Fahmi tersenyum simpul ketika masuk dipejabat pagi
itu. Semua gara-gara Nur Alia. Semakin seronok dia menyakat wanita yang sudah
bergelar isterinya. Semakin rindu melihat wajah isterinya yang cuak semalam.
Masih terngiang bau wangian yang dipakai isterinya. Hmmm wangian Lancome...
hadiah pertama yang dibeli untuk Nur
Alia. Dipakai juga akhirnya. Itu perkembangan yang bagus.
“Senyum
lebar nampaknya bos hari ni?”
Fahmi
mengalihkan pandangannya. Shahrul sudah melabuhkan punggungnya. Dia bersyukur
sangat, ketika dia memerlukan orang yang boleh dipercayai untuk menguruskan
hal-hal di sini, Shahrul muncul. Kesudian Shahrul mengambil alih pengurusan di
saat genting begini amat besar bagi perniagaannya. Apatah lagi kawannya itu
sanggup berhenti kerja semata-mata untuk bekerja dengannya.
“Aku
tengok kau ni makin berseri-seri. Macam orang tengah angau.... Sofia ada kat
sini ke?”
“Eh,
tak adalah.... pandai aje kau ni buat kenyataan!”
“Macamlah
baru sekali aku kenal...... wei, bertahun aku dengan kau. Aku taulah perangai
kau ni” Shahrul menyeringai kecil. Sengaja dia menyakat Fahmi. Memang nampak
sangat perubahan kawannya itu. Macam pengantin baru saja. Senyum memanjang.
“Ke... kau ada buah hati baru? Tak nak kongsi dengan aku ke?”
“Eh...
dah lah. Kalau kau datang sini setakat nak sakat aku baik tak payah!” Fahmi
ketawa kecil. Tak mungkin dia memberitahu kawannya itu yang dia baru berumah
tangga akibat dicekup.... eiiii tak mungkin. Mana nak letak muka. “Yang kau ni
pagi-pagi lagi datang jumpa aku kenapa? Ada masalah ke?”
“Aku
nak ajak kau makan... lagipun semalam kan kita dah janji nak jumpa dengan
suplier tu di Shah Alam”
“Ok
juga tu... aku pun lapar ni! Kau siapkan dokumen yang nak dibawa. Aku tunggu
kau di kereta. Kaudrive boleh?”
“Hmmm........
kau kan bos, ikut arahan ajelah!”
“Tau
pun!.... minyak nanti kau klim aje dengan Bahagian Pengurusan”
“Ayat
tu aku suka!...aku siap sekarang”
Fahmi
ketawa kecil. Memang dari dulu lagi Shahrul begitu. Agak kedekut bab duit. Tapi
dia faham kerana Shahrul dari keluarga susah. Ke London pun atas tajaan kerajaan. Dia kasihan kerana
Shahrul terpaksa berjimat cermat. Adakalanya kawannya itu berpuasa kerana duit
habis untuk membeli buku. Dari situ dia rapat dengan Shahrul. Dia selalu tolong
dari segi kewangan. Adakalanya dia sengaja mengajak Shahrul keluar makan.
Lagipun selama ini Shahrul tidak pernah mengambil kesempatan atas dirinya. Dia
senang cara Shahrul.
Tiba
di Shah Alam ketika jam menunjukkan pukul satu petang. Selepas bertemu dengan
pelanggan, Fahmi dan Shahrul singgah di Hotel Concorde untuk makan tengah hari.
Cuaca agak panas di luar. Fahmi mengatur pantas langkahnya.
Baru
saja dia ingin melabuhkan punggugnya, pandangan matanya tertancap pada sebatang
tubuh yang tidak asing baginya. Nur Alia dan seseorang! Siapa?
Lama
matanya menatap wajah Nur Alia. Gadis itu tidak sedar kehadirannya. Tapi
bukankah hari ini dia bekerja? Apa yang dia buat di sini? Dia makan dengan
seseorang? Ikbal!
Jantungnya
berdegup laju. Kenapa dia boleh makan dengan Ikbal di sini? Di hotel sejauh
ini, atau sengaja mencari tempat yang jauh dari pandangannya? Apa yang
sebenarnya berlaku? Adakah dia dan Ikbal?.... Argh!
“Wei...
tak nak makan ke? Apa yang kau pandang tu?”
Fahmi
tersentak. Pandangannya beralih kepada Shahrul yang sudah menatang dua pinggan
di tangannya. Satu pinggan penuh dengan lauk, satu lagi penuh dengan pencuci
mulut. Pantas dia menggelengkan kepala. Tahu benar akan tabiat Shahrul yang
gemar makan.
“Tak
ada apa... aku baru nak ambil makanan. Kau duduklah dulu”
Sebaik
saja Shahrul melabuhkan punggungnya, Fahmi bangkit lalu menuju ke arah deretan
lauk yang terhidang di atas meja. Serta merta seleranya mati begitu melihat
isterinya dengan lelaki yang memang di benci. Semakin dia benci melihat
isterinya berdua dengan Ikbal, semakin kerap di melihat Nur Alia bersama dengan
Ikbal. Sampaikan di sini mereka makan. Dah habis ke tempat makan di Putrajaya?
“Ini
aje yang kau ambil... tadi kata lapar”
“Entahlah,
tiba-tiba pula tak ada selera”
Shahrul
meneruskan makannya sambil bercerita mengenai pembekal yang baru saja mereka
jumpa tadi. Fahmi sekadar mengangguk. Fikirannya hanya tertumpu kepada Nur
Alia. Namun dia tidak mahu Shahrul sedar akan perubahannya. Selepas makan, dia mengajak
Shahrul meninggalkan hotel tersebut. Sakit hatinya kerana Nur Alia dan Ikbal
masih tidak lagi bangkit dari situ. Masih rancak berbual dan langsung tidak
sedar dia lalu di sisi meja mereka.
Shahrul
membisu. Dia baru sedar kekeruhan wajah Fahmi. Pagi tadi nampak baik saja.
Senyum memanjang. Tengah hari tadi pun begitu, biasa saja. Malah sepanjang
perjalanan ke Hotel Concorde tadi baik saja. Sempat lagi bergurau senda. Namun
sepanjang makan tadi, dia tahu fikiran Fahmi terganggu. Pandangannya lebih tertumpu
kepada wanita yang makan tidak jauh dari mereka. Tapi seingatnya dia tidak
kenal dengan perempuan itu. Fahmi juga tidak pernah bercerita. Fahmi jarang ada
kawan perempuan. Kalau ada pun sekadar kawan sekelas mereka dulu ataupun dari
kalangan ahli perniagaan. Hanya Sofia yang dia tahu, satu-satunya gadis yang
mengepit Fahmi seolah tidak boleh dilepaskan. Tapi Fahmi tidak pernah bersungut
walaupun Sofia tidak suka dengan kawan-kawan Fahmi. Tapi siapa perempuan itu?
Apa kena mengena dengan Fahmi?
Melihat
Fahmi terus membisu, dia juga kehilangan kata. Mungkin ada sesuatu yang
mengganggu fikirannya. Dibiarkan saja Fahmi melayan perasaan sementara dia
terus memandu.