Home Novel Cinta JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
Zura Rahman
23/3/2015 09:57:20
113,919
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10

Hilang? Tidak mungkin. Pen drive berbentuk kepala hello kitty sentiasa sahaja diletakkan di dalam poket kecil di dalam tas tangannya. Dia juga jarang-jarang sekali menukar tas tangan. Lyn Jasmine menyelongkar tas tangan itu sekali lagi, mencari pen drive kesayangannya.Sudah tiga minggu dia tidak menggunakan beg tangan itu kerana dia hanya membawa ‘pouch bag’ yang lebih kecil dan santai ke Eropah.

Lyn Jasmine duduk di birai katil, berfikir sejenak kemungkinan dia telah mengalihkan pen drive tersebut. Dia langsung tak dapat mengingati. Badan dibaring ke katil yang beralaskan tilam sederhana empuk dengan cadar corak bunga ros pink. Tangan kirinya direntang untuk mencapai sebuah bantal berbentuk hello kitty. Bantal comel itu dipeluk erat sambil fikirannya cuba mengingati namun dia betul-betul buntu.

Masih terbaring di atas katil di kamarnya, fikirannya menerawang. Selama tiga minggu yang lalu, setiap hari Lyn Jasmine akan titipkan pesanan kepada Azman dan si dia akan membalas dengan serta merta. Hari-harinya sungguh bahagia sekali! Esok dia akan berjumpa dengan jejaka itu. Dia terasa dirinya umpama Repunzel yang akan diselamatkan oleh seorang putera. Senyuman terlakar di bibir kecilnya.

“Weh, apa senyum-senyum seorang diri ni?” sergah Mutia tiba-tiba. Gadis itu sudah terpacak di muka pintu bilik. “Kau tak dengar aku ketuk bilik ni Lyn? Kau tengah buat apa ni?” Mata Mutia tertumpu kepada temannya yang masih belum berganjak dari pembaringan.

Mutia melangkah ke dalam bilik dan memerhati sekeliling bilik yang kemas. Walhal mereka baru sahaja pulang dari cuti yang panjang.

“Kau dah siap mengemas Lyn?” Soalan seperti itu sepatutnya tidak ditanyakan kepada gadis itu. Tidak seperti biliknya yang sedikit bersepah dengan ‘sentuhan kreatif’ tangannya, bilik Lyn Jasmine sentiasa kemas. Lyn Jasmine pantang lihat barang bersepah.

“Mestilah sudah. Aku efficient,” balas Lyn Jasmine. Dia dapat mengagak Mutia masih belum mengemas barang-barang yang dibawa pulang. Silap-silap haribulan, bajunya pun masih belum berbasuh.

Mutia memutarkan mata. “Aku tahulah kau efficient mengemas. Kau kan rajin… hmm… kau nak masak ke tak? Kita orang lapar ni….”

Lyn Jasmine bangun dengan malas. Dia turut duduk di birai katil. “Kalau aku tak mahu masak macam mana? Penatlah.…”

“Kalau kau tak nak masak, kita keluar makanlah. Atau kau tak nak makan?”

Lyn Jasmine menjawab laju, “Nak! Aku pun lapar ni… Aku tukar baju dulu.”

Mata Mutia melilar di sekitar bilik. Terdapat satu beg kertas berwarna biru di atas meja di penjuru bilik. Mutia mengintai isi beg kertas tersebut, “Apa ni?”

Souvenir untuk Azman!” ucap Lyn Jasmine dengan nada teruja.

“Apa kau beli untuk dia?”

“Adalah… rahsia!”

“Ah… nak berahsia pulak. Biar betul kau ni Lyn… kau kan baru kenal dia? Kau serius ke?”

“Kita orang kawan ajelah. Tak boleh ke?”

“Kau memang suka kat dia kan?”

“Tak adalah…kita orang biasa-biasa aje. Tak ada apa sangat pun. Cenderamata kecil aje,” ujar Lyn, masih ingin menyembunyikan rasa sebenar hati perempuannya. Tangannya mengambil beg kertas tersebut, ditelek seketika kemudian beg kertas tersebut diletakkan semula di atas meja. Hatinya berbunga riang. Dia sungguh bersemangat untuk ke pejabat pagi esok. Biarpun hubungan mereka masih baru, dia menaruh harapan menggunung tinggi. Setiap doanya dititipkan untuk hubungan mereka supaya berjaya ke jinjang pelamin.


Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.