“AMBOI! Cantik berbaju kurung ni nak pergi mana hah?” Hannah
yang baru turun tangga itu berjaya menarik perhatian Aiman.
Hannah berjalan menuju ke abangnya. Hari ini dia berbaju kurung berwarna
biru turqoise. Apabila Hannah yang
jarang mengenakan mekap di muka bersolek untuk majlis ini, Aiman turut terpukau melihat kecantikkan
adiknya ini.
Hannah memang dianugerahkan dengan wajah putih mulus yang cantik tanpa
sebarang solekkan. Soalannya sekarang, kemana Hannah mahu pergi bersiap bagai
hendak memasuki pertandingan perempuan Melayu terakhir ini?
“Nak teman kawan Hannah pergi majlis perkahwinan.”
“Kawan yang mana? Lia?” Aiman meneka. Hannah mana ada kawan ramai? Yang dia
kenal, hanya itu sajalah. Lia.
“Bukan.” Hannah menjawab sepatah.
“Habis tu yang mana? Lelaki ya?”
“Ha’ah lelaki yang menyakitkan hati tu. Hannah bukannya nak pergi sangat
pun.” Hannah memuncung, teringat kembali bagaimana dia cuba mencari alasan
untuk tidak pergi.
“Dia ada nama kan? Panggil nama dia.” Aiman menegur adiknya. Dia juga mahu
bertemu dengan lelaki yang banyak membantu adiknya walaupun dia digelar lelaki
paling menyakitkan hati di dunia ini oleh Hannah. “Kalau tak mahu, kenapa pergi
juga?”
“Dia tu! Memaksa aje. Orang dah kata tak mahu, masih tak faham bahasa.”
Rungut Hannah tidak puas hati.
“Abang rasa Hannah suka kan pada dia?” Aiman meneka, cuba menyelamni hati
satu-satunya adik yang dia ada.
“Apa abang ni! Memandai saja buat cerita.” Melenting Hannah mendengar
soalan Aiman.
“Kalau tak suka, kenapa tetap pergi? Hannah sebenarnya tak sampai hati nak
kata tidak pada dia kan? Padahal, hakikatnya Hannah boleh aje beri seribu satu
alasan sampai dia percaya dan putus asa.” Aiman berhujah, mengukuhkah
tafsirannya.
“Dia tu jenis tak faham bahasa bang. Cakaplah berjuta-juta kali, mesti dia
tetap tak peduli.” Kenapa pula abangnya hendak menyebelahi Aril?
“Kalau mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih. Kalau betul Hannah tak suka
pada dia, boleh aje Hannah reka cerita supaya tak usah pergi. Hannah ni kan
jaguh berdalih...”Aiman memerli.
“Mana ada!” Hannah sudah berdiri. Malas dia mahu melayan abangnya yang
tidak habis-habis dengan kesimpulan sendiri. Hannah memanjangkan leher untuk
melihat jika-jika Aril sudah sampai.
“Tengok tu berdalih lagi.”
Bila pula Aril sampai? Tidak tekan hon pun? Bukan itukah hobinya, asal
sikit saja tekan hon. Sakit telinga dibuatnya. Hannah meminta diri daripada
abangnya. Dia harus pergi sekarang.
“Eh tunggu! Abang pun nak jumpa lelaki ni. Hebat sangat ke sampai Hannah
boleh mengalah dengan dia.” Aiman menyarung selipar ingin berkenalan dengan
lelaki itu, mengejar Hannah yang sudah ke hadapan.
ARIL setia menunggu di dalam kereta.
Songkoknya diletak di tempat duduk belakang. Nanti kalau sudah sampai barulah
dia memakainya. Tadi di rumah, banyak betul polis pencen menanyakannya itu dan
ini. Mungkin pelik kerana dia berbaju kurung dan samping.
Yang paling teruja, semestinyalah umi. Apabila ditanya pergi bersama siapa,
dia hanya menjawab kawan. Tidak diberitahu tentang kehadiran Hannah di dalam
hidupnya baru-baru ini.
Tatkala dia menoleh, memandang ke kanan, dia terlihat seorang lelaki
berjalan menuju ke keretanya. ‘Eh, siapa pula ni? Kata tidak bersuami lagi?’
Aril sudah gementar. Kalau betul itu suaminya, masaklah dia kali ini. Bukan
sahaja masak tetapi dicincang, ditumbuk sampai lumat! Mahu tidak mahu, dia
terpaksa keluar dari kereta atas dasar hormat.
Berpeluh dia seketika walaupun baru sahaja keluar dari kereta berhawa
dingin. Nadi jantung tidak usah dikatakan lagi, laju mengalahkan harimau yang
sedang berlari. Letaklah lelaki semacho
mana pun, kalau berhadapan dengan situasi sebegini, pasti akan pengsan!
“Aril?” Aiman bertanya tegas. Raut wajahnya garang memandang Aiman.
Aril mengganguk. Masa-masa macam nilah suaranya ditelan anak tekak. Tidak
mampu menjawab sepatah perkataan. Kalau dia ditumbuk, hendak elak mana ya?
“Aku Aiman. Abang Hannah.” Aiman memperkenalkan diri kemudian dia tersenyum
ramah. Tangan dihulur untuk bersalaman.
Phew! Leganya di dada hanya TUHAN saja yang tahu. Mahu saja dia mengelap
peluh di dahi! Sekarang ini, barulah dia dapat bernafas dengan sempurna.
Manalah tahu Hannah hendak mengenakannya?
Aril menyambut salam Aiman. “Saya minta izin bawa dia keluar sekejap. Nanti
saya hantar dia balik.”
Hannah memandang Aril dan mendengus. Amboi, dengan abangnya bukan main
sopan lagi berbual. Kalau dengannya, tidak bertekak memang tidak sah! Pandai
berdrama rupanya Aril ni.
“Guna aku-kau pun boleh, aku tak kisah. Tak apa, kalau nak bawa dia ke mana
pun boleh, bosan aku tengok muka dia hari-hari. Asalkan kau hantar balik
sebelum pukul 9 malam. Jangan risau, aku ni sporting.
Pergilah.” Aiman menepuk bahu Aril lembut. Dia faham jiwa lelaki.
Sempat mereka berborak tentang permainan bola sepak semalam. Semuanya
gara-gara Aiman memakai jersey Manchester United. Hannah yang berdiri di sisi,
mengetap bibir. Tiada apa yang boleh dia lakukan sekarang ini. Cepat betul
lelaki beramah mesra.
“Okeylah. Aku pergi dulu.” Aril meminta diri.
“Eh apa pergi dulu? Pergi sekaranglah...” sempat Aiman mengusik.
“Abang!”
“Bye Hannah!” Aiman melambai tangan,
mengusik. Bukannya dia tidak lihat wajah Hannah yang merah menahan geram.
Hannah memasuki kereta itu dengan hati yang sebal. Boleh pula kedua lelaki
itu menjadi kawan? Berborak bagai tiada salahnya. Sempat lagi mereka bergurau.
Bertukar pendapat tentang bola sepak. Hish geram!
“DAH lama sampai ke?” soal Hannah setelah memakai tali pinggang keledar.
“Bolehlah, dalam 10 minit.”
“Kenapa tak hon? Bukan hobi awak ke tu?”
“Saya ni orangnya penyabar. Tunggu seribu tahun pun saya sanggup.” Ujar
Aril, tersengih sendiri.
Terasa mahu muntah saja sebaik saja mendengar pengakuan poyo dibuat oleh
Aril. Aril sudah pandai masuk bakul angkat sendiri nampak gayanya. Tiba-tiba
dia teringat sesuatu. Hal yang dibincangkan dengan Faz dan Nabil semalam di
pejabat.
“Dia tu solo lagi ke dah berpunya?” Faz bertanya.
“Manalah aku tahu.” Hannah menjongket bahu. Takkan dia perlu ke tahap itu?
Nampak terdesak sangat nanti.
“Dia tu dahlah kacak, mesti ramai peminat. Kalau dah terlajak bercinta, baru
dapat tahu dia dah berpunya, menangis kau nanti! Lelaki zaman sekarang, kalau
dah beristeri pun masih mengaku solo!” tambah Faz lagi. Andai dia belum
bertunang, dia tidak akan teragaka-agak untuk mengambil langkah pertama
mengenali Aril.
“Eh, eh mulut kau. Jaga sikit eh. Tak semua lelaki macam tu.” Bangkang
Nabil, mempertahankan hak lelaki.
Hannah terdiam, memikirkan kebenaran kata-kata Faz. Bagaimana jika dia
sudah beristeri, atau mempunyai kekasih? Benar, lelaki kacak pasti didampingi
perempuan-perempuan cantik. Namun, siapa yang boleh tahan mamat sombong,
berlagak dan menyakitkan hati macam Aril ni?
Aril tersenyum penuh makna memandang Hannah. Dia terpesona melihat
kecantikkan Hannah hari ini. Bukannya Hannah tidak cantik pada hari-hari biasa
tetapi inilah kali pertama dia melihat Hannah sopan berbaju kurung dengan
sedikit solekkan. Tampak ayu dan elegan.
Yang paling penting, baju mereka sedondon. Sekarang barulah dia terperasan.
Mungkin tadi dia terlalu kalut sehinggakan tidak terperasan akan Hannah langsung.
Apabila difikirkan kembali, mereka bukannya berjanji pun untuk memakai warna
yang sama. Adakah itu kebetulan atau ketentuan? Kan dia sudah kata, mereka
mempunyai talian hati yang kuat.
“Kenapa senyum?” Hannah bertanya. Apa baju dia koyak, atau dia pakai baju
terbalik? Dia memeriksa bajunya andai ada yang tidak kena.
“Tak ada apa.” Aril menggeleng, masih tersenyum.
Oh senyuman itu membuatnya hampir lemas. Melihat Aril tersenyum, dia juga
ingin turut tersenyum. Dia merasakan seluruh alam ini turut tersenyum
bersamanya. Sukakah dia pada Aril? Eh tidak. Habis tu mengapa jantung ini dag dig dug tidak menentu?
“Betul tak ada apa-apa. Pandanglah depan, saya nak memandu ni.” Ujar Aril
apabila Hannah melihatnya dengan wajah tidak yakin. Jika Hannah terus
memandangnya, tidak boleh fokus dia dibuatnya!
Hannah memandang Aril pelik. Apa kena mengena dia memandang Aril dengan
Aril memandu? Semakin lama dia kenal Aril, semakin aneh sikap lelaki ini. Dia
teragak-agak untuk bertanyakan hal yang dikemukakan oleh Faz. Takut dituduh
menyibuk pula. Tapi, kalau tidak tahu, dia juga yang susah. Bagaimana ni?
Lama dia memikir, akhirnya dia mengumpulkan keberaniannya untuk bertanya.
Dia berdehem untuk menghilangkan gementar di dada.
“Kenapa awak ajak saya? Kenapa tak ajak tunang awak ke, kekasih ke?” Hannah
bertanya akhirnya.
Terasa ingin keluar dari kereta ini dan lari saja. Malu tahap maksima! Dia memejam mata, memujuk dirinya untuk
bertenang. Tidak pernah dia membayangkan dirinya bertanyakan soalan ini kepada
Aril. Ingin saja dia menghentak kepalanya di dashboard. Menyesal betul kerana
bertanya.
“Kenapa saya tak boleh ajak awak?” Aril membalas soalan Hannah dengan
soalan.
‘Aik? Dia tak jawab soalan aku. Main pusing-pusing pula mamat ni. Memang
padan dengan muka kau. Kau pun tanya dia soalan indirect kan Hannah? Apa nak jawab ni?’
Akhirnya, Hannah hanya membisukan diri. Tidak tahu harus menjawab apa.
Takut tersalah jawab, menjeratkan diri sendiri pula nanti.
Hannah memarahi diri sendiri kerana sudah terlanjur kata. Dia diam, Aril
juga diam. Mungkin Aril tidak mahu menjawab soalannya kerana tidak mahu dia
ambil tahu tentang kehidupan peribadi lelaki itu. Ataupun Aril marah dengannya?
Kekok benar rasanya apabila sunyi menghuni kereta ini. Rindu dengan suasana
kecoh dan bising yang mereka selalu lalui. Semua ini berpunca dari mulutnya
yang gatal dan hati yang ingin tahu. Haruskah dia memohon maaf kepada Aril?
Hatinya ditambah gusar apabila Aril memasuki ruang parkir di hotel itu. Dia
tidak mahu ke majlis ini dalam keadaan ini.
Aril menekan brek setelah keretanya sudah terparkir. Songkok di tempat
duduk belakang dicapai. Saja dia mendiamkan diri tadi kerana ingin menguji
Hannah. Nyata, gadis itu seperti cacing kepanasan. Dia sebenarnya faham maksud
soalan Hannah itu. Dalam diam, dia gembira kerana Hannah masih ingin mengambil
tahu tentang dirinya.
“Aril, saya minta maaf kalau saya...”
“Saya tak akan ajak awak kalau saya dah ada kekasih atau bertunang sebab
saya... tak akan khianati cinta saya.”
Hannah kaku di tempat duduk. Ungkapan yang baru didengar itu membuatkan
lemah tanpa bicara. Seribu satu perasaan bercamput aduk. Antara gembira kerana
Aril tidak berpunya dan ungkapan lelaki itu sebentar tadi. Dia keliru.
Mengapa Aril berkata begitu kepadanya? Apa maksud Aril? Namun, jauh di
dasar hatinya, dia sempat bersorak riang kerana dia bebas berkawan dengan Aril.
Apabila difikirkan balik, tiada sebab untuk dia gembira pun kerana dia bukannya
ada hati terhadap Aril. Lainlah jika dia sudah suka kepada lelaki yang dia
menyampah ini. Menyampah tapi suka?