Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 22

PAGI itu, Faizal bersarapan seperti biasa di rumahnya. Seorang diri tanpa sesiapa menemaninya. Sejak kematian isterinya, dia tidak berniat dan berminat untuk mencari pengganti baru buat masa sekarang. Dia mahu menumpukan kerjanya sebagai penyiasat persendirian dan menyiasat kes-kes kematian yang kerap berlaku sejak akhir kebelakangan ini. Satu-satunya petunjuk yang diperolehi adalah rantai kunci berlian yang sering ditemui bersama dengan mangsa. Namun dia tidak pasti samada ia satu petunjuk atau memang kebetulan rantai kunci tersebut berada di lokasi kejadian.

            Justeru dia mahu menyiasat dengan lebih mendalam mengenai kewujudan rantai kunci yang pernah popular suatu ketika dahulu. Hanya disebabkan seorang murid sekolah membelinya di sebuah kedai runcit, terus ia menjadi ikutan bagi para murid lain serta golongan orang muda dan dewasa. Pernah dahulu dia cuba singgah ke kedai runcit tersebut, malangnya ia sudah ditutup dan tuan empunya kedai dikatakan berpindah ke tempat lain. Jika ada kesempatan, dia mahu tahu dari mana rantai kunci itu diborong dan siapa yang menghasilkannya.

            Usai menghabiskan sarapan, dia menerima satu panggilan daripada Hasan. Faizal menduga pasti ada kes yang terbaru. Lantas panggilan tersebut dijawabnya dengan ucapan salam.

            “Ada kes baru ke?”

            “Ya tapi aku rasa lebih baik kau sendiri datang ke lokasi kejadian. Benda ni baru aje berlaku dalam beberapa minit yang lalu. Susah nak cakap melalui telefon. Datang tau! Nanti aku bagi alamat kat kau.” Itu sahaja kata-kata Hasan sebelum panggilan dimatikan. Faizal diam sambil tertanya. Satu pesanan ringkas diterimanya dan alamat tersebut menunjukkan lokasi kejadian berada di stesen keretapi.

            Faizal pantas mencapai kunci kereta dan terus bergerak ke lokasi yang diberi. Entah apa yang berlaku di sana. Pembunuhankah? Bunuh dirikah? Atau insiden yang tidak terduga? Mujur jalan tidak terlalu sesak, memudahkan lagi perjalanan Faizal ke lokasi kejadian. Setelah mengambil masa kurang dari 20 minit, akhirnya dia sampai dan diberi kebenaran untuk mendekati lokasi kejadian daripada pihak polis. Matanya sempat memandang ke arah Hasan yang asyik menutup hidung dan mulutnya. Begitu juga para petugas polis yang lain.

            “Faizal, kau cubalah tengok sendiri! Kali ni kesnya lebih teruk. Saksi mengatakan ianya kes bunuh diri beramai-ramai,” kata Hasan sebaik menyedari kehadiran Faizal.

            Lalu Faizal menapak ke depan sebelum terperanjat melihat beberapa mayat separuh tubuh di hadapannya. Faizal segera berpaling ke arah lain kerana tidak sanggup untuk melihatnya lagi. Mayat-mayat tersebut ditutup semula dengan plastik hitam oleh pihak polis. Kejadian tersebut berlaku di landasan keretapi dan meneka bahagian bawah tubuh mangsa pasti sudah digilis dengan keretapi.

            “Ini dia rantai kunci tu. Benda ni dijumpai pada beg-beg mangsa.” Hasan menyerahkan bekas plastik yang mengandungi rantai kunci kepada Faizal. Benar sekali tekaannya. Apabila kematian berlaku, pasti rantai kunci itu akan ditemui.

            “Beberapa foto dah sempat dirakam. Aku dah hantar gambar tu melalui Whatsapp kau,” sambung Hasan lagi. Kemudian dia menutup hidungnya kembali. Faizal mengakui memang terhidu bau tidak menyenangkan dan bau tersebut datang dari lokasi kejadian.

            “Mana saksi?” Soalnya.

            “Itu dia. Dia sedang ditenangkan oleh pihak kami. Katanya dia merupakan kawan kepada mangsa,” jawab Hasan. Tanpa membuang masa, Faizal terus menghampiri saksi yang merupakan seorang gadis muda.

            “Kau kawan dia orang?” Sapanya. Gadis muda itu diam mengangguk. Air matanya masih tersisa lagi.

            “Kau orang semua buat apa kat sini sebelum kejadian?” Soal Faizal lagi. Perakam suara dalam telefon pintarnya dihidupkan. Dia mahu merakam perbualannya dengan saksi kejadian ngeri itu.

            “Tak tau.” Ringkas gadis itu menjawab tetapi menimbulkan rasa hairan kepada Faizal. Sebelum kejadian, tiba-tiba sahaja gadis itu diajak oleh kawan-kawannya ke stesen keretapi. Anehnya, mereka tidak membeli tiket keretapi jika hendak pergi ke mana-mana. Mereka hanya berkelakuan biasa sahaja tanpa sebarang kecurigaan. Tidak lama lagi, sebuah keretapi akan tiba di stesen berkenaan. Gadis itu menjangka pasti rakan-rakannya sedang menunggu seseorang.

            “Tapi apa yang mengejutkan saya, tiba-tiba saja dia orang melompat dari pagar dan berlari turun ke landasan. Petugas stesen tak sempat selamatkan dia orang sebab dah terlambat. Kawan-kawan saya turun ke situ tepat pada masa keretapi tu tiba di stesen,” terang gadis itu. Air matanya mengalir lagi.

            Faizal sekadar diam mengangguk. Kejadian bunuh dirikah? Akan tetapi mengapa mangsa dijelaskan hanya berkelakuan biasa sebelum mengambil keputusan untuk bunuh diri? “Betul kawan-kawan kau hanya berkelakuan biasa? Tak ada yang mengalami kemurungan atau sebagainya?”

            Gadis itu pantas mengangguk kepala. Faizal mengeluh kehampaan. Jika benar demikian, ia merupakan satu perkara baru yang pernah didengarinya. Tidak mengalami masalah kemurungan atau sebagainya terus bertindak mahu membunuh diri? Pelik, bukan?

            Faizal berterima kasih kepada gadis itu kerana sanggup berkongsi maklumat mengenai kejadian. Sewaktu hendak beredar, dia dikejutkan kehadiran seorang lelaki berjaket dan bertopi. Tegak berdiri di hadapan Faizal.

            “Dia orang dah terkena sumpahan.” Tidak semena-mena lelaki misteri itu berkata demikian. Gadis muda yang mendengarnya agak terkejut. Apa yang menyebabkan rakan-rakannya terkena sumpahan sehingga mati dalam keadaan mengerikan?

            “Siapa kau?” Tanya Faizal ingin tahu.

            “Hati-hati, orang muda. ‘Permainan’ dah pun bermula. Ramai lagi akan mati lepas ni. Rantai kunci tu ibarat bom jangka dalam permainan ni.” Lelaki bertopi itu lansung tidak memperkenalkan dirinya, sebaliknya mengatakan demikian sebelum beredar dari situ. Faizal mahu mengejarnya namun kelibat lelaki itu sudah hilang serta-merta. Banyak persoalan yang mahu ditanyakan kepada lelaki misteri itu.

 

SETELAH menerima laporan lengkap dari pihak polis, Faizal terus bergerak pulang ke rumahnya. Ketika dalam perjalanan, Faizal asyik memikirkan kata-kata lelaki bertopi tadi. Apakah yang dimaksudkannya dengan ‘permainan’? Permainan jenis apa yang sudah bermula? Apa pula kaitannya dengan rantai kunci yang diibaratkan sebagai bom jangka? Pelbagai persoalan sedang bermain dalam fikirannya namun sukar untuk menemui jawapan.

            Akibat leka berfikir, Faizal hampir tidak melihat beberapa orang yang hendak melintasi jalan. Mujur dia sempat memberhentikan kenderaannya ke tepi jalan. Malangnya, semasa mereka melintas jalan, tiba-tiba sebuah treler meluru laju ke hadapan tanpa brek. Faizal terdiam dan tergamam. Pertama kali menyaksikan kejadian tersebut di hadapan matanya. Lantas dia keluar dari kereta untuk melihat keadaan mereka samada selamat ataupun tidak.

            Bergetar kakinya sehingga tidak mampu untuk berdiri. Mata Faizal tidak sanggup melihat keadaan mangsa yang menyayat hati itu. Hari ini sahaja sudah kali kedua dia menyaksikan hal yang mengerikan. Namun kejadian kemalangan ini lebih teruk lagi. Pemandu treler turut terkejut dan mengatakan dirinya tidak bersalah setelah mengorbankan kesemua mangsa. Beberapa kenderaan lain mula muncul dan perlahan melewati kawasan kejadian. Faizal cuba memberanikan diri untuk mendekati lokasi kejadian. Darah sudah ada di merata tempat. Kemudian matanya terpandang benda yang agak dikenali, yakni rantai kunci berlian.

            Rantai kunci dianggap bom jangka? Ini ke maksudnya? Getus hatinya. Mungkin ia bukan bom jangka yang sebenar. Sebaliknya menganggap rantai kunci tersebut telah memberikan sumpahan ke atas orang yang memilikinya. Dan orang yang terkena sumpahan akan mati dalam apa jua jenis insiden pada bila-bila masa sahaja.

            “Betul apa yang sedang kau fikirkan.”

            Tiba-tiba Faizal disergah oleh lelaki bertopi dari belakang. Mengapa lelaki itu berkata demikian? Dia boleh membaca fikiran orangkah?

            “Rantai kunci tu adalah punca segala-galanya. Setiap orang yang memilikinya akan mati tak lama lepas tu. Mungkin termasuk kau,” ujar lelaki itu sambil tersenyum sinis.

            “Ya, memang aku mengakui ada simpan kesemua rantai kunci milik orang dah mati. Tapi aku takkan mati dengan mudah. Suatu hari nanti, aku akan cari siapa pembuat rantai kunci ni dan tamatkan sumpahan maut ni!” Bentak Faizal geram.

            Lelaki misteri itu kemudiannya ketawa tanpa sebab. Faizal hairan melihatnya. “Jangan mimpilah, orang muda. Orang yang buat rantai kunci tu dah lama mati.” Terkejut Faizal mendengarnya. Habis, bagaimana dia mahu menamatkan sumpahan maut itu?

            “Kalau macam tu, macam mana nak selesaikan semua ni?” Soalnya.

            “Aku rasa kau patut fikirkannya sendiri,” jawab lelaki misteri itu. Senyumannya dilemparkan. Faizal berasa sangat kecewa dengan jawapan tersebut. Cara paling senang mungkin dengan memecahkan batu berlian dan membakarnya. Akan tetapi bagaimana dia mahu mencari rantai kunci yang lain? Sudah pasti ramai yang memiliki dan menyimpannya dek pernah menjadi popular suatu ketika dahulu.

            Kelibat lelaki bertopi tadi hilang secara tiba-tiba. Tidak perasan pula ke mana lelaki itu pergi. Faizal turut mencurigai lelaki berkenaan, tidak pasti samada ia di pihak baik ataupun di pihak jahat. Biar apapun, dia cuba untuk mencari jalan penyelesaian lain.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura