Home Novel Cinta MISI CURI HATI
MISI CURI HATI
Azleya Shadzalin
31/8/2019 10:35:48
66,051
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

“HEI! Good morning!’ sapanya sambil mengelilingi aku. Aku hanya berdiri tanpa sebarang reaksi. Satu persatu wajah aku tilik. Menyampah betul tengok muka-muka yang suka cari pasal ni kecuali muka seorang saja aku boleh terima. Boleh tengok tanpa ada rasa jengkel yang keterlaluan. Itu pun tengok keadaan. Eh! Tapi aku tidak nampak pula wajah yang satu itu.

“Kris mana?” Aku pandang wajah Shark yang sudah berdiri tegak di depanku sambil berpeluk tubuh. Ash dan Eyan

tersenyum singai. Rasa hendak hempuk saja budak dua orang tu.

“Eh! Kau ni... Kitorang yang ada kat sini kau tak nak tanya, dia pulak kau sibukkan. Kau dengan dia ada apa-apa, ke? Aku perhatikan sejak kau datang sini, Kris dah sedikit berubah.Kau pun rapat jugak dengan dia, kan?” Suara Shark bernada curiga.

Aku telan air liur. Aku silap tanya soalan, ke? Tapi, tidak salah kot sebab selalunya ahli kumpulan mereka cukup berempat. Bila kurang mestilah aku perasan. Bukan aku saja, orang lain pun tentu perasan juga, ya tak?

“Dia berubah atau tak,bukan sebab aku. Manusia, kan? Adatlah tu. So,kenapa dia tak ada dengan korang pagi ni? Ke dia dah keluar dari kumpulan korang?” Wajah mereka kupandang.

“Yang kau sibuk sangat tanya pasal dia ni kenapa?”

“Aik! Takkan tanya pun salah. Selalu ada aje dengan korang. Tak cukup korum, aku tanyalah. Kot dia tak sihat ke, apa ke, boleh aku pergi tengok.”

Kulihat Shark mengangguk beberapa kali. Tidak dapat kutelah apa maksudnya.

“Dia ada hal. Datang lambat sikit agaknya. Hmm... Err... Kau busy tak, Xandra?” Aku yang pelik dengan pertanyaan itu. Selalunya tidak pernah mahu beramah mesra dengan aku. Pagi ni dia terantuk di mana sampai elok saja pertuturannya.

“Kenapa?”

“Hmm...” Dia berjeda sambil toleh ke arah rakan-rakannya. Ada senyum yang terbit dari mereka semua.Senyum senget. Lain macam saja gayanya. Aku mula curiga. “Kitorang nak mintatolong kau fotostatkan something,boleh?”

Hmm... Aku sudah agak. Patutlah elok saja bahasanya pagi ini. Mahu buli aku secara halus rupanya. Dia ni kalau tidak menyusahkan hidup aku, memang pendek nyawa agaknya.

“Bak marilah. Nak fotostat apa?” Aku minta apa yang perlu sambil menadah tangan kiri. Malas mahu memanjangkan perbualan dengan mereka. Mesti jadi gaduh punya.

“Aik! Hari ni tak melawan langsung? Tak ada bantahan? Kau ni betul Xandra ke bukan?” Shark pelik. Eh! Cukup baik aku mahu tolong tanpa banyak bunyi. Hendak sangat bergaduh denganaku agaknya.

“Kau ni tak reti bersyukur ke? Untung aku nak tolong. Bak marilah apa benda yang kau nak suruh aku buat tu. Aku dah lambat ni.” Aku sudah mula panas hati. Aku sudah suakan wajah bosan sekali lagi. Memang tiada hati mahu membalas. Mulut aku juga yang penat. Tapi,mengenali Shark, jika aku tidak berbalas cakap, lain pula jadinya nanti. Isyarat tanganku yang meminta apa ‘something’ yang dia mahu aku fotostat tidak diendahkan olehnya. Aku turunkan tangan ke sisi.

“Tapi, kalau tengok muka kau waktu nilah... Aku rasa kau ni macam tak betul. Pelik wo, Xandra tak melawan langsung. Kau terlanggar tembok ke pagi tadi? Tak pun, mungkin kau dah bertemu jalan yang benar,” sambungnya lagi. Kata-katanya disambut dengan gelakrakan-rakannya. Ada juga yang kena siku dengan aku pagi-pagi ni karang. Dia atau aku yang terlanggar tembok?

“Hari ni, hari jumaat,kan? Betul?” Mereka mengangguk bila aku menunggu jawapan. “Hari jumaat hariyang penuh barakah kalau korang semua nak tahu. Itu pun kalau belum tahulah.Kalau dah tahu, alhamdulillah...” Aku angkat kedua tangan dan raup ke wajah sebelum menyambung. “So, aku nak buat amal jariah. Bukan macam korang yang kerjanya asyik membuli aje. Eh! Korang kena ingat ya. Umur kita ni tak tahu sampai bila dipinjamkan. Karang kalau korang ‘pergi’ tanpa sempat minta maaf kat orang yang korang buli, macam mana?Apa yang korang boleh buat lagi masa tu?”

“Buat bodoh ajelah.”Jawapan ringkas Shark mengundang jelingan tajamku.

“Korang memang bodoh. Tak payah buat-buat. Memang terserlah.” Aku bercakap memang jarang bertapis. Main lepas saja. Aku peduli apa, kan?

“Hah! Ni baru Xandra. Ala-ala ustazah rock. Cakap tajam menikam kalbu. Tapi apa aku peduli. Barakah tak barakah, kau tetap kena buat juga.”

Ingatkan Shark dan rakan-rakannya akan marah bila aku kata mereka bodoh. Boleh selamba saja wajah mereka. Siap senyum lagi. Tidak ada perasaan langsung agaknya. Okey, jangan cari pasal lagi, Xandra. Eh! Aku atau mereka yang cari pasal?

“Ya, Shark. Kan aku dah minta tadi. Bagi ajelah. Nanti aku fotostatkan,” ujarku sambil menghulurkan tangan sekali lagi. Suara pun sudah aku lunakkan. Memang malas hendak bertekak hari ini. Agaknya badi semalam ketika dengar orang baca doa selamat meresap jauh ke dalam hati. Itu yang aku terima hidayah tu. Budak tiga orang ini saja macam belum jumpa jalan pulang. Tersasar dari laluan sebenar.

“Xan, kau okey ke tak ni?Lain macam aje aku tengok. Suara sikit punya lembut. Kau nak goda aku ke apa?”Shark tayang wajah curiga. Aku renung dia dengan mata mengecil.

“Dari aku goda kau, baik aku goda tembok.” Suaraku tiba-tiba naik satu oktaf. Dia inilah... Baru saja aku mahu jadi ‘stok perempuan baik-baik’, dia sudah cari pasal.

“Hah! Itu melampau! Sangat-sangat melampau. Kau ingat aku tak laku ke sampai nak samakan dengan tembok?” Suara Shark juga sudah berubah. Ada nada tidak puas hati. Aku senyum senget. Kawan-kawan dia yang lain pun sudah tengok aku semacam. Sebab aku tidak tahu macam mana gayanya tengok dua atau tiga macam. Korang tahu, ke?

“Mana benda yang difotostat tu? Boleh cepat sikit tak? Jangan buang masa. Aku ada kelas kejap lagi.” Aku bersuara tegas. Jam di pergelangan tangan aku lirik.

Guys...” panggil Shark kepada rakan-rakannya sambil tangan meminta sesuatu dari mereka.

Aku perhatikan saja Ash dan Eyan keluarkan sesuatu dari beg sandang mereka. Terkeluar keluhan kecil dari mulutku apabila melihat binding book yang agak tebal. Otak sudah mula meneka. Kemudian Shark juga mengeluarkan satu lagi binding book yang agak serupa. Kalau sudah buku yang sama, fotostat satu saja tidak boleh, ke? Berat tu!

“Nah!” unjuk Shark. Aku yang belum bersedia menyambut hampir terlepas binding book tersebut. Nasib baik aku tidak tersungkur sama ketika mahu mencapai salah satu buku yang hampir meluncur jatuh. Pagi-pagi sudah buat orang meluat. Benci betul!

“Ringan aje, kan?” Shark jongketkening.

“Ringan kepala otak kau! Berat ni wei! Aku bawa satu aje tak boleh, ke?”

“Kau tak tengok ke? Kan semua tak sama.” Eyan bersuara lantang.

Baru aku belek tajuk-tajuk yang tertera. Erk! Ha’ahlah... Tajuk semua berlainan. Aduh!

“Nak kena fotostat mukasurat berapa ni? Berapa keping?” soalku sambil terus membelek isi kandungannya.Banyak tajuk kecil. Kira aku sudah pasrah dengan keadaan ketika itu. Bertegang urat pun tiada guna sebab aku tetap kena buat juga. Tidak perlu bazirkan tenaga sampai putus urat mareh ya.

“Kau kena fotostat kulit ke kulit. Buat tiga salinan. Kami mahu salinan tu petang ni. Faham?” Ash pula bersuara.Aku pandang dia. Tajam. Kalau boleh telan melepasi kerongkong aku, memang aku sudah telan awal-awal budak seorang ni. Dia tidak fikir ke yang aku ni pun sibuk juga.

“Kau gila! Banyak tu! Mana sempat. Aku ada kelaslah sengal!” Suaraku tinggi semula.

“Melawan! Melawan!” ujar Eyan pula. Kononnya beri aku amaran. Silap oranglah. Xandra tidak pernah gentar,okey. Xandra tidak pernah diajar untuk takut jika dia di pihak yang benar.

“Bukan melawan. Korang kena faham yang aku ni budak baru. Banyak yang aku kena catch up. Jangan melampau sangat, boleh tak? Bertimbang rasalah sikit.” Aku cuba bela diri. Keadaan ini memang boleh buat aku hilang sabar.Kalau hendak buli aku pun biarlah berpada-pada. Jangan sampai mengganggu waktu pembelajaranku. Ini melampau tahap hilang akal namanya.

“Ada kitorang kisah? Kau jugak yang setuju tadi, kan? Apa kau kata? Nak buat amal jariah? Hah, inilah masanya.Kami semua ni pun memang memerlukan pertolongan kau tu. Banyak pahala kau akan dapat dengan tolong kami ni,” sindir Shark. Memang sinis. Tang pahala tu memanglah banyak. Tapi, jika aku ikhlas membantu. Sekarang ni aku rasa macam hendak campak saja buku-buku mereka ni.

Aku pandang dia ni dah macam pandang takoyaki. Sekali telan memang selamat dalam perut aku. Hisy! Aku memang tengah lapar ni. Tidak dapat makan takoyaki, aku makan orang hari ni.Kenyang setahun agaknya jika aku telan budak tiga orang ni, kan?

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin