Home Novelet Seram/Misteri Nang Tani (Bahasa Melayu)
Nang Tani (Bahasa Melayu)
Adithya Aryan Arjuna
4/12/2024 11:15:36
770
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
1

Nang Tani

Bab 1

               . Somchai telah tiba di Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang lebih awal sebelum pesawat Tom dijadualkan mendarat. Dia telah pakir keretanya di bangunan pakir yang bertingkat dan terus berjalan menuju ke arah dewan ketibaan antarabangsa yang terletak di tingkat bawah bangunan dua tingkat itu. Somchai melangkah masuk ke ruang menunggu balai ketibaan dengan langkah yang cepat. Dia melihat dengan teliti suasana di situ, mencari rakannya yang dijangka tiba dengan pesawat dari London. Somchai bertanyakan dirinya, adakah  dia masih dapat mengenali Tom selepas sekian lama mereka berpisah? Mungkinkah wajah dan susuk Tom sudah berubah? Jantungnya berdenyut-denyut memikirkan apakah hasil sangkaannya. Sebagai langkah ketentuan, Somchai memegang sehelai kertas yang tertera nama penuh Tom. Hati Somchai berdebar-debar tidak sabar-sabar untuk menemui Tom semula selepas berpisah selama lima tahun. Mereka pertama kali berkenalan semasa belajar di universiti yang sama di UK. Selepas tamat pengajian, Somchai kembali ke negara asalnya Malaysia manakala Tom berhijrah bekerja di UAE. Tom pernah mempelawa Somchai untuk turuti dia bekerja di UAE, tetapi Somchai menolak. Bagi Somchai, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Jadi, apabila Tom secara tidak dijangka menghubungi Somchai, mengumumkan rancangannya untuk melawat Somchai di Malaysia selama sebulan, Somchai berasa teruja. Tom juga meminta untuk tinggal bersama Somchai di kampungnya yang terletak di kawasan pendalaman di negeri Kedah, di utara negeri Pulau Pinang.

               Ketika Somchai menunggu kemunculan Tom dari dalam balai ketibaan, Somchai sekali lagi mengimbas suasana yang sibuk di lapangan terbang itu dengan harapan dapat melihat rakan lamanya. Setelah sekian lama menunggu, akhirnya Tom muncul dari balai ketibaan. Somchai masih dapat mengenali wajah dan susuk Tom, yang tidak banyak berubah - masih tinggi, berambut merah, dan kelihatan kelakar dengan cara jalannya yang pantas. Somchai memanggil nama Tom dan melambai-lambai kepada Tom. Tom terlihat Somchai yang sedang menunggu di kalangan orang ramai dan membalas lambaian Somchai dengan lambaiannya sendiri, tanda dia masih mengingati Somchai selepas bertahun-tahun.

               Selepas bersalam-salaman dan bertanya khabar, Somchai pun membawa Tom ke keretanya. Banyak yang hendak Somchai berbicara dengan Tom, tetapi itu boleh tunggu sehingga mereka berada dalam kereta. Semasa Somchai memandu keretanya keluar dari tempat pakir, Tom bertanya sama ada kampung Somchai berdekatan.

               "Tidak, kampung saya kira-kira dua jam perjalanan dari sini," jawab Somchai.

               "Sejauh itu?" Tom bertanya seakan tidak percaya.

               "Ya. Kampung saya di kawasan pendalaman Kedah, negeri lain. Ini Pulau Pinang, negeri lain," jawab Somchai.

               Tom tidak pernah keluar dari UK, kecuali untuk bekerja seketika di UAE. Selain bersifat praktikal dan cerdik, Tom adalah seorang yang rajin bekerja dan hal ini mendorong Tom untuk mencari peluang pekerjaan di UAE dimana kadar gajinya lebih tinggi. Tom ingin mengumpul wang yang mencukupi untuk membeli sebuah ladang di kawasan luar bandar England, tempat yang mempunyai banyak tumbuhan hijau. Ini adalah impian dan hasrat Tom untuk tinggal di tempat yang dikelilingi alam semula jadi, dan inilah daya penggerak di sebalik minatnya untuk tinggal di perkampungan luar bandar, kerana dia tertarik dengan cerita yang dikongsi Somchai tentang suasana kampung yang hijau dan indah. Tom sangat gembira apabila Somchai menerimanya dengan hati terbuka.

               Somchai memandu dengan berhati-hati melalui jalan sibuk menghala ke Jambatan Pulau Pinang, Tom berasa kagum dengan jalan yang bersih dan luas serta budi bahasa pemandu di Malaysia. Apabila kereta Somchai memasuki Jambatan Pulau Pinang, Tom kagum dengan laluan berkembar sepanjang 13.5 kilometer. Jambatan Pulau Pinang ialah jambatan kedua terpanjang di Malaysia dan kelima terpanjang di Asia Tenggara. Tidak lama kemudian, kereta Somchai meninggalkan bahagian pulau dan memasuki tanah besar, landskap berubah dari konkrit kepada kehijauan, dan pandangan sawah padi menghijau yang luas. Tom menunjukkan minat dan terujanya apabila melihat sawah padi yang menghijau. Dia tidak pernah melihat sawah padi sebelum ini, tidak di UK dan pastinya tidak di UAE.

               Sawah padi yang terbentang luas, suatu pemandangan yang menakjubkan bagi Tom. Tumbuhan padi muda, masih dalam peringkat awal pertumbuhan, mencipta kontras hijau menghijau dengan air yang keruh. Sawah yang ditenggelami air diperlukan untuk pertumbuhan tanaman padi yang betul. Ketika kereta Somchai memasuki lebuhraya. Tom kagum dengan jalan berkembar yang luas. Dia tidak menyangka bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang begitu maju. Gambaran yang dia selalu fikirkan tentang Malaysia ialah pokok getah, hutan, dan orang utan. Pada saat itu, Tom berasa dia telah membuat keputusan yang tepat untuk datang bercuti di Malaysia.

               Perjalanan yang jauh dan panjang berasa seperti dekat dan pendek apabila mereka berdua sibuk berborak mengenai kehidupan mereka di kampus. Setelah beberapa ketika, Somchai memandu keluar dari lebuh raya dan memasuki jalan desa. Selepas kira-kira dua puluh minit memandu, Somchai mengemudikan kenderaannya ke satu jalan tepi yang sempit, hampir tidak cukup lebar untuk dilalui oleh sebuah kereta. Laluan itu lengang, kecuali sesekali motosikal yang melintas laluan mereka. Apabila mereka terserempak dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan, kedua-dua pemandu dengan mahir bergerak untuk mengelak perlanggaran. Tom agak kagum dengan kemahiran pemandu tempatan. Pokok yang menjulang tinggi seperti palma mengapit jalan di kedua-dua belah jalan itu, menghalang cahaya matahari daripada menerangi sepenuhnya kawasan jalan itu, akibatnya, jalan itu sedikit gelap dan suram, seperti adegan dalam sebuah filem seram.

               Perhatian Tom tiba-tiba tertarik kepada pokok-pokok yang mengapit jalan itu.

               "Adakah itu pokok kurma?" Tom tiba-tiba bertanya.

               "Tidak, itu semua adalah pokok kelapa sawit," Somchai menjawab dengan senyuman kambing. Dia geli hati melihat gelagat Tom yang tersalah sangka.

               Tom pula, tidak pernah melihat pokok kelapa sawit sebelum ini, sama seperti dia tidak pernah melihat pokok padi atau sawah padi. Pokok kelapa sawit kelihatan serupa dengan pokok kurma pada pandangan Tom. Itulah sebab mengapa Tom tidak dapat membezakannya antara pokok kurma dengan pokok kelapa sawit.

               Tidak lama kemudian, mereka pun tiba di kampung Somchai. Tom menyangka dia akan melihat rumah-rumah gaya kampung berpapan dan berbumbung zink yang dibina di atas tiang, tetapi sebaliknya, dia terlihat pemandangan yang berbeza. Setiap rumah adalah rumah banglo konkrit satu tingkat dengan halaman depan dan belakang yang luas. Rumah-rumah itu disusun dengan kemas di kedua-dua belah jalan. Di hujung jalan adalah rumah Somchai. Somchai membelok keretanya memasuki halaman rumah. Dia kemudian berhentikan keretanya di bawah sebatang pokok yang tinggi dan berdaun lebat. Ketika mereka turun dari kenderaan, mereka disambut oleh seorang lelaki tua dan seorang wanita dalam usia pertengahan. Wajah mereka berdua kelihatan teruja apabila melihat Tom.

               "Ini ibu dan ayah saya," Somchai memperkenalkan kedua-dua orang tuanya kepada Tom. Tom dengan mesra bersalaman dan mengucapkan 'Apa khabar?’, Kedua-dua ibu bapa Somchai membalas dengan senyuman dan sapaan 'Khabar baik'.

 

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.