Home Novel Cinta JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
Zura Rahman
23/3/2015 09:57:20
113,925
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12

Lyn Jasmine terkocoh-kocoh menahan pintu lif yang hampir tertutup. Beg tangan jenis sling berwarna hitam tersangkut dibahu kiri, manakala kedua-dua tangannya penuh dengan beg kertas dan beg plastik. Sedikit kalut pergerakannya pagi itu. Apa tidaknya kerana dia sudah terlewat gara-gara bersembang terlalu lama dengan Azman semalam. Akibat terlewat tidur, dia tidak sedar apabila jam loceng berbunyi. Dia membetul-betulkan pakaiannya apabila berasakan ada mata yang memerhati.

Seorang lelaki tinggi lampai dengan gaya formal berdiri di tengah-tengah ruang lif. Sut hitam bersama tali leher biru berjalur menyerikan penampilannya yang sememangnya tiada cacat cela. Orangnya sungguh kacak dan kelihatan hebat berpakaian sebegitu. Dengan rambut didandan rapi dan sut yang semestinya di reka khas untuknya terletak cantik di bahu yang tegap dan bidang. Pada pakaian dan gerak gerinya, dia tidak kelihatan seperti kakitangan di situ. Wajahnya pula ada iras mat salih biarpun rona Cina atau Melayu lebih dominan. Rambutnya hitam dan matanya … coklat muda. Sekali pandang wajahnya ada iras pelakon pujaannya Daniel Henney. Tentunya lelaki ini bukan Melayu tulen.

Ah, dalam kalut-kalut begitu sempat lagi lensa matanya meneliti lelaki yang tidak dikenali itu. Pada hemahnya dia mungkin salah seorang tetamu yang datang untuk berjumpa dengan pengarah kerana butang lif yang bernyala itu merupakan tingkat di mana pejabat-pejabat para pengarah syarikat dan Tuan Haji berada. Sudah berpunya atau belum? Hati Lyn Jasmine mengusik nakal.

‘Tetamu’ tadi masih kelihatan tenang. Dia hanya menjeling sekilas ke arah Lyn Jasmine dan matanya mengerling ke arah barang-barang yang dipegangnya. Kemudian, dia mengalihkan pandangan dan memandang terus ke hadapan. Dia berdiri tegak, dagu diangkat sedikit dengan penuh keyakinan. Kehadiran Lyn Jasmine di situ langsung tidak dihiraukannya. Dia terasa sedikit jengkel dengan lagak lelaki itu yang kelihatan sombong. ‘Cocky’ sungguh!

Ding.

Pintu lif terbuka. Dengan pantas Lyn Jasmine keluar dari perut lif dan cepat-cepat dia berjalan ke arah pejabat.

Morning!” Sapa Wafa riang apabila Lyn Jasmine sampai di kubikelnya.

Morning!” Lyn Jasmine membalas ceria. Moodnya berada dalam keadaan sangat baik pagi itu.

“Lambat hari ni?”

“Hmm… terlewat sikit. Bos cari ke?” Selalunya dia yang akan sampai sebelum Wafa.

“Dari minggu lepas lagi bos cari you….”

Lyn Jasmine mengerutkan dahi. Bukankah Encik Anuar tahu bahawa dia masih bercuti? “Kenapa?”

Wafa hanya mengangkat bahu.

“Encik Anuar dah masuk ofis ke?” Lyn Jasmine risau jika ketuanya itu ada perkara mustahak yang perlu dibincangkan.

Nope.”

Nope? Or not yet?” tanya Lyn, hairan dengan jawapan Wafa.

Nope… sebab yang nak jumpa you bukan Encik Anuar. Bos baru yang nak jumpa you. Nanti bila dia masuk you jumpalah dia.”

“Bos baru? Cepatnya dia masuk?Dia orang kata bulan depan?”

“Sepatutnya bulan depan tapi minggu lepas lagi dia dah masuk,” terang Wafa ringkas.

“Lelaki atau perempuan?”

“I rasa lebih baik you tengok sendiri….”

“Okey, nanti I tengok… By the way, dia macam mana? Garang tak?”

“You tengoklah nanti.”

Perbualan mereka terganggu oleh Ana yang datang tiba-tiba. “Lyn…Wafa… pukul sepuluh nanti bos nak jumpa.”

Lyn Jasmine yang masih tertanya-tanya tentang ketua barunya memandang Ana, mulutnya ingin bertanya sesuatu tetapi dilupakan sahaja. Malah Ana pula yang bertanya, “Macam mana cuti Lyn? Seronok?”

“Cuti… seronok! Ana… kenapa Encik Anuar tiba-tiba aje dipindahkan?”

“I pun tak tahu. Tapi dengar cerita, ada perubahan besar dalam syarikat. Hmm… you belum pernah jumpa bos baru kan?”

“Belum. I kan baru balik dari cuti?”

“Dia bukan calang-calang orang tau! Dan… dia sungguh hot!” kata Ana teruja, matanya membulat. Gadis itu tersengih lebar.

Hot?”

Ana mengangguk laju. Di bibirnya terdapat senyum nakal.

Exceptionally hot!” tambah Wafa. Tadi, ketika ditanya, Wafa berahsia. Rupa-rupanya rahsia besar Wafa ialah mereka mendapat seorang bos yang ‘hot’. Malang nasib Wafa kerana dia sudah berpunya, jadi tak adalah Wafa dapat cuci mata dengan ‘whoever-hot-boss’ mereka.

“Bos baru tu orang luar atau dari subsidiary?”

“Orang luar,” jawab Ana.“You patut tengok profile dia!”

“Kenapa?”

“Dasyat….”

“Hati-hati!” Wafa memberi amaran, seraya keningnya diangkat lagak nakal begitu.

Lyn Jasmine menggeleng dengan gelagat Wafa. Walaupun sudah berkahwin dan sudah mempunyai seorang anak, sesekali wanita muda itu masih lagi berlagak nakal. Terutama ketika mereka berdua. Mungkin disebabkan Lyn Jasmine masih belum berpunya jadi Wafa senang bercerita perkara sebegitu dengannya. Dia pula senang jatuh hati. Alah… sekadar nak ‘usha’ ciptaan ALLAH yang, cantik apa salahnya.

Kata Ana, bos baru mereka bukan calang-calang orang. Lyn Jasmine cuba menghadam maklumat yang baru diterima tadi. Dari gaya mereka bercakap, ‘dia’ kedengaran seperti seorang yang hebat. Perasaannya bercampur baur. Ada perkara yang bagus dan kurang bagus apabila mendapat seorang ketua yang hebat.


Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.