Bab 5
Masa pada lewat petang ketika Tom sedang berehat di atas katilnya, Somchai dan ibu bapanya masuk ke dalam bilik ditemani seorang lelaki botak yang berpakaian jubah berwarna jingga. Ketika Tom merenung lelaki itu, dia segera mengenalinya sebagai seorang sami Buddha. Sami Buddha biasanya memakai pakaian yang berwarna coklat, oren atau warna-warna Sacral Chakra. Warna ini dipercayai sebagai warna alam roh. Tom biasa melihat sami-sami Buddha ketika dia membesar di UK.
Somchai memperkenalkan Tom kepada Bhikkhu Kang, seorang sami Budha dari wat berdekatan. Bhikkhu Kang didatangkan untuk membantunya. Tom mencantumkan tapak tangannya ke aras dadanya sambil menundukan kepalanya sedikit sebagai tanda hormat kepada Bhikkhu Kang. Bhikkhu Kang membalas salam itu dengan senyuman dan bergerak lebih dekat untuk memeriksa Tom.
Bhikkhu Kang tidak boleh bertutur atau memahami bahasa Inggeris, oleh itu, Somchai bertindak sebagai penterjemah. Bhikkhu Kang meminta izin Tom terlebih dahulu sebelum dia memeriksa keadaan Tom. Bhikkhu Kang memejam matanya sambil meletakkan kedua belah tapak tangannya pada kedua-dua belah muka Tom. Bibirnya berkumit-kumit membaca mantra yang tidak difahami oleh Tom. Tom menuruti sahaja upacara ringkas itu kerana dia ingin dirinya sembuh. Sekarang bukan masa untuk keraguan kerana kesejahteraan dan juga keselamatannya sudah terjejas.
Ibu bapa Somchai memandang Tom dengan penuh rasa kebimbangan dan kekhuatiran. Sebagai penduduk tempaatan yang dibesarkan dan disuapkan dengan cerita-cerita urban legend seperti cerita Nang Tani, kebimbangan dan kekhuatiran mereka memang ada asasnya. Walau bagaimana pun, kehadiran Bhikkhu Kang yang tenang itu sedikit meredakan kerisauan mereka. Selepas selesai memeriksa Tom, Bhikkhu Kang dengan senyuman dan suara yang lembut meminta Tom untuk menceritakan apa yang telah berlaku.baru.
Dengan suara yang tersekat-sekat, Tom menceritakan kepada Bhikkhu Kang tentang mimpi ngeri yang menyebabkan dia sukar untuk tidur dengan nyenyak dan nyaman. Tetapi Tom sengaja merahsiakan tentang ritual menyeru yang dilakukannya. Mungkin Tom takut dipersalahkan kerana melibatkan dirinya dalam sesuatu ritual yang dia tidak fahami. Lebih teruk, Tom takut dituduh mempersendakan kepercayaan dan budaya masyarakat setempat. Bhikkhu Kang mendengar luahan Tom dengan tenang salam sekali sekala mengangguk-angguk kepalanya.
Apabila Somchai selesai penterjemahkan cerita Tom kepada Bhikkhu Kang, dia tiba-tiba bertanya, “Adakah terdapat tanaman pisang berdekatan?”
"Ya, di taman," jawab Somchai sambil menunjukkan jarinya ke arah rumpunan pokok pisang itu.
"Kamu telah menyeru hantu pokok pisang, Nang Tani," kata Bhikkhu Kang, suaranya tenang dan meyakinkan. "Tetapi jangan risau, saya datang untuk membantu kamu memutuskan hubungan yang tidak diingini ini."
Mata Tom terbeliak diselubungi oleh rasa terkejut. Rupanya Bhikkhu Kang mengetahui rahsia yang sengaja disimpannya. Tetapi pada masa yang sama, Tom berasa sedikit lega kerana Bhikkhu Kang sanggup membantunya. Mungkinkah Bhikkhu Kang adalah orang yang boleh menawarkan penyelesaian kepada masalahnya? Tom berasa seperti sesuatu beban yang berat telah terangkat dari bahunya apabila mendengar kesanggupan Bhikkhu Kang membantunya.
"Biasanya Nang Tani datang membawa kecelakaan dan huru-hara jika kamu membuat dia marah. Tetapi kita boleh melakukan ritual untuk memutuskan ikatan yang telah kamu wujudkan secara tidak sengaja itu," jelas Bhikkhu Kang lagi. "Tetapi kita mesti bertindak cepat, kerana tenaga Nang Tani akan bertambah kuat seiring dengan masa yang berlalu." Pada saat itulah Bhikkhu Kang terlihat perut Tom yang buncit dan Tom sedar akan pandangan Bhikkhu Kang. Tom cuba menutup keadaan perutnya yang buncit itu dengan meletakkan kedua-dua tangannya menutupi bahagian yang buncit itu.
Bhikkhu Kang kemudian beralih perhatiannya kepada ibu bapa Somchai dan berkata sesuatu dalam bahasa Siam kepada mereka. Walau pun Tom tidak memahami bahasa Siam, tetapi perubahan air muka ibu bapa Somchai menyedarkan Tom bahawa ada sesuatu yang tidak baik disampaikan oleh Bhikkhu Kang kepada mereka.
Bhikkhu Kang kemudian beralih perhatiannya semula kepada Tom dan berkata sesuatu kepadanya. Somchai menterjemahkan apa yang diperkatakan oleh Bhikkhu Kang itu kepada Tom. Bhikkhu Kang mengarahkan Tom supaya tinggal di dalam biliknya dan jangan beralih dari tempat duduknya.
Selepas itu, Bhikkhu Kang dan ibu bapa Somchai serta Somchai bangun dan meninggalkan bilik Tom. Mereka keluar dari rumah sambil bercakap dalam bahasa Siam. Tom dapat melihat melalui tingkap bahawa mereka berempat menuju ke arah rumpunan pokok pisang. Mereka memeriksa kawasan sekeliling rumpunann pokok pisang itu dan melihat-lihat pada bunga pisang yang telah layu itu. Tom melihat bapa Somchai berkata sesuatu kepada Somchai dengan riak muka yang marah. Tom tahu bahawa rakannya Somchai sedang dimarahi oleh bapanya dan timbul perasaan kesal dan kasihan dalam hatinya. Kesalahan dibuatnya, Somchai menerima padahnya. Orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getah.
Selepas beberapa minit, mereka semua masuk semula ke dalam rumah. Raut wajah mereka menunjukkan bahawa mereka sangat bimbang dan dalam kerisauan. Ibu bapa Somchai bersama Bhikkhu Kang duduk di ruang tamu untuk berbicara mana kala Somchai masuk ke bilik Tom untuk menemaninya.
Tom merenung Somchai seketika sebelum akhirnya berkata. "Saya minta maaf kerana kebodohan saya telah membawa padah yang buruk kepada kamu dan keluarga kamu. Saya sangat menyesali perbuatan saya.”
Somchai terdiam sebentar setelah mendengar ungkapan kemaafan daripada Tom. Kemudian dia berkata, “Tidak apalah. Benda sudah berlaku. Mahu tak mahu, kita kena terima aja.” Kesedihan Somchai keatas kelakuan Tom dapat dirasai oleh Tom dan sebaliknya kekesalan Tom dapat dirasai oleh Somchai. Mereka berdiam sebentar, masing-masing ingin tenangkan fikiran yang semakin kusut. Somchai kini berada dalam keadaan serba salah. Ditelah mati emak, diluah mati bapak. Kini, mereka berharap Bhikkhu Kang dapat memberi penyelesaian yang aman kepada mereka.
"Jadi, apa tindakan kita seterusnya?" Tom bertanya, suaranya penuh dengan kebimbangan.
"Bhikkhu Kang akan melakukan ritual singkat sekarang untuk melindungi kamu dan kami semua di dalam rumah ini. Malam nanti dia akan mengadakan upacara istimewa. Upacara memohon kemaafan daripada Nang Tani. Bunga pisang rosak akibat perbuatan kamu gagal melepaskan ikatan benang dan mencabut paku itu. Akibatnya, Nang Tani kini berang dan ingin membalas dendam," kata Somchai.
Tom dibayangi perasaan ketakutan apabila mendengar ungkapan akhir dalam percakapan Somchai. Dirinya kini bukan sahaja sesal tetapi juga takut. Somchai memerhatikan susuk Tom yang kini menundukkan kepalanya dan berdiam diri. Somchai berfikir, apa boleh buat, sakit menimpa sesal terlambat. Dia berharap apa yang telah berlaku kepada Tom akan menjadi teladan kepadanya. Jangan sesekali mempermainkan sesuatu di luar pemahaman kita. Jangan terlalu angkuh dan mempersendakan kepercayaan dan budaya orang lain.
Bhikkhu Kang dan ibu bapa Somchai masuk ke bilik Tom. "Kita harus memulakan upacara itu sekarang," kata Bhikkhu Kang.
Bhikkhu Kang kemudian memberitahu ibu bapa Somchai untuk menyediakan barang-barang khusus untuk upacara itu: tiga batang colok, sebilah pisau yang tajam dan secawan air. Semasa ibu bapanya menyediakan barang-barang itu, Bhikkhu Kang, melukis sesuatu corak di atas lantai dengan kapur dan meletakkan lilin pada titik-titik tertentu. Bhikkhu Kang meminta Tom duduk dalam lingkaran corak yang dilukisnya. Bhikkhu Kang kemudian meminta Somchai untuk menyambungkan penghujung benang itu kepada bunga pisang yang telah layu itu.
Somchai segera menuruti arahan Bhikkhu Kang dan membawa penghujung benang itu keluar dari rumah melalui pintu depan. Bhikku Kang menjerit pada Somchai supaya keluar melalui tingkap. Kemudian, Bhikkhu Kang memberi penghujung benang satu lagi kepada Tom dan menyuruhnya memegang hujung benang itu/
Apabila semuanya sudah siap, Bhikkhu Kang duduk dalam lingkaran corak itu bersama Tom. Dia menutup matanya sambil bibirnya erkumit-kumit membaca mantra. Dia kemudian membuka matanya dan menyalakan tiga batang colok. Bau harum colok memenuhi ruang bilik, mewujudkan suasana yang menyenangkan. Dia menyambung membaca mantra, suaranya membawa alunan yang tenang dan aman. Pada masa yang sama, dia memercikkan air dalam cawan di sekeliling mereka. Ketika asap colok semakin tebal, laungan mantra semakin kuat, memenuhi ruangan bilik dengan tenaga yang tidak dapat dilihat. Somchai dan ibu bapanya hanya memerhatikan sahaja upacara yang dilakukan oleh Bhikkhu Kang.
Tiba-tiba, Tom terasa ada tarikan yang perlahan pada benang yang dipegannya. Jantung Tom berdegup kencang, menanti sesuatu berlaku. Bhikkhu Kang mencapai pisau di hadapannya dan dengan pantas memutuskan benang itu. Mereka yang hadir merasakan seolah-olah sesuatu semburan tenaga yang berlega-lega di situ telah dilepaskan dan suasana bilik itu tiba-tiba menjadi senyap. Bhikkhu Kang berpaling kepada Tom dan dengan senyuman lembut, berkata, "Sudah selesai. Ikatan telah terputus, dan hubungan anda dengan Nang Tani terputus."
Tom berasa lega mendengar ungkapan Bhikkhu Kang dan dia terasa seolah-olah sesuatu beban telah terangkat daripada bahunya.
Namun, keadaan masih jauh dari penyelesaian. Bhikkhu Kang memberi amaran kepada Tom bahawa Nang Tani masih menyimpan keinginan untuk membalas dendam. Tom menggigil mendengar kata-kata Bhikkhu Kang. "Malam ini, kita akan mengadakan upacara lain, memohon keampunan Nang Tani dan meminta dia membebaskan kamu sepenuhnya."
Tom tersenyum kecil mendengar kata-kata keyakinan dari Bhikkhu Kang. Kini dia menaruh harapan dan kepercayaan pada Bhikkhu Kang.