Home Novel Alternatif Sfera
Bab 25

Bab 25: Urban Escape


"Hai Marina," Gina yang baru sahaja pulang dari tempat kerja terus mendapatkan aku yang sedang duduk termenung di ruang tamu.

"Hai..." jawabku lemah.

"Kenapa dengan kau Marina? Monyok sahaja muka."

"Hujung minggu ini, aku akan habiskan masa aku dengan The Urban Fruits."

"Jadi kau akan ikut mereka ke Kuala Pilah hujung minggu ini? Syabas Marina! Syabas!" Kata Gina sambil ketawa terbahak-bahak.

"Ya. Habislah aku. Habis! Habis terbuang cuti tiga hari aku!"

"Yang kau pun mengikut sahaja. Cakap sahajalah yang kau pun ada hal..." kata Gina cuba memberi cadangan untukku mengelak.

"Susah Gina. Aku sudah janji dengan mereka sejak kami di Singapura lagi. Aku pun tidak tahu apa yang menyebabkan aku bersetuju dengan cadangan mereka ketika itu. Aku macam terpukau pula."

"Tidak mengapalah. Bukannya teruk sangat pun. Aku yakin, kau pasti seronok nanti," Gina ketawa kecil.

"Seronok? Yalah... Seronoklah sangat," aku mengeluh berat.

Semasa di Singapura, Miss B telah mencadangkan kepada aku dan The Urban Fruits untuk pergi bercuti ke kampungnya di Kuala Pilah. Bagiku, itu satu cadangan yang langsung tidak menarik. Untuk Miss D dan Miss R yang jarang ke kawasan kampung, cadangan itu pasti sesuatu yang menguja. Tetapi bagiku, itu semua satu pemandangan yang biasa. 

Pada ketika itu, aku hanya mampu berharap agar mereka terlupa tentang rancangan mereka itu. Namun, pada satu pagi yang tenang, Miss B datang ke pejabat dan membangkitkan semula apa yang dicadangkannya sewaktu kami di Singapura. Pantas memberi tahu bahawa apa yang aku doakan ketika itu tidak dimakbulkan.

"Bagus juga cadangan itu Miss B," kataku kepada Miss B apabila dia dengan begitu bersemangat sekali bercerita tentang rancangannya untuk membawa kami semua ke Rumah Tradisi keluarganya di Kuala Pilah.

"Baguslah kalau begitu. Kita pergi Sabtu pagi ini ya! Kebetulan pula hari Isnin minggu hadapan cuti umum. Aku memang tidak sabar hendak bawa kamu semua pergi ke Rumah Tradisi keluarga aku. Kebetulan pula, kami akan adakan satu majlis untuk meraikan saudara lelaki aku yang hendak kena ‘potong’"

'Rumah tradisi?' Tanyaku sendirian. Sejujurnya, aku tidak berapa faham dengan apa yang dikatakan oleh Miss B dengan 'Rumah Tradisi'. Adakah sama dengan 'Rumah Ibu'? Atau pun rumah itu ialah tempat menyimpan barang-barang lama yang kelihatan seperti muzium? Jika benar tekaanku, aku tidak dapat membayangkan bagaimana mereka hendak meraikan majlis berkhatan di situ.

"Tetapi janganlah bimbang. Hanya saudara-mara yang terdekat sahaja yang akan hadir," kata Miss B. Barangkali, dia menyedari ketakutan yang terpancar di wajahku.

Yang sebenarnya, aku bukanlah takut. Aku hanya hairan kenapa Miss B begitu beria-ia hendak mengajak kami pergi ke rumah tradisinya semata-mata untuk menyaksikan majlis berkhatan. Aku mula membuat andaian yang dia sendiri tidak mahu pulang dan kami diajak supaya dia boleh mengurangkan tahap kebosanannya di situ.

"Seronoknya! Aku tidak sabar hendak pergilah!" kata Miss R dengan penuh keterujaan. Begitu juga dengan Miss D.

Sepanjang hari, itulah topik yang diperkatakan oleh mereka. Kawasan kampung, Rumah Tradisi, budak berkhatan dan macam-macam lagi!  

'Ish! Seronokkah semua ini? Mereka semua sudah gilakah? Aku harap tidak akan ada monyet atau lotong yang akan menculik kamu semua nanti. Maklumlah, kamu semua 'buah-buahan' yang segar,' kataku sendirian.

"Mesti ada sungai bukan?" Tanya Miss D.

"Ada-ada!" Miss B mengangguk.

"Perigi?" Tanya Miss R pula.

"Ada-ada," Miss B mengangguk lagi.

"Tidak sabar rasanya aku hendak curahkan air ke badan pada waktu pagi dengan air perigi dan mandi sungai di waktu petang," kata Miss D dengan gaya seorang dayang istana yang sudah lama tidak mandi.

Aku hanya tersenyum. Mengangguk-angguk seperti aku juga teruja untuk pergi mandi sungai dan merasai kesejukan air perigi di pagi hari. Dalam hati, aku memberitahu diriku untuk bersedia dengan bekalan darah yang banyak kerana aku yakin darah kami bakal dijamah oleh nyamuk-nyamuk durjana di Kuala Pilah.

'Kau sungguh kejam Miss B! Kau sungguh kejam! Kenapa kau tidak beritahu kenyataan sebenar kepada mereka yang sedang teruja ini, huh?' Aku menjerit-jerit dalam hati.

"Eh. Daniel ikut sekali ke sana nanti?" Tanya Gina.

"Tidak. Kalau dia pergi aku seronok juga."

"Ajaklah dia!" Gina memukul aku dengan bantal.

"Sudah ajak. Tetapi dia kata dia ada hal."

"Syam?"

"Tidak mahulah. Nanti dia fikir yang bukan-bukan pula. Apa kata kau sahaja yang ikut aku?"

"Tidak mungkin Marina. Tidak! Tidak! Aku sudah ada rancangan dengan..." Gina tidak menghabiskan kata-katanya.

"Dengan siapa?"

"Adalah... Mana boleh beritahu kau."

"Amboi! Sejak bila pula kau berahsia dengan aku Gina?!"

"Sejak kau pun pandai main kayu tiga."

"Ha?!"

"Kau jangan cuba hendak nafikannya Marina."

"Ah! Malas hendak cakap dengan kau. Sudahlah. Aku hendak berkemas!"

Aku duduk di hadapan cermin membersihkan solekan yang berbaki sambil membayangkan hujung mingguku yang bakal aku habiskan di Rumah Tradisi itu nanti. Aku cukup yakin yang hujung minggu itu akan menjadi satu hujung minggu yang membosankan kerana bagiku tiada apa yang menyeronokkan tentang majlis berkhatan dan tiada apa yang menyeronokkan tentang air perigi! Aku mula membayangkan akan kemungkinan nyamuk-nyamuk di Kuala Lumpur yang telah mendapat signal dari Kuala Pilah untuk terbang ke sana kerana adanya buah-buahan segar yang akan datang. Oh tidak!

Aku tahu imaginasiku itu agak keterlaluan. Pantas, aku memberitahu diriku bahawa rancangan itu tidaklah seteruk yang disangkakan. Aku mula menggesa diriku untuk memikirkan sesuatu yang lebih positif. 

"Mungkin inilah masanya untuk kau lupakan Norman. Ya! Mungkin ini akan menjadi satu tempat untuk aku melupakan Norman untuk selama-lamanya. Barangkali, Miss B hendak bawa aku berjumpa dengan mana-mana dukun handal yang boleh membuatkan aku lupa tentang Norman dengan sekelip mata! Mungkin dengan memberi minum air pelupa seperti yang diberikan Hang Tuah kepada Tun Teja. Atau pun, boleh jadi juga aku akan terjatuh di sungai apabila berada di sana nanti. Kemudian, aku akan pengsan untuk beberapa hari. Sedar-sedar sahaja aku telah hilang ingatan. Mungkin juga, aku akan berjumpa dengan orang baru di sana. Kami berdua berkenalan dan terus jatuh cinta. Dua bulan berikutnya, dia hantar rombongan meminang dan tahun hadapan kami akan berkahwin. Dua tahun berikutnya, kami menyambut anak pertama kami. Aku akan menghabiskan hidup aku di sana. Mengisi hari dengan bercucuk tanam dan menjaga anak di rumah. Bila petang tiba, aku akan menyambut kepulangan suami yang penat mencari akar-akar kayu dan ulam-ulaman dengan gembira!" Kataku panjang lebar di hadapan cermin.

"Marina!" Suara Gina kedengaran nyaring dari luar. Kelam-kabut aku membuka pintu.

"Kau buat apa? Sakit tangan aku ketuk pintu..." lembut suara Gina memanggilku. Tetapi nadanya jelas menunjukkan kegeramannya.

"Tidak ada apa-apa. Cuma..."

"Ah... Kau tengah berangan rupanya. Marina, ambil baju kebaya ini. Pakai nanti di sana. Mesti kau nampak hebat. Kau percayalah..."

"Terima kasih, Gina!"

"Sama-sama."

*****

Maka hari yang dinanti-nantikan oleh semua Urban Fruits telah pun tiba. Selepas menghabiskan masa memilih dan mengemas apa yang patut dibawa ke Kuala Pilah, aku berjaya mengurangkan saiz bagasi daripada dua kepada satu setengah.

"Sampai juga Marina," kata Miss B sebaik sahaja aku sampai di tempat yang dijanjikan.

"Miss R. Naiklah dengan aku," kataku kepada Miss R.

"Okey, Marina!" Miss R menarik begnya. Berdasarkan pergerakan beg beroda itu, aku dapat merasakan yang beg itu amat-amat berat. 

'Apa agaknya yang diisi oleh Miss R? Barangkali, dia membawa majalah Hey edisi lepas sebagai hadiah untuk saudara Miss B yang berkhatan itu,' aku tertawa dalam hati.

“Semua sudah sedia?” Jerit Miss B.

“Kami sedia!” Sahut ke semua yang ada di dalam kereta. Termasuklah Miss R yang duduk di sebelahku.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.