Tahun 2014 - Chantilly, France…
MATANYAmasih melekat pada objek paling bersinar di antara objek-objek lain di galeri improsionis itu. Terlindung di dalam sebuah kotak kalis kaca di tengah-tengah bilik. Tekun dia memerhatikan objek itu tidak berkelip.
“It’s beautiful.” Suatu suara muncul di gegendang telinga.
Dia berpaling. Seorang gadis berpakaian kasual, berambut tocang dan hanya memakai kasut Nike sedang asyik menatap The Grand Conde di hadapannya. Wajah itu takjub sekali bagaikan kagum. Namun yang dia tertarik ialah kerana wajah itu wajah Asia.
“Pink diamond withpear shape and 9.01 carats. Not so lovely for woman. Every women will love Roseof Dubai or Pink Star but not The Grand Conde,” ujarnya, tersenyum.
Si gadis menoleh. Mata mereka bertentangan buat sejenak. Dan entah kenapa dia terpegun dengan wajah bersih di hadapannya yang kelihatan polos tanpa sebarang mekap.
“Malaysian?” soal si gadis seakan-akan keliru.
Dia mengangguk.
“You?” tanyanya.
Si gadis turut mengangguk.
Mereka berbual sejenak tentang berlian. Tetapi tidak ada sesi perkenalan lanjutan kerana kehadirannya di Musee de Conde itu bersebab. Dan fokusnya tidak harus terganggu semata-mata dia bertemu seorang gadis yang sama kewarganegaraan dengannya.
“Need to go now. Nice to meet you.” Dia tersenyum lalu segera bergegas pergi dari situ.
Si gadis terkaku sejenak melihat langkah pantas lelaki itu beredar.
“Suri!” Beberapa suara melaung dari jauh.
Gadis itu berpaling lalu ternampak kelibat teman-temannya. Dia melambaikan tangannya sambil tersengih.
“Kau ni asyik hilang aje.Rupa-rupanya memerap kat sini. Minat sangat dengan berlian,” giat temannya,tersengih-sengih.
“Aku saja nak tengok-tengok cuci mata. Nak beli tak mampu.” Dia ketawa kecil separuh menyeloroh.
“Nanti kalau kau kahwin dengan jutawan, mampulah tu,” sahut temannya, galak menggiat.
“Dia bukan nak kahwin jutawan, dia nak kahwin dengan doktor,” balas teman yang lain.
Dia hanya tersenyum mendengarnya. Kahwin dengan doktor? Ya, itu perancangan utamanya selepas dia habis belajar nanti. Tapi dengan panggilan telefon dari ayahnya semalam meminta dia balik, dia berasa berat hati. Seboleh-bolehnya dia mahu menemani Farid lebih lama di sini.
“Muzium dah nak tutup ni.Jom kita baliklah, aku terasa nak makan croissont kat kafe di seberang apartmen kita tu,” ujarnya bersedia untuk beredar.
Teman-temannya hanya ketawa mendengarnya. Mereka berjalan beriringan ke luar sambil rancak berbual-bual. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Lebih kurang setengah jam lagi, muzium itu akan ditutup untuk orang ramai.
Tiba-tiba langkahnya terhenti mendadak. Jari-jemarinya rancak meraba-raba leher. Wajahnya berkerut.
“Kenapa ni, Suri?” tanya Hana, hairan.
Teman-teman mereka yang lain ikut menoleh.
“Alamak! Rantai aku tercicir kat muzium tu tadi,” keluh Suri. Aduh! Yang kau cuai sangat ni kenapa?
“Hmm… tak apalah. Kau orang semua balik dulu.Aku nak ke muzium tu sekejap cari rantai aku. Nanti kita jumpa kat kafeteria tu,”ujar Suri Imani lantas bergegas ke arah muzium yang sudah jauh ditinggalkan.
Hana hendak memanggil pun tidak sempat. Dia mengeluh panjang memandang langkah sahabatnya yang kian jauh.
MUSEE De Conde semakin hening. Dari atas siling, dia mengawasi setiap ceruk bangunan itu melalui skrin pengawasan. Dia hanya perlu menghubungkan panel pelayan di bangunan itu terus ke rangkaian komputernya. Hanya beberapa minit diperlukan dan dia boleh mengawasi segala-galanya melalui skrin pengawasan di muzium itu.
Jarum jam diteliti.Bingo! Lima minit berlalu dan dia yakin, kesemua berlian yang dipamerkan di bilik pameran antarabangsa Musee de Conde itu sudah dimasukkan ke peti besi utama yang terletak di salah sebuah bilik utama di sayap kiri Chateau de Chantilly.
Pengawal akan mengawasi bilik itu selang 15 minit dan akan bertukar setiap satu jam. Ini bermakna dia hanya ada kurang dari 15 minit untuk menyelinap masuk tanpa dilihat dan menyahkod bilik kebal di sayap kiri muzium itu, berdekatan dengan The Art of Gallery yang menempatkan karya paling terkenal sepanjang zaman Tres Riches Heures du Duc de Berry.
Seorang pengawal baru melepasi sebuah ruangan. Dia menyelinap cukup berhati-hati. Sensor pengesan haba diaktifkan di pergelangan tangannya
Seorang lagi pengawal kelihatan. Datang dari arah hadapan. Dia tidak ada pilihan lain selain memasuki bilik air tidak jauh dari situ. Suara si pengawal berbual-bual melalui telefon semakin kuat kedengaran. Dia tidak tahu adakah lelaki itu akan memasuki bilik air itu atau tidak. Dia mencari-cari sesuatu. Ruang udara di atas siling diperhatikan. Jarum jam diperhatikan. Tinggal 12 minit lagi.
Seorang pengawal berbadan gempal memasuki bilik air itu. Mulanya si pengawal mahu membuang air, tetapi telinganya tiba-tiba menangkap suatu bunyi. Dia berpaling. Memerhatikan dengan penuh waswas pintu-pintu tandas di situ yang tertutup rapat. Dia mengeluarkan belantannya. Setiap satu pintu di situ ditolak dan diperiksa. Sehingga ke pintu terakhir, si pengawal menarik nafas panjang.
Dengan penuh nekad, dia menendang pintu bilik air terakhir. Wajah si pengawal berubah. Bilik air itu kosong sahaja. Dia menggaru kepala kebingungan. Mula terfikir barangkali dia hanya berkhayal yang bukan-bukan.
Tidak jauh dari situ, lelaki berpakaian serba hitam itu merangkak perlahan-lahan dari siling menuju ke suatu arah. Destinasinya ialah The Art of Gallery. Dari situ, dia terpaksa melangkah100 meter lagi ke arah kanan sebelum sampai ke sebuah bilik. Ada lorong panjang di situ. Satu tempat yang agak berisiko untuk dia melepaskan diri jika dikepung.
Dia mengeluarkan sesuatu dari beg sandang. Serbuk putih di telapak tangannya ditiup ke arah panel kawalan. Dia memakai gogel, menekan butang pada sisi kiri gogal dan cahaya-cahaya berwarna hijau terang mula kelihatan pada beberapa keypad. Dia membaca beberapa kesan cahaya pada butang nombor. Angka-angka enam digit itu dimasukkan ke dalam alat penyahkodan. Pintu di hadapannya mula terbuka.
Bibirnya tersenyum tenang. Bahagian mudah sudah selesai. Tinggal yang paling sukar. Sejauh 50 meter dia dapat melihat berlian The Grand Conde terletak di hadapannya. Selain The Grande Conde, ada beberapa berlian lain. Tetapi dia tidak berniat mahu mengusik berlian-berlian lain. Hanya The Grand Conde matlamat utamanya. Hanya itu yang dimahukan oleh kliennya.
“The Grand Condedi hadiahkan oleh Louis X111 kepada Louis de Bourbon, seorang panglima perang semasa Perang Tiga Puluh Tahun Perancis. Selepas kematian Louis de Bourbon, TheGrand Conde hilang dan dipercayai berada di tangan salah seorang perempuan simpanan Louis de Bourbon sehinggalah ditemui 200 tahun kemudian. Berlian ini pernah dianggap memiliki sumpahan tersendiri dan dikaitkan dengan peristiwa Revolusi Berdarah Perancis.”
“Cukuplah dengan sejarah.Kita bincang fasal harga.”
Wanita berbaju ceongsam merah itu ketawa besar mendengarnya.
“RM5 juta pendahuluan.Baki RM5 juta lagi selepas ditolak komisyen untuk I akan diberikan setelah berlian tu diperolehi. Bagaimana?”
“Deal!” Dia mengangguk tanpa banyak soal.
Dia mengeluarkan busu rsilangnya lalu menembak ke arah siling. Berdesup bunyi tali dari busur. Tali selebihnya diikat ke arah palang pintu dan dia menyusur tali itu, menuju ke arah The Grand Conde yang sedang gah dipamerkan di dalam kotak kaca ditengah-tengah bilik. Tuan Glock! Itu nama gelarannya. Lelaki yang punya reputasi dengan fail setebal pembunuh bersiri di Interpol dan agensi-agensi penguatkuasa di 17 buah negara.
BERBUIH mulut Suri Imani mahu menerangkan pada pengawal di lobi tentang rantainya yang tercicir di situ. Namun bahasa Inggeris yang digunakannya seakan-akan tidak mampu difahami lelaki Perancis itu. Perancis memang terkenal sebagai sebuah negara yang tidak mengagungkan bahasa Inggeris selain bahasa ibunda mereka. Tak habis-habis lelaki itu cuba menghalaunya.
“Please, you have to let me in. I just need a few minutes,” pujuk Suri Imani. Namun lelaki berbadan besar itu tidak juga lembut hati terhadapnya.
“Go. Go,” ujar lelaki itu. Tangan si lelaki asyik terawang-awang menyuruh dia pergi.
Tiba-tiba bunyi siren amaran muncul dari dalam bangunan. Si pengawal terus meninggalkannya lalu meluru ke dalam. Dia pula terkeliru seketika. Apa yang dah berlaku? Mendengar bunyi tapak-tapak kaki bergegas di dalam, nalurinya mula mencongak ada perkara tak baik sedang berlaku? Jangan-jangan ada rompakan! Dia mula teragak-agak.Kakinya ringan hendak melangkah pergi, tetapi sejurus dia membatalkan hasrat hati. Mula teringat-ingatkan rantai di lehernya yang lesap dan masih gagal ditemui.Nak masuk ke tidak ni? Pintu di hadapannya sudah terbuka luas.
Okey Suri, masuk sekejap.Cari rantai tu dan kau keluar. Hati kecilnya mula merangka rancangan. Hendak tak hendak dia melangkah masuk. Kakinya meluru ke arah bilik pameran yang menempatkan kotak pameran untuk The Grand Conde yang menjadi minatnya sebentartadi. Kotak-kotak di situ sudah kosong menandakan semua berlian yang dipamerkan baru sebentar tadi sudah disimpan di tempat lain.
Dia tidak membuang masa lalu terus mencari-cari rantai miliknya. Ketika itulah, muncul seorang lelaki berpakaian serba hitam dari arah bertentangan. Wajah lelaki itu bersarung topeng muka.
Suri Imani terkejut.Mulutnya ternganga. Dia hendak menjerit, tetapi lelaki itu tiba-tiba menerpa ke arahnya lalu menekup mulutnya.
“Shut up!” bisik lelaki itu.
Suri Imani mengangkat wajah perlahan-lahan lalu mengamati sepasang mata di sebalik topeng itu. Anak mata itu tidak tajam dan jauh sekali kelihatan ganas. Dia hanya melihat kelembutan pada sepasang mata yang sedang meratah wajahnya.
“I’m not going to tell anyone, please…don’t hurt me,” rayu Suri Imani berkali-kali.
“So sweet. What if I’m not interested to spare your life?”
Tubuh Suri Imani kian menggigil mendengar kata-kata lelaki itu. Jadi apakah lelaki itu akan membunuhnya?Itukah maksud lelaki itu? Ya ALLAH!
Ketika itu muncul beberapa pengawal bersenjata di ruangan itu. Serta-merta dia dilepaskan lelaki bertopeng itu. Hatinya yang tadi kencang entah kenapa reda melihat kedatanganlelaki-lelaki itu. Itu persepsi pertamanya. Tetapi melihat pertarungan bermula antara lelaki berpakaian serba hitam itu dengan pengawal-pengawal Musee de Conde, dia mulai tidak yakin.
Lima orang pengawal bertubuh besar itu seakan-akan tidak setanding dengan ketangkasan lelaki itu.Dia yang sedari tadi ketakutan, kini dicengkam perasaan kagum dan takjub. Macam adegan dalam filem pulak! Hati kecilnya berbisik begitu.
Dari tempatnya berdiri,matanya terpandang sesuatu yang bersinar di kaki salah seorang pengawal. Dia mengamatinya agak lama. Rantainya! Cepat-cepat dia meluru ke arah pengawal itu,tetapi laras senapang dari tangan salah seorang pengawal itu tiba-tiba menghala tepat ke arahnya. Dia tersentak. Ya ALLAH! Mula menyedari dia sebenarnya berada di tengah-tengah kemelut antara si pengawal dengan lelaki berpakaian serba hitam itu.