Sekarang
KERETA yang dipandunya mula memasuki jalan kecil menuju ke arah timur. Dia perlu bertemu dengan insan itu. Apa yang berlaku di majlis pelancaran novel terbaharunya semalam di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) benar-benar membuatkan hidupnya tidak tentu arah. Sepanjang malam tidurnya tidak lena.
Sejak pulang dari WTC semalam, sehingga saat ini fikirannya tidak tenang. Persoalan yang ditimbulkan oleh seorang pembaca berkaitan dengan novel terbaharunya benar-benar di luar jangkaan. Sehingga dia terpaksa bertandang ke kampung pedalaman ini lagi demi meraih sebuah kepastian yang sebenar.
Mungkin silapnya juga kerana terlalu ambil mudah dengan setiap sumber cerita yang diperoleh sebelum ini. Dia menyangka sumber cerita itu adalah yang terbaik dan sahih, memandangkan dia mendapatkan bahan-bahan untuk novel terbaharunya itu daripada insan-insan yang terlalu rapat dengan watak utama. Namun tanpa disedari, ada kemungkinan lain yang dia terlepas pandang.
Dia juga tidak menyangka, selepas tiga bulan berlalu, dia perlu kembali ke kampung ini lagi. Kereta diberhentikan betul-betul di hadapan rumah batu separa papan itu. Pintu dan tingkap rumah kelihatan tertutup rapat kesemuanya. Enjin kereta dimatikan, lalu dia melangkah keluar. Buat sekian kalinya, dia mendail nombor telefon insan yang perlu ditemui ketika ini. Namun, talian tidak dapat dihubungi. Sejak petang semalam, dia cuba untuk menghubungi insan itu, namun gagal. Dia mula mencurigai insan itu.
Menyesal pula dia tidak meminta nombor telefon pembaca yang telah menimbulkan banyak persoalan tentang novel terbarunya semalam. Dia yakin pembaca novelnya itu ada kaitan dengan jalan cerita yang ada dalam novel terbaharunya. Sudahnya, dia yang bertemu jalan buntu bagi merungkai segala persoalan yang pembaca itu bangkitkan.
Keadaan rumah batu separa papan di hadapannya ketika ini memang sunyi. Jelas sekali tiada tanda-tanda ada orang di dalamnya. Sepertinya rumah itu sudah beberapa minggu ditinggalkan.
"Maaf ganggu. Ada sesiapa kat dalam?" tanya Fuadi dengan harapan ada yang keluar dari dalam rumah. Malangnya pertanyaannya itu tidak berbalas.
Langkah diatur ke belakang rumah. Pintu belakang juga tertutup rapat dan berkunci dari luar. Tingkap yang ada di sekeliling rumah juga tertutup rapat. Disebabkan rumah ini agak jauh dari rumah penduduk yang lain, maka dia tidak dapat bertanyakan tentang keberadaan tuan rumah pada jiran terdekat. Sudahnya, hanya keluhan hampa yang dia mampu helakan.
Keadaan sekeliling rumah hanya bising dengan bunyi unggas dari hutan di belakang, kiri dan kanan rumah.
Sekali lagi, dia mendail nombor telefon insan itu. Namun, masih tidak dapat dihubungi. Selepas beberapa kali memanggil dan tiada balasan, dia membuat keputusan untuk meninggalkan rumah itu. Keadaan rumah itu yang seolah-olah sudah tidak berpenghuni membuatkan rasa curiganya semakin menebal.
Dia melangkah masuk ke dalam kereta. Dalam masa tidak sampai seminit, kenderaan yang dipandunya mula menjauhi rumah batu separah papan itu menuju ke jalan utama. Ada satu lagi destinasi yang perlu dituju demi meraih sebuah kepastian yang masih tidak jelas.
Selepas kenderaan yang dipandu mula menyusuri jalan utama menuju ke arah barat, tiba-tiba salah satu cemin tingkap yang bersebelah dengan pintu utama rumah batu separa papan itu terbuka kecil. Sepertinya ada yang sedang mengintai dari dalam rumah. Beberapa saat kemudian, cermin tingkap itu kembali tertutup rapat, lalu keadaan menjadi seperti sediakala.
Sejak meninggalkan rumah Pak Pandak tadi, otaknya terus melayang jauh. Mujur fokusnya masih pada jalan raya. Jika tidak, mungkin kenderaan yang dipandunya ketika ini sudah terbabas di mana-mana. Ada seorang lagi insan yang boleh merungkai segala kemusykilan yang bermain di fikirannya ketika ini dan dia berharap insan itu mahu bertemu dengannya. Hanya insan itu satu-satunya yang dapat membantunya buat masa ini.
Pak Pandak sudah tidak dapat dihubungi lagi. Dia tidak pasti sama ada lelaki itu telah melarikan diri atau ada hal yang tidak diingini telah menimpa lelaki itu.
Disebabkan wanita yang bernama Rozi itu, hidupnya huru-hara sejak semalam. Dia sudah berpesan pada wanita itu supaya menunggunya sehingga sesi soal jawab itu tamat. Namun, wanita itu menghilangkan diri selepas tamatnya sesi itu. Sudahnya, dia terpaksa mencari kepastian sendiri daripada sumber yang dia ada.
Dan buat kali keduanya, Fuadi bertandang ke hospital bahagia ini selepas tiga bulan berlalu. Dia berharap tidak akan kecewa lagi seperti sebelum ini. Dan berharap pesakit bernama Rozi itu mahu bertemu dengannya. Hanya Rozi satu-satunya insan yang dapat memastikan kebenaran cerita yang telah disampaikan oleh Sufian dan Pak Pandak sebelum ini.
Saat nama Sufian melintas di fikiran, tubuhnya meremang. Siapa sangka yang lelaki itu sebenarnya telah meninggal dunia empat tahun lalu akibat kemalangan jalan raya. Dia tidak pasti, dengan siapa dia berbual sebelum ini di hospital bahagia itu. Baru sekarang persoalannya terjawab kenapa jururawat, staf hospital dan doktor yang ada di kafeteria hospital pada ketika itu memandang pelik ke arahnya. Rupa-rupanya, hanya dia seorang yang dapat melihat Sufian. Di mata orang lain mungkin dia kelihatan sedang berbual sendirian seperti orang tidak siuman.
Memikirkan hal itu membuatkan Fuadi semakin tidak tentu arah. Sukar untuk diterima akal! Tetapi itulah yang terjadi. Malam tadi, dia mendengar semula rakaman suara perbualan di antara dia dengan Sufian. Sungguh mengejutkan bila suara Sufian sudah hilang daripada rakaman itu. Yang tinggal hanya suaranya. Pada bahagian rakaman suara Sufian bertukar menjadi senyap. Dalam rakaman itu dia bercakap sendirian.
Manakala rakaman perbualan bersama Pak Pandak pula langsung tidak dapat dimainkan. Fail audio rakaman perbualan dengan Pak Pandak gagal dimainkan di mana-mana aplikasi. Puas sudah dia mencuba pelbagai cara untuk memastikan fail audio itu dapat dimainkan semula, namun tidak berjaya. Hal ini benar-benar buat dia merasakan apa yang diperkatakan oleh wanita bernama Rozi itu semalam, adalah benar. Apa yang diceritakan oleh sesuatu yang menjelma menjadi Sufian dan apa yang diceritakan oleh Pak Pandak berkemungkinan besar bukan cerita yang sebenar.
Sebaik sahaja kereta yang dipandunya masuk ke kawasan parkir, dia terus mencari petak parkir yang paling hampir dengan pintu lobi hospital. Tanpa berlengah lagi, dia terus melangkah keluar dari kereta dan menuju ke lobi hospital.
Dia melihat masih jururawat yang sama menjaga kaunter pertanyaan itu seperti tiga bulan yang lalu.
"Encik Fuadi, kan?" tanya jururawat di kaunter pertanyaan itu yakin sekali.
Fuadi mengangguk sekali dengan segaris senyuman.
"Nurse masih ingat saya?"
"Mestilah ingat. Bukan ramai sangat pun pelawat di hospital ni."
Lega Fuadi mendengar jawapan daripada jururawat itu. Tidak perlulah dia memperkenalkan dirinya lagi.
"Sebenarnya, saya datang ni nak jumpa pesakit yang saya nak jumpa dulu tu." Fuadi terus memaklumkan akan tujuan utamanya. Dia malas berbasa-basi lagi. Persoalannya perlu terjawab segera supaya dia boleh membetulkan apa yang salah.
Senyuman jururawat itu terus menjadi kaku. Seketika kemudian, wajah serba salah pula mula terukir. Keadaan itu membuatkan Fuadi mula berasa ada yang tidak kena atau berlaku sesuatu kepada pesakit itu.
"Kenapa nurse, ada masalah ke?"
"Err ... sebenarnya, pesakit tu dah tak ada kat hospital ni."
Fuadi terkejut. Berkerut dahinya. "Dah tak ada? Mak ... maksud nurse?"
Andaian-andaian baru yang mula bermain dalam fikiran Fuadi ketika ini mula membuatkan dia semakin resah. Ke mana Rozi telah pergi? Hilang atau ....
"Dia melarikan diri. Tak silap saya selepas beberapa hari Encik Fuadi datang nak jumpa dia dulu," jawab jururawat itu, teragak-agak.
"Melarikan diri?" Fuadi terkejut lagi.
Mungkinkah Rozi yang muncul di majlis perasmian novel baharunya semalam adalah Rozi yang dia ingin temui tiga bulan yang lalu? Jururawat mengangguk mengiakan.
"Itu yang pihak polis maklumkan. Pihak polis klasifikasikan yang pesakit melarikan diri. Sebulan pencarian, polis gagal menemukan pesakit. Tiada siapa yang tahu pesakit tu di mana sehingga sekarang. Sama ada hidup atau mati pun tiada siapa yang tahu sebab hasil pencarian oleh pihak yang terlibat, tiada mayat ditemui pada radius yang logik dari hospital ni," jelas jururawat panjang lebar.
Hancur hati Fuadi selepas mendengar penjelasan jururawat itu. Satu-satunya insan yang tinggal bagi merungkai kemusykilannya juga sudah tiada. Sudahnya, dia buntu. Dia masih mempunyai harapan andai wanita yang bernama Rozi itu bukan wanita yang sama seperti dalam cerita Sufian dan Pak Pandak. Hanya wanita itu yang tahu cerita yang sebenar.
Persoalannya sekarang, di mana dia mahu mencari wanita itu?
Dengan perasaan hampa dan kecewa, Fuadi terpaksa akur dan meminta diri. Dia meninggalkan kaunter pertanyaan itu selepas mengucapkan terima kasih kepada jururawat yang bertugas. Kini, dia benar-benar kebuntuan bagi merungkai kemusykilan dan persoalan berkaitan dengan novel baharunya. Andai kebenaran yang sebenarnya terbongkar, dia pasti akan membetulkan kebenaran itu melalui karya terbaharunya di masa akan datang.
Namun, harapan itu mungkin tidak dapat direalisasikan kerana sumber-sumber cerita yang sebenarnya sudah tiada. Semuanya hilang seperti sudah dirancang oleh sesuatu atau mungkin seseorang. Dan dia tidak tahu siapa atau apa yang telah merancang semua itu.
Saat melepasi pintu utama lobi hospital, Fuadi berselisih dengan seorang lelaki separuh abad berkopiah dan memakai jubah putih. Ada kain serban di bahunya. Saat mata mereka bertembung, mereka sekadar bertukar senyuman walaupun tidak saling mengenali. Sekadar menyapa hormat sesama manusia melalui isyarat bukan lisan.
"Ustaz Rosman, kan? Dah lama ustaz sampai?"
Kedengaran suara dari arah lobi membuatkan Fuadi yang sudah berada di luar lobi hospital mendadak memberhentikan langkah. Dia tersentak. Suara yang jelas milik jururawat yang bertugas di kaunter pertanyaan tadi telah menyebut satu nama yang cukup dikenali. Tidak semena-mena terukir senyuman gembira di bibirnya.