Bab 1
“EMM...jauhnya melamun. Apa
yang difikirkan? Kumbang seekor di tepi pagar ni pun tak sedar kehadirannya?”
Intan
Suhaila sedikit kaget ditegur begitu. Dia tidak sedar sejak bila Aliff Wafhi
memerhati gelagatnya. Aliff Whafi adalah jiran tetangga yang sangat prihatin.
Mereka membesar bersama-sama. Dahulu Aliff Whafi sangat rapat dengan Iqram
Suhaimi. Semenjak Iqram Suhaimi tidak ada, pada Aliff Whafi lah dia mencurah
rasa. Baik ketika susah mahupun senang.
Aliff Whafi muda setahun
dari Iqram Suhaimi. Intan Suhaila sudah menganggap Aliff Wafhi seperti abang
kandungnya sendiri. Dia tahu Aliff Whafi sangat menyayangi adik teman baiknya
itu.
Dalam diam
ada sesuatu yang dirahsiakan Aliff Whafi dari pengetahuan Intan Suhaila dan
ibunya. Dia tidak tahu sampai bila rahsia itu akan disimpan.
“Astaghfirullahalazim.
Abang ni... buat Sue terperanjat aje. Apa salahnya bagi salam dulu ke. Nasib
baik tak pengsan. Kus... semangat,” ujar Intan Suhaila sambil ketawa.
Bijaknya si
dia menyembunyikan rahsia di hati. Aliff Wafhi lama memerhatikan gelagat gadis
itu melamun panjang di atas pangkin. Beberapa titis air mata jatuh berjuraian
di pipi gadis itu. Ingin benar dia menyapu air mata itu biar terhapus terus.
Sebak di hati Aliff Whafi mulai menyerbu datang.
“Abang dah
lama bagi salam. Kamu aje yang tak dengar. Dah lama abang tercegat di pintu
pagar sambil memerhatikan kamu. Kamu aje yang tak nampak,” ujar Aliff Wafhi
tanpa berselindung.
“Iye ke?
Malunya Sue. Sampai hati abang ya, mengendap Sue dari tadi. Abang ni tak patut
tau, mengendap anak dara orang. Nanti Sue report dekat mak teh,” kata Intan
Suhaila sedikit terperanjat.
Aliff Whafi
ketawa. Geli hati dengan sikap Intan Suhaila yang masih bersikap keanak-anakkan
itu walaupun sudah berusia 25 tahun. Gadis itu juga sangat rapat dengan
emaknya. Itu tidak pernah dia nafikan. Adakalanya dia turut berasa cemburu
kerana emaknya sering memanjakan gadis itu. Apa saja yang dimilikinya, mahu
juga diberikan kepada Intan Suhaila.
Pernah juga, Aliff Whafi
mengejek Intan Suhaila, nama sahaja budak perempuan. Apa sahaja yang budak
lelaki ada, dia pun nak juga.
Mengimbau
zaman kanak-kanak, membuatkan dia sering tertawa sendirian. Di hadapan gadis
itu pun dia masih ketawa-ketawa.
“Tengok tu.
Ada hati ngumpat Sue dalam hati ya!” sambung Intan Suhaila sambil memasamkan
wajahnya.
Bertambah
sukalah Aliff Whafi menyakat Intan Suhaila.
“Ala, apa
salahnya. Gadis yang abang pandang ni pun abang dah anggap macam adik abang
sendiri. Buat apa nak malu. Betul tak? Lainlah kalau orang tu ada buat salah ke
apa ke!” ujar Aliff Whafi.
Namun, buat
seketika dia mulai terfikir, benarkah Intan Suhaila sudah dianggapnya seperti
adik kandung sendiri? Entahlah! Dia sendiri tidak dapat menjawabnya. Pertanyaan
itu berlalu di bawa angin lalu.
“Itulah
modal abang. Ada aje alasan nak mengelat. Tahu sangat,” ujar Intan Suhaila
sambil pura-pura menggumam geram.
“Dah
seminggu Sue balik. Ceritalah pengalaman tiga tahun lima bulan Sue di
universiti tu.” Sengaja Aliff Wafhi mengubah tajuk perbualan.
“Hm...
jangan tanyalah bang. Teruk Sue nak belajar tau. Nak buat ulangkaji kena cari
bahan rujukan di library. Bukunya tebal bagai nak rak. Kalau
terjatuh atas kepala boleh pengsan tau.” beria-ia Intan Suhaila bercerita.
“Iyer ke?
Begitu sekali?”
Intan
Suhaila ketawa. Lucu kerana dapat mengenakan Aliff Wafhi.
“Abang pun
pernah belajar dekat U jugak. Tak adalah nak pening-pening kepala buat
ulangkaji itu semua. Dah adab sebagai seorang pelajar kan. Ni mesti tak ikhlas
belajar ni. Betul kan.. kan.. kan...” Aliff Wafhi berseloroh lagi.
“Astaghfirullah
alazim. Mana ada tak ikhlasnya. Ikhlaslah ni. Jangan tak tahu pulak Sue bawak
balik result cemerlang tau.”
“Iyer ke?
Boleh percaya ke?”
Intan
Suhaila sudah memuncungkan bibirnya. Manis sahaja rona wajahnya ketika itu.
Aliff Wafhi sudah mahu ketawa.
“Sue nak
tau tak?” wajah kacak Aliff Whafi dijelingnya. Janggut sejemput yang terhias di
dagu menyerlahkan lagi kematangannya. Riak wajah yang lembut itu menyenangkan
sesiapa saja yang memandangnya. Ada ketenangan yang terpamer di situ. Leka
sebentar dia merenungnya.
“Apa dia
bang, cakaplah?” ujar Intan Suhaila tidak sabar.
“Sue ni
kalau marah makin cun. Tu yang abang suka tengok tu.” Wajah manis Intan Suhaila
berubah wajah. Dia menarik muka masam lagi.
“Tengok tu.
Masam mencuka pun masih jelita lagi. Tak jemu-jemu memandang tau.”
Aliff Whafi
tidak dapat menyembunyikan tawanya. Terhibur hatinya melihat wajah gadis itu
merona merah menahan malu. Intan Suhaila tidak jadi meneruskan rajuknya. Dia
pun turut tertawa. Keheningan suasana petang itu sungguh menceriakan.
“Abang ni
kan, kalau ada cili dekat Sue dah lama Sue sumbat ke dalam mulut abang. Biar
abang tahu rasa.”
“Tergamaknya
Sue nak sumbat mulut abang dengan cili. Cili padi ke cili besar?” Aliff Whafi
berseloroh lagi.
“Cili padi,
biar berapi-api.”
“Cili padi
abang tak heranlah. Kalau masak abang suka bubuh cili padi. Biar kaw-kaw
rasanya.”
“Amboi!
Bangganya dia. Nantilah abang tahu rasa resepi terbaru dari Sue khas buat abang
seorang.”
Kelu lidah
Aliff Whafi. Dia tahu selalunya Intan Suhaila akan mengotakan kata-katanya.
Tidak pernah Intan Suhaila bercakap kosong dengannya.
‘Harap-harap
tidaklah cik adik manis. Mahu terlompat abang dibuatnya nanti.” Hati kecil
Aliff Wafhi berbisik.
“Sue tak
jawab lagi pertanyaan abang tadi. Hairan abang dibuatnya!”
“Apa yang
abang hairan kan?” berkerut dahi Intan Suhaila cuba memahami maksud di sebalik
kata-kata anak muda itu.
“Takkan Sue
dah lupa pertanyaan abang yang mula-mula tadi.” Aliff Wafhi sengaja
berteka-teki dengan Intan Suhaila.
“Pasal apa
ya?” manis sungguh reaksi Intan Suhaila yang meletakkan jari telunjuknya di
tepi dagu. Lagaknya seperti memikirkan sesuatu.
Buat
seketika Aliff Wafhi ralit memandang rambut Intan Suhaila yang sudah mulai
panjang melepasi bahu terbuai-buai ditiup angin. Perlahan-lahan terbayang di
ruang mata satu wajah yang dahulu setiap saat dirinduinya. Satu wajah yang
pernah membangkitkan rasa aneh yang bermukim di sudut hatinya. Namun, tidak
lama kerana wajah itulah juga yang telah menghancurkan harapannya.
‘Ah! Untuk
apa lagi mengingatkan dia yang telah melukai hatiku. Gadis yang berada di
hadapanku ini jauh lebih baik daripada dia. Duhai hati bersabarlah.’ Hati kecil
Aliff Wafhi berbisik syahdu.
Dipandangnya
wajah Intan Suhaila sepintas lalu. Manis wajah itu menyejukkan mata yang
memandang.
“Pasal apa
Sue termenung tadi ke?” mengangguk. “Abang nak tau jugak ke?” tanya Intan
Suhaila lagi.
“Mestilah
abang nak tahu. Lainlah kalau orang tu memang tak nak cerita.” Aliff Wafhi memasamkan
wajahnya. Sengaja mahu menduga gadis itu.
“Sue bukan
apa. Sue terkenangkan ibu, arwah abang dan ayah yang .... Entahlah bang, Sue
kesiankan ibu. Bila dingat-ingat sikap ayah tu sakit sungguh hati ini.” Hendak
tidak hendak, terpaksalah Intan Suhaila menceritakannya.
“Abang
faham perasaan kamu. Abang kagum sebenarnya dengan ketabahan mak cik
membesarkan kamu. Tak ada seorang ibu di dunia ini sanggup membiarkan anak
kesayangannya hidup dalam serba kekurangan. Tentang ayah Sue tu usahlah Sue
berdendam. Anggap aje itu antara dia dengan Tuhan. Kita sebagai hamba-Nya
seeloknya mendoakan agar dia berubah sikap supaya lebih bertanggungjawab
terhadap darah dagingnya sendiri.” Panjang berjela Aliff Wafhi menasihati gadis
manis di hadapannya itu.
“Cakap
memang senang bang. Abang tak pernah rasa apa yang Sue rasa selama ini.
Bayangkanlah masa arwah abang Mie bertarung nyawa di hospital, ada dia tengok?
Tak ada, bang! Dia langsung tidak hargai kehadiran zuriatnya ni.” Suara Intan
Suhaila kembali berubah nada.
“Bersabarlah
Sue. Tentu ada hikmahnya di sebalik semuanya ini.”
“Sue sudah
cukup bersabar. Pernah tak abang terfikir, kepedihan, kepahitan, kekecewaan
yang ditanggung ibu sepanjang ayah meninggalkannya? Tak ada orang yang akan
faham. Kecuali merasai sendiri penderitaan itu,” ujar Intan Suhaila sambil cuba
menahan tangis agar air matanya tidak jatuh berjuraian di pipi.
Intan
Suhaila bangun berdiri menuju ke pokok-pokok bunga tanaman kesayangan ibunya.
Aktiviti kesukaan ibunya di masa lapang. Aliff Wafhi mengekorinya dari
belakang.
“Sue boleh rasa kesakitan ibu melawan sakitnya. Sue boleh rasa hidup ibu
dihambat trauma masa lalu. Semua tu hadiah dari ayah Sue, bang. Kalau abang di
tempat Sue, abang pun tidak boleh diterima,” tambahnya lagi.
“Jadi, apa
yang akan Sue lakukan?” kata Aliff Wafhi sambil menggaru kepalanya. Dirasakan
bodoh pula mengajukan pertanyaan yang entah apa-apa itu.
“Sue tak
fikir, Sue akan terima ayah. Meskipun dia akui kesilapan lalu. Walaupun ibu tak
pernah mengajar Sue bersikap biadap terhadap orang tua. Tapi, sikap ayah tu
yang buat Sue kecewa sangat. Ayah hanya pentingkan diri sendiri,” ujar Intan
Suhaila lagi. Di dadanya penuh dengan kebencian terhadap ayah kandungnya
sendiri.
Berlainan
pula pendapat Aliff Wafhi ketika ini. Dia tidak menyebelahi sesiapa. Padanya
Pak Cik Ibrahim berubah tentu ada sebab-musababnya. Bukan mudah bagi seorang
lelaki bertanggungjawab seperti Pak Cik Ibrahim itu mengabaikan kewajipannya.
Kecuali di desak oleh sesuatu di luar kawalan diri. Hanya Tuhan sahaja yang
tahu apa sebenarnya yang berlaku. Dia sangat berharap gadis di hadapannya pada
waktu ini akan memaafkan kesilapan yang dilakukan ayah kandungnya sendiri.
“Sue... apa
kata yang baik dijadikan pengajaran, yang tak baik kita jadikan sempadan,” usul
Aliff Wafhi pula.
Aliff Wafhi
tidak mahu emosi gadis itu menguasai diri. Dia juga tidak mahu memanjangkan
sengketa dengan gadis itu memandangkan perdebatan mereka tentang Pak Cik
Ibrahim ternyata berbeza.
“Maksud
abang apa?” tanya Intan Suhaila sambil mengerutkan dahinya.
“Garangnya...
lama-lama macam ni boleh gugur jantung abang.” Aliff Wafhi berseloroh.
“Abang ni,
sempat pulak nak buat lawak.”
Aliff Wafhi
tersenyum. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Intan Suhaila. Dia sedar, dia
perlu menyakinkan gadis itu dengan kelembutan. Hanya kelembutan yang mampu
meredakan kemarahan gadis itu.
“Anggap aje
segala permasalahan yang lepas sebagai perencah bagi menyedapkan kehidupan.
Kalau tak cukup perencah hidup rasa tak lengkap pulak, kan.”
Intan
Suhaila tersenyum. Aliff Wafhi memang pandai menceriakan suasana.
“Iyelah
tu... abang ni pandai bersastera. Kenapa tak jadi cikgu sastera aje?” Intan
Suhaila tersengih.
“Abang memang
cikgu pun. Jadi cikgu tukang masak.” Keduanya tertawa.
“Abang ni
ada-ada ajelah. Cakap berbunga-bunga, perencahlah, cikgu memasaklah.
Mentang-mentanglah dah jadi tukang masak.”
Aliff Wafhi
senang melihat Intan Suhaila ketawa begitu. Kalau diikutkan kemahuan hatinya
dia tidak mahu melihat wajah manis itu diselubungi kedukaan.
“Assalamualaikum.”
Intan Suhaila menoleh ke arah pintu pagar melihat gerangan siapakah yang
memberi salam. Namun, wajah yang dicari tidak ada.
Sekali lagi
suara orang memberi salam menyapa telinga. Ditoleh-toleh lagi ke arah pintu pagar
rumah.
“Waalaikumussalam.
Eh, mak teh. Ingat siapa tadi. Masuklah, mak ada kat dalam.” Pelawa Intan
Suhaila ramah.
“Di sini
rupanya anak bujang mak. Patutlah mak panggil tadi tak menyahut. Kat sini
rupanya.”
“Mak
panggilAliff Wafhi ke tadi? Tak dengar pun!”
“Macam mana
nak dengar kalau dah rancak berborak dekat belakang rumah Sue ni. Mak dah agak
dah kamu akan ke sini,” ujar Mak Teh Latifah.
Aliff Wafhi hanya tersengih. Balik dari kerja kalau tidak
bermain sepak takraw hendak ke mana lagi dia. Melepak di kedai kopi sambil berbual
kosong dengan rakan sudah acap kali dilakukan.
“Ini ada mak teh buatkan masak lemak ikan
tenggiri dengan sayur goreng pucuk ubi.
Mak kamu suka sayur pucuk
ubi goreng ni,” kata Mak Teh latifah sambil menghulurkan mangkuk tingkatnya
kepada Intan Suhaila.
“Buat
apalah susah-susah mak teh. Setakat nak makan dua orang ni Sue dah masak dah
tadi.”
“Iyelah...
betullah cakap Sue tu mak. Kot ya pun ajaklah Mak Cik Suria dengan Sue datang
ke rumah kita. Tak payahlah bawak mangkuk tingkat tu ke sini. Kan lebih elok
makan ramai-ramai.”
“Ewah...
ewah.... ke situ pulak cadangan dia. Ha... kalau macam tu dah terlanjur datang
ke sini, makan malam ajelah kat sini.”
“Pulak,”
ujar Aliff Wafhi sepatah sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Wajah emak
dan Intan Suhaila dipandang silih berganti.
“Kalau
macam tu tak apalah. Rezeki jangan ditolak. Lagipun dah lama kita tak makan
sama-sama. Ha... apasal tercegat kat situ lagi tu. Kejap lagi dah nak masuk
maghrib,” kata Mak Teh Latifah lagi. Dia sudah melangkah masuk ke dalam rumah
Intan Suhaila melalui pintu belakang rumah yang sudah terbuka.
“Cepat
sungguh masa berlalu. Diam tak diam dah senja,” ujar Intan Suhaila dalam remang
senja yang mengasyikkan mata.
Aliff Wafhi
hanya mengukir senyuman. Dia memohon diri beredar untuk pulang ke rumah. Sejak
pulang dari tempat kerja tadi, dia tidak sempat untuk membersihkan diri.
PUAN SURIA yang sedari tadi
asyik memandang Aliff Wafhi dengan anak gadisnya itu berbual panjang,
tersenyum. Dalam diam dia memasang angan untuk menyatukan mereka. Entah mengapa
dia merasakan ada keserasian di antara keduanya.
Aliff Wafhi
boleh tahan juga segaknya. Malahan juga, seorang anak muda yang jujur dan baik
budi pekerti. Dia tahu Aliff Wafhi bukan mudah jatuh cinta dengan sebarangan
gadis. Begitu juga anaknya, bukan mudah mempercayai orang. Pengalaman hidup
mengajar anaknya itu menjadi seorang yang tegas di dalam persahabatan. Tidak
ramai lelaki yang berani mendekatinya. Dia tahu itu.
Sudah lama
dia tidak melihat anaknya itu ketawa. Aliff Wafhi pandai mengambil hati Intan
Suhaila. Sedikit sebanyak dia berasa lega. Setidak-tidaknya ada yang menyayangi
dan memahami anaknya.