Home Novel Cinta MISI CURI HATI
MISI CURI HATI
Azleya Shadzalin
31/8/2019 10:35:48
66,036
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

“MAK!!!” Terkejut aku apabila pinggangku tiba-tiba dipaut sekaligus ditarik dengan paksa sehingga kami jatuh terduduk. Pantas aku toleh ke arah pelakunya. Mengecil mataku sambil menggosok belakang paha dan lutut yang sakit akibat bergesel dengan jalan tar. Nasib baik aku tidak jatuh di atas dia. Setakat jatuh terduduk sebelah menyebelah, masih ampun lagi.

“Kau dah kenapa?” Aku sedikit marah. Wajah Shark aku tatap. Eh! Kita bercakap dengan dia, dia boleh pandang tempat lain pula. Bunyi deruman motosikal yang agak kuat mengganggu tumpuan. Asap berkepul-kepul keluar dari ekzos. Dah gila ke apa penunggang tu?

“Hei!” Aku petik jari di depan mukanya. Barulah Shark pandang aku. “Siapa tu? Kawan kau ke?” sambungku, menyoal tentang penunggang motor yang sudah tidak nampak bayang pun. Shark menggelengkan kepala.

“Kau okey?” Dia perhatikan keadaan aku yang masih duduk. Santai.

Dia boleh tanya macam itu pula. Tentulah sakit lutut dan kaki aku ni dek perbuatannya tadi. Takkan itu pun tidak reti.

“Kau nak aku jawab jujur atau menipu?” Aku kira dia sedia maklum dengan keadaan aku. Walaupun seluar jeanku tidak koyak dan tidak nampak kecederaan secara nyata, sakitnya tetap ada.

Sorry... Sakit kat mana?” Dia bertanya lagi. Lebih datar sambil sudah duduk bersila mengadap aku. Wei! Apa ni? Ingat kita sedang duduk santai atas rumput dekat taman? Duduk atas jalan tarlah! Panas buntut aku, tahu tak?Sebenarnya aku sedikit cuak bila Shark terlebih beri perhatian macam ni. Selalunya kan kami asyik bertekak saja. Bila dia cakap elok-elok tanpa membentak, aku rasa lain. Demam ke dia? Ke aku yang demam sekarang ni?Aduh!

“Siapa tadi tu?” ulangku tanpa mengendahkan soalannya. Main soal-soal pula, kan?

“Aku tak tahu. Aku nampak dia macam nak langgar kau tadi. Tu yang aku tarik kau cepat-cepat. Sorrylah kalau tindakan aku tadi menyebabkan kau sakit kat mana-mana.” Penjelasan Shark buat dahiku berkerut.

“Dia nak langgar aku?” Aku macam tidak percaya.

“Yalah! Dah tu kau ingat,apa? Tak ada maknanya aku berlari nak selamatkan kau kalau tak ada apa-apa tadi. Yang kau tu pun satu. Berjalan tapi mata sibuk tumpu pada benda lain,”bebel Shark terus.

 Tadi kan aku berjalan elok saja. Sambil berjalan sambil main Candy Crush... Hah! Candy Crush? Terus kelam-kabut mataku melilau pandang kawasan sekeliling. Macam merangkak pun ada sambil tangan meraba kawasan rumput di bahu jalan.

“Kau raba-raba tu kalau terpegang ular ke kala jengking ke, padan muka!”

Terhenti terus perbuatanku. Kedua tangan sudah merapat ke dada. Dalam keadaan melutut, aku jeling Shark dengan tajam.

“Mulut kau ni kan, memang nak kena cili agaknya! Jangan cabul sangat cakap benda-benda macam tu, boleh tak?” marahku dalam masa yang sama sudah cuak juga. Dibuatnya betul aku terpegang benda yang tidak sepatutnya, memang tiada ampun. Eii! Geli!

“Betullah apa aku cakap. Semak macam tu kau berani-berani raba, siapa suruh? Kau cari apa?”

“Telefon akulah. Mana tercampaknya entah. Kau punya pasallah ni,” bebelku pula.

“Untung aku dah tolong. Kau marah aku pulak. Nah!” Dia unjukkan telefon bimbit yang aku cari.

“Mana kau dapat?” Pantas aku rampas dari pegangannya. Aku belek telefon tersebut. Takut cacat dimana-mana. Memang aku boleh beli sepuluh lagi telefon bimbit. Tapi yang ini sangat aku sayang. Hadiah pemberian dari daddy. Walaupun sudah out dated dan agak ketinggalan zaman dan tidak setanding dengan gajet-gajet terkini, aku tetap sayangkan telefon ini. Yang penting tetap boleh layari internet melalui telefon tersebut. Itu sudah mencukupi.

“Cakap biar elok sikit eh! Mana aku dapat... Telefon tu jatuh atas badan akulah. So tak payah nak belek sangat macam belek cincin berlian ya. Elok aje telefon kau tu. Calar pun tidak.”

Nasib baik telefon yang jatuh atas badan dia. Kalau aku? Mesti dia peluk aku masa tu kan? Huish! Kau jangan hendak bayangkan sangat keadaan tu, Xandra. Buat malu saja. Eii! Macam filem Hindustan. Tidak sanggup!

“Hmm... Thanks sebab selamatkan aku.” Aku bangun dan cuba berdiri dengan tetap. Tiada masalah. Maksudnya tiada kecederaan parah.Shark turut bangun sambil mengibas-ngibas punggung dan belakang pahanya.Terdapat sedikit kotoran yang melekat.

No problem. Lain kali hati-hati. Peka sikit dengan keadaan dan orang di sekeliling kau ketika berjalan. Jangan sibukkan telefon tu sangat.Bahaya!” Aku hanya senyum senget mendengar pesanannya. Memang salahku jadi tidak perlu berbalah tentang itu. Rasa kembang juga hati bila dengan jelas terlihat sikap ambil beratnya itu. Masa inilah ada ‘akal’ melintas di benakku.

“Kau membebel macam mak neneklah bro!” Aku sudah gelak kecil. “Auch!” sambungku mengaduh seraya terjelepok jatuh semula. Pergelangan kaki kuurut perlahan seketika sambil mulut berdecit mengaduh. Kemudian aku hulurkan kedua tangan tegak ke arahnya yang sedang memandang aku. Dia tiada reaksi lalu aku goyangkan kedua tangan lemah gemalai.

“Nak apa?” Wajahnya sangat selamba. Tiada reaksi yang mampu kubaca.

Eh! Kalau aku cakap nak dia, boleh ke beri? Terkejut tapir nanti.

“Tariklah tangan aku ni. Kaki aku sakitlah. Macam tak boleh berdiri.” Sekali lagi kedua tangan aku goyangkan lembut untuk dia segera sambut. Shark mencebik.

“Tak payah nak mengada sangat. Tadi elok aje kau bangun dan berdiri. Tak nampak sakit pun. Aku tak tertipu dengan taktik kotor kau ni. Dah, bangun sendiri.” Suaranya tegas. Terus aku tarik muka. Memang tidak menjadi akalku kali ini. Kononnya mahu tengok keprihatinan dia. Memang prihatin sangat sampai dia tahu aku hanya berpura-pura. Eleh, tadi kata ambil berat pasal aku. Baru nak bermanja sikit,dia tidak layan. Hampeh!

“Dahlah, aku nak balik.” Aku sudah bangun dan memulakan langkah.

“Aku serius Xandra. Hari tu kau hampir kena pukul. Hmm... more to...nak kena culik kot. Hari ni ada orang nak langgar kau dengan sengaja. Siapa mereka semua tu? Apa mereka nak dari kau?”

Soalan... Mengalahkan polis. Langkahku jadi perlahan sebelum ia terhenti. Tapi aku masih mampu senyum lagi. Tidak mahu Shark sangka yang bukan-bukan. Lagipun aku belum bersedia untuk berkongsi apa-apa cerita dengannya. Shark menghampiriku dan kami berjalan beriringan. Langkah yang santai. Eh! Seiring dan sejalanlah pula...

“Tak ada apalah. Merekasalah orang agaknya,” dalihku. Sambil berjalan, wajah Shark aku pandang. Amboi!Dia memang tengah tenung aku dari tadi atau kebetulan pandangan kami berpapasan?Tajam benar pandangan dia. Jalan tu tengok depanlah. Karang kalau terlanggar tiang atau pokok, aku juga yang disalahkan. Kemudian terlihat kerutan terentang didahinya. Tidak mahu percaya cakap akulah tu.

“Kalau sekali mungkin salah orang. Aku boleh percaya. Tapi ini dah kali kedua, Xandra. Kau ingat aku nak percaya? Hah? Sebelum ni pun aku perasan ada orang perhati dan ikut kau. Bila aku follow, orang tu cepat-cepat pergi. Kau tak perasan semua tu kan?”

Langkahku terhenti serta-merta. Wajah Shark aku cari. Sukar apabila dia masih meneruskan langkah walaupun perlahan. Lantas aku tarik lengannya memaksa dia berhenti. Tersentak dia.

“Wei! Kau apa hal?” Terkejut dia dengan tindakanku. Dia pandang sekeliling. Agaknya dia ingat aku tarik dia sebab ada sesuatu yang menarik perhatianku.

“Aku nak tanya ni... Betulke ada orang ikut aku?”

Shark pandang muka aku agak lama.

“Betul kau tak perasan?”soalnya balik. Aku menggeleng. Memang aku tidak pernah sedar keadaan itu. Shark juga geleng kepala. Macam orang sesal lagaknya.

“Bahaya betul kau ni Xandra...” gumamnya perlahan. Keningku berkerut. Tidak faham maksudnya.

“Kau cakap apa? Aku bahaya? Bahayakan siapa?” soalku kurang jelas.

“Bukan! Maksud aku keadaantu boleh bahayakan diri kau tu.”

Barulah aku faham. Aku tarik nafas dalam. Apa aku hendak cakap pada dia, ya?

“Tak ada apa-apalah rasanya.”

“Kau ni ambil mudah aje,kan? Tak takut kalau perkara macam hari tu jadi lagi kat kau?”

“Tak.”

Mengecil mata Shark pandang aku.

“Xandra... Kau tak boleh macam ni. Jangan bahayakan diri sendiri. Kau kena peka, kena sentiasa bersiap sedia. Jangan sampai orang ambil kesempatan terhadap diri kau. Faham?”

Seriau aku dengar Shark cakap macam itu. Tambahan pula kedua tangannya sudah memegang bahuku. Dia mahu buat apa?

“Wei! Apa ni. Kau yang jangan macam ni patutnya. Menakutkan aku, tahu tak? Ke kau yang nak ambil kesempatan terhadap aku ni, hah? Mentang-mentanglah kat sini tak ramai orang. Suka hati kau aje nak sentuh aku, ya?” Aku tepis kedua tangannya. Shark tidak bertindak balas. Hanya memandang aku. Wei! Betullah, aku seriau dengan perangai dia hari ini. Lain macam!

“Xandra, aku...”

“Kau apa?” potongku laju.Shark terkedu bila suara aku naik mendadak. “Hah? Yang kau baik sangat dengan aku kebelakangan ni, kenapa? Apa agenda kau? Ke kau ada kaitan dengan mereka yang cuba ekori aku tu? Sebab tu kau sentiasa ada kat tempat kejadian,” tebakku tanpa usul periksa. Aku tidak tahu hendak gambarkan macam mana aku rasa saat ini. Marah, geram, semua ada.

“Kau jangan tuduh aku macam tu, Xandra. Ya, aku akui selama ni kau dengan aku memang tak boleh bertemu roma. Selalu aje nak bertekak. Tapi, aku sendiri tak tahu kenapa tiba-tiba aku rasa...”

“Kau rasa apa? Kau jangan nak merepek yang bukan-bukan pulak, Shark. Aku tak nak dengar kalau kau nak kata kau sukakan aku,” potongku lagi. Kata-kata dia boleh buat bulu roma aku berdiri dan menari.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin