Hati
Maya hanya terbuka untuk menghantar manuskrip Semangat Perawan ke meja editor
selepas dua minggu berlalu. Tiada apa yang diubahnya. Apatah lagi menokok
tambah kandungan manuskrip itu selepas menyemaknya semalam. Isi manuskrip itu
masih seperti dulu. Cuma bezanya, Maya tidak berasa berat hati dan serba tak
kena lagi untuk menghantarkannya ke meja editor.
Pelik, kisah dulu berulang semula. Di mana sewaktu tiba
di depan pejabat.. Maya sekali lagi berhadapan dengan notis pemberitahuan
bahawa Cik Suhaila sedang bercuti selama seminggu. “Tak mengapalah, yang
penting manuskrip ini dah siap sepenuhnya,” bisiknya cuba memujuk diri.
Langkahnya ditandu menghala tangga.
“Heh! Mata tu letak kat mana? Kat lutut ke?!” herdik
seseorang lantaran kesebalan apabila Maya terlanggar bahunya. Maya sekadar
mengintai wajahnya yang tengah kering-kontang kemudian tergesa-gesa turun.
“Pelik,” cemuh gadis itu lagi kerana tidak berpuas hati. Pandangannya masih mengelar
batang tubuh Maya. Sinar matanya seakan marah. Maya tidak mengacuhkannya
melainkan terus saja melangkah menuruni anak-anak tangga. Gadis itu hanya
meneruskan haluan selepas Maya lesap di hujung tangga.
Sebagaimana selalu, Maya akan singgah sekejap di tembok
marmar. Mendaratkan punggung di situ sambil menjamu mata. Berselang beberapa
minit, Maya bangkit untuk melanjutkan hala tujunya. Tiba-tiba tunaknya membidik
sebuah Subaru yang dilengkapi airbrushing
ala-ala hunter. Bahkan Subaru tersebut telah melalui modifikasi sebagaimana
Subaru milik Zak seperti yang dikatakan oleh Kazumi. Kenderaan itu pula hanya
terletak di depan matanya. Namun Maya endah tak endah. Baginya kewujudan Subaru
tersebut hanya satu kebetulan dan tidak berkaitan dengan Zak.
“Semua ni hanya satu kebetulan,” bisiknya cuba meyakinkan
diri. Tanpa bertangguh, Maya meningkah pejalan kaki yang lain sementara lampu
merah masih menyala. Dia susup-sasap di celahan kenderaan-kenderaan yang
tersadai sepi di situ. Entah apa jadahnya, tapak kasutnya tiba-tiba terkopak
sewaktu melintasi Subaru tersebut. Maya menggelabah lantas membongkok untuk
mengutip tapak kasutnya yang telah terpokah.
“Alamak.” Dia panik apabila tapak kasut tersebut melekap
ketat atas permukaan jalan. Puas ditariknya namun tapak kasut itu masih melekat
di situ. “kurang asam,” seranahnya lantaran geram sangat. Saat yang sama, lampu
merah pun bertukar hijau. Kenderaan mula bergerak perlahan kecuali Subaru
tersebut. Maya telah menghalang laluannya dan dia pula tidak mempunyai pilihan
lain untuk melepasi gadis itu. Sementara Maya pula masih terkial-kial dan
bertambah cemas apabila melihat semua kenderaan kini meluncur deras kiri
kanannya.
Terpaksalah pemandu Subaru itu memasang lampu kecemasan
selepas terintai gelagat Maya. Dia kemudiannya bergegas turun untuk melihat
sendiri apa sebenarnya masalah gadis itu. “Awak ada masalah ke?” Maya tersentak
lantas menoleh.
“Adakah ini satu kebetulan jua?” bisiknya pada diri dan
kini tersipu-sipu. Pemuda itu tersenyum seraya mendekati Maya untuk melihat
sendiri masalah gadis itu. Maya cepat-cepat menepi untuk memberikannya ruang.
“Oh! Rupanya ini masalah awak.” Senyumnya sekali lagi
menguntum. “Rasanya ada gam kasut tertumpah kat sini sebab tu tapak kasut awak
dah jadi macam ni,” katanya setelah terhidu bau gam kasut. Sekilas dikerlingnya
kasut yang masih tersarung di kaki Maya. Dia lebih dari pasti bahawa kasut itu
sudah kehilangan tapaknya. Maya tidak berkata apa-apa melainkan
terkeseng-keseng malu. Dalam dada ada debar tingkah-meningkah. Indah sungguh
rasanya tika bergendang dalam sanubari. Almaklum, dia kini sedang berdepan
dengan seorang lelaki kacak.
“Tak mengapalah. Kita masuk dulu dalam kereta dan bincang
macam mana. Tapak kasut ni dah melekat sangat. Tambahan pula kita berdua telah
menyebabkan jalan raya ni mengalami kesesakan lalu lintas.” Pemuda itu
mencadangkan dengan kening kiri terjungkit seakan menuntut persetujuan Maya.
Maya mengangguk pantas.
Tiada sebenih pun curiga bercambah dalam batas hati. Dia
berkhaifiat seperti ini kerana berasakan ada kemesraan di antara mereka berdua.
Dia seolah-olah telah lama mengenali pemuda itu. Pemuda itu tersenyum lalu
memintanya masuk ke dalam kereta di bahagian depan. Maya tidak membantah.
“Kasut awak saiz apa ya?” tanyanya setelah mereka berdua berada dalam perut
kereta.
“Hmm.” Maya membongkok lantas mengambil kasutnya lalu
mengintai. “Nombornya dah hilang,” beritahunya pula dan jawapan tersebut
mencicirkan tawa pemuda itu.
“Tak mengapalah. Kita masuk dalam kedai kasut sama-sama
okey,” putusnya sambil menyasarkan haluan kereta. Maya angguk-angguk lantas
merapikan manuskripnya yang masih berada dalam dakapan. Pemuda itu tersenyum
lagi. Gelagat Maya melucukannya tetapi dia suka menikmati semua itu. “Dokumen
ke yang ada dalam rangkulan awak tu?” risiknya dan anggukan Maya menjelaskan
segalanya. Walhal tidaklah diketahuinya gadis itu telah berdusta padanya.
Sejurus, mereka berdua pun tiba di kawasan Gaya Street di mana sebuah kedai
kasut masih terbuka.
Pemuda itu segera mengajak Maya turun. Dia sedikit pun
tidak terkejut pabila melihat Maya berkaki ayam sewaktu membuntutinya masuk ke
dalam kedai. “Kesian,” bisiknya lalu menanti Maya. Seorang gadis menapak arah
mereka dengan pandangan semacam. Dia hairan apabila gadis seselekeh Maya
melangkah masuk ke dalam kedai. Pemuda itu tidak mengacuhkan pandangan gadis
tersebut. “Pilihlah yang mana awak suka,” suruhnya masih berbisik. Maya
mengangguk dan sambil merapikan cermin mata berbingkai tebal miliknya, dia
beredar dan segera melihat-lihat.
Sementara pemuda itu pula mendaratkan punggung atas
sebuah bangku kecil lalu menelefon seseorang. Sesekali tunaknya yang tersorok
di sebalik cermin mata hitam terhumban hala Maya. Dilihatnya pekerja kedai
tersebut sibuk menyarankan kasut bertumit tinggi untuk Maya. Maya tampak
bingung lalu memandang arahnya. Terpaksalah pemuda itu masuk campur. Ternyata
kasut yang dipilihnya mendapat tempat di hati Maya. “Tak payahlah bayar. Anggap
saja kasut tadi adalah pemberian ikhlas dari aku,” katanya pabila Maya mengeluarkan
sejumlah wang sebagai bayaran terhadap kasut yang dibelinya itu.
Waktu ini, mereka berdua sedang menuju ke kereta.
Sementara pekerja kedai kasut itu pula masih memandang Maya dengan muka hairan.
Maya pula tertoleh-toleh arah gadis tersebut dengan benak dibanjiri persoalan.
“Maya nak balik mana?” Sekali lagi Maya terkejut lantas memandang pemuda itu.
Dia hairan bagaimana pemuda itu tahu namanya. Pemuda itu baru menyedari sesuatu
lantas mengetuk kepala sambil menuturkan perkataan maaf. “Sebenarnya aku
ternampak nama tu kat dokumen awak tu.”
Maya angguk-angguk. “Tak mengapalah,” kata Maya.
Pemuda itu tersenyum kecil. “Oh ya! Aku Rezza Haqiem
Aqasyah. Panggil Syah je.”
Maya angguk-angguk. “Panjangnya nama.”
“Apa boleh buat jika nama itulah yang disediakan oleh
ayahanda dan bonda untukku. Berbalik kepada pertanyaan tadi, Maya nak balik kat
mana? Biar aku hantar Maya.”
“Tak mengapalah. Buat susah-susah je.”
“Tak adalah susahnya. Aku masih ada sejam lagi sebelum
menghadiri perhimpunan kelab.”
“Kelab? Kelab kereta Subaru ke?” Maya terus saja meneka.
Hatinya berdebar-debar. Waktu inilah dia baru teringatkan kasadnya hendak
menjelangi kedai siber.
Syah mengangguk. “Wah, minat kereta Subaru ke?” Ada
senyuman terhimpun di hujung bibirnya. Lirikannya juga tampak mesra. Dalam
diam, dia seperti tidak percaya gadis sehodoh Maya punya minat terhadap dunia
modifikasi.
“Minatlah sikit-sikit. Mesti awak kenal Mohd. Zakrul
Hakimi kan?” Sengaja Maya bertanya. Serasanya inilah peluang untuknya
mengetahui sedikit latar belakang Zakrul. Syah kelihatan terkejut apabila
disuakan pertanyaan tersebut. Dia kemudiannya mengangguk sambil berkata ya.
“Ada tak awak menyimpan gambarnya?” Maya memberanikan diri bertanya. Syah
mengangguk lagi. “Boleh aku melihatnya?” pinta Maya kurang sabar.
“Boleh tapi gambar-gambar tu ada kat rumah. Kalau Maya
tak keberatan, singgahlah sekejap. Hmm... Maya minat kat Zak ke?” Syah
tersengih. Dia sungguh tidak menyangka, peminat Zak dari yang paling cantik
kepada yang paling hodoh. Apapun, dia berasakan sesuatu yang amat istimewa pada
diri Maya. Walaupun tak cantik, namun sinar mata yang amat bening itu semacam
mengundang rasa di hati.
“Ya. Aku memang minat sangat kat dia.” Terpaksalah Maya
berdusta untuk merancakkan lagi suasana yang baru bermula ini.
Syah tergelak kecil. “Beruntung Zak.” Hanya itu katanya
sebelum memecutkan kereta. Namun seketika kemudian, dia kembali memperlahankan
kereta selepas terintai gelagat Maya.
“Awak tahu kat mana Zak berada sekarang?” Maya kembali
berdebar-debar.
“Tahu. Dia berada dalam rumahnya sendiri. Tapi tempat tu
susah nak masuk. Lebih-lebih lagi selepas kejadian ngeri yang telah menimpa
Zak.”
“Awak berusahalah. Aku teringin sangat nak melawat Zak.”
Keluhan Syah bertabur. “Nanti aku bincangkan dengan
Imelda.” Maya terkejut apabila mendengar nama itu disebut. “Maya kenal Imelda
ke?” Syah menjeling lalu tersenyum. Lelaki itu murah sungguh dengan senyuman.
Maya menggelengkan kepala. “Imelda tu sebenarnya tunang Zak. Tapi Maya
janganlah risau, Zak bukannya minat sangat kat Imelda. Pelik. Lelaki sekacak
Zak tidak berminat sangat dengan perempuan berdahi licin seperti Imelda. Imelda
yang terhegeh-hegeh sebenarnya,” umpatnya semacam geram.
“Syah sukakan Imelda ke?” duga Maya dengan suara hampir
tidak kedengaran.
Syah cepat-cepat menggelengkan kepala. “Aku lebih
sayangkan keretaku. Imelda tu ada hubungan sulit dengan adik lelaki Tan Sri.
Tapi adik lelaki Tan Sri tak dapat mengahwininya kerana enggan melukakan hati
isterinya.”
“Zak tahu ke semua tu?” Dalam diam Maya mengeji perbuatan
Imelda dan pak cik kepada Zakrul.
“Manalah Zak tahu. Kesian Zak. Dia hanya mendapat sisa.”
Keluhan Syah bertebaran.
“Dah berapa lama Zak koma?”
“Sedari kemalangan tu berlaku sehingga sekarang. Zak pun
semakin tidak bermaya. Denyutan jantungnya juga agak lemah dan dia sering
mendapat bantuan pernafasan.”
Maya agak tersentak mendengarnya. Dalam diam, dia berasa
hiba dan sebak pula. “Boleh tak Syah bantu aku untuk berjumpa dengannya dalam
waktu terdekat ini?” Syah tidak segera menjawab. “Tolonglah Syah,” rayunya
bersungguh-sungguh.
“Susah Maya.”
“Kau buat-buatlah cerita...”
“Cerita apa pula?” Syah menghela nafas. Stering kereta
dipusingkannya setelah tiba di satu persimpangan.
“Cerita apa-apa je yang penting aku dapat berjumpa dengan
Zak selagi nafasnya masih ada. Tambahan pula aku cuma ada tiga bulan ni lagi
sebelum menghembuskan nafas terakhir.” Syah terkejut lantas memandangnya dengan
air muka disimbahi pertanyaan. “Aku disahkan menghidap kanser payudara yang
sudah semakin kronik.” Maya berpura-pura sedih. “Aku amat berharap agar salah
sebuah dari impianku terlaksana sebelum tempoh tiga bulan ni berakhir.”
“Huh, kesian awak. Tak apalah, nanti aku usahakan.”
Demikian janji yang dipatri oleh Syah. Tidak pula dijelaskannya bahawa Zak kini
berada di tanah Semenanjung. Sejurus, mereka berdua pun tiba di sebuah vila
yang terletak berhampiran Jalan Istana di bukit Bandaran.