‘Tahulah nasib kau
Ibrahim, bila kau pulang nanti. Kau takkan terlepas dari genggaman aku. Kau
ingat senang, nak lupakan semuanya?’
Dia syak, Ibrahim dalam
diam tanpa pengetahuannya telah pergi berubat. Yakin benar, rahsianya kini
berjaya dihidu oleh orang terdekat. Siapa lagi yang disyakinya kalau bukan
bekas madunya itu.
Ketidakpuasan hati yang
dipendam terhadap bekas madunya itu telah membunuh rasa belas kasihan di dalam
dirinya. Segalanya disebabkan api dendam yang diciptanya sendiri kembali
menghantui dirinya.
‘Aku takkan biarkan Ibrahim
datang menemuimu Suria. Aku takkan biarkan! Kau tunggu nasib kau Suria. Kau
tunggu!’ Jerit Puan Fauziah di hadapan cermin bingkai di meja soleknya.
Penyakit hati, seperti
rasa dendam, iri hati, dan dengki yang menguasai hati Puan Fauziah sudah sampai
ke tahap membimbangkan. Dia lupa pada kekuasaan Allah yang mengatasi segala
kekuasaan. Barangkali dia sepatutnya beringat, bahawa harta benda dan kedudukan
yang bersifat duniawi itu selamanya tidak kekal. Paling jauh dan lama,
sepanjang hidupnya sahaja, bahkan mungkin sebelum itu.
“ADA apa mama nak jumpa dengan Farah nie? Sekarang kan waktu kerja?”
Farah menyapa mamanya
sebaik sahaja menemui mamanya di lobi, tempat kerjanya. Dia melihat sekeliling,
bimbang ada yang melihatnya kelibatnya di situ bersama mamanya. Dia tidak
bersedia untuk memperkenalkan mamanya kepada sesiapa pun rakan sepejabatnya. Lebih daripada itu,
dia juga tidak mahu dituduh main-main sewaktu bekerja. Cukuplah sekali bulan
lepas dia dikenakan tindakan disiplin kerana gagal menyiapkan laporan kewangan
syarikat seperti mana yang dikehendaki majikannya.
“Mama perlukan duit,
sayang!”
Farah menjegilkan matanya
sambil memeluk tubuh.
“Mama ni... kan sejumlah
wang dimasukkan ke akaun mama setiap bulan? Tak cukup lagi ke duit yang Pak Cik
Mail bagi tu?”
Meskipun perlahan,
kerasnya nada suara Farah menampar cuping telinga Fauziah. Dia menelan air
liurnya. Terasa pahit.
“Duit belanja tu untuk
bayar ansuran kereta, buat bayar bil telefon, api, air lagi, buat belanja
Faizah lagi. Selebihnya untuk belanja dapur. Manalah cukup,” kata Fauziah.
“Mama kata tak cukup? Mama
buat apa dengan RM5,000 setiap bulan tu? Bayar ansuran kereta tak sampai
RM1,000 sebulan. Rumah pulak... sewa tak kena bayar. Cukup apa untuk buat
belanja dapur, bayar bil semua dan lebih daripada cukup untuk menabung.”
‘Manalah cukup. Setiap
minggu mama ada macam-macam aktiviti. Pergi spa dengan kawan-kawan mama yang
ada status. Pergi seminar kawan mama yang masing-masing punya nama dalam business. Kadang-kadang mama beli
aksesori mahal semata-mata nak jaga harga diri mama di mata kawan-kawan mama
tu. Adakalanya hendak menjaga hati kawan-kawan mama, mama beli produk yang
dijual dia orang tu. Ish! Takkanlah aku nak kena bagitahu anak aku, apa yang
aku buat dengan duit belanja tu. Tak pasal-pasal kena sembur dengan anak
sendiri.’ Detik hati Fauziah.
“Kenapa mama diam?”
“Hujung minggu ni mama ada
dinner dengan kawan mama. Mama tempah
baju baru. Tapi, mama nak kena jelaskan bayaran esok. Duit mama tak cukup.”
“Berapa harga baju mama
tu?”
Mendengar kata-kata anak
gadisnya itu, wajah Fauziah ceria sedikit.
“Tak mahal... RM1,500 aje.
Nanti bila mama ada duit lebih mama bayarlah balik.”
“RM1,500 mama kata murah.
Mama... seumur hidup Farah tak pernah pakai baju semahal tu. Mama bukan main
lagi.”
Merah padam wajah Farah.
Langsung tidak menyangka mamanya sendiri sanggup berhabis duit semata-mata
kerana sepasang baju.
“Nanti mama gantilah balik
duit Farah tu. Mama pinjam aje.” Fauziah memujuk rayu anaknya lagi.
“Habis tu, pinjaman bulan
lepas bila mama nak bayar?”
“Farah nak tolong mama ke
tidak ni?” pertanyaan berbalas pertanyaan juga.
“Kalau Farah kata tak,
macam mana?”
Farah masih lagi
berteka-teki dengan mamanya.
Saat itu Farah terpandang
kelibat seorang anak muda yang sedang menapak keluar dari pintu lift. Farah
kenal lelaki itu. Rakan sejabatannya yang berjaya mencuri hatinya.
Wajah cemberut mamanya
dipandang sekali lalu.
“Yelah... yelah, kali ini
Farah tolong mama. Tapi, untuk kali nie aje. Lain kali pandai-pandailah mama
ikhtiar sendiri. Tapi, sekarang ni Farah tak ada cash. Farah bank ini je nanti.”
“Bila tu?” tanya Fauziah
tidak sabar.
“Petang-petanglah lepas
waktu kerja.”
“Betul ke Farah?
“Betullah mama. Cepatlah
mama balik... ikut pintu belakang. Boss Farah ada dekat depan.”
Farah berbohong. Dia
menarik lengan mamanya menuju pintu belakang lobi syarikat.
Sebaik sahaja mamanya
hilang dari pandangan mata Farah, anak muda yang dikenali Farah tadi, menapak
ke arahnya.
“Eh, Farah... buat apa you dekat sini?”
Farah terjerit kecil
kerana terkejut dengan sapaan lelaki itu.
“Sorry... tak sengaja,” jawab lelaki itu sambil tersenyum.
“Never mind... ada orang jumpa I
tadi sampaikan pesan. Dia dah balik dah.”
“Pesan?”
“Kawan mama I kut. Pesan sesuatu... suruh I bagitahu mama I.”
Entah ke berapa kali dia
menipu. Dia tiada pilihan kerana bimbang lelaki itu akan memandang serong
kepadanya. Perkenalan mereka masih baharu bermula. Dia tidak mahu disebabkan
hal sekecil itu, impiannya tidak kesampaian.
“You ni... keluar waktu kerja ni tak apa ke?”
“Karang tak pasal-pasal
kena lagi macam mana?” tanya anak muda itu.
“You tolong I lah kali ni,
Zam. Janganlah kasi tau sapa-sapa, okey?”
“Okey... janji you temankan I malam ni.”
“Oh... never mind. Kita nak ke mana?”
“Adalah... rahsia.”
“Oh... nak berahsia
pulak.”
“Malam nanti you tahulah tempat tu. Istimewa untuk you,” jawab Zamri sambil tersenyum. Senyuman
itulah yang menawan hati Farah.
“Apa-apa jelah you ni.”