Home Novelet Seram/Misteri Nang Tani (Bahasa Melayu)
Nang Tani (Bahasa Melayu)
Adithya Aryan Arjuna
4/12/2024 11:15:36
771
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 6

Bab 6

Bhikkhu Kang sampai di rumah Somchai lewat petang. Dia ditemani oleh seorang perempuan dalam usia pertengahan. Bhikkhu Kang memperkenalkan perempuan itu sebagai Voon, pembantunya. Voon akan berlaku sebagai pengantara antara Bhikkhu Kang dan Nang Tani. Bhikkhu Kang juga ada membawa pelbagai barang yang diperlukan untuk upacara itu.

Ketika matahari mulai terbenam di bawah ufuk, cahayanya meronakan landskap dengan pelbagai warna. Bhikkhu Kang mengumumkan bahawa upacara tersebut akan dilakukan sebentar lagi. Tom berasa gementar dan sedikit risau. Kerisauannya timbul bagai angai badai dan ombak bergelora. Semua ini adalah sesuatu yang baharu kepada Tom. Dia tidak pernah melihat atau mengambil bahagian dalam upacara seumpama ini. Kini, dia telah diseret menjadi protagonis dalam drama yang agak ngeri.

 Sementara menunggu tibanya masa untuk menjalankan upacara pemujaan, Bhikkhu Kang dan Voon melakukan persiapan-persiapan yang diperlukan. Kira-kira jam tengah malam, Bhikkhu Kang meminta Somchai menjemput Tom ke tempat upacara. Kesemua mereka berkumpul berhampiran rumpuan pokok pisang itu.

Bhikkhu Kang kemudian membentang sehelai tikar mengkuang berhampiran dengan pokok pisang berkenaan. Bhikkhu Kang, dengan dibantu oleh Voon, menyusun pelbagai barang seperti tempat kemenyan, colok, semangkuk air, bunga, dan kapur. Setelah semua alatan itu telah disusun dengan kemas, Bhikkhu Kang menjemput semua yang hadir untuk duduk di atas tikar. Bhikkhu Kang menyalakan beberapa batang lilin dan memberikannya kepada Voon. Voon meletakkan lilin-lilin itu di sekeliling pokok pisang berkenaan. Sementara itu Bhikkhu Kang menyalakankan beberapa batang colok dan mencucuknya ke dalam tanah di hadapan pokok pisang itu. Setelah selesai, dia membakar kemenyan  di dalam bekas kemenyan sambil mulutnya berkumit-kumit membaca mantra dan jampi serapah.

Asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara dan suasana sekeliling dipenuhi bau wangian kemenyan. Tom pehatikan sahaja kelakuan Bhikkhu Kang yang menjadi begitu aneh baginya. Sebagai seorang yang berasal daripada budaya Barat, semua ini menakjub Tom dan menjadi satu keluk pembelajaran untuk dirinya. Buat sementara waktu, oleh kerana terlalu khusyuk dengan upacara itu, Tom terlupa bahawa dialah yang menjadi pelakon utama dalam drama ini.

Tom tersedar apabila Somchai menepuk bahunya dan bertanya khabar. Tom mengangguk kepalanya tanda dia tidak ada apa-apa, semuanya masih aman. Bhikkhu Kang kemudian mengambil beberapa kuntum bunga, sambil membaca mantera, melemparkannya ke dalam mangkuk air di hadapannya. Dia juga menghiris beberapa biji limau nipis dan memasukkannya ke dalam mangkuk, sebelum mencelupkan tangannya ke dalam air dan menaburkan titisan air tersebut pada pokok pisang itu. Bhikkhu Kang kemudian memanggil 'Nang Tani' berulang kali.

Udara yang tebal dengan bau dan asap kemenyan, serta cahaya lilin yang berkelip-kelip, memancarkan cahaya yang suram di sekeliling mereka. Pandangan Tom beralih pada pokok pisang, bunganya yang dahulunya segar, kini layu dan bertukar warna menjadi hitam. Ketika itu, rasa kesal sekali lagi menyelubungi diri Tom. Dia berasa dia tidak patut lagi berulang perbuatannya lagi.

Sementara itu Tom melihat Voon yang, duduk dalam keadaan tenang dengan matanya tertutup. Air mukanya tenang dan aman menimbulkan rasa nyaman dalam diri Tom. Ibu bapa Somchai pula, berbalas pandangan risau, jelas rasa tidak senang. Mantra dan jampi serapah yang dibaca oleh Bhikkhu Kang mengambil masa yang agak lama. Tiba-tiba tubuh Voon mula bergerak, badannya menggeletar dan kepalanya mengeleng-geleng dan matanya terbuka. Tubuh Voon telah dirasuk.

Dia mula berkata dalam bahasa Siam, "Tam! Kenapa kamu menyakiti aku lagi? Mengapa kamu mengganggu ketenteraman aku? Setelah menyakiti dan mengganggu ketenteram aku, kamu ada hati ingin memohon keampunan aku?" Kata-kata itu diikuti oleh bunyi ketawa yang mengilai. Mereka semua menggigil ketakutan dan bulu-bulu meremang apabila mendengan suara Voon mengilai.

Kedua-dua biji mata Voon yang dahulunya tenang, kini berkobar-kobar dengan kemarahan. "Kamu meminta restuku, tetapi niat kamu dikaburki oleh kesombongan dan rasa tidak hormat. Kamu menceroboh ke dalam alamku, dan untuk itu, pasti ada balasannya."

Kata-kata itu sekali lagi meninbulkan rasa ketakutan pada mereka. Tom yang selama ini terpinga-pinga melihat kelakuan Voon menjadi pucat apabila Somchai menterjemahkan kata-kata Voon untuknya.

Bhikkhu Kang, tidak berputus asa dengan kata-kata Voon dan meneruskan tugasnya memohon pengampunan, keamanan, dan pemulihan keharmonian daripada Nang Tani.Titisan peluh mula membasahi dahi Bhikkhu Kang sambil dia cuba untuk berbincang dengan Nang Tani melalui Voon. Sepanjang upaca itu, Tom hanya memerhati sahaja. Dia tidak faham bahasa yang digunakan oleh Bhikkhu Kang dan Voon. Dia juga tidak faham upacara yang sedang dijalankan. Kekeciwaan menyelubungi dirinya dan rasa tidak terdaya menguasai hatinya. Walau bagaimana pun, Tom menaruh secercah harapan bahawa upacara itu akan membawa sesuatu yang positif baginya. Perasaan gementar dan gelisah turut menyelubunginya,

Semasa berbicara dengan Bhikkhu Kang, Voon sesekali melemparkan pandangan yang tajam ke arah Tom. Ini membuatka Tom rasa takut dan cuba elakkan matanya bertemu mata Voon. Tom tahu bahawa Voon bukan Voon pada masa itu. Voon adalah Nang Tani. Tetapi, jauh di lubuk hatinya, Tom tidak menyalahkan Nang Tani dan memahami bahawa dia bersalah dalam hal ini. Dia juga tertanya-tanya apakah perbualan antara Bhikkhu Kang dan Voon. Setelah lebih kurang dua jam berbicara, tubuh Voon tiba-tiba rebah. Sekejap kemudian, Voon pun sedar dan bangun. Dia kelihatan sangat letih dan Bhikkhu Kang memberitahunya supaya masuk ke rumah untuk berehat.

Bhikkhu Kang serta yang lain, kecuali Tom, mula mengemaskan semua alatan yang telah digunakan. Tom berdiri tercengang melihat mereka. Dia seperti hilang akal, tidak tahu apa hendak dilakukannya. Somchai terlihat keadaan Tom. Dia menghampiri Tom dan memberithau Tom bahawa upacara telah selesai.Tom tidak perlu melakukan apa-apa lagi. Sebentar lagi mereka akan kembali ke dalam rumah dan mendengar penjelasan yang lebih lanjut daripada Bhikkhu Kang. Tom mengangguk kepalanya tanda faham.

Apabila semua sudah dikemaskan, mereka pun berjalan masuk semula ke dalam rumah. Pada masa itu, Tom mengambil kesempatan untuk bertanya sesuatu pada Somchai.

"Tadi, Bhikkhu Kang dan Voon berbicara agak lama. Apa yang mereka bicarakan?" Tom bertanya dengan nada tersekat-sekat. 

"Saya tidak tahu," jawab Somchai sambil menggelengkan kepalanya.

“Bukankah mereka berbicara dalam bahasa Siam. Kamu kan faham bahasa Siam,?” Tom bertanya lagi.

"Ya, tetapi mereka berbicara dalam bahasa Siam kuno yang saya tidak dapat memahami sepenuhnya," akui Somchai. “Jangan risau. Nanti Bhikkhu Kang akan memberi penjelasan yang lebih lanjut.” Tom pun diam mendengar kata-kata Somchai.

Sebaik sahaja mereka semua berkumpul di ruang tamu, Bhikkhu Kang meminta ibu Somchai untuk membancuh secawan kopi untuknya. Somchai dan Tom pula tidak sabar-sabar untuk mengetahui hasil upacara tadi - adakah Nang Tani telah memaafkan Tom? Adakah Bhikkhu Kang berjaya menenangkan Nang Tani?

Ibu Somchai masuk membawa satu jug kopi dan beberapa biji cawan. Dia menuangkan kopi ke dalam cawan dan memberikannya kepada Bhikkhu Kang Kemudian, ibu Somchai mempelawa yang lain untuk meminum kopi.

Bhikku Kang menghirup beberapa teguk kopi dari cawannya. Dia kemudian terdiam sebentar seperti sedang memikirkan sesuatu. Terpapar kerisauan di riak muka semua yang hadir apabila Bhikkhu Kang mendiamkan diri, tetapi mereka sabar menanti bicara daripada Bhikkhu Kang.

Selepas beberapa minit Bhikkhu Kang mula berbicara. Dia mendedahkan bahawa Nang Tani dengan tegas enggan memaafkan Tom atas kesalahannya terhadapnya. Dia bukan sahaja menghinanya tetapi juga menyebabkan kecederaan kepada dia. Dia bertekad untuk membalas dendam.

"Apa yang akan berlaku kepada Tom?" Somchai bertanya.

Bhikkhu Kang memandang Tom dengan pandangan sedih dan berkata, "Nang Tani akan terus menghantuinya dan menghisap tenaga hidupnya. Tidak lama lagi, dia akan mati. Tetapi ...."

Bhikkhu Kang berhenti dan meenghirup beberapa teguk kopi lagi.

Tom pula meringis dalam ketakutan apabila mendengar apa yang Bhikkhu Kang katakan,. Dia sedar akan situasi kritikal yang dia hadapi. Dia dapat merasakan tenaga hidupnya mengalir keluar perlahan-lahan dari dirinya. Dia teringat ibu bapanya serta orang-orang yang disayanginya di England.

"Apa yang boleh kita lakukan untuk menyelamatkan Tom?" Somchai bertanya lagi dengan nada yang bimbang.

Bhikkhu Kang diam sejenak sebelum dia bercakap, "Ada jalan."

“Bagaimana?” Somchai bertanya lagi.

Pandangan Bhikkhu Kang beralih kepada Tom. Tom merasakan bahawa apa yang akan dikatakan oleh Bhikkhu Kang akan memberi kesan yang besar kepadanya. Tom terasa bahawa keputusan yang akan diambilnya akan mengubah segala aspek penghidupannya. Dia akan menerokai ke dalam satu alam yang berbeza. Hatinya kini berdebar-debar menunggu apa yang akan diperkatakan oleh Bhikkhu Kang.

Previous: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.