Home Novelet Seram/Misteri Nang Tani (Bahasa Melayu)
Nang Tani (Bahasa Melayu)
Adithya Aryan Arjuna
4/12/2024 11:15:36
769
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2

Bab 2

Setelah berehat seketika, Somchai mempelawa Tom untuk makan malam yang lazat yang disediakan oleh ibu Somchai. Selesai makan malam, Somchai mempelawa untuk berehat di veranda. Mereka berborak-borak sambil  menghirup kopi. Perhatian Tom tiba-tiba tertarik kepada serumpun pokok pisang yang tumbuh berhampiran veranda. Rumpunan pokok pisang itu terdiri daripada lima hingga enam pokok, dan salah satu daripadanya mempunyai pisang hijau kecil yang sedang memmbesar. Di hujung tandan itu, terdapat sekuntum bunga pisang, yang menarik perhatian Tom dan membuatnya kagum kerana dia tidak pernah melihat bunga pisang sebelum ini.

            "Itu pokok pisang kah?" Tom bertanya kepada Somchai sambil menunjuk ke arah rumpunan pokok pisang.

             Somchai menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Tom dan mengesahkan bahawa ia memang pokok pisang.

            "Apa benda di hujung tandan pisang?" Tom bertanya.

            Somchai menjelaskan bahawa itu adalah bunga yang dikenali sebagai bunga pisang atau jantung pisang.

“Jantung pisang adalah bunga pokok pisang yang berbentuk air mata, berlapis-lapis dengan berkulit warna ungu. Bunga pisang itu muncul di hujung tandan buah pisang dan digunakan dalam pelbagai hidangan, dan dijadikan ulam,” Somchai menjelaskan lagi.

“Benda itu boleh dimakan?” Tom bertanya lagi, berasa hairan.

 “Ya, rasanya gabungan manis dan bunga,” Somchai berkata.

Somchai kemudian memberitahu Tom tentang kewujudan cerita rakyat mengenai bunga pisang.

            "Oh? Bunyinya menarik," kata Tom. "Boleh kamu ceritakan kepada saya?" kata Tom penuh berminat.

            "Baiklah, sudah tentu. Legenda hantu pokok pisang terdapat dalam pelbagai ceita hantu masyarakat Asia. Masyarakat Asia percaya hantu itu boleh baik atau jahat, bergantung kepada budaya dan kepercayaan setempat. Walau bagaimanapun, satu aspek yang sama di antara semua budaya ialah hantu itu sentiasa digambarkan sebagai seorangperempuan," jelas Somchai.

            Tom memberi penuh perhatian kepada cerita yang sedang didengarinya. Dia bertanya, "Apakah bentuk roh perempuan itu?"

            "Menurut Mah Meri, suku asli Semenanjung Malaysia, bunga pisang bermetamorfosis menjadi gadis cantik dengan kulit putih sempurna. Dia memikat lelaki dengan daya tarikannya dan mencuri jiwa mereka. Dalam tradisi Cina, dia dikenali sebagai Ba Jiao Jing, seorang wanita menangis yang menjelma di bawah pokok pisang pada waktu malam, kadang-kadang membuai bayinya. Dipercayai bahawa mereka yang berjudi boleh menyerunya untuk meminta "nombor bertuah". Cerita hantu pokok pisang ini terdapat dalam pelbagai budaya Asia lain, seperti di Indonesia, Kemboja, Laos, Vietnam, dan Filipina,” Somchai berkata

            Tom tertarik dengan pelbagai versi cerita hantu pokok pisang itu. "Ya, sangat menarik. Beritahu saya lebih lanjut," Tom meminta Somchai menyambung ceritanya.

            "Menurut cerita rakyat Thai, hantu pokok pisang itu dipanggil ‘Nang Tani’, Dia tinggal di rumpunan pokok pisang liar. Dia kononnya sangat cantik dan memakai pakaian tradisional Thai yang berwarna hijau. Kulitnya juga hijau, seperti warna daun pisang. Pada waktu siang dia akan di dalam pokok pisang yang mempunyai jantung pisang. Dia hanya akan muncul pada waktu malam, ketika bulan purnama. Secara umumnya, Nang Tani tidak jahat dan hanya akan menghukum lelaki jahat yang menganiaya wanita," kata Somchai lagi, yang kini didorong oleh minat yang ditunjukkan oleh Tom.    

"Kamu tahu apa yang lebih menarik?" Somchai bertanya. Somchai bertanya soalan ini kepada Tom kerana dia terasa Tom amat berminat tentang cerita hantu pokok pisang ini, dan perasaan ini mendorongnya ingin bercerita lanjut tentang hantu poko pisang kepada Tom.

             "Apa?" Tom bertanya, keghairahannya untuk ingin tahu lebih lanjut terpancar di wajahnya.

            "Kamu mahu melihat Nang Tani? Ada ritual untuk menyeru hantu pokok pisang itu. " Somchai menguji reaksi Tom.

            Tom terkejut, tetapi akhirnya menjawab, "Ya, beritahu saya mengenainya." Tom menunjukkan minatnya.

            “Betul ni?” Somchai mengusik Tom.

            “Betul,” Tom menjawab, riak wajah menunjukkan keterujaan.

            “Tapi ini hanya cerita sahaja. Saya tidak tahu boleh berjaya atau tidak,” Somchai memberitahu Tom.

            “Tak kira berjaya atau tidak. Saya hendak mengetahui caranya,” Tom menjawab.

            "Baiklah. Pertama, kamu ambil seutas benang, ada orang kata benang berwarna merah, ada orang kata benang berwarna putih. Tapi tak kisahlah benang apa pun asalkan benang. Kemudain kamu belit benang itu sekeliling bunga pisang itu supaya tidak dapat berbuka. Lepas itu kamu ikat hujung yang satu lagi ke ibu jari kaki kamu. Apabila malam tiba, hantu pokok pisang itu akan muncul mencari kamu,” Somchai menyambung ceritanya.

Tom pada ketika itu berdiam diri, mendengar carita Somchai dengan minat yang luar biasa.

“Macama mana saya tahu yang muncul itu adalah hantu pokok pisang?” Tom menyelit ketika Somchai berhenti sekejap. “Adakah dia akan muncul sebagai seorang perempuan di selubungi oleh kabus?”

Somchai tergelak mendengar pertanyaan Tom. “Itu dalam filem Hollywood boleh lah. Biasanya dia muncul secara berdiri dengan kakinya tidak sentuh tanah, seperti melayang-layang. Dia tidak menggunakan kakinya untuk berjalan tetapi dia melayang-layang. Dia akan merayu untuk dibebaskan, dan sebagai habuan, dia akan mengabulkan apa sahaja permintaan kamu. Satu lagi variasi ialah mengikat benang pada sebatang paku. Paku itu kemudiannya ditusuk ke dalam bunga pisang. Cara ini katanya adalah untuk menyakiti hantu itu supaya dia akan muncul untuk dibebaskan, jelas Somchai lagi.

            "Ia hanya cerita, cerita rakyat, bukan? Adakah ia benar?" Tom sengaja mempersoalkan kesahihan cerita itu. Sebagai seorang yang lahir dan dibesarkan dalam suasana budaya Barat, Tom tidak percaya pada hantu. Tetapi dia masih berminat untuk mendengarnya.

            "Entahlah. Ada orang kata betul. Tapi saya belum cuba, dan saya tak kenal sesiapa yang berani mencuba," jawab Somchai selamba.

            "Malam ini bulan purnama, Tom tiba-tiba berkata. “Mari kita mencuba ritual itu.”

            Somchai terpegun sebentar mendengar cadangan Tom. Somchai segera menasihatkan Tom supaya tidak mempermainkan perkara berbahaya itu.

            "Jangan main-main dengan benda macam tu. Kamu tidak faham akibatnya nanti."

            "Kamu takut? “ Tom menyindir Somchai.

            Somchai merenung tajam pada Tom. Dalam kotak fikirannya, dia menyesal memberitahu Tom tentang ritual untuk menyeru hantu pokok pisang. Dia berasa bertanggungjawab ke atas keselamatan Tom ketika Tom berada bersamanya di Malaysia.

Tom pula terus memujuk Somchai. Somchai berasa teragak-agak.

            "Kamu mahu menguji teori itu?" Somchai akhirnya bertanya kepada Tom. Tom mengangguk kepalanya tanda mahu. "Tetapi jangan salahkan saya jika sesuatu yang tidak dijangka berlaku."

            "Jangan risau, nak seronok seronok sahaja," Tom berkata untuk menyakinkan Somchai.

            "Tetapi kita perlu merahsiakan perkara ini. Jika sampai ibu bapa saya mengetahuinya. Nanti mati saya, Somchai menyarankan.

Walaupun Somchai berasa teragak-agak dan dalam keraguan, jauh dalam hati kecilnya, dia ingin juga mengetahui kebenaran cerita hantu pokok pisang ini. Somchai sebenarnya adalah seorang penakut apabila berdepan dengan hantu-hantu ini. Dia tidak pernah terlihat hantu, tetapi selalu mendengar cerita-cerita penemuan hantu dari rakan-rakannya. Suasana kampung memang banyaklah terbit cerita-cerita penemuan hantu.

            Selepas mereka berdua mencapai kata sepakat, Somchai dan Tom pun mencari dan mengumpul alatan yang diperlukan untuk melakukan ritual tersebut. Pada malam bulan purnama itu, selepas memastikan ibu bapa Somchai telah masuk ke dalam kamar tidur,

Somchai dan Tom menyelinap keluar dari rumah, menuju ke rumpunan pokok pisang itu.

Apabila sampai ke rumpunan itu, mereka memilih pokok pisang yang mempunyai bunga pisang. Somchai mengikat penghujung seutas benang putih pada paku yang panjang. Dia kemudian memberikan paku itu kepada Tom dan meminta Tom menusuk paku itu ke dalam bunga pisang. Dengan penuh berhati-hati, mereka menarik benang itu ke bilik tidur Tom, yang secara kebetulan, menghadapi rumpunan pokok pisang itu.

            "Sebelum tidur, ikatkan hujung benang ini ke ibu jari kaki kamu," Somchai memberitahu Tom. Tom mengangguk tanda faham akan arahan Somchai.

            Apabila tibanya masa untuk tidur, Tom mengikat hujung tali ke ibu jari kakinya. Dia kemudian berbaring di atas katil, memikirkan sama ada hantu pokok pisang itu akan muncul atau tidak. Tom ingin mengetahui kebenaran di sebalik kewujudan hantu pokok pisang, benar atau rekaan khurafat.

          Dalam kesunyian dan kesenduan malam, bunyi cengkerik dan lain-lain haiwan nokturnal bergabung menjadi simfoni malam yang indah dan mendodoikan. Bayu malam bertiup perlahan, membawa kedinginan yang nyaman. Lama kelamaan, kelopak mata Tom berasa berat dan dia pun tenggelam ke dalam alam tidur yang lena.

            Keenakan lena Tom terganggu apabila dia terasa sentakan pada benang yang menghubungkan ibu jari kakinya dengan bunga pokok pisang. Sentakan itu pada mulanya perlahan dan berlaku selang beberapa saat. Kemudian sentakan itu berulang dengan tenaga yang lebih kuat. Tom membuka matanya dan memerhatikan keadaan sekeliling, yang masih suram. Dia bangun dalam keadaan mamai dan mengintai ke luar tingkap, tetapi tidak dapat mengesan sesiapa atau apa yang menyentak benang itu.. Kesuraman malam masih diterangi oleh pancaran emas bulan. Tidak melihat apa-apa yang luar biasa, Tom berbaring semula di atas katil sambil memandang sekali lagi ke arah rumpunan pokok pisang. Angin malam bertiup sedikit kencang dan daun-daun pisang bergoyang-goyang seperti melambai-lambai kepadanya. Tom mengabaikan semua itu dan cuba tidur semula tetapi dia berusaha, , dia tidak dapat tidur. Setiap kali dia menutup kelopok matanya, dia terasa seperti ada sesuatu kehadiran dalam bilik tidurnya.         

Previous: 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.