Home Novel Cinta MISI CURI HATI
MISI CURI HATI
Azleya Shadzalin
31/8/2019 10:35:48
66,036
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

“HAH! Baru balik? Siapa hantar?” sergah mommy di muka pintu. Dia sudah hulurkan tangan untuk aku salami. Aku salami dan cium tangan mommy tanpa rasa mesra.

“Ya. Kris yang hantar,” Aku menjawab ringkas. Seketika kemudian apabila dia mahu mengucup pipiku, aku jarakkan wajah cepat-cepat. “Xandra dah besarlah. Tak payah cium-cium boleh?”Mommy tegakkan kedudukan badannya semula. Senyum secarik dia tarik. Matanya tajam memandangku. Kalau orang lain dapat jumpa mommy tentulah gembira sampai nak melonjak ke langit. Peluk cium macam tak mahu lepas. Tapi, aku tidak merasakan itu. Entahlah... Mungkin sebab dari kecil aku tidak rapat dengannya dalam erti kata yang sebenar. Jadi, agak kekok bila dia mahu buat mesra alam begitu apatah lagi di depan orang ramai.

“Xandra ni kenapa?” Mommy mula naik angin. Mak Chu sudah minta diri ke dapur. Lebih elok Mak Chu tidak masuk campur. Jika dia ada bersama, mahu kena tempias kemarahan mommy.

“Kenapa apa?” soalku acuh tidak acuh.

“Mommy selama ni cuba berbaik dengan Xandra tapi Xandra tetap tak dapat terima mommy. Kenapa? Apa salah mommy? Cuba cakap?” Mommy sudah bercekak pinggang di muka pintu. Memang macam mak tiri lagaknya. Aku ni anak kandung dia kot! Macam inikah yang dia kata mahu berbaik dengan aku? Lagi mahu herdik aku adalah.

Aku tergelak kecil. Dia boleh tanya macam itu pula. Jika aku mahu cerita, tujuh hari tujuh malam pun tidak habis.

“Tak perlu Xandra cerita pun rasanya mommy dah sedia tahu. Mommy, berubahlah... Mommy tak rasa bersalah ke? Sudah-sudahlah buat kerja macam tu,” luahku sedikit demi sedikit. Ketika itu aku sudah berjalan masuk ke dalam. Mommy mengekori rapat di belakangku.

“Hei! Selama ni Xandra hidup dengan duit yang mommy bagi, kan? Jadi apa masalahnya?  Mommy dah bagi segalanya pada Xandra.Kesenangan, pelajaran, kehidupan yang sempurna. Apa lagi yang Xandra nak?”

“Kalau Xandra kata Xandra nak daddy dan kak Xenia semula, mommy boleh bagi ke?”

Mommy pandang aku tidak berkelip mata. Dia kelihatan gugup seketika. Kemudian mencerlung pandangannya terhadapku. Namun aku tidak gentar.

“Xandra cakap apa ni? Hah? Daddy dah lama tak ada. Begitu juga dengan Kak Xen. Mommy bukan Tuhan, boleh kembalikan orang yang dah tak ada.”

“Mana kubur daddy? Hah? Mana kubur Kak Xen? Mommy tak boleh tunjuk pada Xandra kan?”

“Kamu tahu macam mana cara kematian daddy dan Kak Xen. Tak sepatutnya kamu bangkitkan hal ini, Xandra. Kamu sepatutnya terima ketentuan Tuhan. Bukan persoalkan dan salahkan mommy.”

Aku tergelak sinis.Pandainya mommy berbicara mengenai ketentuan Tuhan.

“Habis tu sampai bila mommy nak gadaikan anak bangsa mommy sendiri untuk kepentingan dan kesenangan mommy? Mommy rosakkan kehidupan mereka sama seperti mommy rosakkan kehidupan anak mommy sendiri. Cuba mommy bayangkan salah seorang dari mereka itu adalah Xandra. Sanggup ke mommy jual anak...”

Pang! Satu tamparan singgah di pipiku. Aku memang tidak sempat mengelak kerana pada ketika itu aku masih mahu terus meluahkan kata-kata. Aku tidak menangis malah aku masih mampu tersenyum menerima tamparan dari mommy. Ya, memang perit. Tapi tidak seperit hatiku menahan rasa dengan apa yang telah mommy lakukan. Menggadaikan maruah anak bangsa sendiri. Andai orang luar sekali pun yang menjadi mangsa, aku tetap tidak pernah bersetuju dengan jalan yang mommy pilih ini.

“Mommy tak ada niat nak tampar Xandra. Tapi mulut Xandra ni dah melampau. Mommy ni mommy Xandra, kan? Tak boleh ke cakap elok-elok dengan mommy? Mommy tak pernah ajar kamu jadi kurang ajar. Ya, pekerjaan mommy mungkin tak elok pada pandangan Xandra. Salah ke kalau mommy nak bantu mereka yang ingin berjaya dan mencipta nama sebagai model di luar negara? Berjaya di peringkat antarabangsa. Salah ke?”

Aku geleng kepala.Bercakap dengan mommy mengenai ini memang tidak pernah ada penyelesaian yang elok. Tiada noktah.

“Xandra dah letih nak lalui semua ni. Apa yang berlaku disebabkan mommy. Mommy tak kesiankan Xandra,ke? Selama hari ni Xandra hidup macam pelarian. Xandra jadi mangsa kegiatan mommy. Mommy nak tengok Xandra mati ke baru puas hati mommy?”

“Tak akan jadi apa-apa kalau Xandra tak berkeras macam ni.”

Tanganku menepis angin.Tanda tidak mahu dengar alasan lapuknya. 

“Kalau mommy tak kisah tentang dosa dan pahala, sekurang-kurangnya kesiankanlah Xandra ni. Jangan nanti mommy menyesal bila mayat Xandra aje yang mereka hantar kepada mommy. Masa tu, kalau mommy nak menyesal pun dah tak guna.”

“Xandra!” Suara mommy keras. Aku sudah tidak mahu dengar. Dengan selamba aku meniti naik ke tingkat atas. Lebih indah memerap di bilikku dari bertekak dengan mommy. Bila asyik berbalah dengannya nampak sangat macam aku ni anak yang derhaka. Asyik melawan cakapnya. Tapi aku ada sebab. Ada alasan yang kukuh.

“Kak Chu!” Aku dengar mommy menjerit memanggil Mak Chu pula. Adalah yang dia tidak puas hati tu.Untuk pastikan, aku berhenti di pertengahan pendakian. Ingin dengar apa yang mommy tanyakan kepada Mak Chu. Aku tundukkan sedikit tubuh menghala ke tingkat bawah.

“Ya, Zaira.” Suara Mak Chu bergetar. Mesti cuak tu dengar suara mommy yang bak halilintar itu. Alah,Mak  Chu berlakon saja tu. Mak Chu mana takut dengan mommy. Cuma di depan mommy dia begitu. Ikutkan saja apa mommy mahu. Hakikatnya, dia lebih menyebelahi aku dan daddy.

“Selama saya tak ada, Xandra ada buat perangai, ke?”

“Buat perangai macam mana maksud kamu ni?” tanya Mak Chu datar. Dari menundukkan badan, aku terus duduk di anak tangga. Nasib baik kedudukan tangga yang membelok dapat melindungi diriku.

“Kak Chu ni buat-buat tak faham ke apa?”

“Betullah, akak memang tak faham maksud kamu ni.” Aku sudah senyum. Mak Chu akan mengelak selagi boleh. Itu janji kami.

“Dia selalu keluar malam tak? Selalunya dia keluar dengan siapa?”

“Err... Tak adalah selalu.Tapi kalau dia keluar atau balik lewat pun Kris ada dengan dia. Rasanya kamu tak perlu risau sebab kamu sendiri kenal Kris, kan?”

Mommy terdiam seketika. Aku buka telinga luas-luas. Tidak mahu ketinggalan apa yang sedang dibualkan.Seronok pula curi dengar begini.

“Hmm... Kalau dengan Kris tak apa. Tapi, mana budak tu? Dia yang hantar Xandra tadi, kan? Hilang macam tu aje. Langsung tak jumpa saya. Tak hormat kat saya sebagai mommy Xandra. Tugas dia bukan habis setakat itu aje. Takkan dia tak tahu pasal tu.”

“Rasanya dia ada kelas. Kalau dia tahu kamu ada tadi tentu dia keluar sekejap jumpa kamu. Akak pun tak sempat nak beritahu dia yang kamu ada di sini.”

“Hmm... Kalau macam tu,tak apalah. Saya cuma nak pesan. Kalau Xandra ada buat perangai, terus beritahu saya. Faham?”

“Ya, akak tahu.” Datar saja suara Mak Chu. Masa ini tentu kepala Mak Chu terangguk-angguk macam burung belatuk. Memang Mak Chu selalu akur saja apa yang mommy cakap. Malas mahu melayan lebih-lebih.

“Satu lagi... Kalau ada sesuatu yang mencurigakan di sekitar tempat tinggal kita ni, cepat-cepat beritahu saya. Saya tak nak apa-apa jadi pada Kak Chu dengan Xandra,” pesan mommy lagi. Tiada jawapan balas dari Mak Chu. Pastinya dia hanya mengangguk macam burung belatuk.

Aku termenung seketika di anak tangga. Aku tahu mommy sayangkan aku. Aku sedar akan hakikat itu. Jika tidak, kenapa dia bersusah payah cuba melindungi aku dari segala mara bahaya,kan? Tapi, ada sesuatu yang perlu aku betulkan dalam hubungan ini. Nantilah...Andai tiba masanya aku harap segalanya akan kembali seperti sediakala.

Aku sentuh dada. Terasa ada getaran yang hebat. Ingatan aku pada daddy dan Kak Xen semakin kuat. Sesungguhnya aku amat rindukan mereka berdua. Rasa rindu itulah yang sering menghalang dari aku mesra dengan mommy. Kenapa?

“Kak Chu, saya dah nak gerak ni?” Aku dengar lagi suara mommy. Tapi kali ini mendatar saja.

“Kamu tak tidur sini? Akak ingatkan kamu balik lama sikit kali ni.”

“Tak boleh, Kak Chu. Saya nak ke Bali. Ada shooting kat sana untuk model-model baru saya tu. Flight saya malam nanti.”

“Kamu tak nak jumpa Xandra dulu?”

“Tak perlulah. Kak Chu tolong tengok-tengokkan dia. Jaga dia macam akak jaga anak akak sendiri, ya.”Hanya itu pesan mommy. Langsung tiada hati untuk bertemu dengan aku. Walaupun aku agak kasar dengannya, bohonglah jika mahu kata aku tidak rindu belaian seorang ibu. Hatiku tercalar lagi.

Aku terus berlari naik dan masuk ke bilik. Aku berdiri di tepi tingkap. Melihat kosong ke tengah halaman rumah kami yang agak luas. Beberapa saat aku berdiri di situ, masih tiada apa-apa yang kulihat. Seketika barulah terlihat susuk tubuh mommy berjalan keluar. Aku berharap sangat mommy pandang ke atas. Bilikku. Tidak lepas aku memandang langkahnya. Namun, tiada tanda dia akan berbuat seperti mana yang aku harapkan. Mommy terus keluar pintu pagar. Terus masuk ke dalam perut kereta yang entah bila sudah menantinya.

Tubuhku melorot ke bawah apabila kereta yang membawa mommy hilang dari pandangan. Dia nak datang atau singgah menjenguk aku tidak pernah beritahu. Hendak balik macam tidak menyempat-nyempat. Khabar aku pun langsung mommy tidak tanya. Apatah lagi mahu ambil tahu apa yang berlaku terhadapku. Silap haribulan kes aku kena serang hari itu pun dia tidak tahu. Kalau dia tahu tentu dia sudah tanya dari awal.

Inikah yang selayaknya aku dapat atas tiket menjadi anak seorang wanita berjaya di mata umum? Aku bagai tidak pernah wujud. Pentingnya aku kerana ada sesuatu yang dia mahu. Kenapa begini nasibku? Kedua belah tangan sudah menekup muka. Aku menangis semahunya. Melepas rasa yang bersarang di dada. Kenapa semakin hari jiwaku semakin sakit?

Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Aku tersentak. Bila kuteliti, nama mommy yang tertera. Dengan malas aku terima juga panggilan itu.

“Xandra, mommy dah tingalkan duit pada Mak Chu. Kalau Xandra nak guna, minta pada dia,” ujar mommy tanpa salam. Hatiku semakin bengkak.

“Xandra tak perlukan duit mommy.” Aku terus mematikan talian. Dadaku semakin mahu pecah. Hanya itukah yang penting buat mommy. Duit! Tanpa duit mommy pun aku boleh hidup. Selama aku berada di sini, aku gunakan duit hasil titik peluhku sendiri. Hasil dari aku bekerja di bengkel Abang Arif dan kerja tambahan yang aku lakukan. Duit yang mommy beri aku suruh Mak Chu simpan saja. Cuma hal kolej semuanya sudah mommy selesaikan. Yang itu aku tidak boleh buat apa-apa kerana ia antara mommy dan sir.

Telefon bimbitku berdering sekali lagi. Aku tidak suka diganggu begini. Mommy tidak fahamkah apa yang aku katakan tadi. Oh! Mesti mommy tidak puas hati dengan jawapanku tadi agaknya.

“Ya! Nak apa lagi? Kan Xandra dah cakap, Xandra tak nak duit tu!” bentakku dengan nada yang agak keras.

“Hei! What’s wrong? Siapa yang nak bagi you duit ni? Ada orang kacau you ke?” Aku terkedu mendengar suara itu. Jari telunjuk kugigit.

“Kris?” Aku sekadar mahu memastikan bahawa di hujung talian sana adalah dia.

“Ya, I ni. You kenapa?”

“Tak ada apa,” bohongku tapi tentunya pembohonganku tidak berjaya. Dia sudah dengar aku membentak sebentar tadi.

“Ya sangatlah tu tak ada apa-apa. I pun kena marah, apa cerita?” Kan aku sudah kata. Dia bukan mudah dibohongi.

Nothing serious. Mommy datang tadi.” Hanya itu yang aku katakan. Aku kira ia sudah cukup jelas untuk Kris fahami situasiku.

“Kenapa tak cakap mommy datang?Kalau tak boleh I singgah sekejap jumpa dia tadi. Nanti dia kata apa pulak bila I tak jumpa dia macam tadi tu.”

“Dia singgah sekejap aje.Dah gerak ke airport pun. Flight dia ke Bali malam nanti.”

“Okey... So, you okey tak ni?” Suara Kris sudah bertukar nada. Lembut dan dia tahu caranya itu bakal membuat aku buka mulut. Dengan orang lain aku susah mahu bercakap kalau tidak kena gaya.

Aku senyap. Dalam erti kata lain, aku sebenarnya tidak tahu mahu cakap apa? Hendak kata okey, macam tidak. Hendak kata tidak, memanglah aku okey saja.

“Xandra Aisya...” serunya lagi. Bila nama penuh aku dia sebut, itu tandanya dia mahu aku berterus terang dan dia juga bersedia untuk mendengar segala luahanku. Kris ni jenis yang tidak suka memaksa. Tapi, caranya yang begitu sudah cukup buat aku bercerita dengan rela. Sudah kenapa dengan aku ni, kan? Touching tidak tentu pasal. Orang tu sekadar menjalankan tugas dia saja. Aduhai!

Lucky Charm...” serunya lagi. Terkedu aku bila dia panggil aku begitu.

“Apa tu?” soalku spontan.Memang tidak boleh fikir panjang masa itu.

“Apa?” soalnya semula.

“Yang you sebut tadi. Apa benda tu?”

“Oh! Itu sejenis benda yang bukan saja indah dipandang tapi enak dimakan juga.”

Huh! Hendak menipu tidak agak-agak.

“Oh! Makanan? Baru I tahu. Nanti share dengan I makanan tu, ya. Nak rasa jugak yang kata sedap sangat tu,” sahutku bersama senyum.

Dia sudah ketawa tida kingat dunia. Meletus juga tawaku akhirnya. Aku dengar dia menggumam lega.

Feel better?”

Yup! Much better. Thanks Kris,”balasku masih bersama senyum.

“Untuk apa?”

“Kerana selalu ada waktu Iperlukan you.”

Okay! So, don’t you think you need me?”

Yes! I really need you. I need you badly...”

“Nak I datang sekarang ke?”

Seronok pula main soal jawab, kan? Entah apa-apa sajalah yang kami cakapkan.

“Hmm... Taklah. Datang tahun depan pun tak apa. I okey lagi kot kalau kena tunggu sampai tahun depan. Paling tak pun banjir ajelah rumah I ni dek air mata I yang setahun tumpah tanpa henti,” ujarku membuatkan dia ketawa galak. Amboi! Sukanya dia.

“Mak Chu ada tak kat rumah?”

“Gila tak ada! Tentulah ada...”jawabku meleret.

“Okey, I datang.”

“Bawa sekali benda alah yang you kata sedap tu ya.”

“Hmm.. I nak bawa macam mana?”

“Kenapa? Besar sangat ke sampai you tak boleh bawa.”

“Macam mana nak cakap ya. Hmm... Benda alah tu memang dah ada kat sana. Tu yang tak sabar nak ke sana tu.Tunggu I ya, Lucky Charm.”

Aku hanya mampu senyum. Betullah kata orang. Kadangkala apa yang kita rasa kosong dijiwa itu sebenarnya tidak sebegitu. DIA akan hadirkan seseorang untuk mengisi kekosongan itu. Untuk jangka waktu berapa lama, wallahualam... Itu TUHAN punya kuasa. Yang penting sentiasa bersedia untuk reda dan terima andai keadaan itu tidak kekal lama. Bersediakah aku dengan keadaan itu? Oh, TUHAN... Berikan aku masa.

Previous: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin