Sepanjang berada di dalam kapal terbang aku tidak tenang.
Sesekali aku menjenguk keluar dari tingkap kapal terbang, hanya kepulan awan
yang kelihatan. Aku cuba untuk memejamkan mata. Bermacam-macam gambaran datang
menjenguk minda. Perjalanan ini terlalu lama kurasakan.
Tidak lama kemudian, ketua juruteruterbang mengumumkan
bahawa kapal terbang akan mendarat. Aku kembali memandang kearah tingkap, jalur-jalur
jalan raya dan deretan kereta mula kelihatan bagaikan semut. Deretan rumah
kelihatan tersusun rapi. Jantungku berdegup laju. Akhirnya aku pulang ke tanah
air.
Kapal terbang sudah mendarat di Kuala Lumpur
International Airport atau nama singkatannya
KLIA. Ketika menjejakkan kaki di KLIA, perasaanku berbaur resah. Pelbagai
tanggapan yang mula bermain difikiranku
ketika ini. Selepas mengira beg di dalam troli aku bergegas keluar menunggu
pemandu seperti yang dijanjikan.
Hampir setengah jam berlalu, aku semakin gelisah. Mahu
saja aku pulang semula ke Australia. Aku menolak troli ke sudut bangunan. Dalam
kegelisahan, aku terpegun dengan keunikan KLIA. Tidak seperti dulu, kini
Malaysia sudah semakin maju. Semasa aku meninggalkan Malaysia dulu, KLIA baru
dalam perancangan. Sepuluh tahun berlalu, terasa bagaikan mimpi.
“Sorry, mam…Are you Mrs Amira binti Ismail”
Aku terkejut, memandang seorang lelaki yang hampir
separuh abad itu tersenyum kepada ku
“Panggil je Amira” Aku tersenyum kecil. “Pakcik ke yang
jemput saya” Lelaki itu mengangguk
“Saya minta maaf sebab terlambat. Tayar kereta pancit
tadi, sudah lama ke Cik Amira menunggu?”
“Tak adalah sangat” Aku tersenyum kecil, cuba berkias
agar dia tidak berkecil hati walhal tadinya aku juga sudah bersungut, menyumpah
seranah.
Aku
mengikut langkahnya menuju ke arah kereta Honda City berwarna hitam. Selepas
memasukkan semua begku kedalam bonet kereta, lelaki yang memperkenalkan dirinya
sebagai Musa terus membukakan pintu dan mempelawa aku untuk duduk. Aku rasa
serba salah. Tidak pernah dilayan mewah begini.
Pak
cik Musa tersenyum kecil lalu menutup pintu kereta. Kereta meluncur laju
merentasi lebuh raya. Asing rasanya. Tidak puas tengok kanan aku menoleh pula
ke kiri. Rasa macam pelancong pula, lupa negara sendiri. Irama lagu yang
berkumandang lembut di corong radio sungguh mengasyikkan. Baru hari ini aku
mendengar lagu-lagu melayu. Selalunya aku hanya akan mendengar lagu melayu
apabila tiba Hari Raya. Itupun kalau aku berkunjung ke Kedutaan Malaysia. Di
rumah Mr Iskandar pun lebih kepada lagu-lagu barat. Maklumlah, anak-anaknya
semua lahir di sana. Tidak pernah sekalipun dengar mereka bertutur dalam bahasa
Malaysia.
Sudah
hampir setengah jam aku duduk di dalam kereta. Aku biarkan saja Pak cik Musa
memandu kereta, mahu bertanya terasa malu pula. Aku memerhati saja jalan yang
asing bagiku. Kiri dan kanan kelihatan deretan bangunan besar yang pelbagai reka bentuk. Melihat bangunan yang
tersergam indah, hampir terlupa aku di Malaysia. Begitu mengagumkan. Tidak
hairan kalau Malaysia sentiasa menjadi bualan di Australia.
“Ini
semua Pejabat Kerajaan. Green Hotel tak jauh dari sini”
Aku
tersenyum. Mungkin Pak cik Musa melihat wajahku yang hairan dan sedikit
bingung. Pejabat kerajaan pun cantik seperti hotel! Kereta itu membelok ke kiri
kemudian berhenti dihadapan sebuah bangunan yang berbetuk seperti istana.
“Kita
sudahpun sampai Cik Amira. Inilah Green Hotel.”
Aku
tersenyum kecil, boleh tahan! Sebaik saja membuka pintu kereta, seorang lelaki
datang menyambut kehadiran aku dengan senyuman.
“Welcome
Cik Amira. I am Johan. Saya minta maaf sebab biarkan Cik Amira menunggu
lama. Tadi Pak cik Musa call kata tayar pancit. Really sorry”
“Tak
apa, benda nak jadi”. Huluran tangannya aku sambut dengan perasaan berat. Bukannya
apa, di Australia mereka sudah tahu aku seorang muslim dengan melihat caraku
berpakaian. Setiap pelanggan yang datang selalunya tidak akan menghulurkan
tangannya. Kalau aku tidak sambut huluran tangan Johan, apa pula kata staf lain
yang sudah pun berdiri di pintu lobi. Semasa memasuki lobi hotel aku sudah
menjangkakan mereka sudah bersedia untuk menyambut kedatanganku.
Johan
membawa aku kesekitar Green Hotel, walaupun sedikit penat aku turuti langkah
Johan. Green Hotel dimajukan sendiri oleh Mr Iskandar sepuluh tahun dulu. Masa
itu katanya dia pertaruhkan kariernya sendiri untuk membina Green Hotel di
sini. Maklum sajalah ingin mengambil perhatian orang luar bukannya mudah apatah
lagi seperti kami, dari Malaysia. Kini Green Hotel tidak asing lagi di seluruh
dunia. Namanya cukup gah. Lagipun Mr Green peneraju utama Green Company adalah
seorang yang cukup disegani dalam dunia perniagaan. Bukan hotel saja yang
menjadi kebanggaan, tetapi beberapa perniagaan lain seperti pengangkutan dan
perladangan.
Kepetahan
Johan dalam berbahasa Inggeris sudah cukup untuk menunjukkan dia kelahiran luar
negara. Pelatnya dalam berbahasa inggeris terlalu lancar, lebih baik dari aku.
Ada kalanya aku akan jawab saja dalam bahasa Melayu, aku rasa lebih selesa.
Setelah puas berjalan, dia mempelawa untuk makan tengah hari.
Johan
membawa aku ke tingkat enam. Rose Cafe di tingkat enam ini dibina khas untuk
pengunjung yang sukakan suasana tenang dan romantik. Dari tingkat tersebut kita boleh melihat pemandangan
seluruh tasik Putrajaya. Begitu menakjubkan. Berkilauan seperti berlian disinar
mentari. Baru saja kami melabuhkan punggung, seorang lelaki datang menyertai
kami berdua..
“Cik
Amira, ini Mr Wong. Mr Wong yang menguruskan segalanya di sini”
Seperti
tadi, huluran tangan Mr Wong aku sambut dengan berat. Mungkin mereka merasakan
aku sudah biasa dengan budaya itu di Australia.
Tengah
hari itu kami bertiga menjamu selera sambil bertukar pendapat mengenai pasaran
hotel di Malaysia. Johan juga ada menerangkan pendekatan yang diambil oleh
mereka untuk membuat promosi di luar. Di Malaysia, pelanggan utama adalah orang
luar yang datang berurusan dengan kerajaan. Baru-baru ini menteri luar dari
negara Arab Saudi datang mengunjungi Perdana Menteri. Mereka dan para pembesar
yang lain menyewa hampir separuh dari bilik yang ada. Adakalanya jabatan
kerajaan juga menyewa disini untuk membuat persidangan. Selebihnya bergantung
kepada sambutan yang selalu diadakan di Malaysia. Ramai pelancong yang datang
menginap di sini kerana Putrajaya adalah salah satu destinasi perlancongan.
Tambahan pula pelbagai acara menarik kerap kali diadakan di sini untuk menarik
pelancong datang. Johan kata, baru-baru ini ada pesta bunga dan juga hias
taman. Masa itu, Green Hotel menjadi pilihan utama orang yang datang dari jauh
untuk menyaksikannya. Tidak sia-sia usaha Mr Iskandar membangunkan Green Hotel
di sini.
“I
sudah aturkan temujanji Cik Amira dengan Akira Holding. Mereka salah satu
syarikat hartanah terbesar di Malaysia. Sudah banyak projek di bawah Green
Hotel yang memakai khidmatnya. Mereka profesional dan teliti dalam menjalankan
sesuatu projek.” Mr Wong memberi penerangan. “ Kalau you tak kisah, I
nak Johan temankan you selama you di sini. Sambil tu, I
sebenarnya nak buat renovation di beberapa tempat. I nak minta
pendapat you. Satu lagi, esok malam kebetulan kita nak mengadakan Dinner
dengan beberapa orang ternama yang terlibat dengan Green Hotel. Sebenarnya, itu
juga salah satu makan malam amal yang Mr Iskandar anjurkan untuk mengutip derma
bagi tabung kemanusiaan. Kami mengadakan majlis itu dua tahun sekali.
Sepenuhnya dianjurkan oleh Green Hotel yang dibiayai oleh Mr Iskandar sendiri.”
Aku
terkejut. Tidak pernah lelaki itu bercerita mengenai majlis amal yang sudah
banyak kali diadakan di sini.
“Kalau
Cik Amira ada masa, nanti kita sama-sama bincangkan pasal renovation tu” Mr
Wong menyambung lagi.Aku mengangkat kening. Tiada apa cacat celanya, semuanya
diatur dengan baik dan begitu sempurna. Tidak lama kemudian datang seorang
pelayan menghidangkan pencuci mulut. Sebaik saja pelayan itu beredar, Mr Wong
menyambung kata-katanya.
“You are someone, Green Hotel is
yours…… I want to know anything else…or you want to change”
“Ish…Mr
Wong ni. Saya datang pun kerja juga. Jawatan saya lagi rendah dari Mr Wong. I
ni Cuma ‘kerani’ aje. Macam Johan juga”
“Kalau
macam saya, takkanlah Green Hotel sanggup hantar Cik Amira ke sini..... Negara
kita seharusnya bangga kerana ada seorang rakyatnya sedang mencipta nama di
luar sana. Saya kagum dengan kebolehan Cik Amira”
“Hmmm...
itu semua tak seberapa Encik Johan, Mr Wong... banyak lagi yang saya tak tahu
dan perlu belajar dari kalian berdua. Share yang mereka bagi bukanlah besar
sangat kalau nak dibanding dengan Share yang ada pada Mr Iskandar.”
Mr
Wong tergelak kecil.”Tak banyak pun…tapi lebih dari gaji I sekarang.”
Aku
turut ketawa dengan gurauan Mr Wong. Memang tidak dinafikan. Saham yang ada
dikira dalam US dollar. Pastilah banyak kalau dibandingkan dengan mata wang
Ringgit. Aku boleh menerima puluhan ribu ringgit bahkan pernah hampir mencecah
ratusan ribu apabila Green Hotel mencatat keuntungan yang besar. Aku tidak
pernah ambil tahu semua itu. Aku hanya tahu untuk bekerja dan menjalankan
tanggungjawab yang diberikan.
“I
respect dengan you Cik Amira.
Lama di sana, tapi masih fasih bahasa Malaysia. Masa mula-mula I tahu you
yang nak datang, I terkejut besar. Tak sangka pula ada orang Melayu di
sana selain Mr Iskandar. I pun kurang mendegar cerita pasal you
dari Mr Iskandar. Tapi kenapa baru ni you datang, bukankah you
sudah lama dengan Green Hotel?” Johan menyambung perbualan.
“Saya
biasanya buat di London atau di Paris. Tapi saya jarang nak keluar sangat, saya
lebih selesa berada di pejabat. Saya ni tetap orang Melayu. duduk lama di sana
pun tak boleh berubah juga kulit ni. dah namanya keturunan Melayu.” Aku
tersenyum diikuti ketawa Johan dan Mr
Wong.
Selepas
makan mereka menunjukkan ruang pejabat dan juga bilik tempat aku memulakan
tugas nanti. Kemudian mereka menghantar
aku menuju ke bilik hotel. Sudah menjadi kebiasaannya kami yang bertugas di
luar akan tinggal di hotel. Hanya bezanya kami akan diberikan hotel tak ubah
seperti apartment. Jadi rasa seperti tinggal di dalam rumah.
Esok
aku harus bersedia dengan draft perancangan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat
bersama Akira Holding. Mengingat akan hal tersebut, tiba-tiba hatiku berdetik.
Aku lupa bertanyakan wakil yang akan menemui kami esok. Sekurang-kurangnya aku
harus tahu latar belakang syarikat tersebut sebelum duduk semeja esok. Petang
ini rasanya aku harus mencari dalam internet serba sedikit berkenaan Akira
Holding. Hmmm... cantik nama tu, Akira... Amira... Akira.... Amira... aku
ketawa kecil.
Jam
sudah menunjukkan pukul enam petang, aku masih menatap skrin komputer. Akira
Holding salah satu syarikat yang menguasai bursa saham. Penglibatannya dalam
perniagaan hartanah cukup memberi impak kepada negara. Kebanyakannya hampir 60%
hartanah di Malaysia di bawah kelolaannya. Aku cuba mencari organisasi di
syarikat tersebut. Hmmm... Dato'
Mahmud, peneraju utama Akira Holding. Menetap di London dan syarikat ini
adalah syarikat keluarga yang pemegang sahamnya terdiri daripada adik
beradiknya sendiri. Di Malaysia, anaknya yang menguruskan syarikat tersebut
untung jadi anak orang kaya ni, dilahirkan dengan limpahan harta. Habis belajar
sudah ada kerja yang menanti. Tidak seperti aku yang harus bermula dari bawah,
pernah menjadi pelarian sebelum mendapat taraf penduduk tetap di sana.
Komputer
riba di tanganku ku tutup. Terasa letih seluruh badan. Aku merenung beg di
sudut bilik, malas rasanya mahu mengemas. Aku merebahkan badanku di atas tilam,
Ya Allah penatnya. Jam di pergelangan tangan aku renung sejenak. Nasib baik
mereka melepaskan aku akhirnya, sekurang-kurangnya aku boleh berehat seketika
sebelum malam semakin hampir. Baru saja menutup rapat kelopak mataku telefon
bimbit disisku berbunyi. Aku mengeluh kecil.
“Hei!
Apasal balik tak cakap dengan akak. Akak rasa macam mimpi masa dapat mesej dari
Mira tadi. Akak ingat bergurau. Lepas akak cornfirmkan dengan Green
Hotel, baru akak percaya Mira sudah balik sini.”
Hilang
rasa mengantuk yang tadinya meluap-luap. Suara Kak Ju jelas di talian. Aku
dapat melihat riak wajahnya ketika ini walaupun dia tidak berada di depan mata.
Aku tersenyum kecil. Rindu datang menerpa. Sudah hampir tiga tahun aku tidak
bertemu dengannya. Kesibukannya dengan butik yang baru berkembang menyebabkan
dia jarang menjenguk aku di Australia.
“Kak,
bagilah salam dulu. Mira baru nak call akak.” Aku cuba menipu dia, sedangkan
aku sebenarnya sudah lupa untuk menghubunginya semula. Semasa sampai saja di KLIA, aku cuba menghubungi
dia, tapi tiada jawapan. Lantas aku terus saja menghantar pesanan ringkas
sambil menunggu Pakcik Musa datang.
Aku
memberi alasan, entah kenapa kali ini aku terlupa untuk menghubunginya dulu
sedangkan aku pernah berjanji dialah insan pertama yang akan aku hubungi
seandainya hatiku tergerak untuk pulang.
“Mira
tak sangka pula ke sini. baru semalam Mira dapat surat. Kelam kabut sikit, lupa
pula nak call akak”
“Mira
di mana ni, ada tempat tinggal ke?”
Mira,
di hotel” Aku mula mendengar leterannya. Sah…… Kak Ju dah marah. Tidak berapa
lama aku dengar Kak Ju menyatakan hasratnya untuk datang menjemput aku. Aku
kehilangan kata, aku dengar telefon sudah dimatikan.