Bab 5
MALAM itu, tanpa
berlengah Aliff Wafhi mengkhabarkan sesuatu yang begitu penting kepada Haji
Fuad. Dia berpendapat tidak perlu
menunggu sehingga hari esok untuk memberitahu berita itu.
“Saya
tak tahu nak cakap macam mana. Sue dah nekad,” kata Aliff Wafhi.
Haji
Fuad melepaskan keluhan. Sedikit
sebanyak jiwanya dipalu kebimbangan. Bimbang anak saudaranya itu membuat
keputusan yang salah. Dia perlu berbuat sesuatu agar rancangan yang diatur
berjalan lancar.
“Apa
kita nak buat pak cik?”
“Yakinkanlah
dia syarikat Sempurna Nacco memerlukan staf yang berdedikasi sepertinya.” Haji
Fuad meluahkan buah fikirannya. Kerisauan jelas kedengaran dari nada suaranya.
Umpama kekuatannya turut dibawa pergi andai apa yang dihajati tidak berlaku
seperti yang diharapkan.
“Tapi,
saya rasa saya tahu apa nak buat.” Aliff Wafhi bersuara yakin.
“Apa
rancangan kamu?” tanya Haji Fuad tidak sabar.
Dia
tidak dapat memberitahu Haji Fuad tentang rancangannya. Lantaran tidak
pasti menjadi atau tidak telahannya itu. Cuma, dia perlu sedikit masa. Dia
faham sangat Intan Suhaila tidak mudah membuat sesuatu keputusan tanpa
dinilai terlebih dulu. Sudahnya, perbualannya dengan Haji Fuad terhenti saat
lelaki separuh abad itu memohon diri untuk meletakkan gagang telefon.
Dalam
kelam malam Aliff tersenyum penuh makna. Dia tidak mengharapkan apa-apa
balasan. Segala apa yang dilakukan, hadir ikhlas dari hati. Namun begitu, apa
jua saranan Haji Fuad diikut juga. Selebihnya dia hanya mampu berdoa yang
terbaik buat gadis manis itu.
“Apa
kena dengan kau ni? Senyum sorang-sorang. Dalam gelap pulak tu!” Puan Latifah
menyergah sebaik sahaja menuju ke ruang tamu.
Tersentak
Aliff Wafhi dibuatnya. Mujur sahaja telefon bimbit tidak terlepas dari
genggaman tangannya.
“Mak ni
buat terperanjat Wafhi aje. Wafhi ingat mak dah tidur?”
“Mak
turun ke dapur nak minum. Dahaga sangat. Kau ni pun satu, duduk dalam gelap
siapa suruh. Mujur mak perasan kamu yang duduk atas kerusi tu. Kalau mak ingat
pencuri ke, macam mana? Teruk mak kerjakan kamu,” jawab Puan Latifah.
‘Boleh
tahan mak aku ni. Aku duduk dalam gelap pun dia boleh nampak aku. Padanlah nampak,
ada mata empat. Hihihi, layak jadi detektif ni.’ Aliff Wafhi tersengih sahaja.
“Mak... mana
ada pencuri dekat kawasan rumah kita ni. Kawasan taman rumah kita ni belum
pernah diserang hendap pencuri. Alhamdulillah mak, Allah melindungi kita
semua,” ujar Aliff Wafhi sambil tersengih.
“Alhamdulillah,
mak harap pun macam itulah. Kita semua sentiasa dalam lindungan Allah. Tapi, janganlah
cakap takbur. Allah tak suka,” sambut Puan Latifah.
“Betullah
cakap mak tu. Mak jangan risaulah, Insyaallah Allah makbulkan doa kita tu,”
balas Aliff Wafhi lagi.
‘Kasihan
anak bujang aku seorang ini. Nak kata tak kacak, terlebih handsome. Tapi, membujang sampai sekarang. Umur dah 30 tahun. Masih
hidup sendiri. Bilalah agaknya aku dapat main dengan cucu.’ Giliran Puan
Latifah pula separuh berbisik.
“Mak
cakap apa, mak? Wafhi tak dengar,” tanya Aliff Wafhi dengan dahi berkerut.
“Mak
cakap jangan lupa kunci pintu grill. Mak nak naik tidur. Esok nak bangun awal.
Kau tu jangan tidur lewat sangat.” Pesan Puan Latifah.
Puan
Latifah ketawa geli hati. Nasib baik anaknya itu tak dengar. Kalau dengar
sampai esoklah berbalah pendapat.
‘Silap-silap
tak tidur malam aku...huhu.’ Hati kecil Puan Latifah berbisik lagi.
Iyelah
mak. Selamat malam. Kejap lagi Wafhi tidurlah.”
Aliff
Wafhi bangun berdiri menghadap tingkap ruang tamu rumahnya. Saat merenung dada
langit yang hitam pekat, indahnya panorama itu dihiasi taburan bintang yang
bersinar terang. Bulan pun tersenyum malu menyerlahkan cahayanya menerangi
alam. Ketenangan tika itu lebih dirasai meresap lembut ke hujung sanubari. Dia
terus melarikkan senyuman penuh makna ke arah rumah Intan Suhaila. Sebaris doa
meniti di bibir semoga kehidupan gadis dan ibunya itu terus disimbahi
warna-warna kebahagiaan buat menerangi kanvas kehidupan yang pernah suram dan
lesu tidak bermaya.
BERTEMAN
bintang-bintang yang bersinar terang, duduk Haji Fuad di atas kerusi
malasnya di hadapan balkoni bilik. Sesekali keluhan berat dilepaskan. Tubuh
yang dibungkus kedinginan tidak dihiraukan. Tidak dapat dibayangin perasaannya
kala ini. Terlukis peristiwa lampau yang mengguris tangkai hatinya. Betapa daripada
akibat apa yang berlaku telah membunuh sebuah kebahagiaan yang terbina kukuh.
Tersayat
hatinya melihat penderitaan orang lain. Dia tidak sanggup lagi melihat
kejatuhan insan yang amat disayanginya itu. Cukuplah hanya sekali. Lantaran
itulah dia berusaha memberi yang terbaik. Meskipun nanti kebaikannya itu
disalahertikan.
“Abang?”
Panggil si iseri yang datang ke sisi sambil menatang dulang berisi minuman coklat
panas.
Haji
Fuad berbalas senyum dengan isterinya yang tidak pernah surut perhatian dan kasih
sayangnya. Walaupun mahligai bahagia yang dibina tanpa kehadiran zuriat,
kasihnya pada wanita itu tidak pernah berubah. Setiap pengorbanan yang
diberikan dibalas dengan cinta yang menggunung.
“Jauhnya
abang termenung? Fikirkan apa?” tanya si isteri prihatin.
“Abang
teringatkan anak saudara kita. Abang takut apa yang abang usahakan tidak
menemui hasil.”
“Abang
sudah melakukan yang terbaik. Insyaallah, Maria yakin dengan izin Allah apa
yang kita harapkan menjadi kenyataan,” kata Puan Maria bijak memujuk.
“Iya...mudah-mudahan
Allah mendengar bisikan doa kita,” sambut Haji Fuad sambil tersenyum.
“Esok
pagi kita berangkat ke rumah Yayasan Kasih ya, abang? Kita minta tolong Hajah
Sabariah dan anak-anak buat solat hajat. Sama-sama kita berzanji dan buat
tahlil sekali.” Puan Maria memberi pendapat. Baginya, doa anak-anak yatim lebih
mustajab dan diterima Allah SWT.
“Elok
juga tu. Sudah lama kita tidak ke sana.”
“Rindu
benar hati ini bang, pada anak-anak comel tu!” Kasih Puan Maria pada anak-anak yatim di rumah Yayasan Kasih yang dikendalikan Hajah Sabariah itu tidak berbelah bahagi. Sudah dianggapnya anak-anak itu sebahagian daripada hidupnya. Sesekali dibawanya berjalan dan pergi berkelah. Hanya itu yang mampu diberikan untuk menceriakan hari-hari mereka tanpa kehadiran insan tersayang.
“Iyelah,
abang pun sama. Siapa lagi yang mereka harapkan selain kita yang berkemampuan
ni,” ujar Haji Fuad sambil menghirup minuman coklat yang sudah menipis rasa
panasnya itu.
“Jomlah
kita tidur dulu. Dah lewat sangat ni.
Pagi-pagi esok Maria nak buatkan kek coklat. Buah tangan Maria untuk
budak-budak tu,” kata Puan Maria sebelum bangun dari tempat duduknya.
“Elok
sangatlah tu. Sesekali bawa kek bukan main sukalah budak-budak tu nanti,”
sambung Haji Fuad teruja bagai ternampak keletah riang anak-anak itu di ruang
matanya. Sebelum berlalu ke dalam, minuman coklat yang tinggal separuh
dihirupnya sekali lalu.