Home Novel Cinta JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
Zura Rahman
23/3/2015 09:57:20
113,903
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

Dari kejauhan dia nampak Azman tersenyum mesra. Berdiri di koridor dengan kedua-dua tangan di dalam kocek seluar, seolah-olah dia sudah lama menunggu dan bersedia untuk bergerak. Lyn memerhati fizikal lelaki itu. Wajahnya yang kemas berandan dengan rambut ala Tylor Lautner itu membuatnya nampak tampan sekali. Biarpun rupa paranya biasa-biasa sahaja, Azman amat pandai bergaya. Keseluruhan pakej, Azman ialah seorang yang menarik. Baju kemeja ungu dan biru berjalur-jalur kelihatan begitu garang sekali, namun Azman amat bijak menata hias diri. Sesuatu yang biasa kelihatan luar biasa, tidak seperti dirinya yang sememangnya sentiasa sahaja mengambil jalan selamat apabila berhias.

Tinggi Azman yang sederhana itu membuatkan kedudukan mereka hampir sama apabila Lyn mengenakan kasut bertumit dua inci. Sekali pandang, mungkin dia kelihatan lebih besar dan lebih tinggi daripada lelaki itu kerana saiz badannya yang sedikit berisi berbanding Azman yang kurus. Tidak mengapa, Lyn memujuk hatinya sendiri. Bukan dia tidak pernah melihat pasangan kekasih atau suami isteri yang perempuan lebih tinggi atau besar daripada lelaki. Yang paling mustahak mereka bahagia.

Dia membalas senyuman lelaki itu. Ini ialah kali ketiga mereka berjumpa dan kali pertama mereka bertemu janji. 

Sedikit malu-malu dia menyapa, “Dah lama tunggu?”

“Taklah. Baru sepuluh minit.”

Meeting kat mana tadi?” Lyn berbasa-basi.

“Kat Seksyen 2, PJ.”

“Oh, I ingatkan you meeting kat sini…” katanya merujuk kepada Farmasi Kita. Lyn masih ingat Azman pernah menyatakan bahawa dia akan ke sana untuk berjumpa dengan klien di situ.

“I pergi sana untuk promosi ubat baru di pasaran. Mungkin minggu hadapan I datang ke sini lagi…”

“You jual ubatlah ye…”

Azman ketawa. “You ni… cara you cakap macam I jual ubat di kaki lima.”

Lyn turut ketawa. “Oh, maaf. I tak maksudkan begitu. Pertama kali I berkenalan dengan orang yang jual ubat.” Dia tersengih.

“Hmm… itulah kerja I. Tak glamourkan? You buat apa di syarikat ni?” Azman bertanya kembali.

“I buat finance.”

“Owh… jaga duit syarikat.”

“Hmm… jaga duit orang,” kata Lyn cuba berseloroh. Nasib baik Azman tidak ambil hati dengan gurauannya sebentar tadi.

“Oh ya, kita nak makan kat mana ni? You nak pergi jauh dari sini atau nak makan dekat-dekat sini aje?” Soal Azman setelah agak lama mereka berdiri di situ.

“I rasa kita makan kat kawasan sini ajelah… dah pukul satu dah ni,” saran Lyn. Dia melihat sekeliling, berkira-kira di mana mereka patut makan. “You nak makan apa?”

“I tak kisahlah. Apa-apa pun boleh. I am a simple person,” kata Azman seraya tersenyum. Sesungguhnya lelaki itu amat murah dengan senyuman.

“Jom kita ke blok sebelah. Ada beberapa kedai makan yang sedap juga. “Kalau kat sini, mesti you dah bosan kan?”

Kali ini, lelaki itu ketawa kecil. “Jom.…”

Mereka memilih sebuah kafe yang terletak di deretan kedai di blok sebelah. Kafe yang menyediakan masakan Barat itu menjadi pilihan mereka kerana ia satu-satunya restoran yang tidak ramai pengunjung dan kondusif untuk berbual-bual.

Selepas membuat pesanan, mereka berpandangan sesama sendiri, kemudian satu ketawa meletus.

“Tak sangka ya… kita berjumpa lagi?” Azman memulakan perbualan.

“A’ah.…” Sesungguhnya Lyn tidak pernah menyangka dia akan duduk semeja dengan jejaka ini. Lelaki yang diushanya ketika berada di pasaraya Giant beberapa minggu lepas. Mengingatkan kejadian tersebut, dia rasa serba salah.

“Kat Giant hari tu….”

Erkk… Macam mana ni? Lelaki itu menimbulkan perkara yang tak ingin dibualkan sekarang. Lyn membutangkan mata. Dia sedikit terkejut.

“Hari tu, you pergi shopping dengan siapa?”

Lega.

“Seorang. Kenapa?”

“Saja tanya… ingatkan you datang dengan pakwe,” tutur Azman tenang.

“Owh… taklah. I singgah sekejap kat situ dari majlis perkahwinan kawan I.” Lyn melepaskan nafas lega perlahan-lahan. Selamat.

“Hari tu, ada orang tu sombong sangat,” kata Azman dengan lagak bersahaja.

Ding!

Nasib baik dia bukan sedang makan. Silap haribulan dia boleh tercekik jika mereka terus-terusan bercakap tentang itu. Lyn ketawa kecil. “I minta maaf pasal hal itu ya. I tak sengaja nak malukan you. Tapi.…”

It’s okay, I understand.” Kali ini jejaka itu tersenyum. Ah, sungguh menawan sekali senyumannya, dengan renungan mata yang menusuk jantung, membuat hati wanitanya terhenti sejenak.

Nasib baik si dia tidak mengungkit kejadian itu. Mana mugkin dia lupa apabila Azman memperkenalkan diri dan menghulurkan tangan sebagai salam perkenalan, dia tidak menyambutnya. Bukan sahaja dia tidak menyambut salam daripada lelaki itu, dia juga berkata ‘Sorry, I don’t shake hands’ dengan nada yang begitu tegas tanpa perasaan kasihan. Kebetulan pada waktu itu dua orang wanita lain berada dekat dengan mereka dan saling berpandangan huluran salam Azman yang tidak bersambut. Dia nampak wajah Azman sedikit merah menahan malu, namun dia buat-buat tak tahu dan terus beredar dari situ. Dia sepatutnya menjaga air muka lelaki itu, namun entah kenapa dia rasa tidak enak untuk berlama-lamaan di situ.

I don’t shake hands….” Azman mengulang ayat yang dilontarkan kepadanya tempoh hari.

Lyn tersentak. “You masih ingat pasal hal tu?” Dia berpura-pura bertanya.

“Mana boleh I lupa?” Dia mula berteka-teki.

Hatinya mula berdebar. “You marah, ya?”

“Tak. Tapi ia buat I terfikir… tell me, you memang tak bersalam dengan lelaki?”

Lyn diam sejenak. Dia berfikir cara terbaik untuk menjelaskan perkara tersebut. Kemudian dia berkata, “Sebenarnya… ya. I memang tak bersalam dengan lelaki bukan muhrim. Berdosakan? Tapi, pasal hal tempoh hari, I tetap nak minta maaf daripada you kerana memalukan you macam tu. I tak sengaja.”

Azman menggeleng perlahan.”No...no… I totally understand. Cuma sekarang ni sukar untuk I berjumpa dengan perempuan macam you yang berani menyatakan begitu,”

“Oh… macam tu. Jadi, you tak marah?” Lyn bertanya, memastikan perasaan sebenar lelaki itu.

Azman menggeleng. “Not at all.”

Lyn lega mendengar jawapan yang keluar dari mulut lelaki itu.

In fact, I respect you for having the guts to tell me that,” ujar Azman lagi. Kali ini dia senyum kecil.

Lyn turut tersenyum bersama perasaan lega. Kini giliran dia pula untuk menyelidik perihal lelaki itu. “You pula… you beli semua barang tu untuk siapa?”

“Untuk anak buah I yang datang bertandang. Dia orang sedang bercuti, jadi dia orang datang lepak-lepak kat rumah I.”

“Ramai ke yang datang?”

“Dua orang. Lelaki.”

“Owh…” Lyn mengiakan sahaja. Bunyinya seperti kehidupan orang bujang sahaja. “Tiada siapa kat rumah untuk masak untuk dia orang ke?”

“Siapa yang nak masak? I tinggal sorang-sorang. Kalau dia orang lapar, dia orang boleh keluar atau order pizza atau makan apa yang I beli tu,” terang Azman.

Ya! Kemungkinan besar Azman masih bujang. Lyn rasa sedikit lega. Sekurang-kurangnya dia tidak terjebak dengan suami orang. Zaman sekarang ini, ramai suami orang yang berlagak bujang dan cuba memikat gadis-gadis yang bujang terlajak sepertinya. Dia perlu berhati-hati, tidak mahu terjebak begitu.


Previous: Bab 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.