuk Ijan. Melihat mereka membawa sebuah beg besar menandakan mereka akan pergi untuk dua atau tiga hari. Malam itu, aku seperti biasa mengulangkaji pelajaran. Esok adalah hari terakhir SPM. aku tidur lewat dari biasa. Keadaan sunyi sepi, Ijan keluar dari petang tadi sehingga kini belum pulang lagi. Aku sudah berkali-kali menguap. Buku di atas meja aku kemaskan, peralatan untuk esok sudah siap di dalam beg sekolah. Tiba-tiba pintu bilikku dibuka kasar. Ijan berdiri dihadapanku, aku sendiri tidak sedar bila dia pulang. matanya merenung aku seperti mayat hidup. Aku tahu dia dibawah pengaruh dadah dan bau arak dibadannya menyedarkan aku bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku malam ini.

Malam itu menghancurkan segalanya. Meragut segala yang aku jaga selama ini. Malam itu juga aku nekad untuk melarikan diri selepas melihat tubuhku hanya berselimutkan kain sarung. Aku menangisi nasibku. Aku bencikan ayah! Ayah yang buatkan hidupku jadi begini, ayah hancurkan maruah ku!.

Usai saja kertas terakhir pada pukul dua petang, aku membawa diri. Tidak seorang pun sedar kehilangan aku petang itu. Tiada nota yang aku tinggalkan untuk mereka dan Azmi. Walaupun Azmi berkali-kali bersuara bertanya keadaanku yang kelihatan tidak bermanya, aku hanya menggeleng kepala. Aku cuba untuk memberikan Azmi senyuman untuk menghilangkan kerisauannya. Aku malu untuk mendampingi Azmi hari itu, aku cuba untuk mengelak dari bertemu dengannya. Zahid juga berkali-kali cuba bercakap denganku. Tapi aku endahkan. Aku tidak sanggup berdiri di antara mereka berdua selepas apa yang berlaku semalam.

Semasa keluar dari pagar sekolah, aku dengar Azmi dan Zahid cuba memanggilku, aku tidak sanggup memandang wajahnya lagi. Aku malu. Nasib menyebelahi aku kerana bas awam datang tepat pada masanya. Aku kuatkan semangat untuk pergi. Bagiku tiada apa lagi yang bermakna di sini, biarlah aku pergi membawa diri……… aku tak akan jejakkan kaki lagi di sini.

Azan Mahgrib berkumandang menyedarkan aku dari kenangan lama. Aku meraup wajah lalu menarik nafas panjang. Lama aku di sini! Ya Allah, berilah aku kekuatan. Aku teringat akan Johan yang sudah menempahkan sebuah hotel berdekatan Danga Bay. Aku terus memandu melewati beberapa rumah yang masih seperti dulu. Kawasan kampung sudah semakin sunyi. Aku berhenti di hadapan sebuah rumah bercat biru, lamannya yang luas mengingatkan aku kepada rumah Pak long dulu. Aku merenung rumah yang pintunya tertutup rapat.

Suasana sunyi, tapi cahaya lampu dari dalam rumah menunjukkan ada orang didalamnya. Aku terus mengamati rumah tersebut, sah! Itu memang rumah Pak long. Rasa hatiku berbelah bagi. Patutkah aku turun? Atau aku terus saja pulang? Niat untuk aku berpatah balik terkubur kerana perasaan rindu untuk bertemu dengan Pak long dan Mak long. Tapi……aku takut. Perlahan aku turun dari kereta lalu berdiri di muka pintu yang masih tertutup rapat. Samar-samar aku dengar suara Pak long dan Mak long dari dalam rumah. Suaranya masih seperti dulu, tidak berubah. Aku kuatkan semangat, pintu aku ketuk berulang kali dengan perlahan. Lama aku berdiri sebelum mendengar seseorang menuju ke pintu dan membuka kuncinya.

“Ya, cari siapa?”

Aku tergamam, wajah tua dihadapanku ku tatap lama. Puas mengamati wajah tua yang termangu menanti jawapan. Aku masih mengamati. Mencari persamaan wajah wanita yang banyak berjasa dalam hidupku. Dia memang Mak Long! Di sebalik garisan halus itu aku tafsirkan wajah dua belas tahun dulu. Wajah Mak long aku renung hiba. Rambutnya sudah hampir putih keseluruhan. Wajahnya sudah berkedut, jelas menampakkan usianya. Lama di menatap wajahku. Tangan tuanya menyentuh pipiku, aku biarkan air mataku jatuh di tangannya.

“Mira!” Suaranya yang serak masih mampu menjerit

Mak long memandang wajahku meminta kepastian. Aku mengangguk lemah lantaran rindu semakin tidak dapat dibendung. Pantas aku cium tangan mak long. Air mata tua Mak long mengalir laju ketika aku memeluknya.

Kemudian muncul Pak long dari dalam rumah. Lelaki itu masih tetap gagah walau usianya juga mengajak senja. Tegap dia berdiri di belakang isterinya meminta kepastian. Selepas Mak long mengangguk berulang kali, akhirnya dia tersenyum lebar. Tangannya diangkat tinggi mengucapkan syukur kehadirat Allah. Berkali-kali laungan Alhamdulillah keluar dari mulutnya. Kepalaku diusap penuh kasih sayang, dapat aku rasakan betapa mereka merindui aku. Dapat aku rasakan betapa mereka menanti kepulangan aku. Betapa aku rasakan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan. Berdosakah aku meninggalkan mereka? Segala persoalan aku buang jauh…aku sedar air mata mak long yang jatuh dibahuku meluahkan segalanya.

Pelukan kami terlerai apabila mendengar seorang lelaki memanggil namaku. Jelas! Dan aku kenal suara itu. Lama aku pandang wajah tua yang baru keluar dari dalam bilik. Wajahnya bersih, rambutnya sedikit basah mungkin baru saja selesai menunaikan sembahyang mahgrib. Lidahku kelu, wajah pak long dan mak long ku pandang silih berganti. Mereka menggangguk.

“Ayah!”

suaraku seakan tersekat, aku melangkah perlahan mendekati lelaki tua yang kelihatan lebih uzur berbanding pak long.

“Maafkan ayah, banyak dosa ayah kepada kamu. Maafkan ayah Mira, ayah bersalah menyebabkan kamu menderita” Serak suara ayah diiringi tangisannya. Tangisan yang seakan begitu asing aku rasakan. Tangisan yang tidak pernah aku bayangkan selama ini. Tangisan sesalan yang teramat sangat.

Sekali lagi aku tergamam. Tidak menduga lelaki yang menyebabkan aku jadi begini berdiri dihadapanku. Merayu dan memohon maaf kepadaku. Lelaki itu hampir melutut dihadapanku. Nasib baik aku pantas tersedar lalu mencempung badannya yang kurus itu. Tanganku basah dengan air matanya. Perlahan aku cium tangannya, lalu aku usap wajahnya. Kemarahan yang selama ini membuatkan aku pergi jauh hilang entah kemana. Yang ada kini hanya rasa kasih sayang, rasa sedih dan simpati. Rasa bersalah kerana pergi terlalu jauh membawa diri. Ya Allah besarnya kuasa Mu. Kau pertemukan aku semula dengan mereka di saat ini.


Previous: Bab 7
Next: bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.