Home Novel Cinta MISI CURI HATI
MISI CURI HATI
Azleya Shadzalin
31/8/2019 10:35:48
66,051
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

“SAYANG! Sayang pergi mana? Mommy tunggu dari semalam,” serbu mommy sambil memeluk aku yang baru masuk ke bilik pejabat sir. Sikit pun tidak beri peluang untuk aku mencurinafas. Penat berkejar ke sini. Aku tiada reaksi. Hanya tegak berdiri macamtiang bendera. Aku pandang sir yang tersenyum. Kemudian mataku mati padasesusuk tubuh bersebelahan sir. Selain sir dan mommy, ada orang lain di sinirupanya. Apa dia buat di sini? Dating dengan mommy? Dia juga sedang merenungku.Tanpa jiwa. Aku leraikan pelukan mommy.

“Xandra, kenapa ni?”

“Tak ada apa? Okey aje. Mommy datang tiba-tiba ni nak pindahkan Xandra lagi, ke?”

“Eh! Tak! Kebetulan mommy singgah sini sebelum ke Jakarta. Tu yang mommy nak tengok anak mommy ni. Xandra sihat?”

Kedua pipiku disentuh lembut. Mommy belek aku atas, bawah.

“Mommy tengok Xandra sihat ke tak?”

Mommy senyum. Aku tetap tiada reaksi yang berlebihan.

“Xandra, jangan macam tu.Cakap elok-elok,” tegur sir yang duduk bersebelahan dengan Kris. Aku lirik ke wajah Kris. Seperti tadi dia tetap merenungku. Aku tahu dia juga seperti sir,tidak berpuas hati dengan cara aku menjawab pertanyaan mommy. Aku tidak tinggikan suara pun. Sekadar bertutur tanpa jiwa. Datar dan tiada reaksi teruja bertemu dengannya.

“Tak apa, Han. Adalah yang dia tak puas hati dengan I tu,” sahut mommy masih dalam senyum. Bahuku diusap lembut. Depan sir dan Kris, bolehlah dia tunjuk baik. Cuba hanya kami berdua .Tinggi saja suaranya. Kalah pitching Jaclyn Victor.

“I tak nak student I jadi kurang ajar, Zaira. Salam mommy,” arah sir lagi. Mata sudah terarah kepadaku kembali.

“Xandra sihat aje,” dataraku bersuara setelah menyalami mommy. Patuh pada kehendak sir.  Aku terus duduk berhadapan dengan sir. Di atas meja kopi yang memisahkan kedudukan kami, aku lihat penuh dengan pelbagai jenis coklat dan buah tangan. Tentulah dari mommy. Dia ingat boleh beli semua orang dengan pemberian begitu? Mommy juga sudah duduk di atas sofa yang sama denganku. Dia di sebelah hujung situ, aku di sebelah hujung sini. Sangat berjarak. Memang tiada  kemesraan. Tengah-tengah boleh muat lagi seorang.

Study macam mana?” tanya mommy lagi. Aku sudah suakan wajah bosan.Nafas dalam kuhela.

“Mommy boleh tanya sir terus, kan? Dia lebih tahu prestasi Xandra rasanya,” jawabku masih datar, acuh tidak acuh saja.

“Xandra...” tegur sir lagi, tentunya beri aku peringatan agar tidak berkasar dengan mommy. Aku bersuara lembut saja kot! Cuma, agak sinis mungkin.

“Dia memang macam ni, Han.I dah biasa. Silap I juga sebab jarang ada dengan dia. Tu yang dia rasa I ni tak ambil berat tentang dia agaknya.”

“Tahu pun! Xandra ni dah biasa kena tinggal. Biasa hidup sendiri. Mommy ada ke, tak ada ke, sama aje bagi Xandra sebab setiap apa yang dilalui, Xandra lalui seorang diri. Xandra bukan nak kurang ajar dengan mommy. Tapi, Xandra tak ada apa nak cakap dah.Boleh Xandra keluar sekarang?” Aku bangkit berdiri. Pertanyaanku itu membuatkan sir tunak merenungku. Begitu juga Kris. Sekarang ini mereka benar-benar lihataku dari sisi yang lain. Seorang Xandra yang keras hati.

“Xandra, mommy datang nak jumpa Xandra. Nak lepas rindu. Xandra tak rindu kat mommy ke?”

Gigi kukacip seketika.Melepas rasa geram.

“Baru sekarang mommy nak rindu Xandra?”

“Kenapa cakap macam tu? Mommy selalu rindu anak-anak mommy.”

Aku gelak halus. Rindulah sangat, kan? Sampaikan anak sendiri sudah macam insan tidak bernyawa pun mommy tidak pernah ambil peduli. Malas pula aku mahu berbalas cakap dengan mommy.

“Sir, kalau tak adaapa-apa saya keluar dulu,” celah Kris yang juga sudah bangkit berdiri. Diatoleh aku sekilas sebelum pandang sir semula. Aku tiada reaksi. Keluar pun lagi bagus. Aku tidak selesa dia ada di sini. Semakin banyak yang dia tahu nanti.

“Tunggu! Duduk, Kris. Kita semua perlu berbincang.” Arahan dari sir itu terus buat Kris duduk semula. Aku kecilkan mata.

“Pasal apa?” terjahkuingin tahu. Yalah, hendak bincangkan apa pula?

“Lanjutan dari perbincangan kita hari tu,” terang sir sambil memandang aku dan Kris. Pelik aku dengan mamat seorang ini. Selalunya jika kami bertiga, dialah paling banyak bersuara. Sekarang ni, asyik diam saja. Oh! Aku lupa. Mommy ada bersama. Atau mungkin dia masih berjauh hati sebab aku bahasakan dia di bengkel tadi. Padan muka!

“Kan saya tak setuju. Nak bincang apa lagi?”

“Sebab tu kita kena bincang semula. Saya tahu Xandra tak selesa jika Kris sentiasa ada dengan Xandra tanpa alasan yang kukuh. Mesti semua orang pelik, kan? Sebab tu mommy Xandra nak Xandra ada bodyguard dan dia rasa Kris paling sesuai untuk jaga Xandra. Keadaan itu saya rasa boleh diterima dan orang tak akan pertikaikan sangat. Jadi adalah alasan untuk Kris selalu ada dengan Xandra.”

Alasan itu tidak boleh aku terima. Nanti orang akan tetap cakap aku dengan Kris ada ‘apa-apa’. Mereka tidak fahamkah? Aku tidak mahu orang anggap aku dengan Kris bercinta! Sebab itu aku tolak cadangan sir untuk aku berbaik dan selalu ada dengan Kris. Susah sangat ke hendak faham? Aduh! Serabutlah kepala otak aku macam ni.

“Xandra dah cakap tak setuju, maksudnya tak setujulah.”

“Xan, mommy buat semua ni sebab mommy nak Xandra selamat. Mommy percaya Kris calon paling sesuai.”

“Dari dulu lagi Xandra tak suka mommy libatkan orang lain dalam hal kita, kan? Kenapa mommy buat jugak?Tak payah nak susahkan orang lainlah mommy.”

“Orang lain apa? Kan sir percayakan Kris? Mommy pun percayakan Kris. Apa salahnya dia tolong tengok-tengokkan Xandra? Hati mommy pun tak risau sangat tinggalkan Xandra kat sini.”

“Tolonglah mommy...”

“Mommy sedang cuba tolong Xandralah ni.”

“Tolong apa kalau macam ni? Xandra tak nak bodyguard. Xandra tak suka hidup terkongkong. Tak bebas. Xandra rimas! Apatah lagi selalu ada dengan lelaki yang tiada kaitan dengan Xandra. Nanti akan menimbulkan fitnah bila dia selalu ada dengan Xandra. Xandra tak nak macam tu,” tegasku lagi.

“Habis tu? Xandra nak macam mana? Kalau susah sangat, Xandra ikut ajelah ke mana mommy pergi. Nak macam tu?”

Amboi! Mommy main ugut-ugut pula.

“Xandra dah penatlah asyik berpindah-randah.”

“Kalau nak terus tinggal sini, Xandra kena ikut cakap mommy dan sir,” tegas mommy bila aku masih beri alasan. “Kris keberatan ke nak tolong kami?” soal mommy mengarah kepada Krispula. Lelaki itu yang tidak bersedia diajukan soalan, sedikit terpinga pada mulanya. Wajahku dicari. Kami bertatapan sebentar.

“Tak. Saya tak keberatan langsung. Lagipun saya dah tegaskan pada Xandra yang saya bersedia bantu dia dari awal lagi,” ujarnya tenang sambil mata masih merenungku. Mommy yang tanya dia, pandanglah mommy. Apa pandang aku pula. Aduh! Aku yang ketuk dahi beberapa kali. Apa lagi alasan yang perlu aku beri jika dia sendiri sudah memberikan persetujuan? Aku buntu. Pasti wajahku berkerut-kerut ketika ini. Macam makan limau kasturi dengan asam kecut/boi.

“Dengar tu! Kris sendiri cakap macam tu. Mommy dengan sir tak paksa pun.”

“Okey, macam nilah... Kita pergi makan dulu. You mesti lapar, kan Zaira? Dari pagi you tak makan sebab tunggu Xandra,” putus sir pula. Mungkin dia sudah nampak ketegangan yang mula berlaku dalam perbincangan kami.

“Okey juga tu. Xandra dan Kris ikut sekali. Kita sambung bincang di sana nanti,” ujar mommy pula,berbentuk arahan walaupun diucapkan secara lembut. Aku sudah julingkan mata.Bosan!

“Kris? Xandra?” Sir mahukan persetujuan dari kami.

“Saya okey aje sir,” jawab Kris datar. Memang macam orang yang tiada jiwa.

“Xandra?” Sir seru nama aku lagi apabila aku masih duduk. Mereka bertiga sudah bangun dan bersedia untuk keluar makan. Lambat-lambat aku bangun berserta rengusan kecil yang terhasil. Mommy pandang aku dengan tajam. Beri amaran supaya aku tidak buat perangai di depan sir dan Kris.

Aku biarkan sir dan mommy mendahului. Hanya melihat langkah mereka. Kris yang mahu melintas, aku tahan.Pantas saja tangan kanan aku hulurkan bagi tujuan itu. Dia yang sedang berseluk saku, memandang aku. Macam tiada apa-apa isu. Selamba gila! Geramnya! Ikut hati, mahu saja aku hempuk kepala dia.

“Kenapa you tak bantah?Kan I dah cakap apa keputusan I pada you hari tu.”

Dia pandang aku dengan mata mengecil. Tangan sudah dikeluarkan dari saku dan dia berdiri mengadapku.Beberapa saat begitu aku jadi kurang selesa.

“You lupa agaknya...” Dia tidak menghabiskan ayatnya. Buat aku tertanya-tanya.

“Lupa apa?” Aku soal juga bila dia membeku.

“You sendiri cakap pada I yang you akan ubah keputusan you jika jawapan I pada pertanyaan you tempoh hari meyakinkan. You sangat yakin dengan jawapan I masa tu, kan?”

“Siapa cakap?”

“Tak perlu cakap. Tengok wajah terharu dan impressed you ketika itu pun I dah tahu.”

“Mana ada I buat muka macam tu!” nafiku keras. Aku terharu ke ketika itu?

“Jangan lupa Xandra, sir jadi saksi masa tu,” bisiknya yang sudah membongkokkan sedikit badan dan wajahnya hampir dengan wajahku. Huh! Seriau dibuatnya. Lepas itu aku lihat ada senyum senget yang terbentuk sebelum dia berdiri tegak dan memulakan langkah meninggalkan aku.

Aku terkedu. Macam mana aku boleh lupa yang sir ada dengan kami masa itu? Masak aku! Jadi gulai tempoyak nampak gayanya. Matilah, nak! Aku tepuk dahi.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin