Home Novel Cinta MISI CURI HATI
MISI CURI HATI
Azleya Shadzalin
31/8/2019 10:35:48
56,708
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

AKU terkejut apabila dengan tiba-tiba Shark sudah memintas langkahku. Bukan main senyum lebar lagi depan aku. Apa kena dengan dia? Mahu kenakan aku lagikah? Eh! Tapi macam ada yang pelik saja hari ini. Mataku laju melilau sekitar kami. Sahih!

"Mana kawan-kawan kau yang lain?"

Shark jongketkan kening. Kedua tangan masih terseluk di dalam saku jeannya. Dia turut melangkah bila aku sudah memulakan langkah. Perlahan. Lagi pelik sebab dia langsung tidak halang langkahku seperti selalu. Demam ke apa mamat ni? Hah?

"Apa kau ni! Aku ada depan mata, sibuk tanya pasal dia orang pulak."

Langkahku terhenti. Kali ini keningku pula yang terjongket. Dia juga turut menghentikan langkah. Pandang aku dengan senyum pula. Memang sah dia tidak betul ni. Shark yang aku kenal mana mesra alam macam ini. Jauh panggang dari api.

"Tak adalah... Selalu tu mana ada kau, mesti dia orang ada sama," balasku datar. Yalah, dia pun tidak meninggi suara seperti kebiasaannya. Jadi, jangan cari pasallah, kan?

"Hari ni aku solo," jawabnya ringkas. Sekali lagi aku pandang wajahnya. Tertawa kecil aku dibuatnya. "Apa hal kau gelak?" Soalabnya terkandung unsur tidak berpuas hati.

"Pelik." Ringkas saja aku membalas.

"Apa yang peliknya?" soalnya lagi sambil beriringan jalan denganku. Lagi pelik, kan? Mana pernah Shark elok jalan beriringan dengan aku sebelum ini.

"Kaulah! Kau nak apa sebenarnya ni? Kalau ada benda yang kau nak aku buat, cakap aje. Tak payah nak buang tenaga kau tu berlakon baik dengan aku. I'm not buying."

"Kau ingat aku berlakon, ke?" Suara Shark sudah agak tegang sedikit. Okey, aku kena hati-hati. Jika mood dia ke laut, nahas aku nanti.

"Mungkin..." Suaraku meleret. Langsung tidak memandang dia walaupun aku sedar dia sedang memerhatikan sisi wajahku. Sambil berjalan kami masih berbalas cakap. Karang jika aku pandang dia, dua-dua langgar tiang. Tidak ke haru dibuatnya, kan?

"Aku tak berlakonlah, Xandra. Inilah aku yang sebenarnya. Kau ingat aku ni jahat sangat, ke? Hah?" Suaranya semakin tegang dan serta-merta dia mematikan langkah. Aku yang sudah ke depan sedikit menoleh lambat-lambat. Melihat dia seperti tidak berpuas hati, aku turut hentikan langkah dan berpaling mengadap dia. Nafas dalam kuhela. Pintaku agar dia tidak jadi seperti selalu jika benar ini keadaan dia yang sebenarnya.

"Aku tak kata kau jahat. Pernah ke kau dengar aku cakap macam tu? Pernah?" Aku pandang dia. Dia menunduk seketika sebelum memandang aku semula.

"Ya, kau memang tak pernah cakap macam tu. Tapi, siapa tahu dalam hati kau tu menyumpah aku dengan kawan-kawan aku sebab selalu buli kau. We are not that bad, Xandra."

Ini memang buat aku bertambah pelik. Apa kena dengan dia sampai mahu yakinkan aku sangat hari ini?

"Kau kenapa?" Akhirnya itu yang terkeluar dari mulutku. Kepalaku siap senget ke kiri sedikit. Kononnya mahu menjauhi dia. Eh! Kami bukanlah berdiri rapat sangat sebenarnya. Muka aku pun sudah terlebih pelik pandang dia. Cuak pun ada. Lagi pelik bila Shark tiba-tiba ketawa. Galak. Dia ini, kan... Nasib baik orang sekeliling tidak hiraukan kami. Buat malu saja jika kami jadi perhatian. Buang tebiat agaknya.

"Wei! Janganlah buat muka macam tu. Kelakarlah aku tengok. Kau pelik sangat kenapa?" Dia pula yang menyoal.

"Kaulah! Tak pernah baik sangat dengan aku. Tiba-tiba aje... Kau nak aku buat apa sebenarnya? Cakap ajelah. Tak payah buang masa dan tenaga kau tu."

"So, kau ingat baik aku ni baik ada makna. Macam tu?"

"Yalah. Bukan selalu tu macam tu ke? Kau tak akan bercakap lembut gusi dari lidah kalau tak ada sesuatu yang kau mahu."

"Huish! Aku macam tu ke sebelum ni? Kejamnya..." Perkataan yang akhir tu dia sebut perlahan. Tetapi aku masih dapat mendengarnya. Kali ini aku yang tahan langkahnya. Terkejut dia. Yalah, mana pernah aku buat begitu, kan?

"Shark, stop it!" Aku sudah tidak tahan dengan kerenahnya.

"What?" balasnya sambil menaikkan kedua tangan. Buat-buat tidak faham pula.

"Kau dah kenapa? Jangan cakap yang kau hilang akal pagi ni dan lupa semua benda. Aku lebih suka tengok kau yang sebelum ni dari kau yang ada depan aku sekarang ni."

"Jadi, kau suka aku buli kaulah, ya?" Dia sudah senyum. Ini yang aku malas ni. Macam sengaja mahu kenakan aku gayanya.

"Ada ke orang suka kena buli?" Aku jeling dia sedas. Dia masih tersengih-sengih. Buat aku geram.

"Alah, janganlah serius sangat, Xandra. Aku baru nak mesra-mesra dengan kau."

Tengok... Dia sebenarnya memang sengaja cari pasal.

"Jangan nak merepeklah, Shark. Malaslah aku nak layan kau ni." Aku mula meneruskan langkah.

"Hei! Tunggu!" Shark menghalang.

"Apa?" Aku pandang dia dengan tajam.

"Ikut aku."

Amboi! Suka hati dia saja. Dia tidak meminta persetujuan tetapi lebih kepada memberi arahan.

"Tak kuasalah nak ikut kau."

"Kenapa? Takut aku buat perkara tak senonoh kat kau, ke?"

"Eh! Ada niat... Beranilah buat macam tu. Memang tak panjang nyawa kau tu."

"Woo... relaks," ujarnya sambil naikkan telapak tangan depan muka aku. Tahu takut... "Aku tak ada niat nak buat macam tulah! Kau ingat aku ni jahat sangat ke?"

"Manalah tahu. Kau tetap lelaki. Tetap tak boleh dipercayai."

"Kau gila ke apa nak suruh aku buat tak senonoh depan orang ramai? Kau ni pun... Jomlah..." ajaknya lagi. Kali ini siap tangan sekali gamit aku untuk mengekori langkahnya.

"Nak pergi mana?"

"Tengok kita orang berlatih showdownlah. Tak kan nak pergi kelab dangdut pulak siang-siang buta ni. Kau ni ah..."

Ek eleh! Apa salahnya pergi kelab dangdut siang-siang buta ni pun. Eh! Kelab dangdut belum buka lagi kot. Tunggu malam sikitlah kita pergi eh.

"Malaslah aku..."

"Apa hal pulak? Bukan suruh buat apa. Tengok kita orang berlatih aje."

"Tak kuasa! Banyak lagi kerja lain yang aku nak buat."

"Xan, tolonglah. Kau tak kesian ke kat Kris?" Sedikit merayu suara Shark. Aku memang pelik dengan perangai dia hari ini.

"Apa hal pulak aku nak kesiankan dia?"

"Kau ni tak ada hati langsung ke? Tak ada rasa apa-apa?"

Dahiku berkerut.

"Kau cakap apa ni? Nak rasa apa? Tak fahamlah aku."

"Kau dengan Kris sebenarnya ada apa-apa kan? Aku perhatikan kau berdua macam rapat. Kris tak pernah macam orang tak tentu arah sebelum ni kau tahu? Si Kris tu aku tengok dari semalam macam orang hilang bini. Yalah, sejak kepala kau landing atas bahu dia, macam kemaruk sangat aku tengok dia tu. Mana tahu kau ada nanti dia bersemangat sikit nak berlatih."

Gulp! Rasa berketul air liur yang aku telan. Apa kejadah sampai ke situ dia fikir? Aduh!

"Eh! Kau ni... Apa kena mengena dengan aku pulak? Kot dia sakit ke, apa ke, mana kau tahu. Tiba-tiba nak babitkan aku ni dah kenapa?"

"Yang kau gelabah sangat ni kenapa pulak?" Shark senyum senget. Hisy! Mahu saja aku cubit mulut dia.

Hah? Aku gelabah ke? Aduh! Cover line, Xandra. Masak kau nanti.

"Mana ada! Kau tu... Suka paksa aku. Aku tak sukalah."

"Tak kira! Kau kena ikut jugak."

"Heh! Mana ada aku suruh kira. Kau tu pun bukan terror sangat mengira. Ke laut jugak, kan?"

"Eh! Kau ni... Banyak bunyi pulak. Kang kat sini jugak aku cium kau. Nak?"

Aku suakan wajah seriau. Tetapi sekejap saja. Lepas itu aku tayang wajah kerek. Dia ingat aku anak patung Barbie, sesuka hati mahu cium. Hendak kena penampar aku, buatlah. Mahu berbirat pipi dia aku lempang.

"Tak kelakarlah." Bibirku sudah herot.

"Memanglah. Aku bukan buat cerita lawak. Jadi cerita seram mungkin kot. Kau dah seram tu..."

"Memang taklah!" potongku laju.

"Okey, kalau kau tak nak aku cium kau, apa kata kau yang cium aku."

Aku pandang dia dengan tajam. Memang gilalah dia ni. Siap main tawar menawar lagi. Dia ingat aku ni apa? Senang-senang mahu ikut cakap dia. Salah orang.

"Dari aku cium kau, baik aku cium dinding ni."

"Okey... Kalau macam tu kau cium dinding tu," cabar Shark sambil jongketkan kening beberapa kali. Ada hati mahu jadi Ziana Zain ke apa dia ni?

"Suka hati akulah nak cium ke tak. Mulut aku, bukan mulut kau."

"Kalau tak, aku yang cium mulut kau tu. Nak?"

Hisy! Tidak suka betullah dengan dia ni. Suka memaksa. Hendak kena ikut cakap dia saja. Kalau betul, tidak apalah juga. Ini entah apa-apa yang disuruhnya. Memang dasar kaki buli. Bilalah aku dapat terlepas dari semua ini? Tension!


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin