Bab 2
SELESAI mengerjakan solat subuh, Intan Suhaila kembali
berbaring. Dia ingin melelapkan matanya buat seketika. Penat sangat matanya
kerana malam tadi dia ketiduran saat leka membaca majalah yang baharu dibeli. Sedar-sedar
sahaja azan subuh sedang berkumandang.
Baharu
sahaja hendak melelapkan matanya, kedengaran ketukan di pintu bilik.
“Masuklah
ibu. Pintu tak berkunci.” Dengan mata yang terpejam, Intan Suhaila mempelawa.
“Sayang,
dah solat?” tanya Puan Suria di muka pintu. Direnung raut wajah anak yang
disayangi itu. Raut wajah itu kelihatan tidak bermaya. Mungkin juga kelelahan
kerana semalaman tidak cukup tidur, desis hati kecil Puan Suria.
“Dah
ibu.” Intan Suhaila menjawab pendek dengan mata masih terpejam.
Puan
Suria melabuhkan punggung di sisi anaknya itu. Rambut ikal anak gadis itu
dibelai sayang. Cantik anak gadisku ini. Tak sangka sudah besar panjang pun
dia, hatinya bermonolog lagi.
“Bangunlah
mandi, sayang. Bagi segar mata tu.”
“Masih
pagi, ibu. Mengantuk ni.”
“Semalam
tidur pukul berapa? Tidur lambat tidak bagus untuk kesihatan,” tegur Puan Suria
lembut bernada tegas.
“Entahlah,
tak sedar pukul berapa. Sue leka baca majalah. Pukul satu pagi kot.” Intan
Suhaila meneka.
“Hmmm...baca
majalah sampai lewat pagi? Apalah yang menarik sangat tu?
“Hmmm...”
Intan Suhaila tidak menjawab. Hanya senyuman yang terukir di bibirnya.
“Jangan lambat
sangat bangun. Ibu nak ajak Sue temankan ibu ke satu tempat,” ujar Puan Suria
sebelum berlalu. Dengar atau tidak anaknya itu, Puan Suria tidak peduli lagi.
Apa yang penting dia perlu pantas menyegerakan kerja-kerjanya.
Hampir
jam lapan Puan Suria sudah siap membasuh. Selesai membasuh dia menjemur pakaian
di balkoni tingkat atas. Kemudian dia bersolek dan bergaya anggun. Berkali-kali
dia menggayakan pakaian yang dipakai di hadapan cermin. Sehelai jubah warna unggu muda elok tersarong
ditubuhnya, Setelah berpuas hati,
dia menapak keluar dari kamar beradu untuk turun ke tingkat bawah. Namun,
terhenti di hadapan pintu kamar anak gadis yang tidak ditutup itu sambil
memanggil nama anaknya.
Panggilannya
tidak disahut. Dengkuran halus kedengaran hampir di telinganya.
“Intan
Suhaila! Pukul lapan masih melingkar atas katil. Jam berapa pula nak jumpa
kawan ibu ni? Appointment pukul 9.30
pagi,” sergah Puan Suria geram.
Intan
Suhaila menggeliat manja. Digeleng kepalanya melihat gelagat anak gadisnya itu.
“Iyelah...iyelah.
Sue bangunlah ni.” Intan Suhaila bangun duduk di atas katilnya dengan mata
terpejam.
Puan
Suria menyelak langsir yang menutupi tingkap kamar anaknya itu. Serta-merta
suasana kamar yang suram itu berubah cerah. Tingkap bilik dibiarkan bertutup
kerana kamar itu sudah dilengkapi penghawa dingin.
“Matahari
sudah mulai meninggi. Kita perlu pantas mengejar masa. Kalau tidak ibu akan ketinggalan detik-detik manis
bersama kawan ibu tengahari nanti.” Puan Suria merungut sebelum berlalu keluar
dari kamar anaknya. Niat hati hendak menyediakan sarapan pagi. Rutin pagi
sebelum keluar bekerja. Dia sangat menitikberatkan sarapan pagi kerana perut
yang kosong mudah masuk angin.
“CANTIKNYA ibu pagi ni! Secantik mentari pagi.” Puan
Suria tersengih. Sengaja dia bersolek lain dari biasa kerana hari itu dia ada
temujanji dengan seseorang. Seseorang yang sangat memahami dirinya. Sanggup
menumpangkan bahunya saat dia larut dalam kesedihan, bergelak ketawa bersamanya
saat buih-buih bahagia membuai jiwanya.
“Dah
mulalah tu. Pagi-pagi mengusik ibu. Hai,
tak mandi lagi? Pukul berapa kita nak gerak ni?” Puan Suria mengomel sambil
menyediakan roti bakar buat sarapan mereka berdua pagi itu.
“Iyalah,
kejap lagi Sue mandi. Teruja sangat tengok ibu bergaya anggun macam ni. Ibu
cantik bangat.” Intan Suhaila terus menyakat ibunya.
Tanda
tanya terus bermain dibenaknya ketika itu. Jarang benar ibunya itu bergaya
seanggun itu.
“Segala
puji-pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam. Sesekali bergaya mampu
membangkitkan keyakinan kendiri. Penampilan kita kena jaga juga. Bukan begitu?”
Intan Suhaila mengangguk kecil.
Diraih
tangan ibunya sambil melentokkan kepalanya sendiri di bahu wanita kesayangannya
itu. Biarlah ibu hendak marah, dia tidak kisah. Senyuman lebar tersungging di
bibir saat pipi mulusnya dibelai mesra.
Dia
berasa sangat beruntung kerana kegigihan ibu membesarkannya. Ketika di zaman
kepayahan ibunya dulu, ibunya mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor.
Dengan bantuan zakat itulah ibunya memulakan langkah pertama sehingga
membolehkan satu-satunya abang kandung dapat melanjutkan pelajaran sehingga ke
universiti.
‘Kalaulah
abang masih ada, alangkah bahagianya.’ Detik hati kecil Intan Suhaila. Hampir
setiap detik wajah yang dirindui itu hadir mengocak sukma.
“Kecantikan
itu bermula dari dalam, sayang. Kalau dalaman kita cantik, luaran kita pun jadi
cantik. Cantikkan diri kita dengan beramal dan bersedekah. Banyakkan berzikir,
ikhlaskan diri berselawat ke atas nabi, membantu orang yang memerlukan setakat
kita mampu. Bersyukur dengan apa yang kita ada cukup membuatkan kita dekat
dengan-Nya. Kalau ibu nak terangkan sampai esok tak habis.”
“Iye,
Sue tahulah. Setiap pesan ibu, nasihat Ustaz Roslan dan Pak Cik Fuad, Sue
amalkan hingga kini. Mana mungkin Sue lupa, “jawab Intan Suhaila jujur. Luluh
hatinya saat mengingatkan itu semua. Peristiwa pahit yang membelenggui hidupnya
hingga kini.
“Baguslah,”
tersungging senyuman nipis di bibir Puan Suria. Penuh tertib meletakkan roti
bakar yang tinggal separuh itu di dalam piring.
“Su
sangat sayangkan ibu. Su nak sangat tengok ibu bahagia. Sudah lama ibu hidup
sendiri diulit sepi.”
“Sue
cakap apa ni? Ibu tak faham.”
“Sue teringin
nak tengok ibu bahagia. Ibu berhak miliki bahagia itu. Sampai bila ibu nak
hidup begini?” ujarnya lagi sambil memeluk ibunya dari belakang.
“Sue
merepek apa ni? Siapa kata ibu tak bahagia? Ibu sudah cukup bahagia dengan
adanya Sue di sisi ibu. Ibu jadi kuat selama ini pun disebabkan anak ibu ini
juga. Jangan disebut tentang ni lagi, faham! Ibu tak suka,” ujar Puan Suria
agak tegas.
Intan
Suhaila melepaskan nafas berat. Terasa diri khilaf kerana telah melukakan hati
wanita kesayangannya. Wajah ibu kesayangannya direnung penuh kasih.
“Maafkan
Sue. Sue tak niat nak buat ibu berkecil hati.”
‘Kasihan
ibuku. Terpaksa lalui semua ini demi aku. Ya Allah! Kurniai kebahagiaan buat
ibuku ini. Meskipun sekelumit cuma. Mudahkanlah apa jua yang dikerjakannya, berilah
juga kelapangan buatnya.’ Bisik hati kecilnya lagi.
“Cepatlah
pergi mandi. Boleh kita bersarapan sama-sama. Sekejap lagi boleh temankan ibu
jumpa sahabat lama. Nak harapkan Sue sediakan memang kebulurlah ibu pagi ni.”
‘Aik!
Ibuku ini perli ke apa? Hihi...memang kena denganbatang hidungku.’ Hati kecil
Intan Suhaila berbisik nakal.
Dalam
pada itu, debaran tetap hadir mengocak rasa tenangnya kini. Mahu atau tidak dia
mesti bersedia menghadapi sahabatnya itu. Bukan dia tidak biasa bertemu. Cuma
kali ini sangat berbeza. Pertemuan itu bakal memberi perubahan kepadanya.
Perubahan yang bakal mengubah persepsi masyarakat padanya.
‘Mudah-mudahan
Allah SWT merestui usaha murniku.’ Doa Puan Suria dalam hati.
“Sahabat
lama? Cowok handsome mana pulak tu?”
Intan Suhaila sengaja melopongkan mulutnya. Suka mengusik ibu kesayangan.
“Ish,
budak ni! Tak habis lagi? Nak ibu tarik telinga Sue, baru Sue nak dengar?” Intan
Suhaila membuat memek muka terperanjat.
“Tak nakkk.”
Pantas saja Intan Suhaila berlalu dari dapur. Dia bergegas naik ke tingkat
atas.
Puan
Suria menggeleng sahaja melihat telatah anak gadisnya yang keanak-anakan itu.
Senyuman manis terukir di bibirnya. Suka benar anak itu mengusik dirinya.
Sarapan
yang tersedia di atas meja dipandang sekali lalu. Sementara menunggu anaknya
itu bersiap, dia ke belakang hendak menyiram bunga-bunganya yang tubuh subur.
ALIFF WAFHI mundar mandir di hadapan restoran.
Sekejap-sekejap matanya merenung jam dipergelangan tangan. Wajah yang dicari belum
kelihatan telah menimbulkan tanda tanya dibenaknya.
“Kau ni
kenapa Wafhi? Macam ayam berak kapur sahaja mak tengok.” Puan Latifah menegur
anak bujangnya itu. Pelik juga dia. Elok-elok tengah hendak memasak di dapur
boleh pula dia berlalu ke depan restoran. Tidak pula dihiraukan pelanggan yang
keluar masuk membeli dan memesan sarapan pagi.
“Mana
Mak Cik Suria ni, mak? Tak nampak batang hidung dia lagi?” jawab Aliff Wafhi.
‘Gelisah
sebab Suria ke sebab anak gadisnya tu? Macamlah mak tak tahu.’ Hati kecil Puan
Latifah berbisik.
“Kan mak
dah beritahu kamu, Mak Cik Suria lambat sikit datang. Dia ada hal pagi ni. Kenapa
kamu nak tahu ke mana Mak Cik Suria pergi?” Puan Latifah pula menyoal anaknya.
“Nak informtentang tempahan pelanggan baru
kitalah. Apa lagi?”
“Hmm...eloklah
diberitahu segera. Mak Cik Suria perlu tahu. Senang dia nak buat kira-kira
nanti atau dia ada idea nak tambah menu ke.”
Sebagai
penasihat dan penyumbang modal terbesar, adalah menjadi tanggungjawab Puan
Suria mengatur kewangan yang keluar masuk dengan bijaksana bagi manfaat semua pekerjanya.
Dia tidak pernah lokek membantu apa yang terdaya. Juga turut berkongsi resepi
hasil air tangannya sendiri. Dia perlu juga memantau perkembangan kedai jamu
yang bersebelahan Restoran Warong Warisan Tradisi.
Laju saja Aliff Wafhi mendail nombor telefon
bimbit Intan Suhaila.
Ucapan
salam kesejahteraan itu diucapkan sebaik sahaja gagang diangkat.
“Waalaikumussalam. Sue datang
kedai jam berapa?” terpacul soalan dari Aliff Wafhi.
“Abang
rupanya. Ingatkan siapa tadi. Mungkin tengahari kot sebab ibu ajak Sue jumpa
seseorang.”
“Hmm...
siapalah pulak tu?”
“Kawan
lama ibu katanya. Ada apa abang call
ni?” tanya Intan Suhaila pula.
‘Hai...
abang dah tak boleh call ke?” ujar
Aliff Wafhi.
“Bukan
tak boleh call. Peliklah pulak.
Selalunya waktu macam ni abang sibuk pilih barang dekat pasar. Abang tak pergi
pasar ke pagi ni?”
“Barang
dah penuh dalam peti. Buat apa pergi pasar. Lainlah, kalau nak borong lauk
basah. Pagi-pagi lagi abang dah keluar cari dekat pasar borong.” Jawab Aliff
Wafhi.
Intan
Suhaila tidak dapat menyembunyikan tawanya. Sikapnya itu telah mencetus tanda
tanya dibenak Aliff Wafhi.
“Abang
marah ke? ‘Sorry’ la kalau abang marah.”
“Mana
ada marah. Tak puas hati saja. Orang di sana tak kerja, orang di sini sibuk
sejak pagi. Setidak-tidaknya datang tolong masak pun ada faedahnya,” giliran
Aliff Wafhi pula hendak mengenakan Intan Suhaila.
“Eh...
tugas Sue cuma jaga akaun, jaga kaunter ambik order dan jaga kebajikan pekerja. Tugas memasak tak ada kena
mengena dengan Sue tau.” Intan Suhaila turut tidak mahu mengalah.
Dua
bulan Intan Suhaila membantu ibunya di restoran yang diberi nama Warong Warisan
Tradisi itu, dia sudah tahu selok belok perjalanan syarikat itu. Meskipun
sebagai rakan kongsi dan penyumbang modal yang terbesar, Puan Suria tidak
pernah menyombong diri. Dia bijak mengatur hidupnya. Bersebelahan restoran
tersebut dia menyewa satu ruang kecil untuk memasarkan produk jamu yang
merupakan minatnya sebagai menambah pendapatan. Kedai jamu itu pula berdekatan
dengan kaunter restoran itu.
“Iyalah...
abang kan pandai masak,” kata Aliff Wafhi sambiltersengih.
“Amboi...
masuk bakul angkat sendiri nampak.” Aliff Wafhi tergelak pula.
“Abang...
ibu dah panggil. Ada apa abang call?”
Asyik sangat usik-mengusik sehingga terlupa topik sebenar.
“Hm..
nasib baik tak lupa. Abang nak inform
pada mak cik. Pagi ni kita ada tempahan daripada pejabat Infra Saujana. Mereka
merancang adakan jamuan ringan ringkas untuk peserta kursus. Nak minta pendapat
mak cik menunya.” Panjang lebar Aliff Wafhi bercerita.
Setiap
kali menerima tempahan Aliff Wafhi akan memaklumkan kepada Puan Suria. Emaknya
sudah mengingatkan dirinya berkali-kali. Walaupun Puan Suria ada urusan di luar
sekalipun, dia wajib tahu.
“Okey,
abang. Sue akan sampaikan pesanan abang pada ibu,” jawab Intan Suhaila.
“Okeylah,
abang ada kerja ni.”
“Okey,
selamat bekerja.”
“Take care. Hati-hati memandu,” ujar
Aliff Wafhi mengakhiri bicara. Intan Suhaila tersenyum. Sangat senang dengan
perhatian yang diberikan pemuda itu.