Pagi-pagi lagi aku
sudah bangun. Aku dan Zahid akan menziarah pusara ibu. Pusara yang begitu
tenang pagi itu. Setenang hatiku. Terbayang senyuman ibu ketika aku memandang
batu nisan yang terukir namanya. Air mataku jatuh di pipi. Dalam keheningan
pagi, aku membaca surah yasin semoga roh
ibu dicucuri rahmat dan tenang bersemadi. 'Ibu, nanti Mira datang lagi'.
Ketika kabus pagi hampir hilang barulah
aku dan Zahid beredar. Zahid tersenyum sekilas. Sepanjang perjalanan pulang,
Zahid membawa aku mengelilingi kampung melewati beberapa rumah rakan sekolah.
Mengimbau kembali zaman remaja yang baru mengenal dunia.
“Zarina dah kahwin dengan orang Perlis, sekarang menetap
di sana. Hanum dengan Jamila sudah
pindah pulang ke kampung ayahnya. Kebetulan
ayah mereka naik pangkat. Rumah tu orang dah beli. Dengar cerita mereka
berdua sudah mendirikan rumah tangga dan menetap di Johor. Kawan-kawan kita
hanya tinggal beberapa kerat aje. Lagipun masa dulu ramai yang sekadar menyewa.
Habis kerja di sini mereka berhijrah. Yang lain ramai di KL.”
Aku mengangguk mendengar cerita Zahid. Mereka boleh
dikatakan antara sahabatku di sekolah. Zarina yang selalu menolong aku
menyiapkan projek Sains Pertanian walaupun memakan masa hampir satu hari di
sekolah. Hanum dan Jamila pula adik
beradik yang dilahirkan pada tahun yang sama. Mereka berdua selalu meminta
tunjuk ajar mengenai subjek Matematik. Mereka juga yang selalu mengusik aku dan
Azmi. Masing-masing sudah dewasa, ada keluarga sendiri.
Sampai di rumah, aku melihat mak long sedang sibuk
menyiapkan sarapan pagi. Masih ada empat jam sebelum kembali ke Kuala Lumpur
aku membantu mak long di dapur sambil berbual dengan zahid. Kasihan Zahid, hari
ini dia terpaksa menambah cutinya. Dia sudah bercadang untuk menghantar aku ke
lapangan terbang. Zahid juga berjanji akan menghantar semula kereta yang aku
sewa tempoh hari.
“Mira, minggu depan jadi balik kan? Mira telefon Mak Long
selalu ya. Nanti kalau dah sampai sana telefon
Mak Long”
Aku tersenyum. Pasti wanita itu takut aku tidak akan
kembali.
Aku kembalikan jiwa dan ragaku
Ke teratak usang yang menyimpan
segala duka
Aku kembalikan seluruh ingatanku
Walau pedih aku tidak ingin lari lagi
Usah gusar wahai yang merindu,
Usah gusar wahai yang menunggu,
Aku ke sini kerana aku juga merindui
Haruman wangi
Dari tanah tempat aku dilahirkan.
Kerana, Aku menanti sebuah cinta
pastinya untuk aku bawa ke hari tua
kerana aku menunggu redupnya kasih
Menaungiku hingga akhir hanyatku
Aku senyum, senyum seindah suria pagi