Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,164
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Bab 10


Malam itu Wafhi sampai di rumah jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Persekitaran rumah teres dua tingkat milik kejiranannya juga sudah sunyi sepi. Keadaan biasa di hari bekerja. Yang ada cuma beberapa orang anak muda di simpang jalan sedang berbual-bual. Restoran di hujung jalan juga masih ada orang menjamu selera.

Bandaraya Kuala Lumpur sentiasa sibuk. Tidak kira siang ataupun malam. Meskipun hari sudah menjengah pagi orang masih sibuk mencari rezeki. Lebih-lebih lagi kebanyakan penghuni kota sibuk mencari rezeki sampingan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Wafhi tersenyum mengenangkan masyarakat sekeliling dengan ragamnya yang tersendiri.

Sampai di perkarangan rumahnya lampu ruang tamu masih terpasang. Keadaan sekitar tidaklah segelap mana, dia masih mampu berjalan sehingga ke depan pintu rumah.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, dia memberi salam. Wajah emak yang merenung tajam ke arahnya dipandang. Dia mengukirkan senyuman. Namun, wajah Latifah masam mencuka. Jelas, dimatanya wajah itu keletihan setelah seharian sibuk menguruskan restoran Warong Warisan Tradisi.

“Apasal pulak tersenyum-senyum tu?” Wajah anak bujangnya yang nampak keletihan dipandangnya tanpa berkelip.

“Salah ke senyum tengok wajah cantik mak yang tak jemu mata ni pandang?”

“Pandailah kau nak kenakan mak. Mak ada benda nak beritahu kau ni. Dari siang tadi lagi. Mak nak tanya tapi baru sekarang kau nak balik rumah.”

“Ada apa mak? Macam penting aje,” ujar Wafhi lalu melabuhkan punggungnya di sebelah emaknya.

“Seharian Sue cari kau. Mana kau pergi?Handphone kau ‘off’kan. Mak risau tahu tak!”

“Mak... Wafhi bukan budak-budak lagi. Tak payahlah nak dirisaukan.”

“Mak tak risaukan kau. Mak risaukan Sue tu. Macam ada masalah besar aje. Bila mak tanya dia tak nak beritahu. Suria pun macam nak berahsia dengan mak,” jawab Latifah tidak puas hati.

“Mak hairan jugak. Kenapa Sue cari kau? Selalu tak ada pulak. Mak tak sedap hatilah Wafhi. ” Sambung Latifah lagi.

Wafhi terdiam sejenak. Kerutan di dahi boleh dikira dengan jari. Dia pelik bercampur hairan. Apa kena dengan Suhaila? Sewaktu dia menelefon Suhaila menjelang waktu asar tadi, tak adalah pula gadis itu hendak bertemu dengannya. Mungkin selepas pertemuan dengan lelaki tadi, baharu tergerak hati Suhaila mencarinya. Hatinya berbicara.

Dalam pada itu dia teringat perbualannya dengan Haji Fuad siang tadi. Ada kemungkinan perkara yang ingin diberitahu oleh Suhaila bersangkut paut dengan Sempurna Deco. Wafhi penasaran.

Namun, Wafhi dapat merasakan ada masalah besar berhubung perbincangannya dengan Haji Fuad. Kalau tidak masakan Suhaila beria-ia benar mencarinya. Sekali di fikir-fikir, ada benarnya juga telahan Haji Fuad itu. Suhaila akan mencarinya.

“Pak Cik tahu apa yang kamu rasa.” Dahi Wafhi berkerut. Hairan barangkali dengan kata-kata Haji Fuad itu.

“Apa maksud Pak Cik?”

“Pak Cik nampak Sue dengan teman lelakinya tadi. Pak cik dapat rasa perasaan kamu saat ini,” kata Haji Fuad penuh makna.

‘Ketara sangatkah wajahku saat ini?’ Wafhi bertanya kepada dirinya sendiri.

“Pak Cik ni ada-ada saja.” Haji Fuad tersenyum.

Wafhi kebingungan. Entah apa yang difikirkan Haji Fuad tentang dirinya. Malu, segan, kecewa hadir bercampur baur di benaknya.

‘Mungkin betul Haji Fuad memahami perasaanku. Lelaki separuh baya itu pun pernah muda. Lebih dulu makan garam dariku.’ Hati kecil Wafhi berbicara sendiri.

“Sebenarnya Sue ada terserempak dengan Fikri tengah hari tadi. Ada orang beritahu Pak Cik. Pak Cik bimbangkan keselamatan Sue. Pak cik bukannya selalu berada di pejabat. Setakat hari ini dapatlah pak cik mengelak dari bertembung dengan Suhaila sebab cawangan Sempurna Deco yang dekat Sungai Buloh tu perlukan perhatian pak cik. Pak Cik takut Sue akan tarik diri.” Terang Haji Fuad merungkaikan tanda tanya yang bersarang di benak Wafhi.

“Apa yang pak cik nak saya lakukan?” tanya Wafhi.

“Pak cik tahu kamu begitu rapat dengan anak saudara pak cik. Pak cik dah anggap Sue macam anak kami sendiri. Pak Cik tak nak dia berundur diri dari Sempurna Deco. Pak Cik harap kamu dapat nasihatkan Sue kalau dia buat keputusan menarik diri.”

“Saya akan cuba nasihatkan dia. Niat kita baik. Insyallah, Allah akan tolong kita,” kata Wafhi. Wajah tua separuh baya di hadapannya itu direnung penuh kasih.

“Pak cik percayakan kamu,” jawab Haji Fuad sambil tersenyum.

Sejak mula lagi Wafhi bertekad ingin membantu usaha kecil Haji Fuad itu. Walau apa pun yang bakal terjadi dia akan pastikan segala usaha mereka berhasil.

Haji Fuad berniat baik. Dia tidak mahu syarikat yang diusahakannya itu jatuh ke tangan manusia yang tamak haloba. Tambahan pula dia tidak ada zuriat untuk mewarisi syarikatnya itu.

“Wafhi... kau dengar ke tak ni? Hei... melamun pulak dia. Mak cakap dengan dindinglah nampaknya ya!”

Paha Wafhi ditepuk kuat. Baharulah dia tersedar dari lamunan yang panjang.

“Mak cakap apa tadi? Tak dengar.”

“Bertuah punya anak. Kenapa dengan kau ni? Melamun ya? Penatlah mak bercakap,” ujar Latifah seakan merajuk. Geram pula dia dengan sikap acuh tak acuh anaknya itu.

Wafhi tersengih. Dia bukan sengaja nak sakitkan hati ibunya. Cuma, fikirannya sedikit terganggu. Wajah Suhaila, Pak Cik Fuad dan lelaki yang bertemu dengan Suhaila siang tadi mengusik sanubari.

“ Wafhi minta maaf. Mak janganlah marah. Mak nak Wafhi melutut di kaki mak pun Wafhi sanggup.”

“Ah... jangan nak buang tabiatlah.” Wafhi tersengih lagi.

“Mak cakap apa tadi?”

“Malaslah mak nak ulang lagi. Nak tidur. Mata mak dah mengantuk. Pandai-pandai kaulahsettle budak Sue tu. Manalah tau dia ada masalah besar ke,” pesan Latifah.

“Dia bukan budak-budak lagi mak. Dah layak jadi mak budak pun,” ujar Wafhi seronok berseloroh dengan emaknya.

“Tahu tak apa. Dah sedar tu faham-faham ajelah. Tak adalah mak risau sangat nanti. Manalah tahu kan ada yang berkenan lebih dulu masuk meminang. Melepas ke tangan orang merana kamu. Bila bunga di taman disunting orang, menyesal pun tak guna lagi.” Latifah mengingatkan.

Wafhi mengekek ketawa. Gelihati pula dia mendengar bebelan emaknya itu.

“Yang kamu ketawa ni kenapa? Lucu?” Bulat mata Latifah memandang anaknya.

“Memanglah lucu. Mak ni boleh tahan juga kalau berpuisi ya!”

Latifah mengerutkan dahinya. Wajah anak bujangnya direnung dengan pandangan sayang.

“Cakap-cakap mak tu, biasa-biasa saja. Mak mana pandai mengarang puisi. Ada-ada saja kamu ni.”

Wafhi mengiakan sahaja. Mungkin emaknya itu tidak sedar bahasa yang dipertuturkan itu tidak ubah macam puisi. Dia berdiam diri sahaja. Tidak mahu terus-terusan bersoal jawab dengan emaknya yang kuat berleter itu. Dia juga bangun berlalu ke dalam kamar. Mengambil tuala kemudian menghilang di sebalik pintu bilik air.





Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.