Home Novel Seram/Misteri Roh rumah sewa
Bab 6 ; Tok Batin Sempah

Bab 6

Rafael sampai di rumahnya apabila azan Maghrib berkumandang. Rafael membuka pintu rumah yang berkeriuk. Rafael memang tidak senang hati mendengar bunyi pintu itu dan telah meminta Mail Keding membetulkannya. Mail Keding masih lagi tidak datang ke rumahnya… katanya kini dia dan kawan-kawannya sibuk mengambil kontrak membersihkan ladang Risda. Rafael bangga dengan Mail dan kawan-kawannya yang mengambil peluang ekonomi di kampung mereka sendiri. Tidak berhijrah ke Bandar-bandar besar. Rafael lekas bersiap kerana ingin makan di gerai Mi Pak Abu. Setiap malam kalau dia malas memasak, Rafael hanya akan makan di gerai Pak Abu. Pak Abu memang handal memasak semua jenis mi. Memandangkan gerai itu satu-satunya kedai makan di kampung itu, maka ianya menjadi tumpuan samada untuk makan atau sekadar bermain dam dari pagi sampai ke malam. Rafael kurang senang dengan perlakuan dengan beberapa penduduk kampung terutama yang sudah pencen yang hanya melepak di gerai sahaja.

Selepas bersolat Isyak, Rafael keluar rumah dan memandu keretanya ke gerai Pak Abu. Sampai di gerai, keadaan kelihatan sudah ramai orang terutama mereka yang balik dari masjid. Rafael masuk dan member salam. Isteri Pak Abu  terkedek-kedek mendapatkan Rafael.

“Nak makan apa cikgu?” tanyanya ramah.

“Mi goreng seafood dengan teh ais ye makcik” makcik Fatimah mencatatkan pesanan Rafael

“Itu sahaja?” isteri Pak Abu inginkan kepastian. 

“Ya” Jawab Rafael. Makcik Fatimah berlalu pergi dan masuk ke dapur semula. Pak Abu mungkin sibuk menyiapkan pesanan pelanggan. Jika tidak sibuk, Pak Abu akan duduk dengan Rafael dan bercerita mengenai sejarah kampung dan pengalamannya semasa menjadi askar. Kebetulan, semasa sedang menunggu Mail Keding dan seorang kawannya Osman memasuki gerai Pak Abu.

“Mail, marilah duduk sini” ajak Rafael. Mail dan kawannya menuju kea rah Mail. Selepas diambil pesanan mereka berdua.

“Wah! Saya dengar kamu berdua dapat kontrak membersihkan kebun Risda. Betul ker?” Rafael memulakan perbualan.

“Begitulah cikgu. Dah ada rezeki… boleh dikatakan tiap-tiap tahun kami dapat kontrak itu. Tapi kerjanya… masya Allah. Letih” jawab Mail Keding. Dia mengambil rokok di dalam pokok bajunya. Itulah satu perkara yang kurang digemari oleh Rafael tentang Mail. Rokok tidak lengkang dari bibir. Tindakan Mail diikuti oleh Osman. Asap berkepul-kepul keluar dari mulut mereka berdua. Rafael sudah biasa dengan keadaan itu kerana ayahnya adalah perokok tegar yang merokok tidak kira masa. Malah jika keinginan ayahnya merokok datang… di dalam mesyuaratpun dia akan merokok. Setiausahanya terpaksa membuka tingkap bilik mesyuarat bagi memudahkan bau rokok di dalam bilik mesyuarat dikurangkan.

“Saya hendak tanya. Kamu kenal tak perempuan dan anaknya yang tinggal dekat dengan kubur. Rumahnya atap rumbia” Mail dan Osman berpandangan sesama mereka.

“Rumah yang ada pokok ketapang?” tanya Osman.

“Ha. Rumah tulah. Punyalah sombong anak beranak. Tadi saya hantar anaknya balik ke rumah sebab saya lihat anaknya menangis di bawah pohon bamboo kat sekolah. Saya tanya anaknya dia buat senyap sahaja. Siap saya kenakan buka pintu kereta pula tu. Macam saya ini pemandu dia pula. Lepas tu bukannya hendak cakap terimakasih. Yang peliknya emaknya pun sama. Senyap memanjang” Mail keding dan Osman senyap seketika.

“Kenapa dengan kamu ni?” tanya Rafael yang hairan dengan sikap mendiamkan diri Mail dan juga Osman.

“Saya rasa cikgu dah terkenalah” jawab Osman Keding.

“Terkena?”

“Rumah tu adalah rumah tinggal. Mana ada orang lagi tinggal di situ sejak 10 tahun yang lalu.”

“Apa!” Rafael terkejut.

“Ada sejarah hitam rumah itu cikgu” isteri Pak Abu datang dengan membawa pesanan Rafael. Masih lagi berasap dan panas mi Rafael.

“Jemput makan. Eh. Sambunglah cerita tadi” Rafael mula menyuap mi ke dalam mulutnya.

“Sila cikgu. Sebenarnya anak beranak itu dibunuh pada oleh ayah mereka sendiri. Ayah mereka penagih dadah. Malam itu entah macamana ayah mereka terlebih dadah atau sedang ketagih membunuh 2 beranak tersebut. Hanya 5 hari kemudian mayat mereka berdua ditemui. Itupun oleh arwah Pak Mat yang kebetulan lalu apabila dia mahu ke kebun mengutip petai di hutan belakang. Ayah mereka lari entah kemana.”

“Jadi yang saya jumpa tu?”

“Mungkin 2 orang anak beranak tu” jawab Osman selamba.

“Punggah” Rafael menepuk dahinya.

“Tapi cikgu nasib baik. Dulu arwah Pak Mat meninggal sakit jantung diganggu oleh 2 beranak tu semasa Pak Mat hendak masuk ke dalam hutan seminggu selepas Pak mat jumpa mayatnya.”

“Masya Allah. Kampung ini banyak misterilah. Boleh buat novel.”

“Memang misteripun cikgu… kampung lama. Lagipun kampung pendekar dan pejuang menentang British. Banyak ilmu yang tertanam. Banyak juga orang dulu bela penjaga untuk memastikan kampung ni tidak nampak pada pandangan askar British” jelas Mail Keding pula.

“Perghhh. Cara kau cakap Mail macam ahli sejarah” sampuk Osman.

“Hahahaha. Aku tahulah… kitakan membesar di kampung ni. Sama-sama tersampuk dengan hantu raya” mereka berdua tergelak. Tetapi Rafael hanya terdiam. Mi yang disuap terasa kelat. Mail dan Osman berhenti ketawa apabila melihat Rafael serius.

“Maafkan kami cikgu. Kami tidak ada niat buat cikgu rungsing. Tapi itulah perkara sebenar yang terjadi” Mail tahu bahawa dia sudah terlanjur.

“Takpe. Sekurang-kurangnya saya tahu apa yang ada berlaku. Terima kasih” Rafael meneguk minumannya. Mi Mail Keding dan juga Osman dibawa oleh isteri Pak Abu. Mereka berdua terus berbual-bual.

((((((((((((((((((((((((((((

Di rumah entah mengapa Rafael berasa amat mengantuk sekali apabila dia menonton Televisyen. Akhirnya perlahan-lahan mata Rafael tertutup dan hanyut dalam dunia mimpi.

(((((((((((((((((((((((((((((

“Tuan, bangun tuan. Bangun” satu suara garau terngiang di telinganya. Rafael perlahan-lahan membuka kelopak matanya. Apabila dia sedar penuh, pandangan menangkap atap rumbia. Di sisinya khadamnya si panglima yang tidak pernah diiktirafkannya. Rafael bangun… bangun asap kemenyan menusuk hidung.

“Kita dimana? Satu lagi saya lupa… nama kamu apa?” Si panglima hanya tersenyum.

“Namaku Endai. Panglima Endai. Kita di rumah Tok Batin Sempah… cerita bagaimana asal usul saya masih lagi tidak habis diceritakan” tiba-tiba seorang tua yang tangannya membawa bekas kemayan masuk ke dalam ruang tamu dimana mereka berdua duduk. Tok Batin itu duduk berhadapan dengan mereka di mana terletak barang-barangnya. Seorang lelaki muda yang kekar datang dari arah dapur dengan membawa patung dan duduk bersebelahan lelaki tua itu yang terkumat-kamit membaca sesuatu. Lelaki muda itu memberikan patung kepada lelaki tua. Lelaki tua itu mengambil dan membacanya mantera. Setelah habis dibacakan mantera, lelaki tua itu menoleh kea rah lelaki muda tersebut ;

“Kamu Sekuntum. Tanam patung ini di hadapan rumah Joki. Nanti malam dia akan berasa panas… berasa mencucuk-cucuk. Dendam kamu akan terbalas” Patung itu diberikan kepada lelaki yang bernama sekuntum. Rafael memandang Endai. Endai tersenyum.

“Ya. Itulah Sekuntum tuan. Orang yang membunuh Birch. Diupah oleh Dato Maharaja. Handal dalam menghayun tombak” Rafael mengangguk. Tiba-tiba pintu rumah diketuk.

“Masuklah. Pintu tidak dikunci” pekik orang tua tersebut. Sekuntum bangkit dan membukakan pintu rumah. Kelihatan Dato Maharaja dan Panglima Badar naik ke rumah dan bersalaman dengan Sekuntum dan Tok Batin.

“Apakah hajat Dato datang ke teratak buruk hamba. Adakah hasil padi masih lagi merajuk? Atau ada yang keteguran?” tanya Tok Batin sambil mengambil rokok daun yang ada lantai.

“Hajat saya besar Tok Batin. Saya mahu Tok Batin buat upacara main hantu” sampuk Panglima Badar. Tok batin menghembuskan rokoknya.

“Sekuntum. Kamu buatkan air madu untuk tetamu kita” sekuntum yang duduk di muka pintu mengangguk dan bangun menuju ke dapur untuk membuat air.

“Siapakah gerangannya kita mahu kenakan?”

“Benggali putih,”

“Birch?”

“Ya.”

“Elok benarlah tu. Hamba memang berkira-kira benar hendak mengenakannya. Dahulu orang darat tidak dikenakan cukai. Purnama lepas orangnya datang mengatakan semua hasil hutan seperti rotan, gaharu malah madu kami perlu dibayar cukai. Dulu kami bebas mengambil apa sahaja dari hutan. Benggali putih memang melampau” Tok batin menyatakan ketidakpuasan hatinya.

“Sebab itu kami datang jumpa tok. Agar boleh tok tolong buatkan main hantu. Kami juga mahukan damak sebagai racun jika main hantu tak berkesan” ujur Dato Maharaja.

“Boleh. Tapi Dato kena sediakan barangnya.”

“Apa sahaja. Panglima, kamu catit apa barangnya” Panglima Badar mengangguk dan mengambil sesuatu di dalam tali pinggang besar yang mengikat sampingnya. Sehelai kertas dan daun pelepah untuk mencatat.

“Ayam kampung panggang seekor, yang hidup seekor. Telur kampung 7 biji. Patungnya. Bertih beras 7 keping. Jarum emas satu…” Panglima Badar menyalin bahan-bahan yang diperlukan oleh Tok Batin. Sekuntum masuk ke ruang tamu dengan membawa dulang. Bahu Rafael dipegang.

“Cukuplah tuan untuk malam ini. Saya tidak boleh membawa tuan ke dunia lain lama sangat. Kelak roh tuan sukar bersatu dengan jasad. Mari” pandangan Rafael berpinar. Rafael terbangun… televisyen masih terpasang. Lampu masih terpasang. Rafael hanya beristifar.

“Apakah maksud semua ini?”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.