Home Novel Cinta JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
Zura Rahman
23/3/2015 09:57:20
113,935
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Habis koleksi baju kurung di dalam almari dipilihnya. Semalam dia sudah seterika baju kurung yang dia ingin pakai hari ini, tapi terasa jemu pula apabila sentiasa sahaja memakai baju kurung ke pejabat. Hanya sesekali dia memakai seluar panjang dan kemeja. Bukan dia tidak mahu, tapi dengan berat badannya yang semakin naik, dia lebih yakin berbaju kurung. Sekurung-kurangnya dia dapat menyembunyikan lebihan lemak di perut dan pingganngnya daripada tontonan orang ramai. Sebut sahaja pejabat dan berat badan, mood dia terus merudum.

Menyedari dia sudah terlewat untuk ke pejabat, Lyn cepat-cepat mengambil baju kurung tadi. Baju kurung daripada benang kapas “English Cotton” yang dibeli di Vietnam pada tahun lepas. Kain kapas yang kualitinya biasa-biasa sahaja tetapi sudah cukup selesa dengan suasana cuaca di Kuala Lumpur yang selalu panas dan lembap. Baju kurung bertanah hitam bercorak floral merah dan hijau dijahit batu permata berwarna putih dan manik berwarna warni. Harganya teramat murah jika dibnading dengan apa yang dia boleh dapat di KL. Selepas bertegang urat tawar-menawar akhirnya dia berjaya membeli baju kurung tersebut dengan harga RM45 sahaja. Yang paling penting, warnanya membuat badannya kurang berisi.

“Hai beb!” Sapa Wafa nyaring di pagi-pagi begitu. Lyn segera menoleh ke arah suara wanita itu. Sebenarnya tanpa perlu menoleh pun dia sudah dapat agak empunya suara.

Wafa Abdul Aziz. Wanita beranak satu yang berumur 30 tahun itu sedang berjalan ke arahnya. Berlainan dengannya yang sudahpun bekerja di situ selama tujuh tahun, Wafa baru sahaja berkhidmat selama tiga tahun.

“Hey, ceria hari ni?”

“Mestilah…” Wafa senyum meleret.

Lyn mengerutkan wajah. “Aik? Selalunya hari Isnin you selalu ‘Monday blues’?”

“Ada berita baik!” Ucap Wafa teruja. Melihatkan mimik wajahnya sahaja Lyn sudah dapat meneka kenapa rakan pejabatnya itu sungguh ceria pada pagi itu.

“Apa dia?”

“Dengar berita kita akan dapat extra bonus tahun ni!” Cerita Wafa dengan ceria sekali.

“Betul ni?” Selalunya mereka hanya dapat dua bulan contractual bonus dan satu atau dua bulan performance bonus. “Apa yang extra tu?” Lyn sudah teruja. Mungkin ia akan jadi rezekinya kerana pada bulan Jun nanti dia akan pergi melancong ke Eropah. Bagus juga jika dapat bonus lebih. Jadi tak adalah dia terpaksa berjimat cermat sangat.

“Yep! Hanisah yang cerita. Katanya syarikat performed better this year. Jadi kita mungkin dapat bonus lebih.”

“Yes!” Lyn membuat tanda bagus dengan tangan kanannya. Jika cerita itu datang daripada Hanisah, ia boleh dipercayai kerana Hanisah adalah antara orang yang terawal yang akan mengetahui tentang berita begitu.

“Jom kita pergi breakfast. Ada masa lagi nak makan.” Lyn mengajak Wafa makan. Dia dan Wafa selalu makan bersama-sama.

*****

Lyn melirik ke arah jam tangannya. ‘Dah pukul 12.40. Mana Wafa?’ Dia mencari bayang Wafa di sekitar pejabat. Sebentar kemudian dia nampak Wafa berjalan lenggang-lenggok ke arah kubikelnya.

“Nak makan kat mana hari ni?”

“Tak pastilah. Kita makan kat luar nak?” Tanya Wafa. Dia menarik laci meja dan mengeluarkan dompet.

“Boleh juga.” Lyn turut mengambil sebuah pouch kecil berwarna merah jambu dan berkata, “Jom kita keluar sekarang? Kita boleh balik awal sikit.”

“You banyak kerja ke? Urgent?”

“Kerja memang banyak. Eh, jomlah! Lambat pula nanti. Tapi I nak ke tandas dulu.”

Lima belas minit kemudian, kedua-dua wanita muda itu sudah pun berada di bangunan berdekatan. Pejabat mereka yang terletak di kawasan business centre memudahkan mereka untuk ke mana-mana tanpa perlu memandu.

“Nak makan apa ni?” Lyn berkira-kira sendiri.

“I pun tak tahu nak makan apa.”

Mereka berhenti sejenak di hadapan deretan kedai makan. Terdapat pelbagai jenis kedai makanan di situ namun mereka sukar untuk membuat pilihan.

Akhirnya mereka sependapat untuk makan masakan panas Thai memandangkan mereka keluar sedikit awal hari itu. Pelanggan di restoran Thai itu selalunya akan penuh apabila waktu makan tengah hari. Mereka duduk di meja yang terletak di tengah-tengah restoran. Tidak lama selepas itu seorang pelayan lelaki berbangsa Siam datang mengambil pesanan mereka.

“Dah lama kita tak makan di sini kan?” ujar Wafa. Dia melihat-lihat sekeliling.

“Aaa…” Lyn mengeluarkan sehelai kertas nipis dan ringan dari dompet. Dia mengelap peluh di muka dengan kertas pengelap peluh khas itu. Kertas itu selalu dibawa ke mana-mana kerana dia tidak suka wajahnya nampak berminyak apabila dia keluar di bawah terik matahari.

Wafa memerhatikan sahaja tingkah laku Lyn.

Pelayan tadi membawakan dua segelas sirap limau ais. Lyn terus meneguk sirap limau yang sejuk dan menyegarkan. Air sirap limau di restoran itu tidak pernah menghampakannya.

Wafa turut melakukan perkara yang sama. “Sungguh panas hari ini,” komen Wafa. Dia menghela nafas lega. Wajahnya masih merah akibat bahang mentari.

“Rasanya setiap haripun panas.”

“Tapi tak adalah rasa panas macam hari ni…”

“You pakai baju berwarna gelap, memang akan rasa lebih panas. Tudung pun warna hitam...” kata Lyn merujuk kepada baju kebaya kelabu gelap polos berlabuci dan bertatah batu permata perlbagai warna yang dipakai Wafa. Cantik. Tapi material kain nampak kurang selesa cuma dia diamkan sahaja. Wafa nampak cantik berkebaya begitu. Hmm… bila pula dia akan dapat bergaya dengan baju kebaya? Setiap hari berbaju kurung umpama makan nasi campur setiap hari. Dia pun sudah bosan.

“Baju you pun tak adalah cerah sangat Lyn…”

Lyn mengekek.”Ya, betul. Tapi ini kain koton, jadi tak adalah rasa rimas sangat.”

“Yup… no doubt cotton is comfy. Tapi I tak suka pakai koton. Berkedut seribu. Susah nak iron!”

“Kalau malas memanglah! Tak boleh buat apa-apalah kalau macam tu.”

Wafa ketawa mengekek dengan kata-kata Lyn itu. Ada-ada sahaja alasannya untuk tidak seterika baju. Sebab itu juga dia selalu memilih kain yang senang untuk digosok. Senang kerjanya.

Lyn menyambung, “Alah, kalau taknak yang berkedut, belilah cotton yang mahal. Senang. Bukan sahaja selesa, tak perlu iron kalau you malas.”

Wafa mengekek lagi. Terkena lagi dia!

Wafa melilaukan mata ke arah dapur restoran. Di sebelahnya, tempat penyediaan minuman. Para pekerja kelihatan begitu sibuk sekali. Beberapa orang pelanggan masuk ke restoran tersebut dan mencari tempat duduk. Perhatiannya kembali kepada rakannya yang asyik membaca sesuatu di telefon.

Nasi goreng kampung yang dipesan sudah dihantar ke meja. Lyn yang sedang membelek telefon terus menghentikan aktivitinya dan memberi perhatian kepada makanan yang sedang diletakkan di atas meja. “Terima kasih,” ucapnya kepada pelayan lelaki tersebut.

“Sama-sama kak. Makan ya…” jawab lelaki muda berusia dalam lingkungan dua puluhan itu mesra bersama satu senyuman lebar. Wafa turut menyatakan terima kasih.

“Wafa, Projek Marina Bay nanti kau turut serta kan?”

“Hmm hmm…” jawab Wafa dengan mulut yang penuh.

“You ada terima apa-apa email daripada bank berkenaan financing tu? I dah suruh dia orang masukkan you ke dalam mailing list. Kalau you tak dapat, bagitau I ya… I akan bagitahu dia orang.”

Wafa mengangguk-angguk. Tangannya ditekap ke mulut yang penuh sambil berkata, “So far, I terima email daripada bank… Murni kan, nama dia?”

“Aaa…Bos minta you join DDWG meeting nanti. Jadi, sebelum meeting tu bermula, you familarkan diri you dengan projek tu ya?”

“Bila meeting tu?”

“Dua minggu lagi, insya ALLAH.”

“Hmm, OK. Tapi kan… kenapa ramai sangat orang yang terlibat? Selalunya kita berurusan dengan satu bank aje? Pening I...”

“Ooo… itu sebab kita nak issue bonds. Sebelum ni kita buat bilateral financing.”

“Bilateral financing? Loan yang biasa kita buat tu?”

“Hmm. Dalam bilateral financing kita hanya berurusan dengan satu bank. Bank tersebut yang akan beri pinjaman kepada kita. Prosesnya pun jauh lebih mudah. Taklah pening kepala macam bonds issuance,” terang Lyn kepada Wafa yang baru pertama kali terlibat dalam proses tersebut.

“You pernah terlibat dalam bonds issuance sebelum ni?”

“Belum pernah. Ini kali pertama.”

“Oh, ingatkan you dah pernah buat…”

“Kenapa?”

“Sebab you nampak macam berpengetahuan dalam hal ini.”

“I am lucky… my housemate is an investment banker. Apa-apa hal, I boleh rujuk kepada dia.”

“Oh, really? Senanglah kalau macam tu.”

Rancak mereka makan sambil berbual-bual. Ketika sedang berbual tentang hal pejabat, Wafa berkata perlahan. “I rasa mamat tu tengok you…”

Spontan, Lyn memandang kiri dan kanan.

“Eh, janganlah kalut. You jangan tengok mana-mana lagi tau. Okey, sekejap lagi you pandang ke arah kanan you, ada dua orang lelaki di meja tu. Yang pakai kemeja biru jalur-jalur tu…” Gerakan bibirnya dikawal supaya tiada sesiapa yang akan dapat meneka apa yang dia sedang perkatakan.

“Hmm. Okey.”

Selepas beberapa saat Lyn berpaling perlahan-lahan ke arah yang disebut Wafa tadi. Dia berlagak selamba supaya tiada sesiapa yang akan perasan perbuatannya terutama jejaka berkemeja biru. Wafa pula berpura-pura makan.

Dia memandang sekilas dan kembali menikmati nasi goreng di hadapannya sebelum si jejaka perasan bahawa mereka berdua sedang bercakap tentangnya. Menjadi juga lakonan mereka. Ah, lagipun ia bukan kali pertama mereka berbuat begitu. Lyn seperti mahu tersenyum tetapi wajahnya dikawal rapi.

Begitu juga Wafa. Malah Wafa sungguh bijak bercakap dengan bibir yang tidak bergerak namun dapat difahami oleh Lyn.

“Dia pandang you lagilah…”

Lyn cuba mencuri pandang dengan ekor matanya. Ah, tidak puas pula apabila terpaksa jeling-jeling begitu.

“He’s such an eye candy. Not drop dead gorgeous but attractive enough,” kata Lyn perlahan. Dia mengekek perlahan. Terasa kepalanya ringan sedikit.

Wafa mengalih pandangan ke arah objek yang sedang diperkatakan. Entah kenapa Lyn rasa seperti ada orang sedang memerhatikannya. Dia mahu berkalih.

“Eh, janganlah pandang. Nanti dia perasan.” Wafa berkata tanpa menggerakkan bibir. Suaranya tak ubah seperti sebuah robot. Lyn menahan tawa. Mahu pecah perutnya jika mereka berterusan begitu.

Lyn mengekek perlahan. Suara masih dalam kawalan. Kemudian, dengan berhati-hati Lyn menoleh ke kanan. Oooppsss! Pandangan mereka bertaut! Dia terkejut bukan kepalang. Hampir luruh jantungnya! Dia terus memandang Wafa dan cuba berlagak selamba.

“Jom kita makan dengan tenang,” saran Lyn.

“Aku rasa mamat handsome tu sedang berjalan ke sini…”

“Serius?”

“Hhmm… “

“Kita buat macam tak ada apa-apa…”

“Hi, hello?”

Bagaikan terkena renjatan elektrik, Lyn mendongak. Mulutnya sedikit ternganga. Berdebar bercampur terkejut. Lelaki berkemeja biru itu sudah berdiri di sebelah meja mereka.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.