Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 4

SEORANG guru muda bernama Farah sedang menyolek mukanya di hadapan cermin poket. Hanya beberapa minit lagi waktu mengajarnya akan tiba. Seorang lagi guru yang merupakan temannya datang mendekatinya. Kebetulan meja mereka berdua bersebelahan.

            “Amboi, sempat lagi nak bersolek! Pagi tadi tak sempat ke?” Tegur Cikgu Nani, sinis.

            “Kau tau kan perangai aku macam mana? Aku ni jenis suka bersolek,” balas Cikgu Farah yang masih menyapu pipinya dengan bedak.

            “Yalah, yalah. Aku tau tu. Ataupun ada sebab yang lain?” Cikgu Farah terhenti seketika. Isyarat mata dari Cikgu Nani menunjukkan ada sesuatu di hadapan mereka. Seorang guru lelaki tampan sedang melangkah masuk ke dalam bilik guru. Cikgu Nani hanya tersenyum melihat gelagat Cikgu Farah yang khusyuk memandang guru tampan itu.

            Deheman Cikgu Nani menyentakkan temannya. Tersipu-sipu malu dibuatnya. Lantas Cikgu Farah mengemas beg solek dan memasukkannya ke dalam beg tangan. Bunyi loceng kecil sempat ditangkap oleh telinga Cikgu Nani.

            “Oh, kau pun ada rantai kunci tu?!” Suanya.

            “Mestilah. Benda ni dah jadi popular sampai sekarang. Kau bila lagi nak beli?” Balas Cikgu Farah lalu bangkit dari duduknya. Cikgu Nani hanya tersenyum kelat sambil mengangkat kening.

            Sebelum hendak keluar dari bilik guru, sempat juga mata guru muda ini menatap wajah si guru tampan yang sedang duduk di mejanya. Senyumannya diukir lagi. Dalam diam dia berharap dapat menjadi ‘bunga’ kepada si guru tampan itu.

            Keluar sahaja dari bilik guru, matanya sekali lagi menatap sesuatu yang tidak jauh darinya. Sekumpulan murid kelihatan sedang berkumpul di keliling kereta miliknya. Jam tangan dilihatnya. Masih sempat lagi sebelum tiba waktu mengajarnya. Segera dia bergegas ke tempat parkir kereta dan menanyakan apa yang mereka lakukan di situ.

            “Maaf, cikgu. Ni kereta cikgu ke? Boleh tak alihkan sikit sebab ada bola tersangkut kat bawah?” Pinta salah seorang dari mereka.

            Cikgu Farah kehairanan. Lalu duduk menunduk ke bawah keretanya. Memang benar ada bola di situ. Mulalah dia merungut mengapa bola tersebut boleh ada di situ. Si murid-murid memohon maaf dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama selepas ini. Cikgu Farah hanya mampu mengeluh sahaja.

 

CIKGU Nani terdiam apabila didatangi Cikgu Daniel, guru tampan yang diidamkan oleh Cikgu Farah. Dia datang hanya untuk meminjam pen daripadanya.

            “Boleh pinjam sebatang pen hitam? Pen saya dah habis dakwat. Mereka yang lain tak ada pen hitam.”

            “Dah tentu boleh,” balas Cikgu Nani lalu meminjamkannya sebatang pen hitam. Tersenyum dia dalam diam. Memang rugi Cikgu Farah tiada di saat ketika ini.

            Tiba-tiba terdengar letupan sangat kuat dari arah berdekatan. Cikgu Nani mahupun Cikgu Daniel sempat mengucap istighfar dek bunyi letupan kuat itu. Semua guru yang ada di dalam bilik guru bergegas keluar dan salah seorang daripadanya mengatakan letupan tersebut disyaki dari tempat parkir kereta. Cikgu Nani yang mendengarnya sangat terperanjat. Keretakah yang meletup tadi?

            Semakin mereka mendekati tempat parkir kereta, semakin mereka mengetahui kereta siapa yang meletup tadi. Cikgu Nani tergamam dan terdiam. Hanya kaku berdiri di situ tanpa suara. Kedengaran suara seseorang yang sedang menghubungi bomba dan ambulans. Seorang guru wanita menghampiri Cikgu Nani dan cuba menenangkannya. Dia tahu bahawa guru muda itu amat rapat dengan Cikgu Farah.

            Mata Cikgu Daniel tertatap pada dua orang murid lelaki yang sedang menangis. Salah seorang dari mereka mengalami kecederaan ringan pada tangan. Mujur Cikgu Faizal boleh merawat murid tersebut dengan bantuan alat kecemasan. Cikgu Daniel mula datang menghampiri mereka.

            “Kamu berdua tau apa yang berlaku tadi?” Terus sahaja dia menanyakan soalan kepada dua orang murid itu.

            “Daniel, bagilah mereka tenangkan diri dulu. Bukan kita saja yang terkejut, mereka berdua pun sama jugak. Tengok yang lain,” kata Cikgu Faizal, meminta Cikgu Daniel supaya memerhatikan sekeliling.

            Ternyata letupan kereta tadi juga mengejutkan seluruh murid sekolah dan datang bergegas untuk melihat sendiri keadaan tersebut. Salah seorang dari mereka adalah Rina sendiri. Entah mengapa hati Rina terasa berdebar-debar. Titik peluh keluar tanpa sebab. Kedua-dua kakinya menggeletar dan terasa lemah. Pandangannya kian kabur sebelum menjadi gelap gelita.

            Suasana riuh-rendah mula menarik perhatian Cikgu Daniel yang berada berdekatan. Rupa-rupanya dia diberitahu terdapat seorang murid perempuan pengsan. Segera dia memapah Rina dan membawanya ke bilik rawatan kecemasan. Siti dan Nurul juga mengikutinya. Manakala yang lain dikehendaki pulang ke kelas masing-masing oleh para guru.

 

RINA kini tidak tahu berada di mana sekarang. Di sekelilingnya dipenuhi orang yang tidak dikenali sambil menyebut-nyebut perkataan ‘mati’ berkali-kali tanpa henti. Kebanyakan mereka adalah dari golongan orang dewasa dan orang tua. Seperkara pelik lagi adalah pakaian yang dipakai oleh mereka. Agak lusuh dan ketinggalan zaman. Rina yakin bahawa dia sedang bermimpi sekarang dan berharap sesiapa untuk mengejutkannya dari tidur.

            Tidak lama kemudian, di hadapannya terdapat seorang wanita berjubah hitam dan sengaja ditutupkan di bahagian kepalanya. Dia diikat kuat pada sebatang kayu oleh dua orang lelaki berpakaian besi. Hati Rina semakin berdebar saat matanya melihat lambakan kayu di sekeliling wanita berjubah itu. Sebatang kayu obor yang digenggam oleh salah seorang lelaki berbaju besi turut diperhatikannya.

            Tanpa menunggu lama, kayu obor itu dilemparkan ke arah lambakan kayu menyebabkan api mula tercetus dengan maraknya. Ini kerana lambakan kayu itu sudah pun ditumpahi dengan minyak.Wanita berjubah mula terjerit-jerit mengerang kesakitan. Rina tidak sanggup untuk melihatnya. Apatah lagi mendengar jeritan si wanita malang  itu.

            Rina akhirnya tersedar dari pengsannya dengan perasaan cuak dan panik. Titik peluh semakin kelihatan di dahi. Wajah kedua-dua rakannya diamatinya. Walaupun banyak persoalan dari mulut mereka, sukar untuk Rina bercakap buat masa sekarang. Kepalanya masih pening dan masih terkejut dengan wanita malang dalam mimpi buruknya tadi.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura