Home Novel Alternatif Sfera
Bab 5

Bab 5 : Cepat! Nanti kita terlambat!


Bzzzzzz….. Bzzzzzz…. Getaran telefon bimbit Sony yang aku letakkan bersebelahan dengan bantal mengejutkan aku daripada tidur yang panjang. Aku mencapainya dan dengan pantas membaca paparan di skrin. “Sebelas panggilan tidak dijawab,” aku membacanya perlahan. Belum sempat aku menekan butang ‘view’ pada skrin, telefon bergetar lagi. Nama Gina, terpapar. Aku menjawab panggilannya.

“Helo,” suaraku separuh parau.

“Helo Marina! Buka pintu. Aku di luar!” Suara Gina kedengaran nyaring. Diselang-seli dengan bunyi ketukan pada pintu.

“Di luar mana?”

“Luar bilik.”

“Sekejap,” jawabku selamba. Aku menekan kembali butang ‘recent calls’ untuk melihat siapakah yang telah menghubungiku sebanyak sebelas kali sebelum Gina. ‘Gina’ hanya nama Gina sahaja yang terpapar di situ.

Dengan langkah yang perlahan, aku berjalan menuju ke pintu bilik yang berkunci. Sejurus sahaja aku membuka pintu, aku kembali ke katil.

“Kau masih hendak tidur lagi?”

“Aku mengantuklah Gina…”

“Bangunlah Marina. Jangan bazirkan cahaya matahari Ahad.”

“Alah... apa bezanya? Sama sahaja. Pagi ahad atau Jumaat. Semuanya sama. Cahaya matahari juga.''

“Marina. Bangunlah. Temankan aku sarapan.”

“Ally ada. Michelle pun ada. ”

“Memanglah. Tetapi tidak lengkap tanpa kau...”

“Krohhhhh…..!”

“Ish! Kau buat-buat tidur pula,” Gina memukulku dengan bantal. Kemudian, dia menggunakan teknik yang paling tidak aku sukai. Dari belakang, dia memelukku dengan pelukan yang amat-amat erat.

“Ouch! Jangan Gina!” Pelukan Gina menyekat nafasku.

“Hendak bangun atau tidak? Ha! Hendak bangun atau tidak?” Kata Gina.

“Gina. Semputlah. Okeylah! Okey! Aku bangun!” Aku mengalah. Gina melepaskan aku daripada pelukannya yang erat dan ketat itu.

“Okey, Marina. Tarik nafas dalam-dalam. Tarik... hembus... tarik… hembus...” 

“Kau ganaslah. Ke tepi!” Aku menolak Gina yang cuba berlagak seperti seorang doktor atau pun lebih tepat lagi, cikgu pendidikan jasmani yang membosankan.

“Aku tunggu kau di luar ya Marina. Jangan bersiap lama-lama sangat.”

Dengan lemah, aku melangkahkan kaki ke bilik air. Ketika mandi, aku memikirkan tentang Shazlin dan apa yang berlaku dengan Zara.

"Maafkan aku Marina. Kerana aku, kau pun sudah jadi penganggur secara rasminya."

"Kau tidak perlu minta maaf Shaz. Aku sepatutnya sudah lama berhenti daripada La Nona."

"Terima kasih, Marina."

“Aku buat apa yang aku patut aku buat. Halang kau daripada membunuh Zara.''

“Betul kata orang. Kalau kita layan orang gila, kita pun turut sama jadi gila.”

“Okey, Shaz. Aku balik dahulu. Nanti bila-bila kita jumpa.”

“Okey, Marina. Jaga diri baik-baik.”

“Bye.”

Gina meletakkan keretanya di hadapan Restoran Ali Corner yang berdekatan dengan Plaza Alam Sentral. Ally dan Michelle yang sudah lama berada di dalam restoran yang sebahagian bangunannya tidak berdinding itu melambai-lambai kami.

“Hai Marina…” ucap Ally sejurus sahaja aku sampai di meja makan. Terus dia memuncungkan bibirnya. Seperti biasa. Aku tahu apa yang diinginkannya.

“Hai Ally. Muah!” Aku memberikan ciuman atas angin. Begitu juga dengan Michelle. Itu ialah salah satu strategi kesantunan kami.

“Kenapa kamu berdua lambat?” Tanya Ally.

“Maaf ya semua. Kalau bukan kerana dia, sudah lama sampai,” terang Gina sambil memuncung dan muncungan itu dihalakannya kepadaku.

“Aku bukan apa, malas hendak keluar pagi-pagi macam ini…” aku memberi alasan yang agak klise. Alasan yang aku pernah berikan pada mereka dahulu.

“Alah, Marina. Bukannya selalu kita dapat jumpa. Hari-hari lain kita semua sibuk kerja. Ini sajalah masa yang kita ada,” kata Michelle.

“Aku sudah tidak sibuk lagi sekarang ini.”

“Maksud kau?”

“Aku sudah tidak bekerja lagi di La Nona.”

“Kenapa pula?” Michelle nampak bersemangat untuk mengetahui lanjut tentang apa yang berlaku.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku tahu aku terpaksa juga menyebut nama Zara.

“Ada sesuatu yang terjadi antara Zara, Shaz dan aku.”

“Kenapa? Apa yang terjadi? Ceritalah Marina. Ceritalah...” kata Ally. Sekiranya Ally sudah mula menggesa, ini bermakna sesi sarapan lewat pagi itu akan jadi bertambah panjang daripada yang dirancang. Sebab pada pendapat aku, Ally ada ciri-ciri seorang inspektor. Dia akan tanya, tanya, dan tanya sehinggalah semua butir-butir penting yang diperlukannya diperoleh.

''Nampaknya Marina, Puan Zara pasti sedang cari orang baru sekarang,'' kata Ally.

“Mungkin. Kenapa Ally? Kau berminat?”

“Jangan mengarut. Aku masih ingat lagi  apa yang terjadi semasa Yani kerja di sana,” Ally kembali mengingatkan kami kepada kenalan kami yang pernah berkerja untuk Zara sebelum Shazlin mengambil alih tempatnya.

“Patutlah kau bersungguh-sungguh tidak mahu Marina bekerja dengan La Nona dahulu,” kata Gina

“Sekarang kau sudah tahu apa sebabnya bukan? Bekerja selama lebih dua tahun di bawah Zara bukan perkara main-main. Kau berhak menerima anugerah Marina!” Kata Michelle. Diiringi dengan gelak ketawa daripada Gina dan Ally.

“Jadi selepas ini, pilihlah kerja dengan tepat Marina......” kata Michelle.

“Betul apa yang Michelle katakan itu. Tiada salahnya kalau jadi cerewet...” kata Gina.

“Ya. Kalau kita buat kerja yang kita tidak suka, kita akan terperangkap dan kesannya akan kita rasakan bertahun-tahun yang akan datang…” Ally menyambung.

“Oh ya. Bagaimana kau dengan Norman?” Tiba-tiba sahaja nama lelaki itu terkeluar daripada mulut Michelle.

“Kami akan berjumpa malam ini di Sunway Piramid,” jawabku selamba.

“Dia tahu yang kau sudah berhenti kerja?” Tanya Michelle

“Belum lagi. Marina belum beritahu,” Gina memberi jawapan bagi pihakku.

“Ha!? Dia belum tahu lagi?! Tunang kau sendiri belum tahu apa yang terjadi pada kau? Hmm….” kata Ally.

“Sebab itu aku perlu jumpa dia malam ini. Aku ingin beritahu segala-galanya…”

“Romantiknya. Sesi adu mengadulah malam ini ya?” Soal Michelle.

“Lebih kurang begitulah,” kataku dengan wajah yang gembira.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.