MAJLISitu meriah dihadiri oleh kaum keluaga dan sahabat handai.
Yang penting, Hannah dan Aril sudah sah menjadi suami isteri dengan sekali
lafaz. Masih segar di ingatan bagaimana hatinya berdegup dengan kencang tatkala
perkataan ‘sah’ itu diungkap. Terlalu takut, dia memejam mata. Segar lagi di
mindanya betapa payahnya dia mengharungi hari-harinya dalam seminggu untuk
membuat keputusan ini.
Semua ini bagaikan mimpi di siang hari. Hannah masih ingat bagaimana dia
pulang dari kerja dan memberitahu keputusannya kepada papa. Papalah orang yang
paling girang tatkala mendengar jawapan Hannah. Kala itu, dia tahu dia telah
membuat satu keputusan yang betul bagi membahagiakan papa.
Dan Hannah sendiri? Terasa seperti di atas awan. Tidak percaya dengan semua
yang berlaku. Sekejapan saja dia menjadi isteri orang. Walau bagaimanapun, dia
tetap merasa kekok terhadap Aril. Mahu tidak mahu, dia harus menyesuaikan diri
untuk menjadi isteri Aril.
Saat dia menyalam tangan Aril tadi, dia sedar dirinya sudah terikat
sekarang. Terikat dengan seseorang yang bernama Zafril. Hannah terasa aneh
ketika Aril memegang tangannya tadi. Tidak pasti jika ianya perasaan bahagia
menjala ke lubuk hati kecilnya.
“Buat apa lagi dekat dapur ni Hannah? Pergilah ajak Aril berehat dekat atas
tu.” Mak Mah menyapa.
“Tak apalah Mak Mah, ini masih belum kemas habis ni.” Hannah beralasan,
berpura-pura sibuk.
“Ni kan kerja Mak Mah. Nanti Aril cari sampai ke sini mak Mah tak tahu
ya...”
“Ehem. Assalamualaikum.” Suara garau seorang lelaki mengejutkan mereka.
Dada Hannah semakin berombak. Dia dapat mengagak siapa gerangan lelaki itu.
“Wa’alaikumsalam. Eh Aril, panjang umur kamu. Baru mak Mah cakap pada
Hannah tadi suruh...” belum sempat mak Mah menghabiskan kata-katanya, dia sudah
dicuit mak Mah.
“Tak payahlah bilang dia mak Mah. Malulah Hannah!” bisik Hannah sambil
tersenyum agar Aril tidak mensyakki apa-apa.
“Dah habis ke kerja? Boleh tak kalau saya nak pinjam Hannah sekejap?” Aril
berbahasa. Dia turut segan untuk mak Mah yang berada di antara mereka.
“Apa pula tak boleh? Mestilah boleh! Silakan...” mak Mah menolak Hannah
sehingga terlanggar tubuh Aril.
Geram pula dia dengan mak Mah ni. Orang sudahlah malu dan takut, dia boleh
pula nak tolak aku dekat si Aril ni. Haish, sabar ajelah. Tarik nafas
banyak-banyak Hannah.
Mak Mah tersengih melihat Hannah dipimpin ke atas. Gadis yang dijaga dari
kecil sudah dewasa, sudah menjadi isteri orang sekarang. Dia tumpang bahagia.
Apa yang diharapkan pada Aril adalah untuk menjaga Hannah dengan baik.
“Jom.” Aril mengajak, membuatkan Hannah tambah takut.
Dada Hannah berdebar saat Aril membuka pintu bilik itu. Aril memimpin
Hannah, menyuruh isterinya duduk di birai katil itu. Hannah kelihatan cantik
luar biasa hari ini. Ingin dia terus tatap wajah itu setiap hari.
“Hannah, terima kasih sebab beri saya peluang untuk jadi suami kepada awak.
Izinkan saya curahkan kasih dan sayang saya kepada awak, berikan saya ruang di
dalam hati awak untuk buktikan cinta saya...” ucap Aril romantis, menyatukan
tangan mereka di antara sela-sela di jari.
Hannah hanya mendiamkan diri tidak menjawab. Dia tidak tahu harus kata apa.
Dia seakan tidak percaya dia sudah halal bagi Aril. Sebelum ini, tangannya
tidak pernah dipimpin mahupun diggengam mana-mana lelaki. Arillah orang yang
pertama.
“Sejak bila Hannah Natasha yang saya kenal berubah menjadi seorang yang
pendiam dan pemalu ni, hmm?” usik Aril menyentuh lembut dagu Hannah, mengangkat
wajah itu supaya memandang wajahnya.
Hannah mengetap bibir, mengamati wajah Aril. Indah rupanya ada suami, ada
yang menyayangi kita, yang menjaga kita.
“Saya harap kita akan sentiasa saling percaya dan selalu jujur antara satu
sama lain.”
“Sudah tentu. I want to wake up to
your beautiful face every morning, sayang.”
Sukar rasanya mahu bernafas setiap kali Aril berkata-kata. Tidak tahan,
Hannah tertawa. Hebat Zafril Reza ini rupanya. Sudahlah bersuara husky, pandai dia mengayat orang supaya
jatuh hati kepadanya.
“Awak bahagia?” Aril bertanya.
Hannah tersenyum. Enggan menjawab ya ataupun tidak. Hanya dengan menatap
wajah Aril, dia sudah terasa damai di hati.
“Mesti dalam hati awak cakap, menyesal tak kahwin siang-siang kan?” Aril
menyakat.
“Mana ada! Awak ni saja reka cerita kan.” Nafi Hannah, terkejut dengan
pernyataan Aril. Mulalah tu Aril hendak menyakatnya, namun kerana itulah yang
membuat dia terhibur selalu.
“Awak ni sebenarnya suka saya dari dulu lagi tapi tak nak mengaku. Kalau
saya tak mulakan, sampai bila-bila kita tak kahwin.” Terngaga Hannah dengan
andaian tidak berasas ini. Suka hati dia saja mahu mengata apa. Tidak benar
sama sekali andaian tersebut.
Aril semakin senang hati mengusik. Seronok dia melihat pipi Hannah yang
merah menahan malu. Satu sikap Hannah yang baru selepas mereka berkahwin. Dulu
menyinga tidak kenal batas. Sekarang sudah berubah menjadi kucing.
Hannah memanjatkan syukur. Dia tidak tahu tentang hari-hari yang akan
mendatang tetapi dia berdoa agar dengan kehadiran Aril, hidupnya bertambah
bermakna. Malam yang penuh memori itu diakhiri dengan senyuman di bibir. Semoga
hari ini menjadi permulaan kepada kehidupan yang baru.
“HANNAH...” bisikkan di telinganya gagal mengejutkan Hannah dari lenanya.
Aril tersenyum melihat wajah Hannah yang polos ketika tidur. Jarinya
menguis-nguis wajah Hannah tetapi itu juga tidak mampu membuat Hannah terjaga.
“Sayang, bangunlah...”
Dari terlentok ke kiri, Hannah kini terlentok ke kanan. Penat agaknya si
Hannah ni melayan tetamu semalam. Jika dia gegarkan katil ini pun belum tentu
Hannah bakal bangun.
“Hannah, dah pukul sepuluh ni. Umi ajak sarapan dekat bawah.” Ujar Aril.
Saat itu juga Hannah bangun tercegak. Daripada menahan ngantuk, dia terus
menjadi segar. Panik apabila mendapat tahu sudah pukul sepuluh pagi. Aduhai,
apa pula kata umi nanti. Sepantas kilat dia menuju ke bilik air untuk mandi,
namun tidak sampai seminit, dia keluar kembali.
“Arilllll! Awak tipu! Baru pukul tujuh setengah!” memuncung Hannah berjalan
menuju ke katil. Geram apabila dia sedar dia ditipu bulat-bulat.
Melihat Aril mentertawakannya, lagilah sakit hatinya. Suka ya mempermainkan
orang sebegini rupa?
“Alang-alang dah masuk tandas tu, mandilah sekali. Ke awak nak saya temankan?”
“Hish, orang nak ambil bajulah.”
“Orang? Siapa orang?” Aril menggeram, mencubit pipi Hannah.Matanya meleret
melihat Hannah memasuki tandas. Comelnya Hannah saat dia bangun dari tidur.
Usai mandi, Hannah turun ke bawah. Dia ke dapur untuk menolong apa yang
patut. Dilihatnya umi sudah ada di situ. Hannah menghampiri umi sambil
mengucapkan selamat pagi. Inikah rasanya untuk ada seorang ibu? Kala kita
bangun, dia bangkit lebih awal dari kita untuk melakasanakan tanggunjawab
keluarga.
“Umi nak masak apa ni? Marilah Hannah tolong,” Hannah menawarkan diri.
Kalau di rumah, dialah yang menjadi tukang kacau mak Mah. Rindu pula dia kepada
semua yang berada di rumah.
“Boleh juga. Hannah tolong umi potong sayur tu ya. Umi nak masak mihun.”
Hannah menurut. Sawi itu dipotong dengan cermat agar tidak membuat sepah.
Sedang seronok dia berbual dengan umi tentang keluarga ini, telefon di ruang
tamu berdering.
“Hannah tunggu sini ya, umi pergi angkat telefon sekejap.” Ujar Puan Liza
sambil berlalu pergi.
Hannah melihat bahan-bahan yang tersedia. Seperti mihun goreng yang dimasak
mak Mah saja? Sawi yang dipotong itu diletak ke dalam bekas dan dicucinya.
“Hannah.” Tidak semena-mena namanya disebut dan pinggangnya dirangkul.
Terkejut Hannah dibuatnya. Rasanya dia tahu siapa orangnya. Tidak mungkin umi
buat begitu.
“Aril, umi nampaklah nanti...” bisik Hannah, segan dengan perilaku Aril.
Mentang-mentanglah ini rumahnya.
“Biarlah kalau umi nampak sekali pun. Awak buat ni?”
“Saya tengah basuh baju,” Hannah berloyar buruk.
“Nakal rupanya awak ni!”Aril menyandar di kabinet dapur, seronok melihat
Hannah membuat kerja dapur. “Hannah...nak kopi.” pinta Aril manja.
“Buatlah sendiri.”
“Saya dah bosanlah selalu buat sendiri. Kali ni, nak juga rasa awak buat.”
Aril sengaja beralasan, ingin menguji sejauh mana Hannah boleh bertahan dengan
kerenahnya.
“Mengada kan awak ni? Selalu manja macam ni ke?” Hannah memandang Aril mengerut
dahi. Tidak percaya perwatakkan Aril sebelum dan sesudah kahwin agak berbeza.
“Kalau tak nak buat, cakap ajelah. Saya suruh umi buat...Umi...!” laung
Aril tetapi sepantas kilat mulutnya ditekup dengan tangan Hannah. Lakonan
rajuknya menjadi kerana Hannah sudah menikus takut.
Hannah menahan geram. ‘Aril ni, pagi-pagi nak cari pasal dengan aku.
Buatnya umi tanya kenapa, nahas aku. Takkan nak bilang aku tak nak buat kopi
Aril? Silap hari kena rebus agaknya.’
“Okey! Saya buat.” Hannah mengalah. Matanya mengecil menatap tajam wajah
Aril. Ada lori ada bas, ada ubi ada
batas. Tunggu saja!
“Seksinya mata tu. Pandai sayang goda abang pagi-pagi ni.” Sakat Aril,
menukar kata ganti nama saya kepada abang.
Tercenggang Hannah mendengar kata-kata Aril. “Dah kenapa dengan awak ni
Aril?”
Suaminya kuat menyakat orangnya. Sebelum kahwin, Arillah orang yang paling
serius, paling tenang dan paling berkarisma dia pernah jumpa tetapi sekarang?
Dia keliru dengan personaliti Aril. Tidak tahulah untuk ketawa atau marah
dengan sikap Aril ini.
Aril menarik kerusi sambil menunggu Hannah membancuh kopinya. Hannah ini
tidaklah sedegil mana. Kalau digertak sedikit, pasti dia akan menurut. Kalau
bertegas, pasti dia akan mengecut. Dia percaya, Hannah Natasha adalah seorang
yang sangat penyayang.
Setelah siap kopi itu dibancuh, Hannah menghulurkan cawan itu kepada Aril.
Lelaki ini, walaupun dalam seluar trek dan t-shirt, dia tetap kelihatan kacak. Biarlah
dia memuji dalam hati. Takut pula Aril terperasan lebih. Hannah kemudian
menyambung kerjanya yang tergendala.
Melihat rencah itu sudah garing, dia memasukkan bahan-bahan lain seperti
udang dan ayam. Sudah sebati, dia memasukkan mihun dan akhir sekali sawi yang
disiap potong. Digaul sehingga rata dan siap untuk dihidang.
“Sedap kopi ni, macam orang yang buatnya. Terima kasih Hannah.” Puji Aril,
mencuci cawan itu dan meletakkannya di tempat yang sepatutnya.
Hannah tertawa kecil. Dia kalah dengan Aril. Ada sahaja cara Aril untuk
mengambil hatinya.
“Maaflah Hannah. Umi terborak panjang pula. Eh? Dah siap mihun ni? Hannah
yang masak ke?” terkejut umi melihat mihun yang sudah tersedia di dalam mangkuk
besar untuk dihidangkan. Tadi sewaktu dia meninggalkan Hannah, belum satu pun
sudah siap.
“Hannah tolong apa yang patut aje. Tak tahulah kalau rasa dia lain.” Hannah
merendah diri.
“Elok sangat dah ni. Eh jomlah kita sarapan sama. Aril, tolong panggil abah
dekat luar tu.” Ajak Puan Liza. Jag yang berisi air itu dibawa keluar sekali.
Buat kali pertama, Hannah duduk semeja dengan keluarga barunya. Umi dan
abah kelihatan seperti orang yang baik-baik walaupun mampu dikategorikan di
dalam golongan berada. Hannah tertanya-tanya siapakah keluarga ini sebenarnya
sehingga mereka mampu memiliki rumah semewah ini.
Sesi sarapan mereka bagaikan sesi perkenalan juga. Umi dan abah seronok
menceritakan tentang kisah Aril sehinggakan lelaki itu jadi malu sendiri.
Inikah rasanya untuk ada seorang ibu? Yang boleh kita kongsikan segalanya tanpa
segan silu? Yang menguruskan segala hal rumah? Hati Hannah dirundum hiba. Dia
rindukan arwah mama.