Bab 20: Serius
Beberapa bulan berlalu dan aku berasa semakin serasi dengan Hey. Banyak yang aku pelajari daripada mereka di situ terutama sekali Miss B, Miss D dan Miss R. The Urban Fruits tidak pernah berkira denganku. Segala apa penting dan perlu aku ketahui dikongsikan bersama. Seperti yang dinasihatkan, aku cuba mengelakkan diri daripada drama-drama pejabat yang merimaskan dan cuba melakukan tugas-tugas yang diberikan kepadaku sebaik mungkin. Namun, sepanjang tempoh itu, jarang sekali aku dapat bersua muka dengan Daniel.
Jika berjumpa pun, kami tidak dapat berbual panjang. Perhatian kami banyak tertumpu kepada kerja-kerjaku yang semakin mencabar.
Perubahan itu begitu mendadak sekali aku rasakan. Daripada persahabatan yang mesra dan penuh dengan gelak ketawa kepada hubungan profesional yang serius. Aku melakukan pelbagai cara untuk merapatkan semula hubungan kami. Namun, kami terus dipisahkan dengan dinding-dinding prioriti dan profesional di Hey. Aku akui yang aku sedikit terkilan kerana kehilangan 'Harry' yang pernah aku kenal. Walaupun begitu, aku tetap fokus pada kerja-kerjaku. Itu ialah cara yang paling berkesan untuk aku mengalihkan perhatianku daripada terlalu asyik memikirkan tentang Daniel.
Pada satu hari, Chan memanggilku untuk berjumpa dengannya. Pejabat pada ketika itu kelihatan amat sibuk sekali. Seolah-olah, Hey baru sahaja menerima berita buruk mengenai imbangan akaun syarikat.
"Duduk Marina..." persila Chan kepadaku.
"Ada apa Chan?"
"Awak perlu bantu kami semua Marina," kata Chan sambil menaip pantas sesuatu. Matanya tertumpu ke arah skrin.
"Bantu apa Chan?" Tanyaku sambil mataku sempat menjeling ke arah skrin. Aku melihat satu senarai panjang yang sedang disiapkan oleh Chan.
"Begini sebenarnya. Daniel mahu tukar topik yang kita sedang buat sekarang ini kepada isu ayam.''
"Ayam?" Tanyaku kehairanan. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang aku dengar daripada mulut Chan.
"Ya. Isu duit akan menjadi topik kecil dan digantikan dengan isu ayam."
"Ayam?" Tanyaku inginkan kepastian.
"Ya. Saya tidak tahu apa yang dia jumpa di Hong Kong minggu lepas sehinggakan dia menukar fikirannya," Chan menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Jadi bagaimana boleh saya bantu?"
''Awak hentikan dahulu susunan data awak itu. Untuk hari ini, awak perlu lakukan semua yang tertulis dalam pelan ini."
Chan menyerahkan satu senarai yang baru dicetak yang mana tersenarai beberapa perkara yang perlu aku lakukan pada hari itu.
"Ini sejumlah wang yang awak perlukan nanti dan juga kad kredit. Buat sedaya yang mampu dan serahkan ulasannya kepada saya esok."
"Baiklah Chan," kataku tanpa banyak soal.
Aku kembali ke mejaku dan duduk meneliti senarai yang perlu aku lakukan untuk tiga hari akan datang.
"Wow!" Kataku sendirian. Aku menarik nafasku dalam-dalam. Aku mencapai telefonku dan segera menghubungi Gina.
"Hello Gina!"
"Hello...."
"Ada di mana?"
"Di tempat kerja. Kenapa?"
"Ada perkara yang aku hendak beritahu."
"Apa dia?"
"Aku tidak dapat bersama dengan kamu semua di Dr Love malam ini."
"Oh. Kenapa?"
"Chan beri aku tugasan mengejut Gina. Chan suruh aku pergi ke tiga buah restoran untuk lihat-lihat makanan apa yang ada di sana."
"Tiga buah restoran?"
"Ya. Bukan sekadar melihat. Aku perlu merasa sekali makanannya dan tulis ulasannya secepat mungkin."
"Peliknya. Kenapa pula tiba-tiba mereka suruh kau buat semua itu?"
"Ketua editor tukar idea dan mereka perlukan 'pemain tambahan' katanya."
"Pemain tambahan?" Tanya Gina penuh kehairanan.
"Ya. Malam ini pula, aku di suruh ke Universiti Malaya. Ada Teater. Aku juga perlu tulis ulasannya."
"Bagus juga. Okeylah, tidak mengapa Marina. Teruskanlah kerja-kerja kau. Kadang-kala perlu juga kejutan sebegini. Tidak bagus jika terlalu selesa."
"Ya. Kau betul. Baiklah Gina. Aku pergi dahulu ya! Bye!"
"Bye!"
Pada mulanya, aku berasa kurang yakin dapat menyempurnakan tugasan yang diberi. Sepanjang tiga hari itu, aku mengisi masaku dengan meneliti hasil kerjaku. Kadang-kala, aku mengubah perkataan dan ayat yang aku tulis berkali-kali. Masaku banyak dihabiskan dengan menulis ulasan dan memperbetulkan apa yang silap berkali-kali sehinggalah aku berpuas hati. Aku bimbang sekiranya aku tidak dapat menyelesaikannya dengan sempurna. Aku juga asyik memikirkan bagaimana agaknya reaksi jutaan orang yang akan membaca dan meneliti hasil kerjaku itu nanti.
"Marina. Terima kasih banyak. Saya telah meneliti kerja-kerja awak dan saya berpuas hati. Ada kesilapan yang perlu diberi perhatian, tetapi jangan bimbang, saya akan perbetulkannya nanti," kata Chan kepadaku sebaik sahaja aku berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikannya kepadaku.
"Awak sambung balik kerja awak tempoh hari ya?"
"Baik Chan," aku tersenyum riang. Aku gembira dengan respon yang diberikan Chan. Aku berharap dia tidak hanya ingin menyedapkan hatiku kerana walaupun itu hanya satu ulasan yang kecil, bagiku itu merupakan satu permulaan yang cukup baik.
****************
Tugasan mengejut yang diberikan kepadaku itu menjadi petanda yang aku akan menjadi lebih daripada seorang kerani editorial. Chan dan Daniel mula memberikan aku kerja yang pelbagai. Kadang kala, aku perlu membantu bahagian editorial dan ada beberapa ketikanya, aku diminta untuk membantu Cindy dan Susan yang sentiasa tidak menang tangan dengan kerja-kerja yang diberikan oleh Daniel kepada mereka.
Bekerja bersama-sama dengan kedua-dua pembantu Daniel itu memberikan aku peluang untuk berjumpa dengan Daniel hampir setiap hari dan bekerja dengan lebih dekat lagi dengannya. Ketika itu, ramai yang mengatakan bahawa aku seolah-olah telah menjadi pembantu ketiga Daniel.
"Wow! Kau sekarang sudah jadi kerani dan jadi pembantu tidak rasmi Daniel. Tahan kau ya?" Kata Miss R kepadaku. Aku tahu, dia risau melihat aku yang asyik tidak senang duduk menyiapkan segala kerja-kerja yang diberikan kepadaku.
"Tidak mengapalah Miss R. Aku pun seronok buat semua ini."
"Ya. Tetapi jaga diri kau baik-baik. Aku tidak mahu kau masuk hospital sebab kepenatan melampau nanti."
Aku hanya ketawa mendengar kata-katanya. Aku tahu, dia dan The Urban Fruits risau dengan keadaanku. Tetapi aku tidak kisah jika aku dilihat seperti seorang yang dikerah tenaganya. Bukanlah bermaksud yang aku tidak pernah berasa penat langsung atau mengeluh walau pun sedikit. Kadang-kadang, aku memarahi diriku kerana tidak mahu berkata 'tidak' apabila diminta untuk melakukan itu dan ini. Tetapi jauh di sudut hati, aku sebenarnya gembira kerana semua itu telah berjaya menghubungkan semula aku dengan ‘Harry’ yang hilang daripada hidupku buat seketika. Walau pun apa yang kami bualkan setiap kali berjumpa adalah tentang kerja, itu sudah cukup memadai bagiku.
"Daniel nampaknya begitu percaya pada awak," kata Chan kepadaku. Aku hanya tersenyum mendengarnya. Sememangnya, pengalaman bekerja dengan Daniel memang menyeronokkan. Banyak yang aku pelajari daripada Daniel terutama sekali tentang masa, fokus dan keberanian untuk memberi keputusan mengikut kata hati. Daniel menjadi motivasiku yang begitu kuat sekali pada ketika itu. Setiap pagi, bayangan wajah Daniel menjadikan aku lebih bersemangat untuk bangun setiap hari.
"Mesti kau seronok dapat berjumpa dengan Daniel setiap hari bukan?" Usik Gina apabila aku tidak henti-henti bercerita tentang Daniel kepadanya.
"Cara kau cakap buat aku rasa yang aku ini miang sangat Gina!"
"Aku tidak cakap pun yang kau miang atau gatal. Kau yang terasa..." Gina memberikan aku jelingan yang penuh makna.
"Ah! Kau sengaja hendak kenakan aku.."
"Tetapi nampak jelas yang kau tergila-gilakan dia," kata Gina.
"Gilakan dia? Okey, sekali lagi kau buat aku kedengaran miang."
"Sekali lagi, aku tidak cakap pun yang kau miang Marina."
"Baiklah, aku mengaku yang aku tertarik. Tetapi bukanlah sampai ke tahap tergila-gilakan dia."
"Boleh percayakah apa yang kau cakapkan ini?"
"Apa yang susah sangat untuk kau percaya Gina?"
"Pernah tidak kau terfikir sama ada ini merupakan rasa kagum yang timbul kerana hormon estrogen kau atau pun kerana karisma Daniel?"
"Hah?" Aku tercengang mendengar soalan Gina yang bagiku sungguh kompleks.
"Baiklah, kau lupakan soalan tadi. Kalau Daniel ajak kau kahwin dan membina keluarga dengan dia esok, adakah kau akan bersetuju?"
"Ish! Jauhnya kau pergi Gina...."
"Kalaulah aku jadi kau Marina, aku akan datang pada Daniel dan berterus terang tentang apa yang aku rasakan."
"Okey. Nanti dahulu. Aku rasa kau sudah silap. Aku dengan Daniel hanya kawan sahaja. Jika betul aku ada menyimpan perasaan, aku tidak berani memulakan langkah pertama. Lagi pun, aku tidak pasti apa yang Daniel rasa tentang aku. Malunya kalau bertepuk sebelah tangan. Sekali lagi aku jelaskan, aku dan Daniel hanya kawan!"
"Sudahlah Marina. Kawan? Kau bercerita tentang Daniel hampir setiap hari. Kau bernasib baik sebab aku tidak pernah muak dengar cerita kau. Tetapi kenapa kau cakap kau jenis yang tidak berani memulakan langkah pertama? Sebab kau perempuan?"
Aku hanya mengangguk.
"Hmmm.... Berbalik kepada Daniel, kau rasa Marina, kalau ditakdirkan kau dan Daniel jadi lebih daripada sekadar kawan, adakah perbezaan latar belakang dan budaya antara kau dan Daniel akan jadi satu isu?"
"Ya, Gina. Itu juga sesuatu yang perlu difikirkan."
"Tetapi cuba kau lihat wanita-wanita yang selalu dikaitkan dengan Daniel, mereka juga mempunyai latar belakang yang berbeza. Jadi tidak mustahil jika sesuatu boleh berlaku antara kau dan Daniel! Segalanya mungkin Marina!"
“Kau terlalu yakinlah Gina. Terlalu idealistik...”
“Okey, kau tidak jawab soalan aku tadi. Kalau Daniel ajak kau kahwin dengan dia esok. Adakah kau akan bersetuju?" Soal Gina. Dia benar-benar mahukan jawapan dariku.
"Aku rasa... Mungkin aku..." aku teragak-agak untuk memberi jawapan.
"Nampaknya. Buat masa ini jawapan kau adalah 'tidak'. Jadi memang betullah agaknya, kau hanya miang-miang kucing sahaja!!" Kata Gina sambil ketawa besar.
Jika Gina boleh ketawa apabila aku bercerita tentang Daniel, Ally tidak begitu, dia bimbang dengan apa yang berlaku kepadaku. Sedari awal lagi, dia banyak kali mengingatkan aku supaya tidak terlalu terbawa-bawa dengan 'hal Daniel'.
"Kau perlu berhati-hati Marina," kata Ally kepadaku setiap kali aku bercerita tentang hubunganku dengan Daniel yang menjadi semakin rapat.
"Aku tahu kau gembira kerana kau mendapat kembali 'Harry'. Tetapi aku risau Marina, hubungan profesional kau ini perlahan-lahan berubah dan apa yang merisaukan aku adalah kalau-kalau Daniel mahu menjadikan kau satu persinggahan sahaja. Aku banyak mendengar cerita tentang Daniel. Wanita sana, wanita sini. Semuanya datang ke dalam hidup Daniel dalam tempoh masa yang sekejap. Kau pun tahu, bukan?"
"Kau jangan bimbang, Ally. Aku dan Daniel hanya berkawan sahaja. Malah Daniel sendiri mengakui apa yang dia lakukan selama ini."
"Maksud kau, dia tunjuk sendiri bagaimana dia menggatal dengan perempuan?" Ally terkejut dengan apa yang aku beritahu.
"Ya. Malah, dia beritahu aku yang dia keluar dengan wanita itu dan wanita ini pada keesokkan harinya."
"Jadi, kau tidak rasa apa-apa? Tidak berasa cemburu walau sedikit pun?"
"Tidak," kataku sambil menggelengkan kepala. Bibirku mengukir senyuman.
Apa yang aku katakan kepada Ally memang benar. Sememangnya aku tidak berasa cemburu. Daniel boleh bercerita apa sahaja kepadaku. Sepanjang tempoh itu, bermacam-macam yang aku dengar daripada mulut Daniel. Ada yang lucu, ada yang sedih dan tidak kurang juga ada yang membuatkan aku menekup muka kerana malu. Tetapi entah kenapa, lama-kelamaan, aku berasa agak posesif. Apa yang keluar daripada mulut Daniel tentang 'aktiviti luarnya' tidak lagi menggelikan hatiku. Aku mula tidak tahan mendengar cerita-cerita Daniel. Perasaan cemburu mula membara apabila mendengar cerita-ceritanya. Tetapi, aku berlagak tenang. Aku tidak menunjukkan perasaanku yang sebenar kepadanya.
Daniel pula nampaknya berasa semakin selesa denganku. Aku telah menjadi tempat dia bercerita apa sahaja yang difikirkannya.
"Marina. Awak tidak pernah beritahu apa-apa tentang kehidupan peribadi awak kepada saya," soalan yang keluar daripada mulut Daniel secara tiba-tiba itu mengejutkanku.
"Maksud awak? Bukankah saya pernah bercerita tentang keluarga saya dahulu?"
"Ya. Tetapi apa yang saya maksudkan..." Danial teragak-agak, "tidak pernah ada sesiapa yang menambat hati awak sebelum ini?"
Aku hanya tersenyum, memikirkan cara untuk menjawab soalan Daniel. Aku cuba menyusun ayat yang sesuai.
"Sebenarnya ada..." akuiku.
"Siapa?" Daniel nampak bersungguh.
"Namanya Norman..." jawabku dengan perlahan. Aku mula bercerita tentang Norman. Sepanjang aku bercerita, Daniel hanya diam dan tersenyum semasa mendengarnya. Dia memberi respon-respon yang tipikal. Satu persatu kata-kataku didengarnya dengan terperinci. Dia benar-benar ingin tahu tentang lelaki bernama Norman yang pernah wujud dalam hidupku.
Bermula dari saat itu, aku tidak lagi berasa segan untuk bercakap tentang Norman dengan Daniel. Setiap kali kami bercakap tentang perkara-perkara yang berkaitan, nama Norman akan terkeluar. Pada mulanya, Daniel tidak kisah dengan semua itu. Dia menganggapnya sesuatu yang biasa. Namun, lama-kelamaan, aku dapati dia seperti tidak senang apabila aku asyik menyebut nama bekas tunanganku itu.
"Adakah awak masih menunggu Norman Marina? Maksud saya, daripada apa yang awak cakap, seolah-olah Norman ini keliru dan awak percaya dia akan kembali kepada awak satu hari nanti," tanya Daniel pada kepadaku.
"Entahlah Daniel... Saya pun keliru kadang-kadang," akuiku dengan jujur.
"Saya rasa, awak juga tidak mampu melupakan Norman sebenarnya."
"Sudah semestinya Daniel. Dia wujud dalam hidup saya semenjak saya di bangku sekolah lagi, sukar untuk saya lupakan dia."
Ketika itu, aku dapati wajah Daniel berubah. Pengakuanku itu seolah-olah tidak menyenangkan hatinya. Nada suaranya juga berubah selepas itu. Aku mengesan bibit-bibit rasa cemburu Daniel kepada orang yang tidak pernah dikenalinya.
'Cemburu? Daniel Cemburu? Apakah maknanya semua ini? Cemburu tandanya apa?' Aku berkata-kata sendirian. Mula berteka-teki tentang reaksi yang Daniel berikan.
Aku tersenyum seketika, segala kemungkinan yang bisa terjadi menggembirakan hatiku. Ada harapan yang segalanya boleh pergi lebih jauh lagi.
Walau pun begitu, aku tidak boleh terlalu yakin dan terus membuat kesimpulan tentang apa yang sebenarnya dirasakan oleh Daniel. Aku pantas mengingatkan diriku yang itu mungkin mainan perasaanku sahaja.