Zak
ketawa perlahan. “Engkau ni lucu betullah Maya. Tau tak, masa Maya telefon..
aku ada kat depan Maya je. Aku tengok muka Maya macam malas je nak bersembang
dengan aku,” katanya perlahan.
“Betul. Aku memang malas nak berbual dengan orang yang
macam mayat hidup je. Tak ada respon.”
“Ada. Aku hembus nafas kuat-kuat sebagai tindak balas
terhadap kata-kata Maya. Umi gembira. Ketika ini mereka berdua berada kat
sebelah aku je. Oh ya, bagitaulah fasal Zurhan. Aku nak dengar.” Dikerlingnya
telefon bimbitnya yang tersadai atas meja komputer. Maya yang sedang menaip
berhenti sekejap. Dia menghela nafas seraya menuturkan semua kejadian pelik
yang berlaku dalam bilik tersebut sebelum menyatakan firasatnya mengenai
Zurhan. “Maksud Maya, Zurhan dah lama
mati ke iaitu sebelum kejadian penculikan termasuk nahas ngeri itu?”
“Ya Zak. Kan Zurhan cakap yang dia telah menyerang lelaki
itu. Namun kekuatan lelaki itu yang ternyata jauh lebih kuat darinya telah
membuatkannya tewas. Lelaki itu kemudiannya menghentam kedua batang kakinya
menggunakan sebatang kayu hingga patah. Demikian juga mayat yang aku nampak tu.
Kedua batang kakinya patah. Sementara kepalanya pula terkulai ke depan seperti
telah diputar hingga patah. Tak cukup tu badannya pula ditikam beberapa kali.
Mayat itu kemudiannya diheret dekat pintu sebelum dibungkus dengan kain cadar
kalis air.”
“Huh... zalim sungguh. Lepas tu?” Zak berdebar-debar.
“Lepas tu aku tak tahu. Gambaran tu berlaku setakat di
situ saja. Jadi aku rasa... yang menelefon awak tu cuma hantu Zurhan. Dia ingin
benar berjumpa dengan awak. Dia berniat baik dan sekadar mahu melepaskan awak
dari jebak Imelda. Tetapi sayangnya, kasadnya tak kesampaian setelah nadinya
dipepat sebelum waktunya.”
“Patutlah dia cakap yang dia jadi saksi terhadap nahas
tu.”
“Selain jadi saksi, dia juga punca nahas tu berlaku.
Sekarang dah jelas dah, Zurhan bukan salah seorang mangsa dalam kemalangan
ngeri tu. Zurhan juga bukan lelaki tinggi lampai yang awak nampak merangkak
keluar dari kereta pertama tu.”
“Kalau memang benar hanya rohnya berada di situ... kenapa
pula dia tak nampak muka semua mangsa? Lagi satu macam mana pula dia tak habis
menonton semua kejadian dari A sampai Z? Sebagai entiti, dia sepatutnya nampak
semua kejadian termasuk mangsa-mangsanya sekali,” pertikai Zak.
Maya ketawa perlahan. “Memanglah dia tak nampak sebab dia
telah mati untuk kali kedua. Ini adalah perkara biasa buat mereka yang tidak
menyedari kematian mereka. Mereka berasakan diri mereka seolah masih hidup
sebagaimana manusia biasa. Agaknya Zurhan telah dirempuh oleh kereta pertama
sebelum mati buat kali kedua.”
“Ya. Betul juga cakap awak tu. Jadi macam mana sekarang?”
“Maksud Zak?” Bingkai cermin matanya ditanggalkan. Dia
kemudiannya menggosok kedua kelopak matanya dengan birai baju. Ada keletihan
mengempar dalam danau matanya. Zak berasa kesian pula melihatnya begitu.
“Mayat Zurhan. Tentu mayat tu telah disorokkan oleh konco
Imelda. Barangkali mayat tu telah dicampakkan berhampiran kawasan nahas.”
Maya angguk-angguk. “Aku akan periksa nanti. Sekarang ni
aku tengah menantikan kiriman Kazumi.”
“Benda tu belum sampai-sampai lagi ke?”
“Belum,” sahut Maya sepatah. Dia berganjak ke birai
tingkap pabila tertangkap bunyi pasir bertaburan atas bumbung. “Gerimis,”
bisiknya. Pandangannya dilemparkan sesayupnya. Dia terkejut apabila ternampak
Amirul tercancang sebatang di tubir pagar.
“Orang gila,” kata Zak perlahan.
Maya terkejut. “Awak nampak dia macam orang gila ke?”
“Ha ah. Orang gila yang macam dah lama reput dalam liang lahat.
Dah lah, mungkin dia tu hantu seseorang.” Maya terasa lengannya dipaut. Dia
terpaksa mengikut arah Zak. “Kita ke bilik aku kejap. Ada benda aku nak
tunjukkan.” Maya tidak berkata apa-apa. Langkahnya ditandu hala luar dan dia
terkejut apabila melihat Jiah tercongol di hujung tangga dengan muka
terpanggung arahnya.
“Kenapa Maya macam tu?” Jiah hairan tatkala melihat
lengan Maya terhulur seperti seseorang sedang mengheretnya pergi. Maya serba
tak kena. “Awak okey ke Maya?” Keningnya bertaut satu. “Peliklah awak ni,”
keluhannya terhambur. Sambil menggeleng-gelengkan kepala, Jiah menyuruhnya
bersiap kemudian menghilang di tingkat bawah.
“Tengok. Jiah dah salah faham.” rungut Maya sambil
menarik lengannya. Zak ketawa perlahan lantas mengajaknya meneruskan haluan.
“Cuba Maya tengok gambar ni. Ada perbezaan tak?” Dua
keping gambar milik Imelda dihamparkan atas meja tulis. Maya memandang kedua
gambar tersebut silih berganti.
“Perbezaan apa pula? Gambar ni nampak sama je pun.”
“Cuba Maya tengok betul-betul...” suruh Zak lantaran
tidak berpuas hati. Maya menajamkan mata. “Alah patutlah rabun dekat. Rupanya
mata kedua Maya tertinggal kat meja komputer.” Zak mentertawakannya. “Awak
bawalah gambar-gambar ni kat bilik dan cari perbezaannya.”
“Kalau tak ada?”
“Mesti ada.” Waktu yang sama kedengaran telefon bimbit
milik Zak berdering. “Cepat pergi sambut. Tu panggilan dari umi,” gesa Zak.
Tanpa bertangguh Maya mengutip kedua keping gambar itu kemudian beredar keluar.
“Auntie nak
ucapkan terima kasih.” Puan Sri terus saja meluahkan hasratnya dengan suara
gembira.
“Mengapa pula auntie
nak ucapkan terima kasih?” Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.
Demikianlah kiranya gelagat Maya.
Puan Sri ketawa perlahan. “Selepas detik tu Zak dah mula
menunjukkan tindakan positif. Doktor pakar psikiatri yang merawatnya juga
berkata bahawa sekarang ini Zak hanya menanti masa untuk celik. Auntie dan uncle amat gembira dan mengucapkan berbanyak terima kasih atas
bantuan...” Kata-katanya terhenti sekejap. “Boleh auntie tau anak ni nama apa?” suanya dengan suara lembut dan lunak.
“Maya,” beritahu Maya sepatah.
“Maya? Cantik nama Maya. Terima kasihlah Maya atas
bantuan tersebut. Auntie dan suami
amat menghargainya.”
“Sama-sama auntie.”
Maya tersenyum lebar selepas perbualan mereka berdua ternoktah. Dia ingin
mendapatkan Zak semula namun kemunculan Jiah memangkas kasadnya. “Kejaplah. Aku
tengah bersiaplah ni,” katanya sambil menyorokkan kedua keping gambar tersebut.
Jiah mendengus perlahan lantas berpatah semula ke tingkat bawah. Manakala Maya
terus saja bersiap.
Puas
mereka berdua menanti. Namun Munira masih tidak muncul sebagaimana yang telah
gadis itu janjikan. Setengah jam kemudian, Jiah mula berkeluh-kesah lantaran
kejenuhan. Segelas minuman diodernya lagi untuk mengusir kebosanan yang mula
terasa membesit diri. Manakala Maya pula berusaha bersabar walau hatinya mula
berbahang.
“Telefon kita pun tak?” Jiah mengisar punggung dan
membiarkan tubuhnya menghadap arah lain. Waktu ini suasana dalam restoren
tersebut tidaklah sesibuk mana. Hanya kelihatan beberapa orang pelanggan sedang
khusyuk menikmati santapan. “Sekurang-kurangnya kita tak perlu berlagak seperti
orang bodoh kat sini,” rungutnya lagi sebagai kesinambungan ayat sebelum ni.
Maya masih tidak bereaksi. Entahkan enggan atau pun sengaja membatu dan
membiarkan Jiah kelemasan dalam lubuk kemarahan. “Engkau dengar ke tak ni? Diam
je dari tadi.” Ternyata sikapnya melahirkan rasa di hati Jiah.
“Bertenang sajalah. Nak buat macam mana. Kita tunggu jelah.”
“Nak tunggu sampai bila? Budak gempal tu tahu je berjanji
tetapi tak pandai menunaikannya.” Rengusannya bertabur. Walaupun dalam nada
yang cukup perlahan namun kilau matanya berjaya menarik perhatian salah seorang
pelanggan dalam restoren tersebut.
“Mungkin dia ada masalah,” kata Maya dalam nada
bersahaja. Dia tidak mahu memarakkan lagi kemarahan gadis itu dengan meladeni
kata-katanya. Panggilan telefon dari Azhan menggamit pandangan Jiah. “Kami
sedang tunggu dia. Kenapa?” Maya melarikan pandangan pabila Jiah memandangnya.
“Kamu berdua ada dekat mana sekarang?”
“Yang kau nak tahu lokasi kami kenapa? Cakap sajalah apa
yang kau nak cakapkan,” desaknya kejengkelan.
“Memang aku nak cakap tapi bukan dalam talian telefon ni.
Kalau boleh biarlah secara bersemuka. Tindakan ini lebih baik dari berbual
dalam corong telefon.” Azhan meningkah. Waktu ini dia sudah pun bertenggek atas
motornya.
Keluhan Maya kedengaran. “Penting sangat ke awak nak
jumpa kami berdua ni?”
“Lebih dari penting. Please
Maya. Aku tahu Maya masih marah dan bengang tapi tolonglah bagi muka kali ini.
Lagipun hal ni memang berkaitan dengan kehidupan mistik Maya.”
Maya ketawa sinis. “Ya ke? Sampai begitu sekali firasat
awak.” Dikerlingnya Jiah yang kini sedang memandang curiga. “Kami berada kat
restoren Selera di Indah Permai. Awak datanglah. Itu pun kalau masih sempat.
Kami pun dah nak pergi ni.”
“Alah! Tunggulah aku kejap.” Azhan cepat-cepat memutuskan
perbualan. Topi keledar yang turut bertenggek di depannya disarungkan ke
kepala. Dia kemudiannya menghidupkan enjin motor dan memecut. Ferdy dan seorang
kawannya yang berada tidak jauh dari situ hanya memerhatikan gelagatnya. Mereka
berdua menyulam kata selepas itu. Membualkan rancangan yang nampaknya menemui
kegagalan berikutan tindakan bodoh seorang kawan lagi.