Home Novel Alternatif Sfera
Bab 7

Bab 7: Karier?


Selepas apa yang terjadi di Nona Silk, aku mula memikirkan langkah yang perlu aku ambil seterusnya. Memikirkan tentang baki akaun di bank yang semakin berkurangan, aku segera melayari internet mencari pekerjaan yang sesuai denganku. Namun tidak seperti sebelumnya, aku lebih berhati-hati dalam memilih.

Pada suatu malam, aku menghabiskan masa di Dr Love dengan melayari internet. Di situ, aku menghabiskan hampir tujuh puluh peratus masaku dengan meneliti iklan-iklan jawatan kosong yang disiarkan di internet.

Aku mencatat satu persatu jawatan-jawatan yang telah aku pohon secara atas talian.

Banyak juga kerja yang telah aku pohon. Tetapi masih belum ada respon yang aku terima daripada mereka.

Jam ketika itu menunjukkan pukul sembilan malam. Urusanku sebenarnya sudah selesai. Akan tetapi, aku tidak mahu meninggalkan Dr Love kerana tiada apa-apa yang boleh dilakukan di rumah. Gina awal-awal lagi memberitahuku yang dia akan keluar dengan teman lelakinya Hani. Aku tidak mahu mengganggu Norman kerana dia mungkin sedang asyik duduk berborak dengan kawan-kawannya. "Well... your romance cannot defeat their bromance," itulah yang sering dikatakan oleh Gina setiap kali aku mengadu tentang Norman yang selalu menghabiskan masa dengan rakan-rakan lelakinya. Aku mula bermain-main dengan kamus-kamus yang aku instal pada komputerku. Sesuatu yang selalu aku lakukan untuk sekian lamanya. Setelah bermain-main untuk beberapa ketika, hatiku tergerak untuk mencari perkataan ‘karier’. Setelah lebih daripada dua dekad berada di dunia ini, aku banyak mendengar kata-kata orang berkenaan dengan karier. Namun aku belum pernah menyemak maksudnya secara formal kerana pengertianku berkenaan dengan karier ialah 'kerja'. Setelah menyemak beberapa buah kamus dan laman web, aku mencatat beberapa maksud yang menarik perhatianku.

Menurut kamus Cambridge, career bermaksud the job or series of jobs that you do during your working life, especially if you continue to get better jobs and earn more money : 

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula ‘karier’ membawa maksud 'kerja atau profesion yang menjadi kegiatan berpanjangan seseorang dalam hidup seseorang'. Definisi kedua pula ialah 'kerjaya'. Aku juga mencari definisi karier yang diberikan oleh beberapa orang ternama.

“Main dengan kamus lagi Marina?” Tanya Ally yang sedang ke hulur ke hilir menghantar minuman kepada pelanggan yang datang. Aku hanya tersenyum.

“Diane!!!” Kata Ally sebaik sahaja kelibat seorang wanita berkebaya melangkah masuk ke Dr Love. Wanita itu nampak sungguh cantik sekali. Aku tidak menyangka yang dia akan datang ke Dr Love hari itu. Nama wanita itu ialah Diane. Dia merupakan senior kami sewaktu aku, Gina dan Ally berada di kolej dahulu.

“Marina ada di sini rupanya,” setelah berbual pendek dengan Ally, Diane menyedari keberadaanku di situ dan datang mendekatiku. Seperti biasa kami berpelukan. Wow! Bau Diane sangat wangi. Lebih wangi daripada apa yang pernah aku bau ketika di kolej dahulu.

“Diane. Sedap bau wangian awak!”

“Oh, ya? Lebih sedap daripada pertemuan kita yang lepas?”

“Ya!”

“Saya cipta wangian saya sendiri.”

“Betul? Awak tidak main-main?”

“Ya. Saya rasa kita semua perlu ada wangian sendiri yang sesuai dengan personaliti kita.”

“Banyak kerja pula nanti.”

“Apa pula banyak kerja. Mudah sahaja. Apa yang kita perlu ialah minyak.”

“Maksud awak minyak pelbagai jenis?”

“Tepat sekali. Awak patut datang ke tempat saya. Saya boleh tunjukkan caranya,” Diane mengenyitkan matanya sambil tersenyum.

“Okey,” kataku sambil mengangguk.

“Diane, awak baru balik daripada kenduri? Setahu saya, awak hanya akan pakai begini bila ada majlis istimewa. Cantik!”

“Terima kasih. Saya memang baru balik daripada kenduri pun,” kata Diane sambil tersenyum.

“Siapa kahwin? Awak?” Aku mengusiknya.

“Kalau saya yang kahwin saya tidak akan berada di sini malam ini,” jawab Diane. Dia kemudiannya tergelak besar.

"Betul juga ya. Jadi siapa yang kahwin Diane?"

“Sepupu kawan saya yang kahwin”

“Oh begitu. Jadi bagaimana dengan Star Hub Diane?” Aku bertanya mengenai tempat kerja baru Diane. Sebelumnya dia bekerja di Telekom Malaysia.

 “Semuanya baik. Tetapi macam biasalah. Tempat baru. Ambil masa juga untuk sesuaikan diri. Oh ya, saya dengar awak sudah tidak lagi bekerja di Nona Silk. Betulkah?”

Aku mengangguk. Mengakui kebenaran cerita yang didengarnya. Untuk beberapa hari, aku terpaksa melakukan satu rutin yang sama iaitu menceritakan apa yang berlaku di Nona Silk daripada mula sehinggalah akhir.

“Dahsyat! Jadi betullah apa yang mereka tulis dalam blog-blog itu, Marina?”

"Ya. Segala-galanya benar belaka."

“Jadi awak sedang cari kerjalah sekarang?” Tanya Diane.

“Ya. Awak tahu mana-mana tempat yang ada kerja kosong? Tempat baharu awak, mungkin?”

 “Saya tidak pasti. Nanti saya cuba tengokkan untuk awak. Tetapi saya ada satu cadangan untuk awak.”

“Cadangan apa?”

Diane mengeluarkan sekeping kad dari dalam dompetnya dan memberikannya kepadaku.

“Ini kad yang diberi oleh kawan saya tempoh hari.”

“TNS Research International?”

“Ya. Dia bekerja di TNS sebelum ini,” terang Diane.

“Sebagai apa?”

“Penemuramah.”

‘Penemuramah?’ Aku mula membayangkan kerja menemuramah yang biasa aku lihat di televisyen. Belum sempat aku bertanya dengan lebih lanjut, dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi seseorang.

“Sebentar ya. Saya hubungi Mary.”

‘Siapa pula Mary?’ Diane selalu menyangka yang orang-orang di sekelilingnya mengenali kawan-kawannya yang lain.

“Okey. Awak ada apa-apa hal esok?” Tanya Diane kepadaku setelah dia menamatkan perbualannya dengan Mary.

“Siang atau malam?” Dalam fikiranku, aku mengingati temujanjiku dengan Norman pada pukul lapan malam esoknya.

“Siang.”

“Tiada,” Segera aku menggelengkan kepala.

 “Baiklah Marina. Bagus! Kalau begitu, awak ikut saya ke Multipurpose Building esok. Saya bawa awak ke TNS Research International!”

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.